Renungan

Sunday, July 5, 2009

Rasulullah s.a.w. menurut Imam Syafie r.a.

Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, tiada berhajat kepada selainNya malah selainNya lah yang berhajat kepadaNya, Selawat dan salam semoga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas Junjungan kekasih kita Sayyidina Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda ke tempat yang terpuji sepertimana yang kau janjikan ...Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang mulia lagi tinggi maqamnya di sisi Allah s.w.t. .Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmati kami....Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, faqir yang hina ini ingin berkongsi akan isi kandungan kitab yang dikarang akan dia oleh Al-Fadhil Syaikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki (Semoga Allah membalas beliau dengan kebaikan ) bertajuk Rasulullah s.a.w. menurut perspektif Imam As-Syafi'e r.a. .Faqir melihat adalah sangat penting bagi umat ini untuk mengetahui beberapa keistimewaan Nabi s.a.w. bagi melahirkan rasa hormat dan menyedari ketinggian makam baginda s.a.w. di sisi Tuhan sekalian alam, Allah Azza Wajalla.

Tidak dapat kita nafikan, bahawa keistimewaan Rasulullah s.a.w. tidak sekadar dikurniakan kepada dirinya tetapi dikurniakan juga kepada mukjizatnya. Justeru, tidak akan kering dan puas lisan yang ingin mengungkapkan keistimewaannya dan tidak akan hilang rindu gurindam kepada baginda s.a.w. bagi insan yang telah mengenalinya dengan hati yang tulus.

Di dalam majlis pengajiannya, Imam Syafi'e r.a. telah ditanya "Sesungguhnya Nabi Isa ibn Maryam telah dikurniakan mukjizat menghidupkan orang yang telah meninggal dunia". Maka Imam Syafi'e r.a. menjawab "Sesungguhnya batang kurma merindui Rasulullah s.a.w.. Ini lebih memelikkan dan menakjubkan ".

Berkata Al-Qadhi Iyadh rah. "Hadith kerinduan batang kurma terhadap Rasulullah s.a.w. adalah mahsyur di sisi ulama salaf dan tersebar di sisi ulama khalaf. Khabar mengenainya adalah mutawatir dan dikeluarkan oleh penulis kitab-kitab hadith yang sohih. Hadith mengenainya diriwayatkan oleh belasan sahabat Baginda s.a.w.. Di antara mereka ialah Ubay ibn Ka'ab r.a., Jabir bin Abdullah r.a., Anas bin Malik r.a., Abdullah ibn Umar r.a., Abdullah ibn Abbas r.a., Sahl ibn Sa'ad r.a., Abu Said Al-Khudri r.a. , Ummu Salamah r.anha, Muttalib ibn Abi Wada'ah r.a.. Kebanyakan kisah mengenainya adalah sama cuma dengan lafaz yang berbeza."

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. "Bahawa Rasulullah s.a.w. pada hari Jumaat berdiri berkhutbah di sebatang pokok atau batang kurma. Maka berkata seorang perempuan Ansar, atau seorang lelaki ; Wahai Rasulullah ,biarkan kami mendirikan suatu mimbar untukmu , Sabda Rasulullah s.a.w. : Sekiranya kamu mahu, dirikanlah.Maka merekapun mendirikan sebuah mimbar untuknya . Pada hari Jumaat , Rasulullah s.a.w. pergi ke mimbar tersebut. Lantas berteriaklah batang kurma tempat bersandar Rasulullah s.a.w. ketika berkhutbah seperti tangisan kanak kanak kecil . Lalu Rasulullah s.a.w. turun dari mimbar dan memeluk batang kurma itu. Maka hilanglah tangisan yang seperti tangisan kanak-kanak tadi yang telah diredakan oleh Rasulullah s.a.w. dan baginda s.a.w. bersabda "Ia menangis disebabkan zikir yang sering didengari di sisinya ( Sebab Nabi s.a.w. tidak lagi berkhutbah di sisinya)" (H.R Bukhari dan lain-lain.)

Berkata Imam Abu al Qasim al-Baghawi rah. "Apabila Imam Hasan al-Basri rah. menceritakan kisah batang kurma itu, beliau menangis seraya berkata :
Wahai hamba-hamba Allah, batang kayu merintih kerana rindu terhadap Rasulullah s.a.w setelah berpisah dengannya, maka kalian adalah lebih berhak merindui pertemuan dengan baginda s.a.w. "

Sekiranya kayu yang tidak bernyawa dapat merasai kehangatan mengasihi dan merindui insan kamil (Muhammad s.a.w.) ini, maka siapakah kita tidak dapat merasai perasaan rindu dan kasih kepadanya ? Apakah jenis hati umatnya yang tidak mengenali kemuliaan baginda s.a.w.?

Renungilah wahai saudaraku, Ucapkanlah selawat atasnya sebagai tanda terima kasih kita terhadapnya. Hidupkanlah Sunnahnya sebagai tanda kasih kita terhadapnya. Tiada suatu apapun di dunia ini yang boleh menjadi ganti nikmat yang paling berharga menjadi umatnya .

Selawat dan salam yang sebanyaknya moga dilimpahkan Allah atas Sayyid dan Maulana kita, kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w. beserta Ahli keluarga dan para sahabat baginda r.anhum...

Segala puji hanya bagi Allah , Tuhan empunya sekalian alam, Dan tiada daya upaya melainkan dari Allah s.w.t. ..Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira,

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment