Renungan

Wednesday, January 19, 2011

Simpulan Iman bagi Mengikat Hati yang Was-was pada Penjelasan Qadha' dan Qadar atas Permata Yang Tunggal !!!

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Kali ini faqir ingin mengajak saudara/i yang dikasihi akan beberapa sayarahan yang berharga oleh Al-Imam Syaikh Al-Islam Ibrahim bin Muhammad Al-Bajuri, Sayikhul Azhar ke-17 atas Matan Jauharah At-Tauhid bagi Pakar Usuluddin di Zamannya, Imam rujukan umat, Allamah Syaikh Ibrahim Al-Laqqani Radiyallahu'anhuma.

Mula dari lima baris dari atas (qauluhu wawajibun imanuna ..ila akhir)

Terjemahan dalam kata yang mudah difahami :

(Dan wajib kita beriman dengan qadar dan qadha' kerana ada keterangan yang datang di dalam hadith) Tujuan musannif [yakni Tuan pengarang matan iaitu syaikh al-laqqani] dengan bait ini adalah menolak atas Qadariyyah yang menafikan Qadar dan menyangka bahawa Allah tidak pernah mentaqdirkan segala perkara pada azal dan mereka berkata bahawa perkara itu dimulai oleh Allah dengan ilmu pada ketika terjadinya.

Mereka itu dilaqobi [digelar] dengan Qadariyah adalah kerana mereka menceburkan diri dalam hal Qadar (taqdir) di mana mereka terlampau berlebihan di dalam menafikannya. Dan tidaklah dikatakan bahawa orang yang menetapkan qadar lebih berhak untuk dinisbahkan kepadanya (Qadariyah) kerana kita berpendapat bahawa sebagaimana sah menisbahkan orang yang menetapkan Qadar kepadanya, sah juga menisbahkan orang yang menafikannya jika dia berlebih-lebihan di dalam penafiannya itu.

Dan orang-orang itu telah lenyap sebelum lahirnya Imam Syafi'e Radiyallahu'anhu. Adapun Qadariyah yang menisbahkan perbuatan - perbuatan hamba kepada Qadar (kemampuan) mereka beserta keadaan mereka itu sepakat bahawa Allah Ta'ala mengetahui dengan perbuatan-perbuatan hamba sebelum terjadinya maka telah terdahulu penolakan atas mereka di dalam bait "Maka Allah lah yang menjadikan hamba-Nya dan apa-apa yang mereka perbuat".

Golongan Qadariyah terbahagi kepada dua :

1. Qadariyah yang mengingkari terdahulunya Ilmu Allah Ta'ala dengan segala sesuatu sebelum terjadinya dan yang menceburkan diri ke dalam qadar di mana mereka terlalu berlebihan di dalam menafikannya.

2. Qadariyah yang menisbahkan perbuatan-perbuatan hamba kepada qadar mereka. Dan mazhab ini meskipun termasuk mazhab yang bathil adalah lebih ringan dari mazhab yang pertama kerana yang pertama itu telah kafir.

Dan iman terhadap qadha' dan qadar keredhaan dengan keduanya. Maka wajiblah redha dengan qadha' dan qadar. Dan ini mengandungi kemusykilan bahawa lazim atas yang demikian itu redha dengan kekafiran dan kemaksiatan kerana sesungguhnya Allah telah mengqadha' dan mentaqdirkan keduanya itu atas seseorang , sedangkan redha dengan kekafiran itu kafir dan redha dengan kemaksiatan itu maksiat.

Dan dijawab kemusykilan ini dengan apa yang telah dikatakan Sa'dy bahawa kekafiran dan kemaksiatan adalah muqdha dan muqaddar (sesuatu yang diqadha' dan ditaqdirkan), bukan qadha' dan qadar sedangkan wajib redha dengannya hanyalah qadha' dan qadar bukan muqdha dan muqaddar. Namun pada jawapan ini terdapat kemusykilan lagi kerana tidak ada makna bagi keredhaan dengan qadha' dan qadar kecuali redha dengan muqdha dan muqaddar. Kerana itulah maka Syaikh Khayyaly mentahqiqkan sebuah jawapan yang lain di dalam hasyiahnya bahawa kekafiran dan kemaksiatan itu mempunyai dua jihat (arah atau 2 sudut pandang) :

1. Jihat keadaan keduanya (kufur dan maksiat) sebagai sesuatu yang muqdha dan muqaddar bagi Allah.

2. Jihat keadaan keduanya sebagai sesuatu yang diusahakan oleh hamba.

Maka wajib redha dengan keduanya dari jihat yang pertama dan tidak dari jihat yang kedua. Menurut Ajhury, kemusykilan yang dimaksud pada jawapan Sa'dy mengenai tidak adanya makna bagi keredhaan dengan qadha' dan qadar kecuali redha dengan muqdha dan muqaddar tidaklah jelas kerana redha dengan qadha' dan qadar adalah lain daripada redha dengan muqdha dan muqaddar kerana sesungguhnya makna redha dengan qadha' dan qadar adalah bahaa tidak dibantah atas Allah dalam hal qadha' dan qadar-Nya serta diiktikadkan bahawasanya dia adalah untuk satu hikmah meskipun kita tidak mengetahuinya. Dan yang demikian itu termasuk ketiadaan redha dengan muqdha dan muqaddar bahawa dibantah atas orang kafir dalam hal ikhtiarnya kepada kekafiran dan usahanya kepadanya. Pendapat Ajhury ini kalau direnungkan adalah sama dengan perkataan Syaikh Khayyaly.

Ketahuilah, bahawa walaupun wajib beriman dengan qadar, akan tetapi tidak boleh berhujah atau berdalil dengannya

sebelum jatuh kepada satu perbuatan kerana hendak melakukannya seperti katanya "Allah telah mentaqdirkan perbuatan zina atasku." - sedangkan tujuannya dengan yang demikian adalah agar dapat melakukannya. Atau sesudah melakukan satu perbuatan kerana hendak menghindar dari hukuman atau yang sepertinya bahawa seseorang telah terlanjur melakukan zina dan dia berkata "Allah telah mentaqdirkan yang demikian itu." dengan tujuan agar terhindar dari hukuman.

Adapun menjadikannya alasan sesudah jatuh dalam perbuatan untuk menolak celaan sahaja tidaklah mengapa kerana di dalam Hadith Sahih ada menyebut :

"Sesungguhnya roh Adam AS pernah bertemu dengan roh Musa AS, maka berkatalah Musa AS kepada Adam AS : Engkau adalah bapa manusia yang telah menjadi penyebab dikeluarkan anak-anakmu dari syurga lantaran perbuatanmu memakan pohon (yang terlarang). Maka Adam AS berkata : Engkaulah Nabi yang telah dipilih Allah dengan Kalam-Nya dan telah menuliskan bagimu akan Taurat dengan yad-Nya. engkau mencelaku atas satu perkara yang telah ditaqdirkan Allah atasku sejak masa 40,000 tahun sebelum Dia menciptakanku."

Bersabda Nabi SAW : Maka Adam AS telah mengalahkan Musa AS dengan hujahnya.

Mengenai makna Qadar dan Qadha' telah dierselisihkan antara Asya'irah dan Maturidiyyah.

Tamat . (panjang lagi syarahnya, cuma nak amik bahagian akhir dari syarah atas bait ini iaitu :)

Dan juga kerana masalah Qadha' dan Qadar ini kembali (tempat dirujuk) kepada sifat-sifat Allah, iaitu Ilmu, Iradat dan Qudrat yang mana para ulamak berpegangan padanya di atas dalil aqli. Tamat.

Faqir memikir kembali, apakah ada pelajaran Tauhid lagi selain pelajaran sifat 20 yang membahaskan Sifat Ilmu, Iradat dan Qudrat Allah SWT ? Dan di akhir zaman ini dengan berbagai-bagai aneka macam fahaman, bukankah tersangat penting untuk kita memelihara iman kita ? Dan siapapun dari kalangan orang Islam mengetahui bahawa salah satu rukun Iman adalah Qadha' dan Qadar. Yakinlah Tuan, bahawa ini merupakan ilmu yang penting. Al-Imam Ibrahim Al-Bajuri Radiyallahu'anhu di dalam syarahnya di tempat yang lain, menyebut bahawa adalah perbahasan mengenai qadha' dan qadar sudah terhasil di dalam perbahasan Sifat Ilmu, Iradat, dan Qudrat , AKAN TETAPI, OLEH KERANA JAHIL DALAM MASALAH INI MERUPAKAN PERKARA YANG SANGAT BESAR BAHAYANYA, MAKA PARA ULAMAK MEMBAHASKANNYA SECARA TERPISAH. Lebih kurang perkataan Al-Imam Syaikhul Azhar. Berkata Sayyidina Anas bin Malik Radiyallahu'anhu : "Adalah kamu menganggap satu perkara itu sebagai kecil , akan tetapi kami di masa Rasulullah SAW menilainya sebagai satu perkara yang mencelakakan." (Riwayat Bukhari dan dikeluarkan Imam Nawawi di dalam Riyadhus Solihin). FB ini membuka ruang yang sangat luas untuk berkata-kata, sehingga orang yang jahil berkata-kata semahunya dan tentang apa yang dia jahilkan sehingga tidak dia sedari telah terjerumus ke lembah maksiat, mahupun kekafiran. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari yang demikian itu. Amin.

Semoga Allah SWT mengkehendaki kebaikan kepada kita dan diberinya kefahaman atas kita kepada agama-Nya yang mulia dan tiada yang lebih tinggi melainkan agama-Nya jua.

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)

1 comment: