Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Kali ini faqir ingin berkongsi dengan saudara yang dikasihi akan sya'ir berunsur nasihat yang cukup indah yang dikarang akandia oleh Allamah Syaikh Raja Ali Haji Al-Haj bin Raja Haji Ahmad Riau, Semoga Allah Subhanu wa Ta'ala meredhai beliau, di akhir kitabnya "sumratul muhimmah dhiyafatun liumara wal kibriya' li ahlil mahkamah". Dengarkan olehmu hai saudaraku, semoga dapat pengajaran juga bagi kita.
p/s (ada beberapa ayat yang ana pun kurang faham maksudnya disebabkan kekurangan dan kebodohan diri ini. Maaf.)
Inilah ia Sya'ir
Dengar olehmu,
Tamatlah kitab dikarang orang * aqalnya pedek ilmunya kurang
daripada sangat hajatku karang * diperbuat juga sebarang-barang
melepaskan hati yang terbuku * pengajaran kepada sekalian anakku
mudah-mudahan betul tingkah dan laku * perangai yang baik biar terpaku
dengarkan tuan Ayahanda berperi * kepada Anakanda muda bistari
nasihat kebajikan Ayahanda beri * amalkan jangan malas dan ngari
ayuhai Anakanda muda remaja * Jika Anakanda menjadi raja
hati yang betul hendak disahaja * serta rajin pada bekerja
kerja kebajikan janganlah malas * zahir dan batin janganlah culas
jernihkan hati hendaklah ikhlas * seperti air di dalam gelas
menuntut ilmu janganlah segan * ilmu yang benar jangan yang bukan
iaitu ilmu yang kebajikan * di kitab ini sudah disebutkan
hendaklah anakanda mengaji selalu * dari yang lain lebihkan dulu
had syarak jangan dilalu * tidaklah Anakanda beroleh malu
segala perbuatan dengan berilmu * maka kebajikan boleh bertemu
Jika sebarang-barang diramu * akhirnya Anakanda jatuh tersemu
ilmu itu besar faedahnya * membezakan haq dengan bathilnya
mengetahui rakyat benar salahnya * supaya dihukumkan dengan adilnya
Jika ilmu tidak diendah * sebab Anakanda cepat permudah
rakyat datang membawa gundah * Anakanda tercengang tidak tengadah
hendak menghukumkan tiada tahu * hendak diam hati tak mahu
berpeluk tubuh tangan ke bahu * mengeluh mengucap mengata Allahu
terkadang duduk mendiamkan diri * sepatah tidak mengeluarkan peri
penat duduk bangkit berdiri * lalu masuk ke dalam puri
orang berdakwa duduk menanti * serta dengan bersakit hati
hairan takjub tidak mengerti * sebab bicaranya belumlah pasti
terkadang dihukumkan dengan bodoh * bukannya syarak bukannya adah
ambil lekas jalan yang mudah * supaya jangan berhenti gundah
jika demikian apa jadinya * hukum tak betul dengan jalannya
di hadapan majlis diterimanya * di belakang kelak di umpatnya
jika yang benar kita hukumkan * di belakang jangan kita hiraukan
umpat dan puji kita biarkan * kepada Allah kita saksikan.
Tamatlah fasal pertama, sya'ir Syaikh Raja Haji Ali Al-Haj ini 5 fasal lagi , setiap fasalnya itu mengandungi nasihat-nasihat yang indah-indah dan menginsafkan serta melembutkan hati siapa yang membacanya apatah lagi sekiranya didendangkan dengan sya'ir melayu lama. Semoga Allah SWT membalas Syaikh Raja Ali Haji Al-Haj dengan sebanyak-banyak kebaikan. Amin.
Wallahu Yahdi ila sawaissabil...
Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,
Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..
Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)
Al-Faqir wal Haqir indallah,
Salim Azham (MSA)
No comments:
Post a Comment