Renungan

Wednesday, October 6, 2010

Titisan Embun yang Jernih pada Merenungi Nasihat Yang Meruntun Hati oleh Al-Imam Al-Harith bin Asad Al-Muhasibi Radiyallahu'anhu

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Fakir ingin berkongsi dengan saudara tercinta akan Kitab Risalah Mustarsyidin (Risalah Buat Mereka Yang Mencari Petunjuk Allah), diterjemahkan oleh Al-Fadhil Ustaz Esa Bin Deraman, Yang lebih dikenali sebagai Tokku Pasir Gudang. Marilah bersama-sama muhasabah akan diri ini yang sangat berhajat kepada Ampunan dan Rahmat Allah SWT dengan merenungi nasihat dari seorang yang selalu muhasabah dirinya sehingga digelar Al-Muhasibi oleh manusia di zamannya, iaitulah Al-Imam Al-Harith bin Asad Al-Muhasibi Radiyallahu'anhu. Ada disebutkan oleh Almarhum Al-Muhaddith Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah Radiyallahu'anhu, bahawa Imam Ahmad Ibn Hambal Radiyallahu'anhu pernah menghadiri majlis ilmu beliau sehingga menangis dan pengsan kerana kesan percakapan yang menusuk kalbu yang dilontarkan oleh Al-Imam Al-Muhasibi Radiyallahu'anhu. Antara Nasihat Al-Imam Al-Harith Al-Muhasibi di dalam kitabnya :

Hendaklah engkau sentiasa berhati-hati pada perkara-perkara kegopohan, dan berakhlak mulia dalam pergaulan, dan janganlah kamu marah kepada orang lain demi kepentinganmu, dan marahlah kerana Allah SWT atas diri engkau, dan janganlah engkau membalas seseorang dengan kejahatan, dan berhati-hatilah daripada pujian orang yang jahil terhadap dirinya, dan janganlah kamu menerimanya daripada sesiapa pun. Kurangkan ketawa, dan hindarilah gurauan.

Sembunyikan rasa sakitmu, dan tunjukkan maruah peribadimu, simpanlah kepercayaan engkau kepada Allah SWT dalam hatimu dengan penuh keyakinan, dan hendaklah engkau merasakan rasa putus asa kepada manusia dan peliharalah kefakiranmu, dan bersabarlah atas apa yang menimpamu, dan redhalah atas dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepadamu, dan sentiasalah yakin dengan janji Allah SWT, dan takutlah akan ancaman-Nya, dan jangan engkau bersusah payah untuk mendapatkan sesuatu yang telah engkau dicukupkan dengannya, dan janganlah engkau mensia-siakan sesuatu yang engkau diamanahkan untuk mendapatkannya, dan sentiasalah mengharapkan Allah SWT pada semua pemberian-Nya, dan carilah keselamatn daripada-Nya.

Maafkan orang yang menzalimimu, dan berikan kepada orang yang bakhil kepadamu, dan hubungkan silaturrahim orang yang memutuskannya, dan utamakan hak Allah SWT sesiapa yang mencintaimu, dan korbankan dirimu dan hartamu kepada saudara-saudaramu, dan peliharalah hak-hak Allah SWT dalam agamamu, dan jangan kamu merasa besar kebaikan yang engkau lakukan pada pandangan kedua matamu, dan janganlah engkau memperkecilkan kejahatan yang kecil engkau lakukan, dan sentiasalah engkau bijak dalam mengetahui akan penyakit dan kotoran hati. Sesungguhnya bagi Allah SWT itu seksaan-seksaan yang menanti.

Awaslah dengan ilmu yang sekadar menjadi hiasan, sebagaimana engkau sentiasa berawas dengan sifat ujub di dalam amalan, dan janganlah sesuatu yang engkau yakini dalam hatimu daripada adab (kebaikan) dikurangkan atas dirimu dengan zahir pengetahuanmu.......

Elakkan banyak bersumpah walaupun engkau benar, dan janganlah engkau bertengkar sekalipun engkau betul, dan jauhilah banyak berkata-kata walaupun engkau seorang petah, dan hindarilah sikap takallauf (menyusahkan) dalam agama walaupun kamu alim dengannya. Dahulukan ilmu sebelum bercakap.........

Jangan engkau bertutur dengan orang yang tidak mahu mendengarnya, dan jangan kamu berikan agama kepada orang yang menanamkan kebenciannya kepadamu, dan jangan kamu dedahkan dirimu kepada ujian yang engkau tidak mampu hadapinya, muliakan dirimu dihadapan orang yang menghinanya, sucikan keazamanmu dengan menjauhi keburukan akhlak, dan jangan bersahabat melainkan dengan orang yang bersikap amanah......

Berhati-hatilah dengan perasaanmu yang merasakan kedudukan yang mulia di sisi-Nya. Dan menolak kebenaran dengan menghina manusia. Jauhilah rasa takut dipandang rendah oleh manusia dengan takut kepada kemurkaan Allah SWT kepada engkau. ....

Dan lihatlah betapa permurahnya Allah SWT kepadamu walaupun engkau menderhakai-Nya., dan kelembutan-Nya kepadamu walaupun engkau lupa untuk mengingati-Nya, dan Allah SWT menutup keaibanmu sedangkan engkau tidak malu kepada-Nya, Dia tidak perlukan kamu sedangkan engkau amat mengharapkan-Nya.....

Dan ketahuilah bahawa sebagaimana cahaya di waktu siang tidak akan membantu orang yang buta matanya, demikian juga tidak akan diperolehi cahaya ilmu melainkan orang yang bertakwa....

Dan ketahuilah bahawa tiada jalan yang lebih hampir daripada sifat benar, tiada petunjuk yang lebih berjaya daripada ilmu, dan tiada bekal yang paling baik selain takwa.

Tamat..

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)

P/S : Tidak lupa juga buat saudara/i yang mendoakan ana pada hari jadi ana , Semoga Allah SWT membalas antum dengan sebanyak-banyak kebaikan..Amin (^_^)

No comments:

Post a Comment