Renungan

Saturday, November 7, 2009

Mari muhasabah Diri

Bismillah hir rah man nir rahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai FULAN Bin FULANAH, wahai FULAN Bin FULANAH,wahai FULAN Bin FULANAH, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.

Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai FULAN Bin FULANAH, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai FULAN Bin FULANAH, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.

Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai FULAN Bin FULANAH, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar,bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.

Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini.Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati - "Kullu nafsin za iqatul maut"

Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." Surah Al-A'sr ..

Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..."

Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur "masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN" dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.

Bertanya orang kepada Rasulullah saw : "Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?" Maka jawabnya Rasulullah saw "Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'."
Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu "itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN" mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian" Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hamba Ku.Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya:

TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati
1. Para Nabi
2 Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. Para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8 . Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari kalangan orang yang beriman.

Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra sabda Rasulullah saw:

Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah swt memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan:"Wahai Ridhwan , sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hamba Ku berpuasa ( ahli puasa ) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah buahan syurga.

"Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekelian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi.

Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaiman yang difirman oleh Allah swt di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud "Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada HARI yang telah LALU itu."


* Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati. " Dan ( ingatlah ) Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan." Surah Al-Baqarah : 237

"LAA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINALZHAALIMIIN"

Friday, November 6, 2009

TG Dato' Haron Din Yakin Wujud Pakatan Sulit Jatuhkan Tokoh-Tokoh Agama

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata perkara ini mesti diberi perhatian serius kerana ia bukan membabitkan peribadi Mufti Perak semata-mata malah beliau ialah jurucakap bagi pihak para mufti di Malaysia.

Menurut Dr Haron, usaha masih diteruskan pihak tertentu untuk mencacat dan mencalarkan personaliti tokoh-tokoh agama bertujuan merosakkan kredibiliti mereka dan menghilangkan kepercayaan rakyat.

Image"Segala yang disampaikan oleh Mufti Perak adalah pandangan yang dibincangkan para mufti dan tugasnya adalah menyampaikan kepada umum termasuk kepada kerajaan Malaysia," katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini, semalam.

"Isu konsert 'Sure Heboh', kongsi raya dan murtad yang disuarakan oleh beliau (Mufti Perak) sebelum ini mengundang rasa tidak senang banyak pihak dan termasuk juga dengan pemimpin kerajaan BN khususnya Perdana menteri dan kabinetnya yang beragama Islam," katanya lagi.

Sikap Perdana Menteri dan beberapa pemimpin yang pernah memperlekehkan pandangan para Mufti mengakibatkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak menghormati beliau selaku tokoh agama yang berwibawa, malah secara lebih biadap cuba mencampuri urusan agama Islam.

"Pandangan saya, itu merupakan ijtihad beliau dalam situasi tersebut dan beliau telah melakukan sedaya yang termampu bagi memastikan kejadian itu tidak berlaku," katanya ketika ditanya berhubung isu sms mengaitkan Dato' Azhar Mansur yang didakwa murtad.

Katanya, jika kejadian itu benar-benar berlaku, masyarakat Islam akan menuding jari kepada institusi mufti kerana tidak bertindak membendung gejala murtad setelah mengetahui dan menerima laporan daripada pihak pengadu.

Beliau menambah, usaha parti Gerakan dan pihak-pihak lain untuk mencampuri urusan hal-ehwal agama yang tertakluk dalam bidang kuasa Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong akan mengundang padah pada masa hadapan.

"Senario ini adalah permulaan yang tidak baik bagi menjaga keharmonian antara kaum; terutama dari segi menjaga sensitiviti berkaitan agama masing-masing," katanya.

Beliau juga beranggapan, kelemahan kerajaan yang ada sekarang mengakibatkan insiden-insiden provokasi dan mencabar umat Islam di negara ini semakin menjadi-jadi dan memberi peluang yang sangat luas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mempersoalkan hal ehwal agama, amalan dan institusi agama seperti mufti.

"Sepatutnya kerajaan segera bertindak dan tegas, bukannya melayan dan memberi ruang terbuka kepada bukan Islam untuk mempersoalkan amalan agama orang lain," katanya lagi

Dalam pada itu ada beberapa penganalisi yang berpendapat, sikap kerajaan yang membisu berhubung isu ini adalah disebabkan pilihan raya Machap yang dikhuatiri akan mengundang rasa tidak senang pengundi Cina.

Temubual dan pandangan beliau berhubung isu rasuah, jenayah, kegilaan rakyat terhadap pelaburan internet dan penjelasan yang mendakwa beliau 'memindahkan' makhluk halus menggunakan kenderaan (bas) akan didapati pada keluaran Harakah akan datang.


Sumber: HarakahDaily

Wednesday, November 4, 2009

PERPADUAN KEARAH PENGUKUHAN KEPIMPINAN UMMAH

Oleh: Haji Mohd.Shahir Bin Haji Abdullah


Pendahuluan

Salah satu daripada naluri semulajadi manusia ialah ingin hidup berkelompok dan bermasyarakat. Maka untuk mempastikan tercapainya hasrat tersebut manusia berusaha dengan sedaya upaya kehidupan bermasyarakat itu terlaksana. Mereka mahu atau tidak mahu terpaksa mengenepikan beberapa kepentingan diri sendiri.
Walau bagaimanapun, disebabkan kelemahan manusia sendiri maka seringkali tercetusnya permusuhan, perkelahian dan peperangan. Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu bangsa. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah tidak dapat dipertahankan dan apabila syaitan mula menguasai fikiran seseorang.
Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan segala kemudahan yang sedia ada, memutuskan kasih sayang, di samping banyak melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu dan janda serta balu. Malah bagi sesuatu bangsa, peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak melenyapkannya dari muka bumi ini. Justeru, Islam mengingatkan umatnya supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara satu sama lain.

Definisi

Perkataan 'perpaduan' ini asalnya dari perkataan 'padu' iaitu 'mampat', 'pejal' dan 'padat'. 'Perpaduan ialah 'penggabungan'. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi 'perpaduan' ialah 'permusuhan', 'kehancuran' dan 'perpecahan'.
Jadi, perpaduan dilihat dari tuntutan Islam adalah satu perkara yang baik iaitu 'ma’rof' manakala perpecahan pula satu perkara yang keji atau tidak baik iaitu 'mungkar'. Dalam al-Qur’an Allah mengingatkan umat Islam dengan Firman-Nya yang bermaksud:

'Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.'
(Surah Ali Imran : 104)

Ajaran Islam

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama kesejahteraan di dunia dan di akhirat dan kita dapati Islam telah memberi panduan yang jelas mengenai cara-cara mencapai kesejahteraan itu. Antara punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu, Islam sentiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada umatnya bagi mempastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu. Maka antara peringatan-peringatan tersebut ialah mengingatkan manusia seluruhnya menyedari akan asal-usul mereka dari bapa dan ibu yang satu. Allah berfirman yang bermaksud:

'Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan yang membiakkan dari kedua-duanya zuriat lelaki dan permpuan yang ramai.'
(Surah an-Nisa’ : 1)

Di samping itu ,Islam mengingatkan manusia bahawa mereka sebenarnya dari satu keturunan sahaja, maka sepatutnya masing-masing tidaklah merasai sombong dan angkuh terhadap yang lain sekalipun mereka berlainan warna kulit dan bahasa pertuturan. Menurut Islam, yang mulia di sisi Allah itu ialah yang lebih taqwanya. Allah berfirman yang bermaksud:

'... Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)...'
(Surah al-Hujurat : 13)

Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu ni’mat Allah yang sangat besar yang dikurniakan kepada manusia. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan. Dalam hubungan ini Allah berfirman yang bermaksud:

'Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.'
(Surah Ali ‘Imran : 103)

Halangan

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri manusia sendiri sama ada sesama manusia atau makhluk Allah yang lain iaitu syaitan.
Sifat sombong dan bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan bernegara. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Allah mengutuk manusia yang bersikap demikian.
Berlaku tidak jujur atau bersifat keras terhadap orang lain sering menimbulkan rasa tidak puashati dan dendam antara sesama manusia, lebih-lebih lagi antara yang memerintah dengan yang diperintah. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

'Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)...'
(Muttafak ‘alaihi)

Perbuatan suka mengintip dan menyebarkan keburukan orang lain juga merupakan punca yang menghalang perpaduan. Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang suka dirinya diintip dan juga tidak rela apa jua keburukannya didedah dan dihebahkan yang boleh menjatuhkan maruah dan air mukanya. Islam memberi perhatian tentang perbuatan keji seumpama ini. Dalam hubungan ini, Allah dan Rasul-Nya mengingatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan intip mengintip dan mengumpat keji sesama sendiri. Allah berfirman yang bermaksud:

'Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain...'
(Surah al-Hujurat : 12)

Selain daripada perbuatan mengumpat dan mendedahkan keburukan orang lain menjadi faktor penghalang perpaduan, perbuatan suka menghina dan merendah-rendahkan orang lain dengan memberi gelaran-gelaran yang hina juga adalah faktor penghalang perpaduan yang utama dalam masyarakat umat Islam hari ini termasuklah di kalangan umat Islam di Malaysia. Nama-nama serta gelaran yang buruk ini lebih ketara dalam ucapan ahli-ahli politik ketika memburuk-burukkan lawannya di musim kempen pilihanraya, termasuklah ucapan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang-pejuang Islam tulen. Gelaran-gelaran sebagai 'thghut', 'fir’aun' dan sebagainya sering diberikan kepada individu atau pihak-pihak tertentu. Berkenaan hal ini, antara lain Allah berfirman yang bermaksud:

'...Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk...'
(Surah al-Hujurat : 11)

Bahaya Perpecahan

Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat dibenci oleh Islam. Nabi Muhammad s.a.w. telah diutuskan oleh Allah untuk menyatupadukan umat manusia supaya mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpecahan dikutuk kerana ia boleh melemahkan umat Islam dalam pelbagai keadaan serta menjadikan mereka lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada.

Selain dari mengakibatkan kegagalan, perpecahan juga akan menyebabkan hilangnya rahmat dan nikmat dari Allah. Mereka yang menyebabkan huru-hara dan permusuhan adalah termasuk golongan yang tidak bersyukur atas nikmat Allah yang menjadi salah satu syarat bagi bertambahnya nikmat itu, manakala mengkufurkannya akan menempah bala’ dan seksa dari Allah.
Perpecahan juga boleh menyebabkan umat Islam hilang kehebatan di mata musuh iaitu tidak lagi menggerunkan mereka. Ini akan menyebabkan umat Islam ditindas dan diancam keselamatan diri, harta-benda dan iman. Hal ini telah ternyata sekarang, dimana-mana saja di dunia ini keadaan umat Islam sangat lemah disebabkan permusuhan sesama sendiri. Di tanah Arab, Afrika, Asia, malah di negara kita Malaysia sendiri tidak terlepas dari bahaya permusuhan sesama sendiri. Akhirnya umat Islam kalah bukan kerana kekuatan pihak musuh, tetapi kalah kerana kelemahan diri sendiri.

Umat Islam Malaysia

Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat Allah yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Bagi umat Islam Malaysia, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada dapatlah usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan agama Islam dan penganut-penganutnya. Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting kerana umat Islam di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam keagamaan berbanding dengan apa yang telah dicapai oleh umat Islam di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

Selain dari itu, salah satu dari tujuan perjuangan umat Islam ialah mempastikan kita sentiasa berada di hadapan sebagai pemimpin negara bagi maksud menegakkan keadilan dan kesejahteraan rakyat. Ini penting kerana dunia hari ini memerlukan suatu kepimpinan yang berwibawa dan adil. Demikianlah juga kita rakyat Malaysia. Kita sentiasa yakin bahawa mereka yang bertaqwa dapat mengurus dan memimpin dengan sebaik-baiknya.

Masalahnya ialah apakah kita umat Islam pada masa ini dan akan datang dapat mempastikan suasana aman dan harmoni ini dapat dikekalkan dan mampukah kita berada di hadapan sebagai pemimpin umat? Inilah permasalahan yang perlu kita teliti dan pastikan. Sebenarnya kita optimis sekiranya kita mampu mengatasi halangan-halangan yang boleh merosakkan perpaduan.
Penyebaran akidah yang salah di kalangan umat merupakan salah satu faktor yang boleh memecahbelahkan perpaduan kita. Pada hari ini umumnya masyarakat umat Islam Malaysia berpegang kepada akidah Ahlul Sunnah. Oleh itu, kita mestilah mempastikan supaya pegangan ini dapat diteruskan dan dipertahankan. Keburukan yang berupa perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam akan mudah berlaku jika aspek akidah tidak diberi perhatian yang kemudiannya menyebabkan merebak ajaran atau fahaman yang lain dalam masyarakat. Kemunculan pengaruh aurad Muhammadiah dan lain-lain bentuk kepercayaan karut dalam masyarakat boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan umat Islam sendiri.

Selain dari aspek akidah yang benar yang mesti dipelihara dan dipertahankan, maka bentuk amalan dan ibadat juga mesti diberi perhatian. Aspek Khilafiah hendaklah dielakkan dari menjadi bahan perdebatan yang boleh membawa kepada keretakan hubungan kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Orang-orang yang pandai terutama para ulama mestilah mengelakkan diri dari terperangkap dalam perkara-perkara khilafiah tersebut. Tentulah bijaksana bagi sesiapa jua yang dapat menjaga dan memelihara kebajikan dan kepentingan awam dari kepentingan diri sendiri atau kumpulan masing-masing.
Aspek akhlak atau tingkahlaku umat Islam terutama para ulama mestilah juga mencerminkan akhlak Islam yang sebenarnya iaitu akhlak Rasulullah s.a.w. Maka di atas nilai akhlak yang penting dan perlu dipelihara ialah keterlanjuran lidah, terutama menjaganya dari umpat mengumpat, hina menghina dan sebagainya. Sesungguhnya banyak punca permusuhan dan perkelahian adalah disebabkan pengucapan yang tidak berlandaskan ajaran Islam yang mulia.

Kata-kata yang merendahkan orang lain dan menghinanya dengan bermacam-macam gelaran buruk dan tidak baik akan menambah liarnya seseorang itu dari yang lain. Kata-kata yang menghina, kasar dan kesat tidak mampu mengubah dan menambat hati seseorang. Allah memberi ibarat bahawa kata-kata yang baik itu umpama pokok yang baik yang menghasilkan buahnya yang baik sepanjang tahun. Pengucapan yang menghina ini sering kita dapati dalam majlis-majlis ceramah terutama dalam kempen-kempen pilihanraya. Perbuatan yang tidak baik ini mestilah dihentikan serta merta lebih-lebih lagi bagi mereka yang termasuk dalam golongan ulama.

Tata kelakuan dan gerakgeri masyarakat juga perlu dibentuk supaya selaras dengan ajaran Islam. Tingkahlaku yang kasar tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering menimbulkan rasa benci antara satu sama lain. Oleh itu, dalam usaha membina perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk dan dipelihara. Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu, maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para ulama dan guru-guru perlu menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.

Kita bersyukur kepada Allah, kerana pada masa ini umat Islam di Malaysia dapat berbangga dengan perkembangan Islam di bawah pimpinan Y.A.B. Dato’ Seri Dr.Mahathir bin Mohamad yang mampu meletakkan negara ini setanding dengan negara-negara lain, malah lebih kehadapan dari negara-negara Islam seluruhnya.
Maka apakah kepimpinan Islam seumpama ini mampu dipertahankan pada tahun-tahun yang akan datang?

Sikap kita

Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta berusaha menjaga dan memperelokkannya.
Kita juga mestilah mengajak masyarakat supaya menjauhi gejala-gejala yang boleh membawa perpecahan di samping mengajak mereka berpegang dengan nilai-nilai hidup murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya.
Dan yang paling utama, kita sendiri mestilah memulakan cara hidup Islam yang mulia ini sebelum kita mengharapkan orang lain dapat mengamalkannya.

Penutup

Demikianlah sedikit penjelasan tentang betapa pentingnya perpaduan dalam menetukan kesinambungan kepimpinan Islam dalam negara ini. Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kepimpinan Islam masih belum pasti. Ayuhlah bersama menjayakannya.


Sumber : http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=482

Peringatan Para Ulamak Terhadap bahayanya Wahabi

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Fakir merasakan perlu mahasiswa yang merupakan golongan cendiakawan diberikan penjelasan yang jelas mengenai isu Wahhabi supaya jangan membuat satu2 kenyataan terburu-buru dan hanya berlandaskan beberapa kitab sahaja, tidak melihat kitab-kitab yang lebih muktabar dan lebih dekat dengan Zaman Wahhabi itu sendiri...


Sepatutnya Persatuan Mahasiswa Islam UTM tidak perlu terburu-buru mengeluarkan kenyataan sehingga seolah-olah Wahhabi ini tiada yang salahnya. Sebagai seorang mahasiswa , perlulah manjalankan kajian yang mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan, bukan berlandaskan satu dua kitab sahaja.

Ketahuilah bahawa yang menceritakan bahayanya Wahhabi bukanlah calang-calang ulama - mereka terdiri dari ulama-ulama muktabar di zaman mereka dari kempat-empat mazhab. Adalah satu perkara yang menyedihkan melihat zaman sekarang ini yang ramai menjadi pemidato (berucap atau mengeluarkan kenyataan) tetapi tidak betul2 tahu dan mengkaji.

Al-Imam Muhammad Abu Zahrah r.anhu merupakan pakar Usul Fiqh dan Ulama Besar Al-Azhar, beliau menjalankan kajian terperinci mengenai fahaman Wahhabi, dan apa yang disimpulkan oleh beliau adalah "Kalau Wahhabi ni sesama mereka, tidak ada apa-apa, tetapi kalau fahaman mereka menyebar di tempat lain, berhati-hatilah". Ini dapat dilihat di dalam kitab-kitab beliau seperti Tarikh Al-Najdi.

Al-Imam Sayyid Ahmad Zaini Dahlan r.anhu, Syaikhul Haram merangkap Mufti Mazhab As-Syafi'eyah di Mekkah Al-Mukarramah mengarang begitu banyak kitab menjelaskan tentang penyimpangan Wahhabi di dalam kitabnya "Fitnatul Wahhabiyah", "Al-Futuhatul Islamiyah", "Ad-Durarus San'iyah Fi Ar'Radd 'Ala Wahhabiyah" dan banyak lagi. Sepatutnya sebelum saudara mengeluarkan kenyataan, mengkaji terlebih dahulu mengapa para ulama r.anhum menolak Wahhabi ini.

Demikian juga Al-Imam Ahmad Sowi Al-Maliki r.anhu , alim besar mazhab Maliki yang mengarang kitab tafsir Tafsir Ahmad Sowi Hasyiah 'Ala Tafsir Jalalain. Dalam tafsirnya menyebut, Wahhabi adalah Mazhab Syaitan, mereka menyangka berada di atas kebenaran padahal Syaitan menipu dan menyesatkan mereka. Inilah yang termaktub di dalam kitab tafsir Ahmad Sowi pada cetakan pertama, kedua dan ketiga seperti Cetakan Maktabah wa Matba'ah Isa Al-Babil Halabi wa Syurqa wa Auladuhu Bi Misra (Mesir). Tetapi bila sampai pada cetakan keempat di cetak oleh syarikat percetakan yang ada kepentingan Wahhabi , dibuang kata-kata Imam Ahmad Sowi r.anhu tentang Wahhabi. Satu jenayah ilmiah yang cukup jijik iatu mengubah, menokok nambah atau membuang kata2 pengarang asal kitab. Saudara boleh melihat dengan lebih lanjut pada kitab An-Nasiha Li Ikhwanina Fi Ulama Najd (An Advice To Our Brothers Scholars In Najd) Karangan Al-Faqih Syaikh Sayyid Yusof Hasyim Ar-Rifa'e rah. yang juga merupakan bekas menteri Jordan. Boleh dapatkan softcopy di sini http://www.rifaieonline.com/advice.htm .

Dan Akhir sekali, ana bawakkan kitab siap discan karangan Al-Qadhi Al-Muhaqqiq Syaikh Yusoff bin Ismail An-Nabhani rah (Sape tak kenal boleh klik). (Zaman sekarang ini ramai dah tak kenal ulamak. Hanya kenal yang kat surat khabar, dan TV sahaja. Cukup memalukan bagi mahasiswa sekiranya bersikap seperti ini). Kitab beliau Syawahidul Haq Li Istighathah Bil Khairil Anam SAW. merupakan kitab yang patut dipelajari untuk mengenali Wahhabi. Ini kerana kitab ini telah ditahkik dan diperakui oleh 9 Ulamak-Ulamak Besar Al-Azhar. Mari sama-sama renungkan.







Dikarang akan kitab ini oleh Al-Qadhi Al-Syeikh Yusuf ibn Ismail Al-Nabhani al-Shaf'e rah. (wafat 1350 H). Kitab ini juga telah disemak serta di puji oleh :

1) Al-Allamah Sayyid Ali al-Bablawi al-Maliki - Sheikh Jami' al-Azhar

2) Sheikh Masyaikh al-Hanafiyah Syeikh Abd Qadir al-Rafi'e - Mantan Mufti Mesir
3)Syaikh al-Islam al-Sheikh Abd Rahman al-Sharbini - Sheikh Jami' al-Azhar
4) Hadrah al-Fadhilah al-Fahhamah al-Syaikh Muhammad Bakri al-Sadafi - Mufti Mesir dan ketua ulama Mazhab Hanafi
5) al-Allamah al-Sayyid Ahmad Bek al-Husayni - Alim Mazhab Syafi'e
6) Al-Allamah al-Sheikh Sulayman al-Abd al-Shibrawi - Alim Syafi'e al-Azhar
7) Al-Allamah al-Syeikh Ahmad Hasanain al-Bulaqi - Ulama Syafi'e al-Azhar
8) Al-Allamah al-Sheikh Said al-Muji - Ulama al-Syafi'e al-Azhar
9) Al-Allamah al-Sheikh Muhammad al-Halabi - Ulama al-Syafi'e al-Azhar


Persaksian para ulama terulung ini menunjukkan kedudukan kitab yang dikarang oleh Syaikh Yusuf An-Nabhani rah. . Allah s.w.t. meletakkan kesaksian ulama pada kitab beliau.


Di sini faqir sediakan terjemahan pada m/s 53 kitab ini


peringatan kesembilan

Ketahuilah (saudara pembaca sekalian), bahawa dengan mengemukakan bukti-bukti yang banyak di dalm kitab ini berkaitan pensyariatan Istighathah dan amalan bermusafir untuk menziarahi (maqam) Penghulu segala rasul (alahimus solah was salam) dan membuktikan bahawa ia (ziarah) adalah di antara sedekat-dekat amalan yang mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. , di antara sebaik-baik kebaikan, di antara seafdhal-afdhal kebajikan , di antara ketaatan yang paling sempurna dan di antara seagung-agung wasilah yang diterima di sisi Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. . Aku tidak bermaksud untuk memuaskan dengannya( dalil-dalil ini) pengikut-pengikut Ibnu Taimiyyah daripada kalangan al-Wahabiyyah dan sesiapa yang telah diberi susu bid'ah mereka sejak kecil lagi di kalangan mereka yang mengagumi mereka itu dari golongan-golongan yang ganjil dari mazhab-mazhab yang lain. Sesungguhnya berkenaan mereka itu, hampir-hampir tiada harapan lagi untuk mereka berjaya selepas bid'ah yang buruk ini bercampur dengan darah dan daging mereka dan mengalir bid'ah itu di dalam diri mereka umpama penyakit anjing gila yang terkena pada pesakitnya. Dan Syaitan telah berjaya menguasai mereka seperti seorang budak pintar yang menguasai bola dan bermain dengan bola tersebut sesuka hatinya. Maka bagi orang-orang seumpama itu, tidak dapat digambarkan bahawa apabila mereka mendengar perbahasan (kitabku) ini dalam perkara ini melainkan mereka akan mencari jalan bagaimana untuk berdebat dan bermusuh dan bagaimana untuk menolak hujah-hujah ini dengan dalil-dalil dan tidak terlintas di dalm hati mereka untuk menerima hujah-hujah ini selamanya. Dan hal ini serupa sepertimana yang dikatakan para ulama berkenaan imam mereka Ibnu Taimiyyah dan dua anak muridnya Ibnu al-Qayyim dan Ibnu Abd al-Hadi, dan kamu akan tahu hakikat ini dengan melihat kepada kata-kata mereka -semoga Allah mengafiatkan kita daripada mereka.

Dan sesiapa yang membaca kitab-kitab mereka dengan sifat yang adil dalam perbahasan bid'ah-bid'ah mereka akan menerima hakikat bahawa itulah akhlak mereka dalam perkara ini dan itulah tabiat mereka dan kata-kata mereka itu dalam satu bentuk yang sama dengan tamwih (pemalsuan), talbis (menghias perkara batil), takhyil (mengkhayalkan), tawhim (membuat prasangka) dan tahwil (menakutkan); barangsiapa yang datang selepas mereka dan mengagumi mereka dan berjalan di atas bid'ah-bid'ah mereka, lebih-lebih lagi sekiranya mereka itu dari ahli mazhab mereka seperti golongan al-Wahhabiyyah, bagaimanakah mungkin mereka kembali setelah didirikan hujah ke atas mereka; sesungguhnya bagi hal ini tiada jalan untuknya dan tiadalah bagiku dan bagi selain daripadaku harapan (agar mereka kembali kepada kebenaran);
Ini adalah sepertimana yang dinukilkan oleh al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan di dalam kitabnya yang bertajuk : (Khulasoh al-Kalam fi bayan umara' al-balad al-haram) (yang bermaksud Rumusan Kata-kata pada Menerangkan Pemerintah-pemerintah Baladil Haram) dari al-‘Allamah al-Sayyid Alawi Ibn Ahmad Ibn al-Quthb Abdullah Ibn ‘Alawi al-Haddad yang menyebutnya di dalam kitab yang dikarangnya untuk menolak al-Wahhabiyyah yang dinamakan : (Jala' al-Dhullam fi al-radd ‘ala al-Najdi allazi adhalla al-'Awam) (Terangkatnya Kegelapan dalam Menolak al-Najdi (Muhammad Ibn Abdul Wahhab) yang menyesatkan orang awam), dia menyebut:


“Apabila aku sampai ke Thaif untuk menziarahi maqam Sayyidina Abdullah Ibn ‘Abbas r.anhuma, aku bertemu dengan al-Allamah al-Sheikh Thahir Sunbul Al-hanafi, anak kepada al-‘Allamah al-Sheikh Muhammad Sunbul al-Shafie. Maka dia memberitahuku bahawa dia ada mengarang kitab untuk menolak bid'ah golongan (Wahhabiyyah) ini dan dia menamakan kitab tersebut sebagai: (Al-Intisar li al-Awliya’ al-Abrar) (Kemenangan bagi Wali-wali Allah Yang Soleh), dan dia berkata kepadaku: “Semoga Allah memanfaatkan buku ini sesiapa sahaja yang belum masuk bid’ah al-Najdi (al-Wahhabi) ke dalam hatinya. Dan adapun sesiapa yang telah masuk bid’ah itu ke dalam hatinya, maka tidak diharapkan kejayaannya kerana Sabdaan Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: (Mereka terpancar keluar daripada agama dan kemudian tidak kembali lagi)”. Selesai kata-kata al-Allamah al-Sheikh Thahir Sunbul Al-hanafi.



Dan Imam al-Ghazali telah berkata dalam kitab Ilmu di dalam Ihya’ Ulum al-Din: Dan ahli bid’ah itu apabila dia telah mengetahui perdebatan (bagi mempertahankan bid’ahnya) walaupun sedikit, maka perbincangan dengannya sangat sedikit manfaatnya, sesungguhnya apabila kamu berjaya mendiamkan dia dengan hujah kamu, dia tidak akan meninggalkan mazhabnya, bahkan dia akan mengatakan bahawa itu adalah kerana kekurangan dirinya dan dia menganggap bahawa orang lain (daripada mazhab bid’ahnya itu) mempunyai jawapan yang dia tidak mampu jawab; engkau tidak lain hanyalah mampu mengalahkannya dengan kekuatan perdebatan. Adapun orang yang diberi afiat (keselematan oleh Allah) itu, ialah orang yang terpesong daripada kebenaran dengan sedikit perdebatan, namun dia masih boleh diselamatkan sebelum bertambah kuat taksubnya yang mengikut hawa nafsu, maka apabila bertambah kuat taksubnya, terjadilah putus harapan untuk menyelamatkannya kerana sifat taksub itu menjadi sebab bertambah kukuhnya akidah-akidah sesat dalam diri manusia . Selesai kata-kata Imam al-Ghazali.



Maka dengan sebab itulah, bukan niatku waktu mengarang kitab ini untuk memberi hidayah kepada golongan al-Wahhabiyyah dan golongan seumpama dengannya yang telah bercampur bid’ah yang kotor ini dengan daging dan darah mereka; akan tetapi satu-satunya niatku adalah untuk memberi kefahaman kepada orang-orang Islam daripada mazhab fiqh yang tiga (Hanafi, Maliki & Shafie) secara umum dan orang bermazhab Hanbali yang bukan al-Wahhabiyyah bahawa bid’ah ini adalah bertentangan dengan pegangan jumhur umat Muhammad SAW. Dan aku telah nukilkan pendapat daripada ulama’ mazhab yang empat penolakan dan kejian mereka ke atas Ibn Taymiyyah, bahkan sebahagian daripada ulama’2 yang ulung telah mengkafirkan beliau, walaupun (pengkafiran) itu bukanlah sesuatu yang diredhai dan diterima.
Maka apabila kamu mengetahui perkara ini wahai Muslim Ahli Sunnah daripada mazhab-mazhab Islam (yang muktabar), maka berhati-hatilah kamu daripada penipuan Syaitan atau salah seorang daripada pembantu-pembantunya (Syaitan) yang telah tertahqiq ke atas mereka azab kerugian, dan sungguh ramai golongan yang demikian pada zaman ini; dan mereka menghias bagi kamu bid'ah Taymiyyah Wahhabiyyah yang buruk ini dengan dakwaan-dakwaan ijtihad mutlaq dan meninggalkan taqlid dengan mazhab-mazhab (muktabar) dalam hukum ahkam Syariat; sesungguhnya dalam hal ini ada kemusnahan agama kamu wahai si miskin. Maka bertaqwalah kepada Allah pada diri kamu, dan mintalah pertolongan dari-Nya daripada (tipu daya) Syaitan-syaitan dan sedara-sedara Syaitan.
Dan cukuplah bagi kami Allah, dan Dialah sebaik-baik pemelihara dan Dia-lah yang berfirman dengan kebenaran dan Dia lah yang menunjukkan jalan petunjuk."Selesai petikan kitab .

Barangsiapa yang kurang berpuas hati lagi, boleh berjumpa dengan fakir untuk sama-sama kita bahaskan dalam suasana ukhwah dan atas niat mencari kebenaran. Suka ana ingatkan bahawa jangan jadikan PMIUTM sebagai medium menyampaikan pendapat segelintir orang sahaja (kerana sahabat-sahabat ana dari PMI sendiri pun tidak bersetuju dengan kenyataan yang keluar dari blog PMI).

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Tuesday, November 3, 2009

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN SEBAGAI YDP YADIM

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN SEBAGAI YDP YADIM

Memorandum Kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj

Bertarikh 12 Oktober 2009.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Memorandum bagi pihak majoriti umat Islam Malaysia ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj supaya menarik balik pelantikan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Asri) sebagai Yang Di Pertua YADIM.

Alasan Memorandum ini ialah antara lainnya :-

1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.

2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkalibertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.

3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.

4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.

5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama IslamNegeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.

6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.

7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umatIslam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (beritaberita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahandan beberapa kejadian pergaduhan.

8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam dimalaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, elstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negerinegeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.

9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran danpendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM. Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Ditandatangani oleh:

Mohamad Isa bin Abd RalipPresiden PGSMBertarikh 12 Oktober, 2009

Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini –

1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia

2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan

3. Yayasan Jenderami

4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)

5. Persatuan Peguam Syarie Malysia

6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia

7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)

9. Jemaah Islah malaysia (JIM)

10. Persatuan Ulamak Malaysia

11. Yayasan Paksi Kedah

12. Persatuan Ulamak Kedah

13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

Ayat Majazi dan Hakikat

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Fakir ingin bersama sama berkongsi sedikit tentang ayat-ayat majazi didalam Al-Quran dan Sunnah, kerana telah ada yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang Mulia ini bukan pada tempatnya.

Lihat pada firman Allah Azza Wajalla:

"Maka bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah lah yang emmbunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar"

Ini merupakan ayat hakikat, di mana Allah lah yang membunuh puak kafir itu (dalam peristiwa perang Badar).

Demikian pula sabda Nabi s.a.w.:

"Bukan aku yang membebani kamu, akan tetapi Allah lah yang membebani
kamu.
"

Menyandarkan perbuatan kepada orang yang mengusahakan adalah majazi, bukan haqiqi, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. :

"Tidak akan masuk syurga, seseorang dengan amalnya"

Tetapi pada firman Allah s.w.t. :

"Masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang kamu telah kerjakan."

Ayat Al-Quran ini menerangkan sebab biasa yang sama sekali tidak memberi bekas. Sedangkan hadis pula menerangkan tentang sebab haqiqi, iaitu limpah kurnia Allah.

Ringkasnya, jika anda mengatakan "Ya Allah, tolonglah aku, maksudnya menyandarkan permintaan kepada Allah itu, adalah isnad haqiqi, mengingat Allah lah yang menjadikan dan mengadakan. Dan bila mengucapkan "Ya Rasulullah, tolonglah aku !"

Tentu maksudnya, isnad majazi, memandang dari segi usaha, peranan, dan sebab untuk memperoleh syafaat.

Kalimat-kalimat semacam itu banyak terdapat dalam ungkapan seperti hadis sahih Bukhari tentang orang berhimpun nanti di Padang Mahsyar:

"Dalam keadaan demikian, mereka minta pertolongan kepada nabi Adam a.s. , kemudian kepada Nabi Musa a.s.,....kemudian kepada Nabi Muhammad s.a.w."

Sabda Baginda s.a.w. "mereka minta tolong kepada Adam", adalah isnad majazi, kerana yang diminta tolong itu pada hakikatnya Allah.

Kalangan yang melarang tawassul seolah-olah melarang orang untuk menghormati orang yang dimuliakan Allah, seperti Nabi, Rasul, Malaikat, orang-orang benar (shiddiqin), orang mati syahid dan orang-orang salih.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Haj 32

"Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati."

Dan firman Allah s.w.t. surah Al-Haj 30:

" Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah, maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya."

Di antara yang dimuliakan Allah itu, Kaabah, Hajarul Aswad, makam Ibrahim, Semuanya adalah batu-bata, tetapi Allah s.w.t. menyuruh kita supaya menghormatinya, dengan cara tawaf mengelilinginya, mencium Hajarul Aswad. solat di belakang makam Ibrahim , berhenti berdoa di Hijir Ismail dan pintu Kaabah dan Multazam.Semua pekerjaan kita itu bukanlah bermaksud menyembah benda-benda tersebut. Yang kita sembah hanyalah Allah dan kita tidak boleh percaya bahawa selain Allah ada yang dapat memberi manfaat dan mudarat.

Dalam hal ini terdapat dua hal:

1. Kewajipan menghormati Nabi s.a.w. dan meninggikan martabatnya dari semua makhluk.

2. Meyakini dan beriktikad bahawa Allah Maha Esa , pada zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya.

Barangsiapa mengiktikadkan makhluk ini bersekutu dengan Allah, maka syiriklah ia, sama dengan orang-orang musyrik yang beriktikad ketuhanan pada berhala dan meyakini bahawa berhala-berha;a berhak disembah.

Barangsiapa membatasi ketinggian martabat Nabi s.a.w maka dia telah berbuat maksiat yang dapat menjadi kafir.

Orang yang menghormati Nabi s.a.w. dengan beragam ibadah, dan tidak menyifatinya dengan suatu sifat yang menyerupai sifat Allah, amka dia benar dan tepat.

Apabila dalam ucapan Kaum Muslimin terdapat sesuatu yang disandarkan kepada bukan Allah, maka wajiblah dipertanggungkan kepada 'majaz aqli'. Dan tiada alasan untuk mengkafirkan mereka, sebab ungkapan yang bersifat majaz aqli itu banyak terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Selawat dan Salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) beserta Ahlulbayt dan Para sahabat baginda yang sangat cinta akan mereka itu kepada Umat ini...

Dan segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan Empunya Sekalian Alam, Lagi Maha Penyayang dan Maha Pengasih, Dan kepada-Nya jua kita dikembalikan. tiada Daya Upaya meliankan Allah s.w.t.,

Dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..Jazakallah Khairan Kathira (^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Sunday, November 1, 2009

Perbuatan-Perbuatan Hamba yang diciptakan Allah s.w.t.

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Faqir mengajak saudara kali ini untuk bersama kita melihat kitab Thurath Akidah, merupakan kitab Muktabarah , Silibus Usuluddin Al-Azhar Al-Syarieff, Kitab Tuhfatul Murid Hasyiah 'Ala Matni Jauharatit Tauhid bagi Syaikhul Azhar ke-19 , Al-Allamah Hadrat Al-Imam Ibrahim bin Muhammad Al-Bajuri r.anhu , satu kitab syarah bagi nazham/syair Al-Imam Al-Hujjah Ibrahim Al-Laqqani r.anhu.

Telah berkata Al-Imam Ibrahim Al-Laqqani r.anhu:

"Maka Allahlah yang menciptakan hamba-Nya dan apa-apa yang dia perbuat serta memberikan taufiq kepada siapapun yang Dia kehendaki untuk sampai (kepada redhaNya)"

Maka telah menyimpulkan oleh Syaikhul Azhar Al-Imam Al-Bajuri r.anhu :

Bahawa sesudah para ulama r.anhum sepakat mengenai penciptaan Allah sekalian hamba dan sekalian perbuatan-perbuatan mereka yang idhthirariah, mereka berbeza pendapat di dalam hal perbuatan yang ikhtiariah. Maka kita (Ahlus Sunnah) berkata: "Sesungguhnya Allah yang menciptakannya pula". Dan Muktazilah berkata : "Sesungguhnya hamba itulah yang menciptakannya dengan qudrat yang diciptakan Allah padanya."

Sesuai dengan iktikad Ahlus Sunnah bahawa semua perbuatan hamba yang ikhtiari atau yang idhthirariah, yang baik atau yang buruk adalah diciptakan oleh Allah, maka boleh saja terlintas di hati orang-orang yang masih lemah iman dan pengetahuannya bahawa di antara hujjah hamba nanti adalah dia berkata kepada Allah s.w.t. : "Kenapa Engkau mengazabku sedangkan semuanya adalah perbuatanMu?"

Dan hujjah ini tertolak kerana tidak ada satu pun soalpun yang boleh tertuju kepada Allah s.w.t. sesuai dengan firmanNya:

"Tidaklah Allah ditanya perihal apa yang Dia kerjakan"

Dan bagaimana mungkin ada bagi hamba itu hujjah sedangkan bagi Allah hujjah yang balighah yakni hujjah yang mantap dan kuat. Maka tidaklah ada yang boleh melapangkan dada kita kecuali penyerahan yang semata-mata kepada Allah s.w.t..

Dan mengenai perbuatan yang mana baik dan buruknya adalah diciptakan oleh Allah s.w.t. maka adab kita sebagai hamba adalah tidak menghubungkan kepada Allah s.w.t. kecuali perbuatan yang baik. Maka dihubungkanlah yang baik kepada Allah s.w.t. dan yang jelek kepada diri sendiri dengan jalan kasab (usaha) meski[un dihubungkan juga kepada Allah s.w.t. dengan jalan ijad (penciptaan). Allah s.w.t. berfirman:

"Apa saja yang menimpamu berupa kebaikan maka itu adalah dari Allah, dan apa saja yang menimpa berupa kejelekan maka itu adalah dari dirimu sendiri"

Yakni dirimu sendiri dengan jalan kasab sebagaimana ditafsirkan oleh firman Allah s.w.t.:

"Dan apa saja yang menimpamu berupa musibah maka itu adalah lantaran apa yang telah dikasab yakni diusahakan oleh tangan-tanganmu sendiri"

Adapun firman Allah s.w.t.: "Katakanlah bahawa semuanya itu adalah dari Allah"
Maka kembali kepada hakikat yang sebenarnya. Cubalah perhatikan kepada adabnya Nabi Khidir A.S. di mana beliau berkata sebagaimana tersebut dalam Surah Al-Kahfi:
"Maka Tuhanmu berkehendak agar keduanya menginjak usia dewasa" dan beliau berkata "Maka aku berkehendak untuk merosakkannya".

Pada dua perkataan Nabi Khidir a.s. itu dapat difahami bahawa perbuatan yang baik dihubungkan kepada Allah dan perbuatan yang jelek (yakni merosakkan) dihubungkan kepada dirinya sendiri.

Dan cubalah renungkan perkataan Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s. :

"Dialah Allah yang menciptakan aku lantas Dia memberi petunjuk padaku dan Dialah yang memberi makan dan minum padaku dan jika aku sakit maka Dialah yang menyembuhkanku"

Di sini Nabi Ibrahim a.s. tidak mengatakan "Dan jika Allah memberi sakit kepadaku" melainkan beliau menghubungkan sakit itu kepada diri beliau sendiri kerana yang demikian itulah adab yang baik kepada Allah s.w.t.

Selawat dan Salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) beserta Ahlulbayt dan Para sahabat baginda yang sangat cinta akan mereka itu kepada Umat ini...

Dan segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan Empunya Sekalian Alam, Lagi Maha Penyayang dan Maha Pengasih, Dan kepada-Nya jua kita dikembalikan. tiada Daya Upaya meliankan Allah s.w.t.,

Dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..Jazakallah Khairan Kathira (^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)