Renungan

Saturday, January 15, 2011

Penjelasan terhadap "dosa" yang dinisbahkan kepada Junjungan Rasulullah SAW di dalam Al-Quran

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Kali ini faqir ingin berkongsi dengan saudara/i yang dikasihi akan beberapa manfaat yang faqir dapati dari kitab Insan Kamil karangan Al-Muhaddith Syaikh Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alwi ibn Abbas Al-Maliki Radiyallahu'anhu. Melihat wajahnya cukup untuk menghadirkan kerinduan untuk berjumpa dengannya. Semoga Allah SWT menempati beliau di syurga bersama-sama kekasihnya, Sayyidina wa Maulana Muhammad Shallallahu 'Alaihi wa Sallam.

Pada fasal "tentang dosa yang dinisbahkan kepada Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam'

Firman Allah SWT :

"Supaya Allah memberikan ampun kepadamu, terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang"

(Surah Al-Fath :2)

Sepintas lalu, ayat ini menyimpulkan pengertian adanya dosa yang dilakukan oleh Nabi SAW kerana keampunan biasanya sesudah dosa yang terjadi, yang demikian itu pula pendapat sebahagian ulamak. Bahkan menurut mereka, bahawa dosa-dosa kecil boleh terjadi dan dilakukan oleh Nabi SAW , dengan alasan baik dari Al-Quran mahupun Hadis, yang bila dilihat selayang pandang akan menunjukkan erti yang demikian. Ayat-ayat itu adalah :

Firman Allah SWT : "Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu" (Surah Alaam Nasyrah : 2)

Firman Allah SWT : "Semoga Allah memaafkanmu, mengapa kamu memberi izin kepada mereka untuk tidak pergi berperang." (Surah At-Taubah :43)

Firman Allah SWT : "Kalaus sekiranya tidak ada ketetapan yang terdahulu dari Allah, niscaya kamu ditimpa siksaan yang besar kerana keputusan yang kamu ambil ." (Surah Al-Anfal :68)

Firman Allah SWT : "Dia bermuka masam dan berpaling, kerana datang seorang buta kepadanya." (Surah Abasa : 1-2)

Beberapa Hadis yang berkaitan pula :

1. Doa Nabi SAW : "Ya Allah, ampunilah dosaku yang terdahulu dan yang akan datang, yang saya rahsiakan dan saya nyatakan."

2. "bahawasanya hatiku terselubung, maka aku minta ampun kepada Allah."

3. "bahawasanya aku meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih 70 kali."

Tentang ayat : "supaya Allah memberi ampun kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang" (Surah Al-Fath : 2). Al-Qadhi Iyadh Radiyallahu'anhu telah memberikan beberapa ulasan di antaranya beliau berkata :

Yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah umatnya atau apa yang terjadi dari Nabi SAW kerana lupa dalam berijtihad menakwilkan sesuatu. "ampun" dalam ayat tersebut beerti dibersihkannya Baginda dari segala cacat dan cela.

Menurut para ahli Asbabun Nuzul atau sebab musabab turunnya ayat itu : tatkala Nabi SAW diperintahkan oleh Tuhan agar mengatakan seperti dalam firman-Nya :

"Dan aku tidak mengetahui apa yang akan diperbuat terhadapku, dan tidak pula terhadapmu, aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku dan aku tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan yang jelas." (Surah Al-Ahgaf: 9)

Maka golongan musyrikin menjadi riang gembira , maka Allah menurunkan kepadanya ayat tersebut. Dengan demikian, ayat itu beerti bahawa Hai Muhammad, diampuni dan tak akan dipersalahkan kerana sesuatu dosa seandainya dosa itu ada padamu.

Ulasan yang cukup baik pula telah dikemukakan oleh Syaikh Abdul Aziz As-Sabbagh Radiyallahu'anhu tentang ayat itu yang kesimpulannya sebagai berikut : bahawa dosa dalam ayat (supaya Allah memberi ampun kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan akan datang) bukan dosa dalam ertinya yang harfiyah, akan tetapi kegelapan selubung atau hijab yang memang ada dari asal kejadian manusia, sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah dari unsur tanah. Maksud (daripada yang lalu dan akan datang) pula ialah hilang lenyapnya kegelapan selubung itu yang diiringi dengan kurnia musyahadah atau tidak melihat melainkan dengan apa yang benar dan tidak membawa melainkan kebenaran semata.

Dan pertanyaan yang mungkin timbul, sehubungan dengan masalah ini ialah kenapakah Allah SWT memerintahkan kepada Nabi SAW agar meminta ampun dari-Nya walhal telah dinyatakan dengan tegas oleh Allah SWT bahawa dosa Baginda telah habis bersih diampuni oleh-Nya ? Dan lagi , mengapakah Baginda selalu memohon ampun, bertaubat dan sebagainya yang dinyatakan dalam beberapa hadis dan doa-doa Baginda ?.

Nabi Muhammad SAW sentiasa beristighfar, memohon keampunan daripada Allah SWT kerana rasa rendah diri Baginda serta menunjukkan pengabdian Baginda semata kerana Allah Ta'ala. Baginda mensyukuri nikmat yang dilimpahi kepada Baginda disamping tiada rasa bangga dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada Baginda selama ini. Juga untuk dijadikan pelajaran dan teladan untuk dicontohi oleh umat-umat Baginda. Dalam mensyukuri nikmat yang diberikan itu, kita hendaklah beramal sebanyak-banyaknya dan ikhlaskan niat kepada Allah semata. Bukankah Baginda pernah bersabda dalam sebuah Hadis maksudnya : Tidakkah aku seharusnya menjadi hamba Allah yang banyak bersyukur ?

Dan sebagai tambahan, Al-Imam As-Syazily Radiyallahu'anhu berkata : Aku telah mendengar Hadis Nabi SAW "Bahawasanya hatiku terselubung, maka aku meminta ampun dalam sehari 70 kali". Mulanya pengertian hadis itu belum jelas bagiku, dan tetap merupakan masalah yang musykil, maka aku melihat Rasulullah SAW dalam mimpi dan Baginda lalu bersabda kepadaku : Hai Mubarak, itu adalah selubungku, bukan selubung yang lainnya.

Tamat.

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment