Renungan

Monday, July 6, 2009

Secebis dari kitab Matan Jauharatut Tauhid


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, Tiada ia berhajat kepada selainNya malah selainNYa lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah... tempatkan baginda ke tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) Dan kepada ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang berjuang memerah seluruh keringat kehidupan mereka menegakkan agama Allah yang maha suci ini. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat (Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmatilah kami...Amin)

Amma Ba'du,


Adapun kemudian daripada itu, Faqir yang hina lagi serba kekurangan ini ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang faqir muliakan secebis dari kitab Syarah Matan Jauharatut Tauhid , dikarang akan dia oleh Allamah Syaikh Ibrahim Al-Laqqani rah. (semoga Allah s.w.t. membalas beliau dengan kebaikan) dan diterjemahkan akan kitab ini oleh Syarikat Percetakan Cahaya Purnama , Madrasah Al-diniyyah Al-Bakriah, Terusan Lembah, Pasir Tumbuh , Kota Bharu ,Kelantan.


Pada m/s ke 39



"Yakni wajib atas tiap2 mukalaf itu mengiktikadkan bahawasanya segala Nabi dan Rasul dan malaikat a.s. itu telah maksum ia daripada segala dosa besar dan dosa kecil kemudian daripada menjadi rasul atau sebelum menjadi rasul atas qaul ulama yang rajih. Dan erti maksum itu memeliharakan Allah s.w.t. akan mereka itu daripada hajat ia dalam maksiat serta kekal kuasanya dan barang yang kau dengarkan dalam nas kitab dan hadis yang menunjukkan atas khilafnya perkataan dalam zahirnya, maka kau takwilkan jikalau engkau faham dalamnya barang yang layak dalam haq mereka itu, atau tauqifkan kepada Allah s.w.t. , maka iaitu terlebih selamat."



Dan 11 baris dari bawah pada m/s yg sama


"(Syahadan) wajib atas sekalian mukallaf itu mengiktikadkan bahawasanya syariat Nabi s.a.w. itu tentu membinasakan syariat syariat yang lainnya hingga turun Nabi Isa a.s. dari langit halnya membunuh Dajjal Laknatullah dalam akhir hari kiamat maka iaitu masuk baginda kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. dan mengerjakan dia dengan syariat Nabi kita Muhammad s.a.w. dan iaitu akhir umat Nabi Muhammad s.a.w. yang Mujtahidin dan wajib orang yang Mukallaf mengiktikadkan pula bahawasanya syariat Nabi kita Muhammad s.a.w. itu harus serta wujud dalam zahirnya membinasakan ia kepada syariatnya sendiri seperti sembahyang menghadap Baitul Maqdis maka berhadap pula kepada Kaabah yang di negeri Mekah dan barang sebagainya".


Dan di akhir baris serta pada m/s seterusnya,


"Maka kata Musannif (Syaikh Al-Laqqani rah.) "Yakni mukjizat Rasulullah s.a.w. itu terlebih banyak daripada mukjizat nabi a.s. yang lainnya , yang indah2 dan setengahnya itu Kalamullah yang dinamai pada orang ahli Usululddin dengan Quran yang Azhim yang mengalahkan ia segala manusia dan jin ."


Sekian petikan dari kitab Matan Jauharatut Tauhid. Menyebut tentang mukjizzat Nabi s.a.w. , faqir teringat akan satu lagi kitab karangan Syaikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki (semoga Allah s.w.t. membalas beliau dengan kebaikan) berkenaaan perkara ini.


Diriwayatkan oleh Al-Hafiz Abu Bakar Al-Baihaqi , daripada Al-Hakim Abu Abdullah berkata : Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Muhammad ibn Abi Al-Hasan, telah mengkhabarkan kepada kami Abdur Rahman ibn Abi Hatim al-Razi daripada bapanya, berkata ,Umar ibn Sawwad daripada Imamuna Muhammad bin Idris As-Syafi'e, telah berkata Imam Syafi'e r.a.


"Tiada mukjizat yang dikurniakan kepada seorang nabi, melainkan dikurniakan juga kepada Rasulullah s.a.w. dengan mukjizat yang sama atau lebih hebat daripada mukjizat mereka"(Manaqib al-Syafi'e). Turut juga meriwayatkan kisah ini oleh Imam Abu al Fida' Ibn Kathir rah. dalam kitab beliau Syamail al Rasul, H609.



Dan juga faqir mengajak saudara yang dimuliakan untuk melihat Kitab Thurath iaitu Tuhfatul Murid Syarah Jauharah al-Tauhid yang dikarang akan dia oleh Syaikhul Azhar yang ke-19 Allamah Hadrat Imam Ibrahim bin Muhammad al-Baijuri (Imam Bajuri) rah. pada H297. Telah berkata Imam Bajuri rah.




"Para Rasul itu telah diperkuatkan dengan beberapa mukjizat, kerana memulikan mereka.

Dan sifat maksum yang Allah s.w.t. , Tuhan Pencipta sekalian Alam kurniakan kepada setiap mereka (para Nabi dan Malaikat) adalah wajib"





Semoga artikel ringkas bermanfaat buat faqir khasnya dan kepada umat Nabi s.a.w. yang sentiasa mendambakan cinta dan rindu pada saban hari kepada baginda s.a.w. . Dan harapan umat Islam sentiasa subur di hati setiap umatnya akan CINTAKAN ALLAH, CINTAKAN RASUL,CINTAKAN UMATNYA.....Amin





Selawat dan Salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan junjungan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian alam, tempat bergantung segala sesuatu , Dan Allah jua yang memberi petunjuk lagi Allah s.w.t. Maha Mengetahui...



Jazakallah Khairan Kathira... (^_^)




Al-Faqir wal Haqir Ilallah,

Salim Azham

No comments:

Post a Comment