Renungan

Thursday, September 30, 2010

Sebab-Sebab Aqidah Al-Asya'irah Masih Relevan Di Malaysia

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...

Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Kali ini faqir ingin berkongsi dengan saudara yang tercinta akan buku SEMINAR PEMANTAPAN SAHSIAH PEMEGANG - PEMEGANG TAULIAH MENGAJAR AGAMA ISLAM TAHUN 2009 yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Siapa-siapa yang berminat bolehlah mengambil dari faqir, tapi fotostat jerlah, sebab yang ori punya dah takder. Faqir ingin mengambil perhatian Ikhwan yang dikasihi akan kertas kerja yang disampaikan oleh Al-Fadhilah Syaikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki dalam Seminat tersebut pada Hari Sabtu (20 Jun 2009) pada fasal Sebab-sebab Aqidah Al-Asya'irah masih relevan di Malaysia , demikian teksnya :

5.1 Aqidah Al-Asya'irah ialah Aqidah yang dipusakai daripada Rasulullah SAW, dan bukannya aqidah rekaan.

Maka sudah tentu, ia relevan digunapakaipada setiap masa dan tempat seperti relevannya Quran dan Hadith menjadi pegangan Umat Islam sehingga Hari Kiamat.

Imam Abu Al Hasan Al Asy'ari Radiyallahu'anhu pernah menegaskan mengenainya : "Agama yang kami anuti adalah agama yang berpegang dengan Kitab Allah, Tuhan kami, Sunnah Nabi kami dan apa yang diriwayatkan daripada sahabat, tabi'in dan imam-imam hadith." (1)

Pendapat yang mengatakan Imam Abu al Hasan al Asy'ari mereka mazhabnya sendiri merupakan dakyah palsu yang tidak berlandaskan kepada fakta dan hanya bertujuan mencetuskan keraguan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Pendapat ini juga telah disangkal oleh ramai Ulamak. Di antaranya sebagaimana disebut dalam kitab al Mazahib Tauhidiah wa al Falsafaat al Mu'asirah karangan Fadhilah Syaikh Prof. Dr. Sa'id Muhammad Ramadhan al Buti pada halaman 106 :

"Tidak pernah al Asy'ari r.anhu mereka-reka mazhab, bahkan beliau merupakan seorang pejuang dan penolong mazhab Ahli Sunah wal Jama'ah."

Beliau berkata lagi , "sebahagian manusia menyangka bahawa Imam al-Asy'ari mereka untuk dirinya mazhab dalam perkara aqidah dan mengarangnya di dalam kitab-kitabnya . kemudian beliau mengajak orang lain mengikut mazhab rekaannya. Apabila beliau telah berjaya menghimpunkan ramai manusia di atas mazhab tersebut, maka mereka menisbahkan mazhab itu kepadanya kerana mengambil perkataannya."

Kenyataan di atas dijawab oleh beliau dengan katanya "Ini pada hakikatnya adalah suatu keraguan yang besar. Imam al Asy'ari tidak pernah mereka untuk dirinya satu mazhab atau pendapat. Bahkan, beliau menjuruskan pandangannya kepada iqtikad yang dipercayai oleh rijal Sunnah dan hadith bersama-sama mereka ialah para fuqaha' yang bekerja keras mempelajari hukum hakam Syariah dalam Ilmu Usuluddin. Ia adalah I'tiqad yang mereka warisi daripada generasi Tabi'ien. Generasi Tabi'en ini pula mewarisinya daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang mengambil daripada nas-nas Al Quran dan Hadith."

Ibnu Al-Subki (yakni Al-Imam Tajuddin Al-Subki Radiyallahu'anhu) berkata di dalam Tabaqat al Syafi'iyyah :

"Ketahuilah bahawa Abu al Hasan al Asy'ari tidak mereka suatu pendapat dan tidak menubuhkan suatu mazhab, tetapi beliau hanya menetapkan atau meperakui mazhab Salaf dan mempertahankan apa yang pernah dipegang oleh Sahabat Rasulullah SAW. Ia dinisbahkan kepadanya hanya kerana beliau telah mengikatnya di atas jalan Salaf dan berpegang dengannya serta menegakkan hujjah-hujjah dan dalil-dalil di atasnya. Maka jadilah orang yang mengikut perjalanan ini dinamakan Asy'ari." (2)

Oleh kerana itu, kita melihat aqidah Ahli Sunnah wal Jama'ah yang sebenar ini masih diguna pakai sehingga ke hari ini dan inilah aqidah yang menjadi pegangan sarjana Islam dan jaguh-jaguh Ulamak semenjak berkurun lamanya.

Sebagaimana dimaklumi, pengikut mazhab al Asy'ari juga terdiri daripada kalangan ilmuwan, ahli hadith dan mujtahidin. Memadailah disebut beberapa orang dari kalangan mereka............(Walaupun Syaikh Fuad menyebut "memadai dengan menyebut beberapa nama", tetapi faqir tidak masukkan di sini senarai nama-nama tersebut kerana terlalu panjang senarainya, nescaya akan jadi panjang note ini, cukuplah dengan nama Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, Imam Al-Baihaqi, Imam Al-Ghazali dan Imam Nawawi sudah membuatkan kita mengetahui keutamaan aqidah asy'ari di sisi mereka dan betapa pentingnya kita yang jauh berada di bawah maqam mereka untuk turut sama berpegang teguh dengannya di saat akhir zaman ini, bermacam-macam fahaman timbul dengan bertopengkan slogan dan kata-kata yang menarik hati.)

(selanjutnya, setelah Syaikh Fuad menyebutkan beberapa nama Ulamak-Ulamak di dalam Mazhab Asy'ari)...Begitu juga dengan jumhur Ulamak al Azhar dan pendirian al Azhar sendiri berpegang dengan Mazhab al Asy'ari dalam bidang aqidah. Oleh kerana itu, al Azhar telah menetapkan hanya kitab-kitab yang mengikut ajaran al Asya'irah yang boleh dijadikan silibus pembejaran Tauhid di al Azhar. Mereka menjadikan kitab Tuhfah al Murid 'ala Jauharah al tauhid karya Imam Ibrahim al Baijuri Radiyallahu'anhu sebagai silibus di Ma'had al Azhar dan institusi pengajian yang diiktiraf oleh al Azhar di seluruh dunia Islam termasuk Malaysia.

Menurut guru kami, Prof. Dr. Ali Jum'ah, Mufti Mesir, ini disebabkan Mazhab al Asya'irah adalah mazhab yang haq dan pengikutnya adalah ahli kebenaran. Justeru, ia masih relevan dijadikan silibus pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi terkenal seperti Universiti al Azhar di Mesir, Universiti Zaitun di Tunisia dan Universiti Qairuwan di Morocco. (3)

Syaikh Soleh ibn Muhammad al Ja'fari, Imam Besar Masjid al Azhar dan juga Lisan al Azhar, menyatakan bahawa Ulamak al Azhar menyatakan wajib bagi umat Islam awam mengikut imam yang empat di dalam pegangan feqah mereka. Terutamanya, bagi orang yang tidak mempelajari Kitab dan Sunnah dan tidak mengetahui petunjuk dari al Quran. Begitu juga wajib ke atas setiap individu Muslim mengikut mazhab al Asy'ari dalam aqidah ketauhidan mereka. (4)

Ia juga merupakan pegangan aqidah bagi semua institusi pondok di Nusantara. Mereka menjadikan kitab-kitab tauhid al Asya'irah sebagai subjek pengajian yeng terdiri daripada dua versi: Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Anata kitab yang ditulis di dalam Bahasa Melayu ialah kitab al Durr al Thamin karangan Syaikh Daud ibn Abdullah al Fathoni Radioyallahu'anhu dan kitab Zahrah al Murid fi Bayan Kalimah al Tauhid karangan Syaikh Abdus Samad al Falimbani Radiyallahu'anhu.

Manakala Kitab yang ditulis dalam Bahasa Arab ialah Tahqiq al Maqam fi Kifayah al Awam dan Tuhfah al Murid 'ala Jauharah al Tauhid, karangan Syaikh Ibrahim al Baijuri Radiyallahu'anhu, wafat pada tahun 1272H.

Tamat.

Nota kaki:

(1) Muhammad Sa'id Ramadhan al Buti, al mazahib al Tauhidiah wa al Falsafaat al Mu'al Mu'asirah

(2) Taj al Din Abdul Wahhab ibn Ali ibn Abdul Kafi al Subki (W 771H) Tabaqaat a; Syafi'iyyah al Kubra (2/263)

(3) Lihat Hamdan al Sinan dan Fauzi al 'Anjari, Ahlu Sunnah al Asya'irah, H 19.

(4) Syaikh Soleh ibn Muhammad al Ja'fari, al Sirah al Nabawiyyah H : 83-84.

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakatuh.....

    alhamdulillah... perkongsian ilmu yang baik. Ilmu sekarang patut dianalisis supaya tidak tersalah.

    ReplyDelete