Friday, November 20, 2009

Puaskan dirimu dengan Pandangan Allah kepadamu

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Fakir ingin berkongsi dengan saudara yang dimuliakan berkenaan kitab Al-Hikam karangan Al-Allamah Al-Arief Billah Al-Imam Al-Syaikh Ibnu Athoi'llah As-Sakandari r.anhu. Fakir menganjurkan kepada semua Umat Islam supaya memiliki kitab ini. Sesungguhnya kitab ini sarat dengan nasihat Iman yang sungguh terkesan di dalam hati. mari kita sama-sama renungkan nasihat Al-Syaikh r.anhu pada m/s 197:

"Hilangkan pandangan makhluk kepadamu kerana puas dengan penglihatan Allah kepadamu, dan lupakan perhatian makhluk kepadamu, kerana melihat Allah menghadap kepadamu"

Al-Ariff Billah Sahl bin Abdullah At-Tustary r.anhu berkata kepada kawan-kawannya: Seorang tidak dapat mencapai hakikat kewalian sehingga menghilangkan pandangan orang dari fikirannya, sehingga tidak melihat apa-apa di dunia hanya ia dengan Tuhan yang menjadikannya, sebab tidak ada seorangpun yang dapat menguntungkan atau merugikan. Atau menghilangkan perasaan diri (hawa nafsunya) sehingga tidak menghiraukan orang, dan tidak segan atau takut kepada mereka, apa saja yang akan terjadi.

Mengharap kepuasan dari semua manusia itu suatu tujuan yang tidak mungkintercapai, dan sebodoh-bodoh manusia siapa yang berusaha untuk mendapatkan apa yang tidak mungkin tercapai.

Luqman Al-hakim ketika memberi nasihat kepada puteranya : diajak masuk ke pasar dengan berkenderaan himar , dia yang berkenderaan dan anaknya yang menuntun. orang mencela : Orang tua kejam, dia berkenderaan dan anaknya disuruh berjalan. kemudian dia(Luqman Al-Hakim) suruh anaknya naik , tiba-tiba orang mencela: Dua orang naik satu himar. lalu turun luqman Al-hakim , dan anaknya tetap di atas , tiba-tiba ada orang mencela : Anak kurang ajar, bapak dijadikan buruh menuntun. kemudian turun keduanya menuntun himar, tiba-tiba orang mencela : Bodoh benar, himar tidak dinaiki hanya dituntun semata-mata. tujuan Luqman Al-Hakim untuk menunjukkan kepada puteranya bahawa orang yang beramal atau mengambil-ambil hati orang tidak selamat dari celaan mereka.

Kerana itu seorang yang sempurna akal fikiran di dalam beramal hanya menuju kepada hak, benar dan diredhai Allah, hanya itu sahaj yang dikerjakan.

Al-Syaikh Muhammad bin Aslam r.anhu berkata: Ada kepentingan apakah saya pada manusia padahal sejak saya dalam punggung ayah seorang diri, lalu di dalam perut ibu juga seorang diri dan keluar di dunia juga seorang diri, (yakni tidak melalui bantuan manusia) hingga mati dan masuk ke kubur juga seorang diri, dan menghadapi persoalan alam kubur kemudian menghadap kepada Allah dan masuk syurga atau neraka juga seorang diri, maka apakah keperluan saya dengan manusia?

Al-Arif Billah Al-Harits Al-muhasiby r.anhu ketika ditanya tentang tanda orang yang sungguh-sungguh ikhlas kepada Allah. Jawabnya: Seorang yang benar-benar ikhlas tidak hirau dinilai apa saja oleh sesama manusia, asalkan ia sudah benar hubungannya dengan Allah dan tidak ada orang mengetahui walau sekecil debu dari amal kebaikannya, dan tidak takut jika ada orang mengetahui amal perbuatannya yang tidak baik.

Sebab jika ia merasa enggan untuk diketahui orang kebusukannya, beerti ia ingin dipuji atau besar dalam pandangan orang, dan itu tidak termasuk kelakuan atau akhlak orang yang benar-benar ikhlas.

Tamat petikan kitab....Secara peribadi, bagi fakir, kitab-kitab tasawwuf adalah buku motivasi bagi fakir, dan secara peribadinya fakir kurang berminat membaca buku motivasi sekarang ...ntahlah kenapa, sebab bila baca kitab seperti Al-Hikam Bagi Syaikh Ibnu Atho'Illah r.anhu , Mnhajul Abidin bagi Imam Al-Ghazali r.anhu, dan Al-Fath Ar-Rabbani bagi Sultanul Auliya' Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani r.anhu, terasa cukup bermotivasi kerana mereka sentisa dalam mana-mana perbahasan yang dibawa, menghubungkaitkan tauhid dan akidah serta kehambaan seorang manusia kepada Khaliqnya iaitu Allah Azza Wa Jalla SWT. Adapun ini pada pandangan fakir, dan fakir mengesyorkan saudara-saudara yang dimuliakan turut cube membaca kitab-kitab ini yang berunsur nasihat-nasihat yang diberikan oleh mereka yang disepakati akan Umat Islam semasa dan selepas sampailah sekarang ini sebagai Imam Panutan Umat, Keimaman dan Keilmuan serta Kearifan mereka terhadap Agama Allah tidak dipertikaikan lagi.


Akhir kata, semoga Allah s.w.t. sentiasa meletakkan kita di dalam majlis ilmu, cintakan ilmu, cintakan orang yang menyampaikan ilmu, cintakan orang yang belajar ilmu, cintakan orang yang mencintai orang yang cintakan ilmu, dan cintakan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan ilmu yang membawa keredhaan-Nya....Amin

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Wednesday, November 18, 2009

Sifat hasad menurut Al-Imam Ghazali r.anhu

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Pada posting kali ini, fakir suka untuk berkongsi dengan saudara yang fakir muliakan berkenaan isu hasad, antara perkara yang membarah dalam masyarakat Melayu kita ini (beberapa bulan yang lepas, makcik fakir baru terkena buatan orang, satu family gatal-gatal dan timbul nanah satu badan, Alhamdulillah bila bawak berubat dan keluarkan "barang" yang ditanam oleh pihak yang hasad itu, kesemua mereka beransur pulih, semoga Allah s.w.t. memberi ganjaran sebanyaknya kepada mereka atas kesabaran menghadapi dugaan tersebut)

Maka fakir bawakan kitab Al-Bidayatul hidayah bagi Al-hujjah Al-Islam Al-Imam Al-ghazali r.anhu yg telah diterjemah oleh Al-Fadhil Al-Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi Al-Maliki HafizahUllah. Pada m/s 138:

Sifat hasad ini adalah bercabang daripada sifat bakhil kerana orang bakhil ialah orang yang tidak mahu meberikan sesuatu yang ada di tangannya kepada orang lain. Dan Syahih (bersangatan bakhil) ialah orang yang tidak mahu melihat kurnia Allah atau perbendaharaan Allah yang sebenarnya bukan perbendaharaannya tercurah kepada sesiapa sahaja daripada hamba Allah. maka Syahih lebih jahat daripada bakhil dan orang yang hasad ialah orang yang merasa keberatan bahawa Allah mencurahkan nikmat dan kurnia kepada salah seorang di antara hamba-hamba Allah, sama ada nikmat itu berupa ilmu, harta, kecintaan manusia atau apa sahaja habuan yang diberikan Allah kepada hamba-hamba-Nya sehingga orang yang hasad ini bercita-cita kalau boleh nikmat Allah itu hilang dari orang lain walaupun ia tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada hilangnya nikmat tersebut. Maka sifat hasad ini adalah kejahatan yang luar biasa.

Kerana itu, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sifat hasad itu memakan akan pahala kebaikan seperti api memakan kayu bakar"

Dan orang yang hasad ini sebenarnya sentiasa jauh daripada kasih sayang dan sentiasa berada dalam siksaan di dunia dan di akhirat nanti. Di dunia ini , ia terseksa dengan tekanan perasaan kerana bila-bila masa Allah selalu mencurahkan kurnia-Nya kepada orang ramai bahkan kepada kawan-kawan orang yang hasad itu yang ia mengenali mereka. Allah sentiasa mencurahkan nikmat ilmu, harta dan kedudukan maka sentiasa pula orang yang hasad itu dalam penyiksaan bila ia melihat kemurahan Allah terhadap orang lain. Maka begitulah keadaannya sampai ke akhir hayatnya.

Manakala di akhirat lebih dahsyat lagi kerana seseorang hamba tidak akan mencapai hakikat iman selama ia belum lagi mencintai bagi seluruh kaum Muslimin apa-apa yang ia cintai bagi dirinya sendiri bahkan sepatutnya hendaklah ia bersama dengan perasaan seluruh kaum muslimin baik dalam kesenangan ataupun dalam kesusahan kerana orang islam itu ibarat sebuah bangunan, di mana satu bahagian mengukuhkan bahagian yang lain dan seperti batang tubuh apabila mana-mana anggota merasa sakit maka penderitaan itu dirasakan oleh seluruh anggota badan yang lain. Jadi jika engkau mendapati hatimu bukan dalam keadaan seperti inimaka (sifat hasad masih wujud dalam hatimu dan ) hendaklah engkau berusaha untuk membersihkannya kerana usahamu dalam meninggalkan penyakit hati ini adalah lebih penting daripada engkau menyibukkan diri untuk mendalami ilmu furuk (cabang iomu fekah yang halus-halus) yang ganjil-ganjil dan memperdalami masalah-masalah yang dikhilafkan oleh para ulamak.

tamat petikan kitab.

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Tuesday, November 17, 2009

Mengapa Tauhid Tiga Serangkai ????


umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. – Gambar hiasan


SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a. Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim. Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulama di Tanah Melayu. Antara kenyataannya berbunyi:

“Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.

Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco.

Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini digunapakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya.

Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen.

Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek.

Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.

Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita? Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?

Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?

Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.

Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.

Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?

Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:

*Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar. Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu. Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.

*Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah. Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini. Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.

*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah. Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah. Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah. Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

*Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria. Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai. Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

*Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin. Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

*Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi`i, ulama besar Mekah. Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.

*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.

*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ. Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

*Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram. Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.

*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar. Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008. Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor. Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani. Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.

Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.

Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai.

Asas sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.

Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.

Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?

Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.

Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

- Utusan Malaysia 16 November 2009

Nasihat Yang Berguna

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Pada posting kali ini, fakir ingin berkongsi dengan saudara tentang nasihat-nasihat yang diberikan oleh Para Alim Ulamak r.anhum kepada Umat Islam Yang Tercinta ini. Sungguh Para Ulamak lah yang paling takut kepada Allah s.w.t. Lama jugak fakir tidak ambil tahu hal ehwal semasa yang berlaku di dunia ini kerana ada urusan lebih kurang empat hari bermula Sabtu sampai lah Selasa ni. Apapun banyak perkara fakir belajar dari urusan tersebut. Apapun marilah kita sama-sama renungkan KHUSUSNYA BAGI PENDAKWAH dan amnya pada seluruh Umat Islam yang tercinta ini tentang nasihat yang diberikan oleh Al-Imam Al-Ajal Al-Arif Billah Al-Syaikh Ibnu Atho'illah r.anhu di dalam kitab terkenalnya Al-Hikam. (Ana Off hand, jadi tak dapat nak bgtau secara tepat m/s baper, pada fasal ke berapa dan sebagainya)

Telah berkata Al-Arif Billah Al-Imam Al-Syaikh Ibnu Atho'illah r.anhu :

" APABILA ENGKAU MERASA GEMBIRA KERANA MENERIMA PEMBERIAN, DAN APABILA ENGKAU MERASA SEDIH KERANA MENGHADAPI PENOLAKAN, MAKA ITU TANDA ENGKAU MASIH BERSIKAP KEANAK-ANAKKAN DALAM MENGHAMBAKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT."

Selama mana hati ini berubah-ubah mengikut suasana , selagi itu belum sempurna kehambaan kita kepada Allah Azza wa Jalla. Para Muqarrabin dan Auliya' r.anhum tetap istiqamah pada hati mereka walau ditimpa berbagai ujian, penolakan, dan menerima berbagai pujian dan penghargaan. Semua itu tidak bernilai apa-apa di sisi mereka.

Kata Al-Syaikh lagi di dalam fasal yang lain , sesungguhnya pujian yang dihamburkan pada kita sebenarnya adalah kepada Allah Azza Wajalla. Ini kerana Allah Azza wa Jalla telah menutupi keaiban kekurangan-kekurangan yang ada pada kita sehingga sekiranya Allah Azza wa Jalla tidak menutupinya , nescaya tidak akan kita dipuji seperti yang kita terima. Lebih kurang maksud Syaikh rah.

Maka, setelah engkau mengetahui akan sedemikian, apabila orang memujimu, Maka pujilah Allah s.w.t. lebih banyak lagi kerana Dialah yang telah menutupi keabian dan kekuranganmu sehingga kau terpelihara maruahmu di sisi manusia...


Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Thursday, November 12, 2009

Tanda Kedewasaan Dalam Iman Tauhid

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Pada post kali ini, fakir ingin berkongsi bersama-sama saudara pembaca yang fakir muliakan lagi dihormati berkenaan kitab Al-Hikam bagi Al-Allamah Al-Arief Billah Al-Syaikh Ibnu Atho'illah r.anhu (Semoga Allah s.w.t. memanfaatkan kitab beliau kepada kita semua).


Pada Tajuk "Tanda Kedewasaan Dalam Iman Tauhid" , pada fasal yang ke-158

"Apabila engkau ketika diberi merasa gembira kerana pemberian, dan jika ditolak merasa sedih kerana penolakan, maka ketahuilah yang demikian itu sebagai tanda masih adanya sifat keanak-anakan padamu, dan belum bersungguh-sungguh dalam sifat kehambaanmu kepada Allah."

Selama engkau masih selalu berubah-ubah suasana hatimu ketika menerima nikmat atau ujian bala, maka nyata bahawa masih dipengaruhi oleh hawa nafsu, dan belum bersungguh-sungguh dalam sifat kehambaanmu kepada Allah, dan pengertian tehadap hikmat rahmat Allah terhadap sekalian makhluknya.

Fasal 159

"Jika terlanjur (terjadi) perbuatan dosa , maka yang demikian itu jangan sampai menyebabkan patah hatimu untuk mendapatkan istiqamah kepada Tuhan-mu, sebab kemungkinan yang demikian itu sebagai dosa terakhir yang telah ditaqdirkan bagimu"

Perbuatan dosa itu tidak menyalahi istiqamah dalam kehambaan, asalkan jangan terus menerus dan merupakan kegembiraan dalam melakukannya, tetapi bila semata-mata kerana terlanjur, dengan tidak ada sifat gembira dalam melakukan perbuatan tersebut, bahkan segera bertaubat daripadanya. Sebab manusia tidak akan mungkin dapat mengelakkan diri dari takdir yang telah tertulis baginya. Kerana itu, terjadinya putus asa dari tetapnya istiqamah dalam kehambaan kepada Allah s.w.t.

Fasal 160

"Apabila engkau ingin dibukakan oleh Allah pintu harapan,maka perhatikan kebesaran nikmat-nikmat dan rahmat Allah yang berlimpah-limpah kepadamu. Dan bila engkau ingin dibukakan bagimu pintu ketakutan, maka perhatikan amal perbuatanmu terhadap Allah."

