Renungan

Tuesday, March 2, 2010

Mengapa Kita mengikut Al-Imam Abu Hasan Ali Al-Asya'ari r.anhu

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin


Amma Ba'du,


Ketahuilah !! bahawasanya Al-Imam Abu hasan Ali-Asya'ari r.anhu hanya menyusun semula aqidah Ahlussunnah wal jama'ah dikalangan para sahabat dan ulama-ulama yang sebelum dan sezaman dengannya. tetapi tidaklah Al-Imam Abu hasan Ali Al-Asya'ari r.anhu membuat fahaman yang baru.

Al-Imam Abdul Qahir Al-Baghdadi r.anhu didalam kitabnya Al-Farqu Bayna Al-Firaq, m/s 332 mengatakan :

"Orang yang mula-mula membicarakan tentang ilmu kalam (ketuhanan) di kalangan sahabat adalah Sayyidina Ali ibn Abi Talib Kwh. yang menentang Khawarij dan menentang Al-Qadariah. Diikuti oleh Sayyidina Abdullah ibn Umar r.anhu yang bertentang pendapat dengan Ma'abad al-Juhaini. Manakala orang yang mula-mula membicarakan tentang Ketuhanan dikalangan Tabi'in ialah Sayyidina Umar bin Abdul Aziz r.anhu, Al-Imam Ali bin Zainal Abidin r.anhu, Al-Imam Hassan Al-Basri r.anhu, Al-Imam Al-Zuhri r.anhu, Al-Imam Ja'afar As-Sadiq r.anhu, Al-Imam Abu Hanfah r.anhu, Al-Imam Ibn Shuraij r.anhu dan lain-lain.."

Selepas dari rangkaian ini, bangunlah Al-Imam Abu hasan Ali Al-Asya'ari r.anhu dan murid-muridnya membicarakan soal ketuhanan di bawah acuan Ahlisunnah wal jama'ah. Berkata Al-Imam Al-Hafiz As-Subky r.anhu di dalam kitab Tabaqat Al-Syafi'iyyah Al-Kubro, m/s 367, :

"Abu hasan bukanlah orang yang mula-mula membicarakan tentang Ahlussunnah. bahkan ia (Ahlussunnah) telah diperkatakan oleh tokoh-tokoh terdahulu daripadanya."

Al-Imam As-Subki r.anhu mengatakan dalam kitabnya yang sama :

"Ketahuilah bahawa Al-Imam Abu Hasan Ali Al-Asya'ari r.anhu tidak mendatangakan pandangan baru, dan tidak pula beliau membuat mazhab yang baru, akan tetapi beliau datang mempersetujui mazhab salaf yang selari dengan aqidah para sahabat Nabi , maka menyandangkan pneyusunan hujah yang cukup hebat bagi mempertahankan aqidah sebenar."

Tersebut juga dalam kitab tafsir Al-Bayan'an Takwil Al-Quran oleh Al-Imam At-Tabari r.anhu , pada juzuk 4, m/s 622, bahawa Allah SWT berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad dari agamanya (Islam), maka Allah mendatangkan satu kaum yang mana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang beriman dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela, itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya" (Al-Maidah :54)

Maka setelah diturunkan ayat ini , Rasulullah SAW menepuk bahu Sayydina Abu Musa Al-Asya'ari r.anhu . Al-Imam Al-Zarkasyi r.anhu dalam Tasynif Al-Masaami' menuliskan bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada Sayyidina Abu Musa Al-Asya'ari r.anhu sambil meletajkkan tangannya yang mulia ke atas bahunya : "Katakanlah olehmu "la hau la wala qua ta illa"." Lalu dikatakan olehnya : "la hau la wala qua ta illa.". Maka sabda Nabi SAW :

"Engkau telah dianugerahkan suatu perbendaharaan daripada syurga"

Berkata Para ulamak r.anhum : "Perbendaharaan itu adalah suatu yang tinggal selepas kematian tuannya." Maka difahamkan daripada hadith ini bahawa "perbendaharaan" itu adalah menunjukkan kepada yang lahir daripada tulang belakang Sayydina Abu Musa r.anhu iaitu Al-Imam Abu Hasan r.anhu yang menangkis hujjah-hujjah golongan yang sesat.

Telah berkata ketua para Qadhi di zamannya, Al-Imam Tajuddin As-Subki r.anhu , "Dan mereka golongan Hanafiyyah, As-Syafi'iyyah, Al-malikiyyah, dan ulamak tersohor daripada Hanabilah, mereka semuanya dalam aqidah seolah-olah satu genggaman dengan pandangan Ahlussunnah wal jama'ah , cara yang dipilih oleh Syaikh Sunnah Imam Abu Hasan Al-Aysa'ari. Dan secara umumnya aqidah Asya'irah ini juga merupakan apa yang telah disampaikan oleh Imam Abu ja'afar At-Thahawi r.anhu yang mana seluruh ulamak telah menerimanya."

Rujukan :

1. I'tiqad Ahlussunnah wal jama'ah oleh Kiyai Haji Sirajuddin Abbas

2. Muzakkirat at-Tauhid wal Firaq oleh Syaikh Hasan As-Saiyyid Mutawwali, m/s 18 - 20

3. Kitab At-Tauhid lil Maahad Johor, Malizia oleh Syaikh Salam bin Haji Abdul Rahman, juzuk 1 , m/s 9 - 10

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment