Renungan

Friday, July 10, 2009

Mengembalikan mata ke tempat asal

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empuya sekalian alam, tiada ia berhajat kepada selain-Nya malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya, selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkanlah junjungan kami ke tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang banyak menabur jasa bakti dalam menegakkan agama Islam yang suci lagi mulia ini. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmati kami...Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, faqir ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dimuliakan berkenaan khususiah Nabi Muhammad s.a.w. yang mana di antaranya ialah dikurniakan Allah s.w.t. mukjizat mengembalikan mata ke tempat asal.

Diriwayatkan bahawa semasa peperangan Uhud, Qatadah ibn Nu'man r.a. berusaha melindungi Rasulullah s.a.w. dengan mukanya daripada terkena sasaran anak panah musuh. Tiba-tiba satu busur anak panah mengenai salah satu matanya dan menyebabkan matanya terkeluar dan jatuh ke pipi. Lalu dia mengambil dengan tangannya dan membawanya berjumpa Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w. melihat biji mata Qatadah yang berada di telapak tangannya, air mata baginda s.a.w. mengalir ke pipi.

Kemudian baginda s.a.w. bersabda "Sekiranya kamu mahu bersabar, maka bagimu adalah syurga. Sekiranya kamu mahu aku kembalikannya dan aku berdoa kepada Allah s.w.t. untukmu hingga kamu tidak kehilangan sesuatu pun. Dia berkata "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ada seorang isteri yang aku kasihi. Aku bimbang sekiranya dia melihatku maka dia akan membenciku. Maka Rasulullah s.a.w. mengambil mata Qatadah dengan tangannya dan mengembalikannya kepada kedudukan asalnya. Rasulullah s.a.w. berdoa "Ya Allah, pakaikanlah dia dalam keadaan yang cantik. Maka selepas itu ia menjadi mata yang paling elok daripada kedua matanya dan paling tajam penglihatannya serta tidak ditimpa penyakit apabila salah satu daripadanya ditimpa penyakit." Kisah ini disebut di dalam Kitab al Anwar al Muhammadiah min al Mawahib al Ladduniyyah bagi Allamah Syaikh Yusof ibn Ismail al Nabhani rah.

Rasulullah s.a.w. juga dikurniakan mukjizat menyembuhkan sakit mata . Di dalam Sohih Al-Bukhari disebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam peperangan Khaibar "Di manakah Ali bin Abu Thalib? Maka mereka menjawab "Sesungguhnya dia wahai Rasulullah sedang sakit mata. Bersabda Rasulullah s.a.w. :Hantarkan utusan kepadanya. Maka Sayyidina Ali kwh. dibawa menghadap Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w. meludah kepada kedua dua matanya dan berdoa untuknya. Maka Sayyidina Ali kwh. sembuh dari penyakitnya seolah-olah dia tidak pernah menghidap sakit mata."

Baginda s.a.w. juga mempunyai mukjizat menghidupkan orang yang mati. Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi rah. di dalam kitabnya Dalail Nubuwwah yang dianjurkan oleh Imam Al-Zahabi rah. untuk berpegang teguh kepadanya kerana mengandungi hidayah disebut bahawa Rasulullah s.a.w. menyeru seorang lelaki kepda Islam. Maka kata lelaki tersebut "Aku tidak akan beriman dengan kamu sehinggalah kamu menghidupkan anak perempuanku yang telah meninggal dunia. Maka Baginda s.a.w. bersabda "Tunjukkanlah aku akan kuburnya". Lalu ditunjukkan kepada baginda s.a.w. akan kuburnya . Rasulullah s.a.w. bersabda "Wahai Fulanah !". Maka anak perempuan yang telah mati itu menjawab "Aku sambut panggilanmu dan kebahagian adalah bagimu". Rasulullah s.a.w. bersabda "Adakah kamu suka sekiranya kamu dikembalikan ke dunia ini?". Maka jawabnya "Tidak, Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mendapati Allah s.w.t. lebih baik bagiku dari kedua ibu bapaku dan aku mendapati akhirat adalah lebih baik bagiku daripada dunia ini."

Sesungguhnya sangat banyak mukjizat yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada kekasih-Nya Nabi Muhammad s.a.w. . Umat Islam hari ini perlu disedarkan akan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w.. Apabila umat ini mencintainya, maka terbuka segala pintu kebaikan, tertutup segala pintu kejahatan. Ketahuilah cinta itu di hati, mengikuti itu menguatkan cinta di hati. Sahih, benar ada sesetengah yang mendakwa mencintai Nabi s.a.w. tetapi tidak mencontohi baginda s.a.w. . Orang ini khianat dalam dakwaannya, cuai dalam percintaannya , merosakkan hubungan dengan kekasihnya. Bagaimana kamu mendakwa cintakan Nabi s.a.w. tetapi tidak menyanjung adab-adab dan sunnahnya. Tetapi cinta itu juga bukanlah mengikut semata-mata. Kadang-kadang kita mengikut atau mencontohi sesuatu kerana malu,menjaga perasaan, tamak, menunjuk-nunjuk dan lain-lain yang bukan kerana cinta. Cinta itu di hati dan selepas itulah tuan punya hati mengikuti orang yang dicintai. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.a. "Ajarkan anak mu tiga perkara :Cintakan Aku, Cintakan Ahli Keluargaku, bacaan Al-Quran" Dalam riwayat yang lain "Ajarkan anakmu tiga perkara "Cintakan Allah, Cintakan Aku, Cintakan Ahlulbaytku".

Di akhir kalam ini, ana bawakan kata-kata Imam Busairi rah.

"Pedulikan apa yang mereka(Yahudi dan Nasrani) katakan terhadap Nabi mereka"
"Kita pujilah akan Rasulullah s.a.w. sebanyak-sebanyaknya"
Selagi kita tidak meletakkan sifat ketuhanan kepada Nabi s.a.w. , pujilah sebanyak-banyaknya dan selawat lah semahu-mahunya wahai saudaraku. Selawat dan salam semoga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang sangat kasih akan mereka itu kepada umat Nabi s.a.w.
Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan Empunya sekalian Alam, Kepada-Nya lah kita akan dikembalikan. Dan Allah s.w.t. jualah yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui
Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)
Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Mengembalikan biji mata ke tempat asalnya

Thursday, July 9, 2009

Akhlak Nabi s.a.w. dalam sebuah Hadis

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, Tiadalah Ia berhajat kepada Selain-Nya , malah selain-NYa lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam moga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah...Tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) beserta ahlulbayt dan para sahabat baginda yang mulia lagi suci . Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami , Kasihani kami, Rahmatilah kami....Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian dari itu, faqir yang serba kekurangan ini ingin berkongsi dengan saudara pembaca berkenaan satu hadis yang paling lengkap menceritakan tentang akhlak makhluk paling mulia di sisi Allah s.w.t. , Nabi Muhammad s.a.w. . Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Hussein r.a. dari ayahnya Sayyidina Ali bin Abi Thalib kwh. yang terkenal sebagai hadis Asy-Syamaa'il.

Telah berkata Al-Imam Ali r.a. "Dalam menyerahkan perbicaraannya telah menjadi kebiasaan bagi Nabi s.a.w. mengutamakan orang-orang yang telah terhormat berdasarkan kelebihan mereka yang berjasa terhadap agama, dan kerana keperluan seseorang itu tidak sama dan berbeza tentang banyak dan sedikitnya, maka baginda s.a.w. mendahulukan yang dipandangnya lebih bermanfaat dan lebih baik lagi mereka dan masyarakat sekelilingnya. Dalam pada itu, baginda selalu memberitahukan kepada mereka apa yang harus dikerjakan , dan berkata : hendaklah orang yang berada di temoat ini, menyampaikan kepada mereka yang berhalangan datang, dan hendaklah disampaikan kepadaku hajat dan keperluan siapa saja yang kerana sebab2 tertentu tidak dapat menyampaikan secara langsung, kerana barang siapa yang menyampaikan hajat seseorang yang ia sendiri tidak dapat menyampaikannya ,Allah s.w.t. akan meneguhkan kedua tapak kakinya pada hari kiamat kelak, mereka yang datang kepada Nabi s.a.w. dengan tujuan untuk memperoleh sesuatu, baik untuk kepentingan dunianya mahupun untuk akhiratnya, tidak kembali melainkan dengan terhormat dan pasti akan berhasil apa yang diharapkan."

Imam Al-Hussain r.a. selanjutnya berkata : maka aku bertanya kepada ayahku "Bagaimanakah Rasulullah s.a.w. bila berada di luar rumahnya?" Imam Ali r.a. menjawab "Rasulullah s.a.w. sentiasa menjaga lidahnya, dan tidak berbicara kecuali dalam hal yang penting, sikapnya lemah lembut, dan sopan santun, tidak keras dan tidak kaku, sehingga selalu didekati dan dikerumuni orang kerana sangat tertarik kepadanya, sangat hormat kepada setiap pemuka kabilah, dan menunjuknya sebagai pemimpin mereka, terhadap orang lain amat hati-hati dan selalu berwaspada , sentiasa mencari sahabat-sahabat yang dekat dengannya, dan memperhatikan hal ehwal umat dan masyarakat umumnya, yang benar dibenarkan olehnya, dan yang salah pun disalahkan olehnya tanpa pilih kasih, dalam semua ucapan dan tindakan tidak berlebih-lebihan dan menghadapi segala keadaan diperhitungkan dan disiapkan apa yang perlu, tidak lali atau lengah terhadap hak atau kewajipannya, namun tidak perlu melampaui batas. Orang-orang yang dekat kepadanya adalah orang yang baik dan pilihan, dan yang terbaik di antara mereka disisi baginda ialah yang paling banyak jasanya dan derma baktinya kepada umatnya dan orang banyak"

Imam Hussain selanjutnya bertanya lagi tentang cara dan betapa majlis Rasulullah s.a.w. itu, maka dijawab oleh Imam Ali r.a. "Nabi s.a.w. tidak duduk dan bangun melainkan ingat dan menyebut nama Allah, baginda tidak memilih dan tidak menetap di suatu tempat tertentu, bila memsuki majlis, baginda duduk di mana sahaja ada tempat kosong, dan menyuruh yang lain berbuat demikian, baginda memberikan kepada setiap yang duduk di majlis itu kesempatan dan bahagiannya masing-masing, tiap seorang yang hadir diajaknya bercakap cakap dan berbicara, sehingga yang ada di tempat itu merasa tiada yang dihormati Nabi s.a.w. lebih dari dirinya, dan bila seorang kerana ada keperluan atau urusan berbicara dengan baginda, maka dengan sabar dialayaninya sehingga orang itu sendiri yang meninggalkannya, dan Nabi s.a.w. selalu memberi kepada sesiapapun yang meminta sesuatu daripadanya, dan kalau kebetulan tidak ada apa yang dimintaitu dan terpaksa menolak, maka itupun dengan sikap dan tutur kata yang manis dan sopan. Budi bahsa dan kemurahan hati baginda s.a.w. mencakup setiap orang seakan-akan dialah ayah bagi semua orang, dan hak mereka menjadi sama tanpa perbezaan dalam pandangannya."

Selanjutnya Imam Hussain bertanya kepada ayahnya tentang cara Nabi s.a.w. bergaul dnegan para sahabatnya, maka Imam Ali r.a. berkata "adalah Rasulullah s.a.w. itu selalu tersenyum dan lemah lembut, tidak keras dan tidak kaku, suaranya tidak lantang , bicaranya selalu bersih dan serius, tidak pernah mencela atau apapun, dan tidak suka memuji berlebih-lebihan , tidak selalu bergurau, apa yang tidak disenanginya tidak diacuhkan, dan yang datang memerlukan tidak akan diputuskan harapannya. Ada tiga perkara yang menjadi pantang bagi baginda s.a.w. iaitu bertengkar, berlebih lebihan ,dan apa yang tidak penting."

Yang menjadi tabiat dan kebiasaannya , tidak suka mencela dan mencari kesalahan sesiapapun, atau berbuat sesuatu yang memalukannya, dan bila baginda s.a.w. sedang berbicara, maka para sahabat r.anhum memasang telinga , mendengarkan dengan tenang, bagaikan ada burung yang hinggap di atas kepala masing-masing, setelah baginda berbicara, barulah mereka berbicara, tidak ada yang saling membantah, semua mendengarkan kepada yang berbicara sehingga selesai, baginda s.a.w. juga tertawa dan kagum, apabila ada hal hal yang menggelikan atau menakjubkan, terhadap tamu yang datang ,baginda tetap sabar mendengarkan perbicaraanya, dan menjawab segala pertanyaannya dan seringkali para sahabat membawa tamu-tamunya ke majlis Rasulullah s.a.w.

(H.R Muslim)

Sebenarnya hadis ini sangat panjang. Bolehlah saudara pembaca melihat sendiri di dalam kitab Sahih Muslim.

Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. , beserta para sahabat dan ahlulbayt r.anhum

Segala puji bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya Sekalian Alam, Dan Allah Maha Mengetahui

Jazakallah Khairan Kathira....(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Akhlak Nabi s.a.w. dalam sebuah Hadis

JKSK UTM (pengambilan ahli baru)

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, tiada Ia berhajat kepada selain-Nya malah selain-NYa lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam moga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan baginda ke di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang memerah keringat menegakkan Islam ke serata alam. Seterusnya kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmatilah kami....Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, faqir yang serba kekurangan ini ingin mengucapkan selamat menyambung semester baru di UTM bagi sahabat-sahabat tahun 2 dan 3 dan diharapkan mungkin tidak terlambat lagi untuk mengucapkan selamat datang dan tahniah di atas kejayaan saudara adik2 tahun 1 yang menjejakkan kaki ke menara gading (UTM). Faqir dikhabarkan bahawa kelab jawatankuasa saudara kita (JKSK UTM) sudah membuka booth di sekitar pusat UTM untuk memperkenalkan kelab ini kepada warga UTM khususnya adik-adik tahun baru disamping membuka keahlian baru bagi yang berminat untuk menyertai kelab yang terkenal dengan urusan saudara baru.

Tahniah faqir ucapkan kepada barisan jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengadakan booth JKSK ini walaupun kebanyakan daripada ahli MT JKSK tidak dapat menghulur bantuan secara langsung kerana tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan (LI dan LM). Semoga generasi adik2 ,JKSK akan lebih cemerlang dan terbilang....Amin.

Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya ALlah Tempatkanlah junjungan baginda di tempat terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) beserta ahlubayt dan para sahabat baginda r.anhum yang mulia lagi suci.

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan sekalian alam, Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah Maha Mengetahui...

Jazakallah Khairan Kathira....(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Wednesday, July 8, 2009

Pengorbanan

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, tiada Ia berhajat kepada selain-Nya malah selain-NYa lah yang berhajat kepada-Nya, .Selawat dan dan salam moga dicurahkan Allah kepada junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan) beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi suci. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmatilah kami...Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, faqir yang serba kekurangan ini ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dimuliakan berkenann pengorbanan, suatu istilah yang biasa dijumpai dan difahami tetapi sangat sukar untuk dipraktikkan pada zaman ini di mana sikap Individualistik bermaharajalela.

Pengorbanan adalah suatu bentuk pemberian secara menyeluruh. Dalam zaman yang semakin pesat jika dipandang dari sudut kemajuan sains dan teknologi, ianya secara halus dan tersembunyi turut membawa sikap mementingkan diri sendiri, persahabtan atau hubungan yang dijalin atas dasar kepentingan duniawi semata-mata yang menyebabkan pengorbanan menjadi sesuatu yang berat dan menyusahkan. Hanya mereka yang mempunyai hati nurani yang bersih dan merasakan panggilan Ilahi yang mampu melihat pengorbanan ini sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Pengorbanan juga mampu untuk meningkatkan perpaduan. Kesanggupan meluangakan masa melayani orang lain adalah langkah pengorbanan yang dirintis. Mengorbankan waktu bagi mewujudkan rasa kasih sayang dalam keluarga adalah satu pelaburan yang tidak ternilai. Pengorbanan yang tulus tidak semestinya akan berbalas dengan imbalan yang setimpal, malah kadang kadang hingga ke akhir hayat pun kita tidak dapat melihat ataupun menerima balasannya. Pengorbanan merupakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai manusia, untuk bekerjasama sesama manusia.

Pengorbanan juga merupakan kesyukuran untuk berkongsi dengan orang lain kerana kita menerima kasih sayang-Nya dalam setiap sendi dan detik kehidupan . Setiap perbuatan dan amalan yang baik pasti tidak akan luput datri perhatian Allah s.w.t., yang akan memberi balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukan.

Tidak berbuat apa-apa sesama manusia sama dengan meniadakan diri sendiri. Kita perlu bersikap baik dan murah hati. Apabila kita membuat sesuatu yang baik sesama manusia, kita sebenarnya sudah menguntungkan diri kita sendiri.

Selawat dan salam yang sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. kepada junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkanlah junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) beserta Ahlubayt dan para sahabat r.anhum yang sangat kasihnya mereka kepada umat ini...

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t, Tuhan empunya sekalian alam, Tiada daya upaya melainkan dari Allah s.w.t., Dan Allah jua yang membri petunjuk dan Allah Maha Mengetahui...

Jazakallah Khairan Kathira....(^_^)


Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Tuesday, July 7, 2009

Mampukah beramal tanpa mazhab ?


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., tuhan empunya sekalian alam, tiada berhajat ia kepada makhluk-Nya, malah segalanya berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam yang sebanyaknya semoga dilimpah Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah...tempatkanlah junjungan kami te tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) beserta Ahlubayt dan para sahabat baginda r.anhum yang mulia lagi suci dan banyak jasa mereka kepada menegakkkan agama Allah yang maha suci ini. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati kami, Kasihanilah kami...Amin


Amma Ba'du,


Adapun kemudian daripada itu, faqir yang serba kekurangan ini ingin mengajak saudara pembaca yang dimuliakan mengenai isu ini. Telah wujud fenomena di kalangan kita (muda-mudi) yang ghairah untuk beramal hanya melalui pembacaan terus dari Al-Quran dan Al-Sunnah. Setiap hukum yang diketengahkan oleh kitab-kitab fiqh mazhab akan dipersoalkan dalil dan sumbernya. Keadaan ini membuatkan para ulama terpaksa memberikan dua pendekatanjawapan. Sama ada menjawab berpandukan kitab fiqh berlandaskan mazhab atau terus membentangkan dalilnya daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.



Sekilas pandang , ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana umat Islam hari ini ingin belajar mengetahui dalil atau lebih tepat ingin terus belajar melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kita wajib berpegang kepada keduanya. Namun apa akan terjadi sekiranya seseorang awam itu diberikan suatu manhaj yang tidak tahu digunakan . Manhaj tersebut ialah belajar secara "langsung" daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.


Sebagai seorang awam yang tidak mendalami agama secara terperinci, tidak mendalami nas-nas syariat secara halus, bahkan tidak bertemu nas-nas syara' melainkan hanya dalam jumlah yang terbatas. Wajarkah orang seumpama ini mengatakan "itu tidak menepati Sunnah, Itu tiada dalam Al-Quran,ini hanya rekaan, Itu Bid'ah, ini hanya tradisi orang Melayu"?. Dan pelbagai lagi telahan yang mungkin dibuat kerana berpandukan manhaj yang di ajar gurunya.


Bukankah suasana seperti ini boleh membawa mereka terjebak ke dalam pendustaan di atas nama Alllah dan Rasul-Nya. Mungkin banyak nas-nas syara' yang boleh distidlal terhadap sesuatu hukum syara', tetapi disebabkan kejahilannya tentang nas tersebut atau ketidakupayaan dalam berijtihad dan memahami nas maka dia telah menafikan kewujudan sesuatu hukum.


Oleh itu mengajak masyarakat untuk meninggalkan mazhab atas alasan kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah adalah suatu usaha yang sia-sia dan bathil. Mazhab seharusnya difahami sebagai sebuah disiplin ilmu(manhaj) untuk kita memahami Al-Quran dan Al-Sunnah. Di Malaysia, umum mengetahui bahawa majoriti bermazhab Syafi'e khusunya dalam ibadat, munakahat, dan fardhu a'in. Namun, dalam bidang bidang lain seperti muamalat, jinayat, kehakiman, dan perundangan serta isu-isu kontemporari , jelas menunjukkan umat Islam di Malaysia tidak hanya terikat pada mazhab Syafi'e, oleh itu, tuduhan bahawa umat Islam di Malaysia mewajibkan berpegang kepada satu mazhab dalam semua masalah adalah sesuatu yang keterlaluan.


Beramal dengan mazhab Syafi'e dalam bab Fardhu A'in sepertimana yang diamalkan sekarang bukanlah bermakna kita menolak pendangan mazhab-mazhab lain. Pendirian ini dipegang hanyalah berdasarkan ketidakmampuan seseorang untuk beramal dalam ibadatnya dengan mazhab-mazhab yang lain. Sememangnya hukum asal berpegang kepada mazhab itu tidak wajib, namun bagi selain mujtahid, beramal denagn fatwa mujtahid(mazhab) adalah wajib memandangkan tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syara' melainkan dengan mengikuti Imam Mujtahid Mutlak yang empat.


Dalam hal yang sama, seseorang awam itu juga tidak mampu untuk melakukan tarjih iaitu menilai pendapat atau dalil yang terkuat antara mazhab. Ketidakmampuan itu memerlukannya untuk berpegang kepada mazhab yang dianutinya sahaja. Syaikh Prof Dr. Said Muhammad Ramadhan Al-Buti (semoga Allah membalas beliau dengan kebaikan) menegaskan bahawa seseorang yang mampu mentarjih di antara mazhab-mazhab, bermakna dia adalah seorang mujtahid dan keilmuannya sudah tentulah melebihi keilmuan para mujtahid mazhab-mazhab terdahulu.


Ketahuilah saudaraku yang dimuliakan, bahawa hanya dengan penguasaan disiplin ilmu yang tinggi sahaja , seseorang mampu untuk membuat pemilihan mana yang paling sahih dan paling benar antara mazhab-mazhab tersebut. Sekaligus perkara itu tentu mustahil berlaku kepada golongan awam.


Syaikh Al-Buti berkata "telah sabit kisah bahawa seorang sahabat r.a. bertanya tentang segala masalah agama hanya kepada Ibnu Abbas r.a. tanpa mengambil pendapat dari sahabat yang lain, tetapi Ibnu Abbas r.a. dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan seorang sahabat ini."


Semoga kita lebih berlapang dada dalam masalah ini, ketahuilah bahawa Al-Quran itu maksum dari kesalahan, tetapi kefahaman faqir, kefahaman saudara, kefahaman ulama, kefahaman manusia yang lainnya kecuali Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. adalah tidak maksum dan boleh saja tersilap. Cuma bezanya di sini , adalah seorang memahami dengan tiada ilmu atau kurang ilmunya dan seorang lagi yakni para ulama mujtahid memahami Al-Quran dengan dibekalkan ilmu pengetahuan yang lengkap yang melayakkan mereka untuk mengistinbathkan hukum dari Al-Quran dan Al-Sunnah ..Fahamilah perkara ini saudaraku. Bukankah Allah telah berfirman yang maksudnya "Bertanyalah kepada yang mengetahui sekiranya kamu tidak tahu". Maka tidak patut seorang yang tidak sampai ilmunya (jgn perasan sampai pulak) terus memahamkan Quran dan Hadis,dan kemudian mengeluarkan hukum mengikut kefahamannya. Renungilah Sabda Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Nuruddin Al-Haithami rah di dalam kitab beliau Majma' Az-Zawaid dan turut juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.a. di dalam Musnadnya iaitu daripada Sayyidina Abu Ayyub Al-Ansori r.a. bahawa telah bersabda Nabi s.a.w. "Janganlah kamu berduka sekiranya agama ini dipegang oleh ahlinya, tetapi berdukalah sekiranya agama ini dipegang oleh orang yang bukan ahlinya".


Semoga kita sentiasa berusaha menuntut Ilmu hingga ke liang lahad....Amin


Selawat dan salam kepada junjungan kita ,kekasih-Nya Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkanlah baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin)

beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang sangat mengasihi akan umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, Tiada daya upaya melainkan dari Allah s.w.t. , kepada-Nya jua kita akan kembali. Dan Allah s.w.t. jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui...


Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)


Al-Faqir wal Haqir Ilallah,

Salim Azham (MSA)