Jika engkau selalu memperhatikan kebesaran dan padanya nikmat rahmat Allah kepadamu, pasti engkau akan selalu optimis dan berharap baik atau bersangka baik, sebaliknya jika engkau selalu memperhatikan kecurangan dan kekuranganmu terhadap Allah, maka pasti timbul daripadamu rasa takut kepada Allah. Dan kedua perasaan ini iaitu takut dan berharap kepada Allah, memang sifat-sifat yang harus ada pada tiap mukmin.


Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Wednesday, November 11, 2009

Tolong Sampaikan Sedekahku Ini Kepada Para Pelacur ....

Penulis : Ustaz Nazrul Nasir

Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “ Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?

Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.


Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala.Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin” yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.

Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.

Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.

Semoga Allah taala merahmatimu wahai Tuan Guru yang mulia.

Saya mendengar kisah tersebut daripada Guru Saya yang Mulia, Syeikhuna al-Allamah Dr Wafiq al-Hijazi al-Hanafi hafizahullah.

Al-Fatihah buat Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Al-Azhar al-Syarif,
Kaherah Mesir

Tuesday, November 10, 2009

Kebatilan Tauhid 3

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Fakir ingin berkongsi dengan saudra pembaca yang fakir muliakan lagi kasihi tentang isu 3T. Alhamdulillah, sahabat-sahabat fakir memberitahu bahawa mulai tahun depan, pelajaran 3T akan ditarik balik dari pengajaran sekolah-sekolah agama Johor. Sekarang, marilah kita sama melihat pada kitab Intabih Dinuka Fi Khatri (Agamamu Dalam Bahaya)(Kitab dalam simpanan fakir) karangan Al-Allamah Syaikh Abu Abdullah 'Alawi Al-Yamani rah. dan diterjemahkan oleh Al-Fadhil Al-Syaikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki HafizahUllah. Kitab ini telah disemak dan diberi kata-kata aluan oleh:

1. Syaikh Al-Allamah Abu Bakar Al 'Adni Ali Mahsyur - Salah seorang Ulama Besar 'Adn (Yaman) dan Mudir di Ribat Al 'Aidarus 'Adn

2. Syaikh Al-Allamah Ali Al Mahsyur Ibn Al-Syahid Al-Sayyid Muhammad Ibn Salim Ibn Hafiz - Anggota Majlis Fatwa di Tarim Hadramaut.

3. Syaikh Al-Allamah Husain Ibn Muhammad Al-Haddar - Penolong Mufti Al-Baidha' Yaman dan Mudir Maahad Al-Ilmi Baidha'

4. Syaikh Al-Allamah Muhammad Ibn Ahmad Al-Mutawakkil - Salah seorang Ulama Besar San'aa dan Qadhi Mahkamah Al-Isti'naf San'aa

5. Syaikh Al-Allamah Abu Bakar Ibn Muhammad Mahdi Al-Syaqqa' - Ulama Besar Abin dan mudir Ribat Al-Ilmi Mahfad.


Inilah kesaksian para ulamak r.anhum, pengiktirafan mereka menaikkan kitab ini ke satu tahap yang boleh diyakini dan diperpegangi. Fakir menasihatkan diri ini dan saudara pembaca supaya belajar dan membaca melalui kitab-kitab yang telah ditashih, disemak dan diakui Para Ulamak Terulung R.anhum.

Pada m/s 33 , Soalan ke-5:

Apakah Hukumnya membahagikan ilmu Tauhid?

Jawapan:

Hukum membahagikan ilmu tauhid ialah Bid'ah yang sesat kerana bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah. Malah ia tidak thabit di dalam Al-Quran , daripada Rasulullah s.a.w. dan juga Salafus-Soleh r.anhum.

Soalan ke-6:

Apakah Dalil bagi golongan yang membahagikan ilmu Tauhid?

Jawapan:

Golongan yang membahagikan Ilmu Tauhid beri'tiqad bahawa Tauhid terbahagi kepada 3 bahagian: iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, dan tauhid Asma' dan Sifat. Mereka berpegang dengan dalil-dalil di bawah:

Firman Allah s.w.t.:

"Kami tidak menyembah atau memujanya(berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya" (Al-Zumar:3)

Firman Allah s.w.t:

"Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)? Sudah tentu mereka akan menjawab :"Allah" (Al-Ankabut: 61)


Soalan 7:

bagaimana kah cara untuk menolak dalil-dalil mereka dan apakah maksud sebenar dalil-dalil tersebut?

Jawapan:

Makna Firman Allah s.w.t. :

"Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allag s.w.t. sedamping-dampingnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)." (Al-Zumar :3)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa orang-orang musyrik menyembah berhala. Bahkan, Al-Quran menyebut, bahawa mereka tergolong di dalam golongan kuffar pada akhir ayat.

Maka bagaimanakah pula ayat ini boleh dijadikan dalil bagi menunjukkan bahawa mereka adalah dari kalangan ahli Tauhid dengan Tauhid Rububiyyah dan bukan dengan ahli Tauhid dengan Tauhid Uluhiyyah. Pada perkataan mereka sendiri terdapat percanggahan. ketika mereka menyatakan seseorang itu ahli Tauhid, dalam masa yang sama mereka menyatakan orang itu adalah musyrik.

Manakala Firman Allah s.w.t.:

"Dan Sesungguhnya jika engkau (wahai muhammad) bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang emmudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)? Sudah tentu mereka akan menjawab, "Allah". Maka bagaimanakah mereka tergamak melakukan pembohongan? (Al-Ankabut:61)

Sesungguhnya orang-orang kafir ketika berbincang dan berhujah sahaja mereka menyatakan bahawa Allah itu adalah Pencipta, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman kepada Allah (mereka hanya menipu dan membohongi orang islam, kerana mereka telah kalah ketika berhujjah ataupun hendak menyelamatkan diri). Al-Quran telah meyebut tentang pembohongan mereka sebagaimana yang tercatat dalam ayat yang terakhir:

"Maka bagaimanakah mereka tergamak berpaling daripadanya dengan melakukan pembohongan?"

Menurut Al-Mufassir Al-Imam Abu Abdillah Al-Qurtubi di dalam tafsirnya "Malah pembohongan daripada kepura-puraan mereka adalah lebih dahsyat dan teruk daripada perbuatan menipu".

Tamat Petikan Kitab. Semoga Allah membalas Syaikh Abu Abdullah Al-Yamani rah. dengan sebanyak kebaikan. Para Ulamak Yaman telah memberi kesaksian atas kitab beliau. Fakir ingin membawakan pujian Rasulullah s.a.w. ke atas orang Yaman di dalam Sahih Muslim pada Bab Iman. Siapa yang mempunyai handphone MyIman bolehlah tengok yer.

Hadis diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Mas'ud r.anhu , ia berkata, Nabi s.a.w. pernah memberi isyarat dengan tangan ke arah Yaman seraya bersabda :

" Ingatlah sesungguhnya Iman ada di sana sedangkan kekerasan dan kekasaran hati ada pada orang-orang yang bersuara keras dekat pangkal ekor unta ketika muncul sepasang tanduk Syaitan yaitu pada golongan Rabiah dan Bani Mudhar" (H.R Muslim)

Pada Hadis ke-31,

Hadis riwayat Sayyidina Abu Hurairah r.anhu, ia berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

"Penduduk Yaman telah datang . Mereka lebih halus hatinya. Iman ada pada orang Yaman, Fikih ada pada orang Yaman , dan Hikmah ada pada orang Yaman" (H.R. Muslim)


Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)