Renungan

Wednesday, December 8, 2010

Huraian Mukhalafatuhu Lil Hawadith oleh Ulamak Besar Kelantan, Allamah Syaikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani Radiyallahu'anhu

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,


Kali ini faqir ingin berkongsi dengan saudara/i yang tercinta akan sebuah Kitab yang dikarang akandia oleh seorang Ulamak Besar Kelantan pada Zaman Silam, Allamah Syaikh Muhammad Ali bin Abdul Rahman bin Abdul Ghafur Kutan Al-Kalantani yang terkenal dengan panggilan Syaikh Wan Ali Kutan Radiyallahu'anhu. Untuk mengenal dengan lebih lanjut mengenai Ulamak ini, bolehlah melayari laman web berikut : http://ulama.blogspot.com/2005/03/syeikh-wan-ali-kutan.html


Sejarah dan latar belakang Syaikh Wan Ali Kutan juga ada dihuraikan di dalam Buku Tokoh-Tokoh Ulamak Tanah Melayu keluaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Sangat penting Umat hari ini mengetahui Ulamak-Ulamak silam dan mengenali latar belakang mereka supaya tidak mereka terkeliru dengan orang-orang yang lahir pada zaman ini yang menyalahi dan menyimpang dari apa yang disampaikan oleh Para Ulamak Silam kita Radiyallahu'anhum. Sesungguhnya mereka (yakni Para Ulamak Silam Kita) jauh lebih berilmu, lebih tsiqah dan jujur dalam menyampaikan ilmu berbanding sesetengah orang pada hari ini yang menyimpang dan menyeret masayarakat awam ke dalam lembah perdebatan dalam perkara khilafiyyah dan usul agama. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari golongan yang menyimpang ini, dan kita bermohon supaya Allah SWT terus mengukuhkan hati-hati kita dan hidup aman makmur di dalam perpaduan yang telah dirintis oleh Para Ulamak kita yang silam Radiyallahu'anhum.


Baik, tersebut di dalam Kitab Zahrah Al-Murid Fi Aqaidit Tauhid bagi Syaikh Wan Ali Kutan Radiyallahu'anhu, pada m/s 9, baris yang terbawah , demikian ibarahnya :


Dan keempat Mukhalafatuhu Lil Hawadith artinya bersalahan Allah Ta'ala bagi segala yang baharu lawannya bersamaan dan iaitu mustahil. Maka tiada Zat Allah Ta'ala itu seperti yang baharu dan tiada Sifat-Nya seperti sifat yang baharu dan tiada Af'al-Nya seperti Af'al yang baharu. Dan tiada Ia berjirim yang mengambil qadar Zat-Nya daripada lapang dan ia 'Aradh iaitu Sifat yang berdiri dengan Jirim seperti Putih dan hitam dan Gerak dan Diam dan tiada Ia beranggota, maka tiada bagi-Nya Tangan dan tiada bagi-Nya Telinga dan tiada bagi-Nya mata dan lainnya. (Adapun) firman Allah Ta'ala (Yadullah fauqa aidihim) maka iaitu tangan dengan makna Qudrat. Iaitu artinya Qudrat Allah Ta'ala atas Qudrat Hamba-Nya.


Dan tiada Ia berpihak bagi jirim . Maka tiada Ia di atas suatu atau di bawah suatu atau di kanan suatu atau di kiri suatu atau di ahdapan suatu atau di belakang suatu dan tiada bagi Allah Ta'ala pihak. maka tiada bagi-Nya atas dan tiada bagi-Nya bawah dan tiada bagi-Nya kanan dan tiada bagi-Nya kiri dan tiada bagi-Nya hadapan dan tiada bagi-Nya belakang. Dan tiada Ia bersifat dengan kecil atau besar dengan makna banyak juzu' . Maka tiada menafikandia bahawa Allah ta'ala bersifat dengan 'Azimah yakni kebesaran pada kerajaan dan Perintahan dan tiada Ia tidur dan tiada mengantuk dan tiada lalai dan tiada ia mengambil faedah pada segala perbuatan-Nya dan Hukum-Nya tetapi tiada sunyi daripada Hikmah dan jika tiada (yakni tiada hikmah..pent) nescaya adalah perbuatan-Nya dan hukum-Nya sia-sia jua dan iaitu mustahil pada Hak Allah Ta'ala.


Dan tiada Ia bertempat dan tiada Ia bermasa kerana bahawasanya Allah Ta'ala itu ada dahulu dijadikan tempat dan zaman dan tiada Ia di dalam Alam dan tiada di luar Alam . Maka tiada Ia di dalam suatu dan tiada Ia di luar suatu . Maka sekaliannya mustahil dan serta demikian itu sekaliannya bahasa Allah Ta'ala terlebih hampir kepada hamba-Nya daripada urat leher seperti Firman-Nya (Dan kami terlebih hampir kepada hamba daripada urat leher) tetapi tiada seperti hampir segala jisim setengah dengan setengah nya. (Maka apabila) dicampak oleh Syaitan akan was was pada hati seorang bahawasanya Allah Ta'ala apabila tiada Ia jirim dan tiada Aradh dan tiada boleh dibahagi dengan suatu bahagi, maka apa hakikat-Nya dan betapa ada Ia ? Maka hendaklah ia berkata pada menolakkan yang demikian itu Tiada Mengetahui Akan Allah ta'ala melainkan Allah dan barang yang terlintas pada hati maka Allah Ta'ala menyalahi akan demikian itu. Firman Allah ta'ala (Tiada seumpama-Nya suatu dan Ia yang Maha Mendengar dan Yang Maha Melihat).


(Riwayat daripada Ibnu Umar) Sabda Nabi SAW bahawasanya Syaithan datang ia kepada seorang kamu maka berkata ia siapa menjadikan langit , maka berkata ia Allah, maka berkata ia siapa menjadikan bumi maka berkata ia Allah maka berkata ia siapa menjadikan Allah maka apabila mendapat seorang kamu akan demikian itu, maka hendaklah berkata ia (Amantu billahi wa rasulihi) nescaya larilah Syaitan itu daripadanya. Intaha


Tamat petikan Kitab.


Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)


1 comment: