Renungan

Monday, July 6, 2009

Secebis dari kitab Matan Jauharatut Tauhid


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, Tiada ia berhajat kepada selainNya malah selainNYa lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah... tempatkan baginda ke tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) Dan kepada ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang berjuang memerah seluruh keringat kehidupan mereka menegakkan agama Allah yang maha suci ini. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat (Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmatilah kami...Amin)

Amma Ba'du,


Adapun kemudian daripada itu, Faqir yang hina lagi serba kekurangan ini ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang faqir muliakan secebis dari kitab Syarah Matan Jauharatut Tauhid , dikarang akan dia oleh Allamah Syaikh Ibrahim Al-Laqqani rah. (semoga Allah s.w.t. membalas beliau dengan kebaikan) dan diterjemahkan akan kitab ini oleh Syarikat Percetakan Cahaya Purnama , Madrasah Al-diniyyah Al-Bakriah, Terusan Lembah, Pasir Tumbuh , Kota Bharu ,Kelantan.


Pada m/s ke 39



"Yakni wajib atas tiap2 mukalaf itu mengiktikadkan bahawasanya segala Nabi dan Rasul dan malaikat a.s. itu telah maksum ia daripada segala dosa besar dan dosa kecil kemudian daripada menjadi rasul atau sebelum menjadi rasul atas qaul ulama yang rajih. Dan erti maksum itu memeliharakan Allah s.w.t. akan mereka itu daripada hajat ia dalam maksiat serta kekal kuasanya dan barang yang kau dengarkan dalam nas kitab dan hadis yang menunjukkan atas khilafnya perkataan dalam zahirnya, maka kau takwilkan jikalau engkau faham dalamnya barang yang layak dalam haq mereka itu, atau tauqifkan kepada Allah s.w.t. , maka iaitu terlebih selamat."



Dan 11 baris dari bawah pada m/s yg sama


"(Syahadan) wajib atas sekalian mukallaf itu mengiktikadkan bahawasanya syariat Nabi s.a.w. itu tentu membinasakan syariat syariat yang lainnya hingga turun Nabi Isa a.s. dari langit halnya membunuh Dajjal Laknatullah dalam akhir hari kiamat maka iaitu masuk baginda kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. dan mengerjakan dia dengan syariat Nabi kita Muhammad s.a.w. dan iaitu akhir umat Nabi Muhammad s.a.w. yang Mujtahidin dan wajib orang yang Mukallaf mengiktikadkan pula bahawasanya syariat Nabi kita Muhammad s.a.w. itu harus serta wujud dalam zahirnya membinasakan ia kepada syariatnya sendiri seperti sembahyang menghadap Baitul Maqdis maka berhadap pula kepada Kaabah yang di negeri Mekah dan barang sebagainya".


Dan di akhir baris serta pada m/s seterusnya,


"Maka kata Musannif (Syaikh Al-Laqqani rah.) "Yakni mukjizat Rasulullah s.a.w. itu terlebih banyak daripada mukjizat nabi a.s. yang lainnya , yang indah2 dan setengahnya itu Kalamullah yang dinamai pada orang ahli Usululddin dengan Quran yang Azhim yang mengalahkan ia segala manusia dan jin ."


Sekian petikan dari kitab Matan Jauharatut Tauhid. Menyebut tentang mukjizzat Nabi s.a.w. , faqir teringat akan satu lagi kitab karangan Syaikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki (semoga Allah s.w.t. membalas beliau dengan kebaikan) berkenaaan perkara ini.


Diriwayatkan oleh Al-Hafiz Abu Bakar Al-Baihaqi , daripada Al-Hakim Abu Abdullah berkata : Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Muhammad ibn Abi Al-Hasan, telah mengkhabarkan kepada kami Abdur Rahman ibn Abi Hatim al-Razi daripada bapanya, berkata ,Umar ibn Sawwad daripada Imamuna Muhammad bin Idris As-Syafi'e, telah berkata Imam Syafi'e r.a.


"Tiada mukjizat yang dikurniakan kepada seorang nabi, melainkan dikurniakan juga kepada Rasulullah s.a.w. dengan mukjizat yang sama atau lebih hebat daripada mukjizat mereka"(Manaqib al-Syafi'e). Turut juga meriwayatkan kisah ini oleh Imam Abu al Fida' Ibn Kathir rah. dalam kitab beliau Syamail al Rasul, H609.



Dan juga faqir mengajak saudara yang dimuliakan untuk melihat Kitab Thurath iaitu Tuhfatul Murid Syarah Jauharah al-Tauhid yang dikarang akan dia oleh Syaikhul Azhar yang ke-19 Allamah Hadrat Imam Ibrahim bin Muhammad al-Baijuri (Imam Bajuri) rah. pada H297. Telah berkata Imam Bajuri rah.




"Para Rasul itu telah diperkuatkan dengan beberapa mukjizat, kerana memulikan mereka.

Dan sifat maksum yang Allah s.w.t. , Tuhan Pencipta sekalian Alam kurniakan kepada setiap mereka (para Nabi dan Malaikat) adalah wajib"





Semoga artikel ringkas bermanfaat buat faqir khasnya dan kepada umat Nabi s.a.w. yang sentiasa mendambakan cinta dan rindu pada saban hari kepada baginda s.a.w. . Dan harapan umat Islam sentiasa subur di hati setiap umatnya akan CINTAKAN ALLAH, CINTAKAN RASUL,CINTAKAN UMATNYA.....Amin





Selawat dan Salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan junjungan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian alam, tempat bergantung segala sesuatu , Dan Allah jua yang memberi petunjuk lagi Allah s.w.t. Maha Mengetahui...



Jazakallah Khairan Kathira... (^_^)




Al-Faqir wal Haqir Ilallah,

Salim Azham

Sunday, July 5, 2009

Mendukung Ucapan dengan Alasan

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. ,Tuhan empunya sekalian alam, tiada berhajat kepada selain-Nya, malah selainNya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dicurahkan oleh Allah s.w.t. kepada junjungan yang mulia Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda ke tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang mulia lagi suci. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, kasihani kami, rahmati kami...Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, Faqir ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dihormati berkenaan isu bercakap tanpa alasan . Sangat menyedihkan sekiranya mahasisiwa mempunyai sikap begini padahal mereka lah yang diharapkan dapat menerajui pembangunan dan kepimpinan negara di masa akan datang. Marilah sama-sama kita menghayati bagaimana perlakuan Nabi s.a.w. dalam konteks ini.

Memperkuat ucapan dengan dalih dan alasan merupakan salah satu cara Nabi s.a.w. dalam memberikan pelajaran dan keterangan, dengan mengemukakan perbandingan-perbandingan tentang masalah yang diumpatkan, maka kian jelas terbukti kebenaran yang perlu diketahui dan makin tenteram hati yang bertanya tentang sesuatu yang kurang difahami secara mantap dan meyakinkan. Dalam satu hadis sahih , Nabi s.a.w. bersabda "Hubungan suami isteri yang kalian lakukan itu merupakan sedekah, dan kalian akan diberi pahala mengenainya". Mendengar ucapan itu, para sahabat baginda r.a. bertanya "Ya Rasulullah ,apakah seorang yang melepaskan nafsu syahwatnya, akan memperoleh pahala juga?" Baginda s.a.w. segera menjawab dengan pertanyaan pula "Seandainya nafsu syahwat itu dilepaskannnya di tempat yang haram apakah tidak berdosa? Demikian juga bila dilepaskan di tempat yang halal tentu akan memperoleh pahala".

Hadis ini sebagai dalil bahawa sesuatu yang halal hukumnya, dapat berubah menjadi amal ibadat kalau didasarkan atas niat suci dan baik. Kalau direnungkan , cukup andaikata Nabi s.a.w. bersabda "Bahawa itu adalah keputusan dan hukum , sedang keputusan dan hukum Allah dan Rasul sudah cukup kuat menjadi dalil yang wajib diterima sepenuhnya", akan tetapi baginda tidak berkata sedemikian, malah baginda mengemukakan perbandingan yang mudah diterima dan tidak dapat diengkari. Dengan demikian mereka diberi kesempatan berfikir dan membanding, kerana sesuatu yang ghaib (abstrak) telah dipindahkan menjadi hal yang nyata (konkrit).

Hadis lain seperti yang diriwayatkan Imam Muslim rah. dalam Sahihnya , bahawa An-Nu'man bin Basyir berkata "Ayahku pernah membawaku menghadap Nabi s.a.w. lalu bertanya "Ya Rasulullah ! Saksikanlah , bahawa aku akan memberi kepada anakku Nu'man ini sekian dari seluruh harta kekayaanku",maka Baginda s.a.w. bertanya "Apakah semua anakmu engkau beri seperti pemberianmu kepada Nu'man?", Ayahku menjawab "Tidak", Kemudian Nabi s.a.w. bersabda "Lebih baik cari saksi lain sahaja ", Selanjutnya Nabi s.a.w. bertanya "Apakah engkau ingin semua anakmu sama baktinya kepadamu?", "Tentu saja",jawab ayahku cepat, "Kalau demikian maka janganlah hal itu kau lakukan.", kata baginda s.a.w. pada akhirnya.

Sekiranya Nabi s.a.w. berkata , bahawa hal tersebut tidak benar dan terlarang, maka itu sudah cukup dan sekaligus menjadi dalil yang tidak dapat diingkari lagi, namun baginda s.a.w. menerangkan duduk perkara yang sebenarnya dan menjelaskan sebab musabab larangan itu, dengan kata kata "Apakah engkau ingin semua nakmu sama baktinya kepadamu?" Kiranya sudah terang , bahawa hal itu sangat diinginkan sekali , namun bila dia hanya memberi kepada seorang anak sahaja , dan meninggalkan yang lain, tentu anak-anak yang lain tidak akan berbakti dengan sungguh sungguh kepadanya, malahan boleh membawa kepada rasa dendam, sakit hati dan permusuhan sesama saudara, dengan segala akibat dan kesudahan yang menyedihkan.

Maka , faqir menasihati diri ini dan saudara pembaca yang dimuliakan supaya kita sentiasa memperbaiki perbicaraan kita. Bagaimana kita boleh mendakwa diri ini sebagai pendakwah tetapi kata-kata yang dikeluarkan langsung tidak disandarkan kepada fakta, dalil dan hujah yg kukuh, dan ditakuti kita pulak menjadi asbab orang lain semakin menjauhi agama yang suci ini .

Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. beserta Ahlubayt dan para shabat r.anhum ...


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian alam, Dan Allah jua yang memberi petunjuk da Allah Maha Mengetahui...

Jazakallah khairan kathira...

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham

Kata - Kata Hikmah Rasulullah s.a.w.



Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. tuhan empunya sekalian alam, tiada berhajat kepada selainNya , malah selainNya lah yang berhajat kepadaNya. Selawat dan salam sebanyaknya atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkanlah junjungan kami di tempat yang terpuji seperti mana yang Kau janjikan Amin). Dan kepada Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang mengerah seluruh keringat berjuang menegakkan agama Islam yang suci lagi mulia ini, seterusnya kepada mereka yang mengikut akan mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat... Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmati kami, Amin.



Amma Ba'du,


Adapun kemudian daripada itu, Faqir yang serba kekurangan ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dimuliakan akan motivasi motivasi dan kata-kata hikmah yang disabdakan Nabi s.a.w. .Ketahuilah kiranya ya saudaraku , bahawa sebaik baik motivasi itu adalah motivasi yang diberikan Allah s.w.t. melalui lidah kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w. . Maka di sini faqir ingin membawakan beberapa hadis yang mengandungi hikmah dan motivasi bagi umat ini dalam mengharungi kehidupan seharian.
"Setiap Amal itu ditentukan dengan niatnya" (H.R Bukhari)

-
"Seseorang tidak akan mendapat hasil dari kerja yang dilakukannya, kecuali menurut apa yang diniatkan olehnya, dan niat seorang mukmin lebih baik dari amalannya" (H.R Muslim)

-
Orang kuat bukanlah yang dapat mengalahkan orang lain, tapi yang dapat mengalahkan hawa nafsunya. Dan di dalam riwayat yang lain : yang dapat mengusai dirinya sewaktu marah" (H.R Bukhari dan Muslim)
-
"Berita itu tidak sama dengan menyaksikan sendiri "(H.R Ahmad)
-
"Musibah yang datang menimpa, banyak disebabkan oleh ucapan" (H.R Ibnu Abi Syaibah)
-
"Penyakit apakah gerangan yang lebih parah daripada sifat kikir?"(H.R Bukhari)
-
"Ilmu lebih utama dari Ibadat" (H.R At-Thabrani)
-
"Jarangkan berziarah kepada orang, agar kecintaannya bertambah" (H.R Al-Bazzar)

-
"Agama itu kukuh lagi kuat, masukilah dia dengan lemah lembut" (H.R Ahmad)

-

"Sebaik baik harta kekayaan seseorang , adalah penternakan dan perkebunan"(H.R Ahmad)

-

"Kalian tidak dapat memuaskan semua manusia, maka puaskanlah mereka dengan budi pekertimu" (H.R Abu Ya'la)

-

"Tinggalkanlah apa yang meragukan hatimu"(H.R At-Thabrani)

-

"Perempuan itu dikahwini kerana kecantikan, harta,agama atau kerana mulia keturunannya , maka kahwinilah permpuan itu kerana agamanya" (H.R Bukhari dan Muslim)

-

"Sifat rela dan serakah, adalah harta kekayaan da pembendaharaan yang tidak kunjung habis " (H.R At-Thabrani)

-
"Tidak akan kecewa siapa yang bersembahyang Istikharah, tidak akan menyesal siapa yang bermusyawarah, dan tidak akan melarat siapa yang hidup berhemat" (H.R At-Thabrani)
-

"Orang muslim sejati, ialah orang islam yang lainnya selamat dari gangguan lidah dan tangannya, dan orang yang berhijrah adalah yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah"
(H.R Bukhari dan Muslim)
-

"Tidak ada kemiskinan melebihi kebodohan, tidak ada harta melebihi akal, dan tidak ada kesepian melebihi sifat Ujub" (H.R Ibnu Majah)
-
"Tidak ada yang lebih baik daripada berkumpulnya ilmu dan akal pada seseorang" (H.R Al-Askatiy)
-
"Carilah rezeki di celah-celah bumi"(H.R Abu Syurah)

-

"Memberi maaf menambah kemuliaan, rendah hati menambah ketinggian dan harta tidak akan berkurang kerana sedekah" (H.R Muslim)
-

"Hiduplah di dunia ini seolah olah kau seorang asing atau musafir kelana dan anggaplah dirimu sebagai penghuni kubur" (H.R Al-Baihaqy)

-

"Ada dua nikmat yang banyak merugikan manusia, iaitu kesihatan dan waktu lapang"
(H.R Bukhari)
-

"tipu muslihat itu, tempatnya di api neraka juga " (H.R Baihaqy)
-

"Siapa yang dilambatkan amalnya, tidak akan dicepatkan oleh baik keturunannya"
(H.R Muslim)
-
"Wahai pasukan Allah, bersiaplah untuk berjuang"(H.R Muslim)
-

"Pelaku kejahatan akan memikul sendiri akibatnya" (H.R Ibnu Majah)
-

Dan banyak lagi hadis yang diriwayatkan sambung menyambung dari satu generasi ke satu generasi , baik ucapan Nabi s.a.w., waktu berkhutbah, berdoa, mahupun isi teks perjanjiannya dengan pihak kedua yang kesemuanya itu teratur dan bernilai sangat tinggi.




Sesetengah sahabat r.a. pernah bertanya kepada baginda s.a.w. "Tak pernah kami melihat orang sefasih kamu Ya Rasulullah". Maka Baginda s.a.w. menjawab "Kerana Allah s.w.t. menjauhkan aku dari kesilapan , dan memilih untukku FirmanNya, iaitu Al-Quran". (H.R Ad-Dailamy).


Tatkala Abbas r.a. bertanya kepada baginda s.a.w. "Apakah sebenarnya keindahan pada seseorang itu?". Maka baginda s.a.w. menjawab ringkas "kelancaran lidahnya".. Dan dalam hadis yang lain , Baginda s.a.w. bersabda "semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang selalu memeperbaiki cara berbicaranya".



Semoga kita sentiasa merenung, menghayati kehidupan, perlakuan dan bicara Nabi s.a.w. dan seterusnya diimplement ke dalam kehidupan kita semua. Ya Allah, jadikan kehidupan kami seperti kehidupan kekasih-Mu...Amin



Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda ke tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) dan Ahlulbayt serta para sahabat baginda r.anhum...



Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam , Tiada daya upaya melainkan dari Allah Azza Wajalla..Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah Maha Mengetahui...




Jazakallah Khairan Kathira, (^_^)



Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham






Rasulullah s.a.w. menurut Imam Syafie r.a.

Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, tiada berhajat kepada selainNya malah selainNya lah yang berhajat kepadaNya, Selawat dan salam semoga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas Junjungan kekasih kita Sayyidina Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda ke tempat yang terpuji sepertimana yang kau janjikan ...Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang mulia lagi tinggi maqamnya di sisi Allah s.w.t. .Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmati kami....Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, faqir yang hina ini ingin berkongsi akan isi kandungan kitab yang dikarang akan dia oleh Al-Fadhil Syaikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki (Semoga Allah membalas beliau dengan kebaikan ) bertajuk Rasulullah s.a.w. menurut perspektif Imam As-Syafi'e r.a. .Faqir melihat adalah sangat penting bagi umat ini untuk mengetahui beberapa keistimewaan Nabi s.a.w. bagi melahirkan rasa hormat dan menyedari ketinggian makam baginda s.a.w. di sisi Tuhan sekalian alam, Allah Azza Wajalla.

Tidak dapat kita nafikan, bahawa keistimewaan Rasulullah s.a.w. tidak sekadar dikurniakan kepada dirinya tetapi dikurniakan juga kepada mukjizatnya. Justeru, tidak akan kering dan puas lisan yang ingin mengungkapkan keistimewaannya dan tidak akan hilang rindu gurindam kepada baginda s.a.w. bagi insan yang telah mengenalinya dengan hati yang tulus.

Di dalam majlis pengajiannya, Imam Syafi'e r.a. telah ditanya "Sesungguhnya Nabi Isa ibn Maryam telah dikurniakan mukjizat menghidupkan orang yang telah meninggal dunia". Maka Imam Syafi'e r.a. menjawab "Sesungguhnya batang kurma merindui Rasulullah s.a.w.. Ini lebih memelikkan dan menakjubkan ".

Berkata Al-Qadhi Iyadh rah. "Hadith kerinduan batang kurma terhadap Rasulullah s.a.w. adalah mahsyur di sisi ulama salaf dan tersebar di sisi ulama khalaf. Khabar mengenainya adalah mutawatir dan dikeluarkan oleh penulis kitab-kitab hadith yang sohih. Hadith mengenainya diriwayatkan oleh belasan sahabat Baginda s.a.w.. Di antara mereka ialah Ubay ibn Ka'ab r.a., Jabir bin Abdullah r.a., Anas bin Malik r.a., Abdullah ibn Umar r.a., Abdullah ibn Abbas r.a., Sahl ibn Sa'ad r.a., Abu Said Al-Khudri r.a. , Ummu Salamah r.anha, Muttalib ibn Abi Wada'ah r.a.. Kebanyakan kisah mengenainya adalah sama cuma dengan lafaz yang berbeza."

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. "Bahawa Rasulullah s.a.w. pada hari Jumaat berdiri berkhutbah di sebatang pokok atau batang kurma. Maka berkata seorang perempuan Ansar, atau seorang lelaki ; Wahai Rasulullah ,biarkan kami mendirikan suatu mimbar untukmu , Sabda Rasulullah s.a.w. : Sekiranya kamu mahu, dirikanlah.Maka merekapun mendirikan sebuah mimbar untuknya . Pada hari Jumaat , Rasulullah s.a.w. pergi ke mimbar tersebut. Lantas berteriaklah batang kurma tempat bersandar Rasulullah s.a.w. ketika berkhutbah seperti tangisan kanak kanak kecil . Lalu Rasulullah s.a.w. turun dari mimbar dan memeluk batang kurma itu. Maka hilanglah tangisan yang seperti tangisan kanak-kanak tadi yang telah diredakan oleh Rasulullah s.a.w. dan baginda s.a.w. bersabda "Ia menangis disebabkan zikir yang sering didengari di sisinya ( Sebab Nabi s.a.w. tidak lagi berkhutbah di sisinya)" (H.R Bukhari dan lain-lain.)

Berkata Imam Abu al Qasim al-Baghawi rah. "Apabila Imam Hasan al-Basri rah. menceritakan kisah batang kurma itu, beliau menangis seraya berkata :
Wahai hamba-hamba Allah, batang kayu merintih kerana rindu terhadap Rasulullah s.a.w setelah berpisah dengannya, maka kalian adalah lebih berhak merindui pertemuan dengan baginda s.a.w. "

Sekiranya kayu yang tidak bernyawa dapat merasai kehangatan mengasihi dan merindui insan kamil (Muhammad s.a.w.) ini, maka siapakah kita tidak dapat merasai perasaan rindu dan kasih kepadanya ? Apakah jenis hati umatnya yang tidak mengenali kemuliaan baginda s.a.w.?

Renungilah wahai saudaraku, Ucapkanlah selawat atasnya sebagai tanda terima kasih kita terhadapnya. Hidupkanlah Sunnahnya sebagai tanda kasih kita terhadapnya. Tiada suatu apapun di dunia ini yang boleh menjadi ganti nikmat yang paling berharga menjadi umatnya .

Selawat dan salam yang sebanyaknya moga dilimpahkan Allah atas Sayyid dan Maulana kita, kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w. beserta Ahli keluarga dan para sahabat baginda r.anhum...

Segala puji hanya bagi Allah , Tuhan empunya sekalian alam, Dan tiada daya upaya melainkan dari Allah s.w.t. ..Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira,

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Thursday, July 2, 2009

Kenikmatan Yang Memusnahkan

Segala Puji bagi Allah , Tuhan empunya sekalian alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya malah selain-Nya lah yang berhajat kepadanya, Selawat dan salam yang sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. kepada Junjungan besar Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang kau janjikan...Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda (semoga Allah meredhai mereka) yang mulia lagi banyak pengorbanan dalam memartabatkan agama Allah yang maha suci ini.

Amma Ba'du,

Adapun kemdian daripada itu, faqir ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dimuliakan berkenaan kenikmatan (pada pandangan manusia) yang mengundang kemusnahan pada diri.

Perbuatan yang melanggar tata susila, moral mahupun hukum, pada awlnya sering mendatangkan kenikmatan. Tetapi kerana terlalu leka, tanpa disedari perkara ini dapat memusnahkan nilai kehidupan seseorang. Contonhnya seperti masalah rasuah yang tidak habis-habis di kalangan ahli politik, ahli perniagaan, penguatkuasa dan sebagainya. Perbincangan mengenai wang ringgit memang tidak ada kesudahannya. sesorang yang melakukan penyelewengan ataupun diajak menyelewengkan wang mungkin berasa bersalah dan tidak tenang pada mulanya. Tetapi daya tarikan wang yang begitu kuat membuatkan hati nurani menjadi "kebal" iaitu tidak memperdulikan perasaan bersalah. Perkara ini juga membuatkan seseorang mati mata hatinya.

Segala perbuatan yang buruk yang dilakukan, pada mulanya tidak menjanjikan sesuatu yang buruk. Iblis Laknatullah tidak pernah menunjukkan akibat sesuatu perbuatan ketika dia memujuk seseorang melakukan kejahatan. Tetapi , apabila perbuatan berlenaan menimpa orang itu, Iblis Laknatullah pun meninggalkannyadan mencari mangsa yang lain.

sekiranya diamati dengan lebih lanjut, perkembangan dunia pada masa ini lebih menjanjikan perkara-perkara yang bersifat HEDONISME iaitu fahaman, pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup. Dunia pula mengarahkan dirinya pada fahaman materialisme yang mengajak seluruh manusia mencari dan merebut harta sebanyak-banyaknya. semua ini ternyata bertentangan dengan ajaran Islam yang teru menerus mengunmandangkan kebenaran, keadilan, kesusilaan, dan belas kasihan.

Fenomena ini juga menjadi lebih berleluasa disebabkan banyaknya rancangan televisyen yang memaparkan kesenangan dan kenikmatan hidup yang berlebih-lebihan. Akademik Fantasia, Konsert Jom Heboh perlahan lahan mempengaruhi nilai kehidupan seseorang sehingga membuatkan orang yang menonton jatuh binasa dari segi mental,rohani dan juga fizikal.
Mereka yang merasakan kenikmatan palsu yang ditawarkan oleh dunia kejahatan ini pastinya menemui penyesalan. Memang ini semua kelihatan seronok dan menghiburkan tetapi melakukan perbuatan salah pasti mengakibatkan penyesalan kemudian hari.

Maka bagi sesiapa yang belum terlibat, jangan sesekali berfikir untuk mencuba, Apalagi mereka yang baru mula hendak "menghidu". Adalah lebih baik sekiranya kita segera berfikir terdapat banyak perkara lain yang bersifat halal dan tidak bertentangan dengan Islam. Kenangkanlah kasih sayang Allah dan Rasulnya kepada kita. Manakala, bagi yang sudah "menjilat", berhentilah dan kembalilah kepada ajaran Islam. Ingatlah pada "peraturan menggali lubang"

"sekiranya anda berada di dalamnya, berhentilah menggali"

Selawat dan Salam kepada Junjungan besar Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w. ( Ya Allah, tempatkanlah baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ....Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang sangat kasih dan cinta mereka itu kepada kita (umat Nabi s.a.w.).....Ya Alllah, Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmatilah kami...Amin

Jazakallah Khairan Kathira.... (^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham

Doa


Ya Allah , Hidupkan kami dengan kehidupan kekasih-Mu (Muhammad s.a.w.)
Ya Allah, Hidupkan roh-roh kami dengan kehidupan roh kekasih-Mu
Ya Allah, Hidupkan keperibadian kami dengan hidupnya keperibadian kekasih-Mu
Ya Allah, hidupkan akal-akal kami dengan kehidupan akal kekasih-Mu
Ya Allah, Hidupkan jasad kami dengan adab, sunnah dan hukum hakam kekasih-Mu
Ya Allah, hidupkan seluruh diri kami dengan kehidupan seluruh diri kekasih-Mu
Sehinggalah kami melalui dengan kehidupannya atas kehidupan kalam-Mu,
Maka kami hidup dengan kalam dan kitab-Mu,
Kemudiannya kami hidup dengan semua itu beserta ikatan kami dengan-Mu,

Wahai Yang Maha Hidup lagi Menghidupkan , Penggerak Bumi dan Langit.

Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati, mensyukuri serta beribadah kepada-Mu dengan sebaiknya.
Ya Allah, Perlihatkan bagi kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan jadikan kami pengikutnya,
Perlihatkan bagi kami kebatilan sebagai kebatilan dan jauhkan kami daripadanya,
Ya Allah, Ampunkan kami dengan taubat nasuha.
Bersihkan kami dengannya pada tubuh badan kami, hati dan roh kami.
Ya Allah, ampunkan kami pada apa yang telah lalu, peliharalah kami apa yang masih ada ini.
Ya Allah, Peliharalah kami dan Rahmatilah kami.
Ya Allah, Letakkan kami pada jalan mereka yang dicintai
Hidupkan kami dengan kehidupan mereka itu,
Matikan kami dengan kematian mereka,
Himpunkan kami pada hari kiamat bersama ketua orang orang yang dikasihi.
(Nabi Muhammad s.a.w.).
Ya Allah, Hidupkan kami dengan mencintainya,
Ya Allah, Hidupkan kami dengan mencintainya,
Ya Allah, Hidupkan kami dengan mencintainya,
Ya Allah, Hidupkan kecintaannya dalam hati kami,
Ya Allah, Hidupkan kecintaannya dalam hati kami,
Ya Allah, Hidupkan kecintaannya dalam hati kami,
Ya Allah, Hidupkan cahayanya dalam batin kami,
Hidupkan hidayahnya pada zahir kami
Hidupkan perjalanannya dalam rumah tangga dan kehidupan kami,
Ya Allah, jangan engkau tanggalkan dari hati kami cahaya ikatan dengan Sayyidina Muhammad s.a.w.

Wednesday, July 1, 2009

Sahabat


Segala puji hanya bagi Allah , tuhan empunya sekalian alam, tiadalah ia berhajat kepada selainNya malah selainNya lah yang berhajat kepadanya. Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Muhammad s.a.w. beserta Ahlulbayt baginda dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi suci. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat ....Ya Allah Ampunilah kami, Kasihanilah kami, Rahmatilah kami...Amin


Amma Ba'du,


Adapun kemudian daripada itu, faqir yang serba kekurangan ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dimuliakan berkenaan sahabat. Sahabat atau teman adalah perkara yang sangat penting di dalam perjalanan hidup kita. Sehingga kalau hendak tahu bagaimana sikap atau akhlak seseorang itu, maka lihatlah pada kelakuan dan akhlak sahabatnya. Sahabat meminkan faktor yang penting dalam pembentukan jati diri kita dan mempengaruhi sikap, akhlak, dan cara bergaul kita. Maka , sayugia amat penting untuk kita memilih sahabat yang betul.


Nilai suatu persahabatan dilihat daripada ketulusan hati dan kesedian untuk berkorban demi orang lain. Sahabat manakah yang sanggup mengorbankan nyawanya bagi kepentingan orang lain?. Dunia dan penghuninya semakin mementingkan diri sendiri, hubungan antara manusia semakin kering, tingkat persaingan semakin tinggi dan kemjuan teknologi yang pesat meluaskan jurang perhubungan antara manusia, di mana kita dapat berkomunikasi dengan orang lain tanpa perlu bersemuka ataupun bersalaman.


Kita memerlukan sahabat yang boleh menjadi teman di kala suka dan duka . Nilai persahabatan sebenarnya dilihat daripada ketulusan hati dan kesanggupan kita berkorban untuk orang lain. Menjadi sahabat di kala senang adalah perkara biasa dan mudah kerana siapa pun dapat melakukannya. Tetapi,menjadi sahabat di kala susah adalah sesuatu yang lebih bermakna dan menjadikan nilai persahabatan itu begitu tinggi. Dalam dunia yang semakin "parah" ini, erti persahabatan sering dijadikan memperolehi harapan atau tujuan tertentu. Persahabatan sering dibina atas sebab-sebab tertentu seperti bagi mendapatkan projek atau kelebihan dalam sesuatu perkara.


Persahabatan yang sejati tidak mementingkan hasil atau balasan daripada persahabatan itu. Sahabat sejati adalah orang yang sanggup mendengar dan mengerti ketika anda mengungkapkan perasaan anda yang mendalam. Dia juga menyokong anda ketika sedang berjuang, menegur dengan lembut dan penuh kasih sayang ketika anda berbuat salah dan tidak menyalahkan anda sekiranya anda gagal. Seorang sahabat sejati akan memberi semangat bagi perkembangan diri anda , mendorong memaksimakan potensi anda sepenuhnya. Dan yang paling menakjubkan, DIA JUGA AKAN MERAIKAN KEJAYAAN ANDA SEOLAH-OLAH KEJAYAANNYA SENDIRI.


Wahai diri dan sekalian jemaah umat Islam yang tercinta, jadikan lah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda r.anhum sebagai model kita dalam bersaudara . Renungilah, hayatilah akhlak baginda s.a.w. dan para sahabatnya r.anhum. Faqir cadangkan pembaca membeli kitab Insan Kamil karangan Al-Muhaddith Syaikh Prof. Dr. Muhammad Alwi Al-Maliki Al-Hasani rah. Seorang Ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram berketurunan Rasulullah s.a.w. (Semoga Allah tempatkan beliau bersama Para Anbiya, Siddiqin, Syuhada dan Solihin...Amin). Ianya telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu.


Ketika Sang mentari mula menampakkan wajahnya hari ini, marilah kita merenung "Sudahkah kita menjadi sahabat yang sejati bagi orang lain dan siapakah sahabat sejati kita yang sesungguhnya hingga ke hari ini?"


Selawat dan salam semoga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas kekasih dan junjungan besar kita Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) Dan kepada Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang yg sgt kasih pada umat ini...


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t....Dan Allah jua Yang memberi petunjuk dan Allah Maha Mengetahui...


Jazakallah Khairan Kathira... (^_ ^)



Al-Faqir wal Haqir Ilallah,

Salim Azham