Renungan

Wednesday, September 30, 2009

PERINGATAN DARI TUHFATUR RAGHIBIN !!!

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empuanya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Adapun fakir ingin berkongsi dengan saudara akan peringatan peringatan penting dari kitab Tuhfatur Raghibin Fi Bayani Haqiqatil Imanil Mukminin wa Ma Yufsiduhu min Riddatil Murtadin karangan Al-Alim Al-Allamah Al-Syaikh Muhammad Arsyad Al-Banjari rah. (Alim Besar Mazhab Syafi'e dan pengarang kitab fiqh Sabilul Muhtadin) cetakan Maktabah wa Matba'ah Muhammad An-Nahrawi wa Auladuhu , Al-Haramain dengan tahun dicetak 1188 H pada m/s 17, baris 12 dari atas. (Kitab ditalaqqi dan pada simpanan faqir).

"Adapun Kaum Mujassimah, maka setengah daripada mereka itu iktikad bahawa Allah s.w.t. itu jauhar yang maujud dan setengah mereka itu bahawa Allah Ta'ala itu jisim tetapi tiada seperti jisim yang lainnya. (Dan setengah) mereka itu iktikadnya bahawa Allah Ta'ala seperti rupa manusia (dan) setengah mereka itu iktikadnya bahawa ada bagi Allah Ta'ala daging dan darah dan anggota muka dan tangan dan kaki dan jari (Dan) setengah mereka itu iktikadnya ada bagi Allah Ta'ala rupa (tetapi) tiada kami mengetahui betapa rupanya. (Dan) setengah mereka itu iktikadnya bahawa ada bagi Allah Ta'ala datang dan turun dengan Dzat-Nya serta bergerak dan berpindah daripada sesuatu tempat kepada suatu tempat. (Dan setangah) mereka itu iktikadnya bahawa Allah Ta'ala duduk di atas Arasy (Dan setengah) mereka itu iktikadnya bahawa Allah Ta'ala masuk pada Arasy dan Arasy itulah tempat kediaman-Nya. (Syahadan adalah) perpegangan setengah Kaum Mujassimah pada Iktikadnya yang tersebut itu Zahir (ayat) dan hadis yang mutasyabihat dan dinamakan pula Kaum Mujassimah itu Musyabbihah. (Kata Al-Imam Fakhruddin Al-Razi rah.) Yang Mujassimah itu Musyabbihah dan Musyabbihah itu Kafir (kerana) disabitkannya bagi hak Allah Ta'ala berjisim dan akan jisim itulah yang disembahnya. (Dan Barangsiapa) menyembah jisim maka sanya jadi kafir.(kerana) ia menyembah yang lain daripada Allah Ta'ala. (Kata Al-Imam Ahmad bin Hambal r.anhu) barangsiapa mentasbihkan Allah dengan makhluk (maka) sanya jadi kafir.

(Hati-Hati Hai Saudara) pelihara akan dirimu daripada Iktikad dan perkataan dan perbuatan yang Bid'ah (dan) janganlah bersahabat dengan Kaum yang mempunyai Bid'ah lagi Dholalah (dan) janganlah muliakan mereka itu (kerana) Sabda Nabi s.a.w. "barangsiapa memuliakan akan ahli Bid'ah, maka sanya menolongi ia pada meruntuhkan agama Islam" . (telah meriwayatkan akan hadis ini oleh Al-Imam Al-Baihaqi rah." )

Pada m/s 18,

(Soal) apa murad daripada Bid'ah itu?. (Jawab) bahawa murad daripada Bid'ah itu mengadakan dan membaharui suatu pekerjaan yang tiada daripada agama Nabi kita Muhammad s.a.w. sama ada pekerjaan itu Iktikad atau perbuatan (maka) pekerjaan yang diadakan itu jika tiada memberi kemashalatan pada agama (maka) iaitu ada kalanya Haram dan ada kalanya Makrukh (dan) ada kalanya Mubah (dan ) jika ada ia memberi mashalat pada agama (maka) iaitu ada kalanya wajib dan ada kalanya sunat. (maka) dari kerana itulah terbahagi pekerjaan Bid'ah itu atas lima bahagi (seperti) yang diriwayatkan Al-Imam An-Nawawi rah. daripada Al-Sultanul Ulama' Syaikh Izzuddin bin Abdis Salam rah. bahawa (katanya) Bid'ah itu atas lima bahagi."

Tamat petikan Kitab. Maka, marilah saudara kita bersama-sama meperteguhkan akidah kita. Dan, di antara cara kita memahami Akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah adalah dengan mengetahui Iktikad2 golongan yang sesat supaya jelas kepada kita perbezaannya dengan ASWJ.

Semoga Allah s.w.t. terus memperteguhkan kita di atas jalan kebenaran-Nya, sungguh pada akhir zaman ini kebenaran semakin samar-samar, dan pengetahuan Umat Islam kepada sifat Allah s.w.t. semakin merosot dan merudum. Sehingga, fakir kerap kali melihat saudara saudara Islan yang fakir pernah berdiskusi tentang Ilmu yang paling mulia ini tidak mengetahui Asas-asas dalam Tauhid, seperti Takdir (Qada' dan Qadar), (Keadilan Allah s.w.t.), (Kewujudan Allah s.w.t.) dan sebagainya. Padahal, perkara-perkara ini diterangkan di dalam Mukaddimah Kitab Kitab Usul yang besar seperti Matan Jauharatit Tauhid bagi Al-Imam Ibrahim Al-Laqqani rah., Hasyiah Dusuki 'Ala Ummul Barahin (Silibus Usuluddin Al-Azhar As-Syarif) bagi Hadrat Al-Imam As-Sanusi rah, Kifayatul Awwam Fi ma Wajibu Fi Ilmi Kalam (diterjemah dan diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) bagi Al-Syaikh Muhammad bin As-Syafi'e Al-Fudhaily rah. dan lain-lain.

Dan Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian Alam, Tiada berlaku sesuatu melainkan dengan Kehendak-Nya, lagi Maha Mengatur , Maha Kuasa , Tiada Daya Upaya melainkan Allah Azza Wajalla, Dan Allah s.w.t. Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Allah s.w.t. jua Yang Maha Mengetahui...

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment