Renungan

Tuesday, May 25, 2010

Harus Atas Allah Ta'ala mencipatakan kebaikan dan keburukan

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Setelah lama tidak menulis kerana terlibat dalam penulisan di beberapa tempat yang lain, maka fakir ingin berkongsi dengan saudara akan sedikit faedah dari Kitab Tuhfatul Murid Hasyiah 'Ala Matni Jauharatut Tauhid di mana Matannya dikarang oleh Al-Imam Al-Allamah Syaikh Ibrahim Al-Laqqoni r.anhu dan disyarahkan oleh Syaikhul Azhar , Al-Imam Ibrahim bin Muhammad Al-Baijuri r.anhu. Pada bait ke-53 :

"Dan Jaiz (harus..pent) atas Allah Ta'ala menciptakan keburukan dan kebaikan seperti Islam dan kejahilan yakni kekafiran."

Pada bait ini, musannif (iaitu Imam Al-Laqqani r.anhu) membicarakn masalah penciptaan. Maka dia menyebut bahawa mazhab Ahlus Sunnah adalah : jaiz atas Allah Ta'ala menciptakan kebaikan dan keburukan.

Lain halnya dengan Muktazilah yang mengatakan bahawa sesungguhnya hamba itulah yang menciptakan perbuatan-perbuatan dirinya yang ikhtiari, baik ataupun buruk.

Dan Muktazilah menyepakati bahawa Allah Ta'ala itu berkehendak pada kebaikan dan menyalahi bahawa Allah Ta'ala itu berkehendak kepada keburukan maka mereka (Kaum Muktazilah) berkata :

"Tercegah atas Allah Ta'ala berkehendak pada keburukan." Mereka (muktazilah..pent) mendasarkan yang demikian itu atas kaedah mereka yang fasid berupa tahsin dan taqbih yang aqli keduanya.

Di dalam mengukuhkan pendapatnya itu, Muktazilah berdalil bahawa : mengkehendaki kejelekan adalah jelek dan mengkehendaki keburukan adalah buruk dan Allah Ta'ala disucikan dari kejelekan dan keburukan.

Dan ditolak dalil ini kerana tidak suatu pun yang buruk dari Allah SWT, hanyalah samar atas kita kebaikannya.

Dan Muktazilah berdalil juga bahawa emberi seksa atas apa-apa yang dikehendaki Allah adalah zalim dan Allah Ta'ala disucikan dari kezaliman. Dalil inipun ditolak kerana itu adalah tasharruf (perlakuan) pada kerajaan-Nya sendiri dan dia tidaklah dihitung kezaliman berdasarkan bahawa Allah SWT itu tidak ditanyai apa yang Dia perbuat.

Dihikayatkan bahawa Iblis laknatullah pernah menjelma di hadapan Al-Imam Syafi'e r.anhu dan berkata: "Wahai Imam, apa pendapatmu terhadap Zat Yang menciptakanku untuk sesuatu yang Dia pilih dan mempergunakanku pada sesuatu yang Dia pilih dan sesudah kemudian jika Dia mahu maka Dia memasukkanku ke dalam syurga dan jika Dia mahu maka Dia memasukkanku ke dalam neraka. Adilkah Dia atau tdak...?

Berkata Al-Imam Syafi'e r.anhu " Aku telah memikirkan masalahnya itu secara mendalam maka Allah Ta'ala mengilhamkanku agar berkata : "Wahai engkau ini !! Jika Dia menciptakanmu untuk sesuatu yang engkau inginkan , maka Dia telah berbuat zalim padamu, dan jika Dia menciptakanmu untuk sesuatu yang Dia inginkan maka tidaklah Dia ditanya tentang apa yang Dia kerjakan sedangkan semua manusia akan ditanya."

Mendengar itu, iblis pun lenyap, kemudian berkata : "Demi Allah wahai Syafi'e, bahawa sesungguhnya aku telah mengeluarkan dengan masalahku ini 70,000 orang abid dari tempat ibadahnya ke tempat orang-orang kafir zindiq."

Dan tidaklah dibantah mazhab Ahlussunnah itu dengan hadis yang berbunyi "kebaikan itu dengan tanganMu sedang keburukan bukanlah kepada-Mu." kerana makna hadith ini bahawa kebaikan itu adalah dengan Qudrat dan IradatMu sedangkan keburukan tidaklah didekatkan kepada-Mu.

Dan lazim atas mazhab Muktazilah itu bahawa sebahagian besar dari kejadian-kejadian di kerajaan Allah ta'ala ini bukanlah sesuatu yang dikehendaki oleh-Nya kerana keburukan lebih banyak dari kebaikan. Dan ditolak pula oleh sabda Nabi SAW :

"Apa saja yang dikehendaki Allah , nescaya dia ada dan apa saja yang tidak dikehendakinya nescaya dia tidak ada."

Tamat....

Ya Allah, pertemukan kami dengan Junjungan kami, kekasih kami, Sayyidina wa Maulana Nabi Muhammad SAW..Ya Rasulullah, kenangkan kami disisi Tuhan-Mu...Allah...Allah..
.

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini. Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

Saturday, May 22, 2010

Luaskan Makna Politik

Oleh : Sohibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak.

Sebagai seorang Mufti, saya bertanggungjawab menjelaskan kepada orang ramai bahawa mafhum politik adalah lebih luas daripada hanya berpolitik secara kepartian. Berpolitik secara kepartian hanyalah satu wasilah daripada banyak wasilah lain yang akan menyampaikan kepada maksud politik yang lebih luas itu.

Apa yang saya dapati kebanyakan orang Islam khususnya orang Melayu terperangkap dengan definisi yang sempit ini sehingga menghabiskan banyak masa, tenaga, buah fikiran dan menambahkan jurang perbezaan sesama Muslim sedangkan matlamat asal politik itu semakin jauh dari jangkauan. Kebanyakan ahli masyarakat tidak lagi melihat politik dari sudut ilmu dan falsafah sebenarnya tetapi lebih terpengaruh dengan tindakan dan gelagat ahli-ahli politik yang mewarnai iklim berpolitik tanah air. Berpolitik sering difahami dan dilatari dengan perebutan kuasa, pertikaman lidah, tuduh menuduh, gelar menggelar dan sebagainya .

Politik dari sudut bahasa yang mudah untuk difahami menurut sebahagian ilmuwan adalah melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada perkara itu. Manakala dari sudut kemasyarakatan bermaksud mengurus secara bijaksana dan pandangan dengan analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia juga membawa makna sekumpulan hal ehwal urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Politik juga dapat diertikan sebagai satu kegiatan ummah menyokong dan mendokong usaha melaksanakan syariat untuk merealisasikan Islam yang syumul dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang menjadi penerajunya. (Umat dan Negara dalam Syariat Islam karangan Dr. Abdul Karim Zaidan).

Saya sangat risau dalam pertembungan aliran politik Melayu antara aliran Islamis dan nasionalis akan menjerumuskan mereka menggunakan pendekatan aliran falsafah Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan sebarang cara (ends justify the means) .Perkembangan mutakhir ini menjelmakan wajah-wajah Melayu yang lebih mesra dengan kehendak orang bukan Islam baik di pihak pemerintah mahupun pembangkang.

Kenyataan ini mungkin ditafsirkan sebagai asabiah oleh sesetengah pihak namun, saya berpegang kepada definisi asabiah yang diberi oleh Nabi Muhammad SAW menerusi hadis Baginda SAW: Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadith) bertanya: Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiah, puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda saw: Tidak, tetapi asabiah adalah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya). Imam Al-Munawi ketika mensyarahkan perkataan asabiah lalu berkata: "Iaitu membantu kezaliman…" (rujuk Aun Al-Ma'bud)

Adapun tentang kecintaan terhadap sesuatu bangsa, Rasulullah saw sendiri ada menegaskan mengenai kecintaan terhadap bangsa Arab sebagaimana dalam hadis: "Kecintaan terhadap bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan dan kebencian kepada mereka adalah (tanda) kemunafiqan (Imam Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih walaupun tidak diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim.)

Terlibat

Sikap saya terhadap bangsa Melayu adalah amat jelas dalam banyak kenyataan saya sebelum ini. Saya tidak sekali-kali membela bangsa ini jika ia terlibat dalam kemaksiatan dan kemungkaran. Kenyataan saya terhadap Sure Heboh, gejala vandalisme, teguran saya terhadap cadangan kerajaan untuk melesenkan judi kejohanan bolasepak Piala Dunia adalah sedikit contoh bahawa saya tidak bertolak ansur dalam soal syariat Allah. Bagi bangsa Melayu yang saya cintai ini, saya melihat perpecahan sesama Muslim adalah maksiat yang besar dan soal perpaduan adalah sesuatu yang tidak ada tawar menawar dan perlu ditandai dengan harga mati!

Dalam keghairahan berpolitik berparti saya mengingatkan orang Melayu Muslim agar kembali kepada Allah SWT menerusi firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani. (terjemahan ayat 11 dan 12 surah al-Hujurat)

Setiap orang Islam segenap peringkat wajib kembali kepada "usul" perpaduan yang terkandung dalam ayat-ayat tersebut. Saya merasa yakin, tidak guna jika segelintir orang Melayu Islam memegang tampuk pemerintahan sedangkan yang lain terus bercakaran.

Salah satu mekanisme yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menyatupadukan umat Islam adalah melalui masjid. Saya menyatakan satu ketika dahulu apabila kita pergi ke masjid, tinggalkan politik di pagar masjid, tetapi ramai yang tersalah anggap malah menuduh saya jahil sejarah kerana memisahkan politik dari masjid. Politik yang saya minta supaya disangkut di tepi masjid adalah politik yang memecahbelahkan masyarakat, politik yang menyebabkan penyokong sesuatu parti tidak akan duduk mendengar majlis ilmu yang disampaikan oleh seteru parti politiknya.

Namun hal ehwal umat Islam yang perlu diurus dengan baik dari sudut pemerintahannya, budayanya, ekonominya sudah tentu tidak dilarang. Satu lagi fakta sejarah yang mungkin terlepas pandang adalah ramai mengatakan apa salahnya bercerita hal-hal politik di dalam masjid. Saya berpandangan tidak ada salahnya jika ia akan menjadikan umat Islam lebih bersatu padu dan menjadi umat yang lebih kuat bekerja memakmurkan dunia ini.

Dihentikan

Tetapi jika menjadikan umat ini lebih parah berpecah belah, mengecilkan skop politik hanya dengan berparti, maka saya katakan hendaklah perbuatan itu dihentikan. Apabila kita kembali kepada sejarah, memang Nabi SAW banyak menguruskan hal ehwal umat di dalam Masjid Nabawi namun kita harus tahu bahawa lokasi rumah Nabi SAW adalah amat dekat dengan masjidnya maka sudah tentu penurunan wahyu yang bertalian arus dibacakan oleh Nabi SAW di masjid kerana berdekatan dengan rumahnya.

Apabila wilayah Islam semakin berkembang dan hal-ehwal umat Islam diurus secara berinstitusi maka secara langsung hal-ehwal berkenaan diurus melalui institusi berkenaan sebagai contoh urusan kehakiman diurus oleh mahkamah, urusan kesihatan diurus oleh hospital dan sebagainya.

Apa yang berlaku sekarang segelintir masjid dijadikan gelanggang caci mencaci dan umpat mengumpat yang jelas diharamkan Allah SWT seperti yang terkandung dalam ayat 10-11 surah al-Hujurat yang bermaksud: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10) Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (11)

Apatah lagi perbuatan yang haram atau dilarang oleh agama ini, jika dilakukan pula di dalam masjid, sangat besar dosanya. Perbuatan ini sebenarnya, adalah hasil hasutan Iblis seperti yang difirmankan Allah SWT dalam surah al-Dzukhruf : 36-37: Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (36) dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (37)

Atas sebab inilah pihak berkuasa agama mengambil pendirian melarang sebarang kegiatan politik kepartian di masjid.

Larangan berpolitik di masjid hendaklah difahami seperti penjelasan di atas. Saya juga berharap semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang memahami hal ini serta hormat dengan peraturan larangan berpolitik di masjid sama ada dengan ungkapan , simbol-simbol parti atau aktiviti politik yang berselindung dengan majlis bacaan yasin dan sebagainya untuk memenangkan calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya.

Buat akhirnya, bagi saya, setiap orang berhak berpolitik walaupun tidak berparti!

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Friday, May 7, 2010

Jangan sakiti Rasulullah

SESIAPAPUN akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada di antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan itu dengan sabdanya, "Jangan engkau mencerca mereka yang mati, lalu engkau menyakiti mereka yang hidup." (Riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu, tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menganggapnya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan dibetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpunca daripada dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satunya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu'ara' yang bermaksud, "dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud". Ibnu 'Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya, sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa':15, al-An'aam:131, al-Syu'araa', al-Nisaa':165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba':44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna 'abi' dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud 'ayah' kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW.

Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa Arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An'aam : 74). Ada juga pandangan ulama bahawa kedua-dua hadis Riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihat betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn 'Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, "Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta'dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama' Makkah, Al-'Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum'ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasih-Nya dalam rantaian keturunan hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini, mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Ini kerana, bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah yang dipertanggungjawabkan. Bagi masyarakat pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di TV dan popular di internet tidaklah semestinya dijamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Penulis ialah Ali Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Tuesday, May 4, 2010

SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN II

JABATAN AKIDAH DAN PEMIKIRAN ISLAM

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya seperti yang ada pada hari ini merupakan gabungan antara Jabatan Pengajian Islam dan Akademi Islam. Pada mulanya, kedua-dua institusi ini merupakan dua buah institusi yang berasingan dan mempunyai sejarah serta tradisi keilmuan Islam yang panjang sejak 1959 dengan penubuhan Kolej Islam Malaya dan diikuti dengan penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) pada 1965.

Jabatan Pengajian Islam ditubuhkan pada tahun 1959, hasil daripada hubungan yang formal antara Kolej Islam Malaya pada waktu itu dan Universiti Malaya. Sejak itu, Majlis Kolej Islam berfungsi sebagai Penguasa Eksekutif kepada Jabatan berkenaan, manakala Senat Universiti Malaya pula mengawasi segala yang berhubung dengan hal-hal akademik. Apabila Kolej Islam Malaya dibubarkan pada tahun 1970, Jabatan Pengajian Islam telah diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis dan Senat Universiti Malaya. Selama tempoh tersebut, sehingga ia bergabung dengan Akademi Pengajian Islam pada bulan April 1996,Jabatan ini merupakan sebuah Jabatan di bawah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Akademi Islam pula ditubuhkan pada tahun 1981, hasil pengambilalihan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), yang telah ditubuhkan sejak 1965. Penubuhannya dirasmikan pada 1 April 1981 oleh Datuk Musa Hitam, Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu. Dua fakulti ditubuhkan iaitu Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin, satu program ijazah iaitu program Sarjana Muda Pendidikan Islam dan satu program matrikulasi iaitu Pra Akademi Islam.

Pada tahun 1996, Akademi Pengajian Islam terus berkembang dengan penubuhan 9 buah Jabatan dan salah satunya adalah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam. Jabatan ini menawarkan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam) dan Ijazah Sarjana Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam) serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Jabatan ini juga pernah menawarkan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Alam Hayat) dan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Fizik) dari tahun 2002/2003 hingga 2006/2007 yang dibuat secara usaha sama antara Akademi Pengajian Islam dengan Fakulti Sains, Universiti Malaya.

PENDAHULUAN

Mazhab akidah yang telah diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Asy’ari (m. 324 H/ 932 M.) dan Abu al-Mansur al-Maturidi (m. 336 H/ 944 M) merupakan dua aliran pemikiran akidah yang telah disepakati oleh ijma’ ulama sebagai satu pegangan mazhab ahl Sunnah wa al-Jama’ah yang muktabar. Kewibawaan aliran pemikiran akidah ini dalam mempertahankan pegangan akidah yang sahih tidak dapat disangkal memandangkan ia adalah bersumberkan kepada dua sumber rujukan utama Islam iaitu al-Qur’an dan al-Hadith. Namun, malangnya kini, terdapat sesetengah masyarakat yang cuba mempersoal dan mempertikaikan kedudukan al-Asha`irah sebagai mazhab arus perdana di Malaysia seolah-olahnya mazhab ini bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang ditafsirkan mereka secara literal dan bebas tanpa sebarang ikatan dengan tradisi keilmuan Islam yang diperakui. Atas hujah ulama tidak boleh disucikan kerana mereka bukan maksum, prinsip-prinsip pegangan akidah dan syariat yang telah diijma` dan dipertikai oleh segelintir tokoh sanjungan mereka, cuba ditolak menerusi pelbagai cara dan wasilah dalam rangka untuk mengarusperdanakan fahaman mereka yang terpencil dalam wacana kelimuan Islam sejak zaman berzaman. Tema seruan kembali kepada al-Quran dan memerangi bidaah dipalu siang dan malam untuk mempertikai perkara-perkara khilafiah yang sudah menjadi amalan tradisi masyarakat Islam sedari awal lagi.

Menyedari kepentingan memperkasa tradisi al-Asha`irah yang menjadi pegangan zaman berzaman umat Islam di Malaysia dan keperluan mendepani cabaran mutakhir al-Asha`irah, khususnya di Malaysia, maka Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, dengan sokongan beberapa agensi kerajaan bercadang untuk menangani isu ini dengan menganjurkan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan II di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Seminar ini adalah kesinambungan dari Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan I yang dianjurkan pada tahun 2003. Harapan penganjur, seminar ini akan merungkai kecelaruan beberapa aliran pemikiran akidah dan menangani beberapa cabaran mutakhir aliran al-Asha`irah di Malaysia. Dengan hasrat seminar ini boleh menjadi medan kepada wacana ilmiah yang bakal menghasilkan idea-idea yang bernas untuk melihat wujudnya suasana ummah yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni di Malaysia sebagaimana yang kita alami sejak sekian lama, pihak penganjur mengharapkan kerjasama dan sokongan yang kuat daripada pihak agensi-agensi kerajaan, sektor korporat dan individu-individu yang prihatin sama ada dalam bentuk material dan moral. Semoga sokongan yang diberikan akan memberi semangat kepada jabatan kami bagi menerusikan program-program sebegini pada masa-masa yang akan datang demi untuk Malaysia yang sejahtera.


ATUR CARA SEMINAR ( terkini - 29/04/2010)

HARI PERTAMA [20 Julai 2010 (SELASA)]

08.00 – 08.30 Pendaftaran
08.45 – 09.45 Pembentangan Utama 1 (Balai Ilmu)
“Akidah Asya`irah dan Cabaran Mutakhir di Malaysia”

10.00 – 11.00 Pembentangan 1 :
11.00 – 11.15 Rehat/ Minum
11.15 – 12.15 Pembentangan Utama 2 (Balai Ilmu)
“Apakah Muhammad `Abdul Wahab tokoh Mujaddid”

12.30 – 01.30 Pembentangan 2 :
01.30 – 02.30 Rehat / Makan Tengah hari
02.30 – 04.45 MAJLIS PERASMIAN
"Y.B. SENATOR MEJAR JENERAL DATO' JAMIL KHIR BIN BAHAROM (B)"
05.00 – 05.15 Minum Petang



HARI KEDUA [21 Julai 2010 (RABU)]

08.45 – 08.55 Kehadiran Peserta
09.00 – 10.30 Pembentangan Utama 3 (Balai Ilmu)
“Konsep Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah: Satu Penilaian”

10.30 – 10.45 Rehat/ Minum
10.50 – 11.50 Pembentangan 3 :

12.00 – 01.30 Pembentangan Utama 4 (Balai Ilmu)
“Pro dan Kontra Mengenai Tawassul dalam Aliran Pemikiran Islam”

01.30 – 02.30 Rehat / Makan Tengah hari
02.30 – 03.30 Pembentangan Utama 5 (Balai Ilmu)
“Pendekatan Wasatiyyah dalam Aliran `Asya`irah”

03.40 – 04.40 Pembentangan 4 :
04.50 – 05.00 Minum Petang

ANTARA TAJUK-TAJUK YANG BAKAL DIBENTANGKAN:

1. Pendidikan Akidah Menerusi Huraian Sifat 20 di Malaysia - Prof. Madya Dr Mudasir Rosder [UKM]
2. Sejarah Perkembangan Aliran Pemikiran Wahabi - Hj. Zaidi Hj. Hassan [Pengkaji Bebas]
3. Pemikiran Akidah Muhammad `Abdul Wahab dan Ibn Taymiyyah: Satu Analisis Perbandingan - Dr Abdol Rahman Mahmood [UKM]
4. Pro dan Kontra Mengenai Tawassul Dalam Aliran Pemikiran Islam - Prof. Madya Dr Mohd Fakhruddin Abd Mukti [UM]
5. Pro dan Kontra Mengenai Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah Menurut Muhammad bin `Abd al-Wahhab - Prof. Madya Dr Mohd Fauzi bin Hamat [UM]
6. Pendekatan Wasatiyyah Dalam Aliran al-Asha`irah - Prof. Madya Dr Wan Suhaimi bin Wan Abdullah [UM]
7. Konsep Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah : Satu Penilaian - Prof. Madya Dr Asmadi Mohd Naim [UUM]
8. Aliran Salafi Moden Menurut Yusuf al-Qaradawi - Mohamad Kamil Hj Ab Majid [UM]
9. Pendekatan Abu Hasan al-Ash`ari dan Ibn Taymiyyah Dalam Perbahasan Sifat-sifat Allah - Prof. Madya Dr Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim [UM]
10.Ayat Mutasyabihat menurut Sheikh Zainal Abidin al-Fatani dalam Kitab `Aqidah al-Najin - Dr Faizuri bin Abdul Latif.

Sumber Asal : http://seminar-pemikiran-islam.blogspot.com/

Monday, May 3, 2010

Tertulis Nama Nabi Muhammad SAW di Arasy

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Kali ni fakir ingin berkongsi dengan saudara yang dikasihi akan kitab Keistimewaan Nabi Muhammad SAW karangan Sayikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki , m/s 104:

Sesungguhnya Allah Ta'ala telah menulis nama baginda SAW yang mulia di Arasy di setiap langit dan syurga. Diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu Asakir r.anhu daripada Ka'ab. Al-Hakim Al-Baihaqi dan Al-Tabrani mengetengahkan hadis yang berasal daripada Umar Al-Khattab r.anhu:

Daripada Abu Nu'aim, dan Ibnu Asakir, Umar Al-Khattab r.anhu berlkata Rasulullah SAW bersabada :

"Setelah Nabi Adam AS melakukan kesalahan memakan buah Khuldi, maka dia pun bermohon wahai Tuhan demi kebenaran Muhammad mudah mudahan Engkau mengampuni kesalahanku"

Allah SWT bertanya (padahal Allah SWT Maha Mengetahui..pent) "Bagaimanakah kamu mengenal Muhammad ? Adam AS menjawab "ketika Engkau menciptaku dengan kekuasaan-Mu dan setelah Engkau meniupkan roh ciptaan-Mu kepadaku, aku mengangkat kepala ku dan au melihat di tiang-tiang Arasy tertulis "Lailahaillah Muhammadurrasulullah" Maka aku ketahui bahawa Engkau tidak akan menempatkan nama lain di disamping nama-Mu kecuali seseorang makhluk yang paling Engkau cintai. Allah SWT menjawab "Wahai Adam, benarlah kamu, Kalau tidak kerana Muhammad SAW , niscaya aku tidak akan menciptakan kamu"

Begitu juga Al-Hakim mengetengahkan hadis yang kesahihannyadiakui oleh Imam As-Subki dan Imam Al-Balqini, iaitu hadis yang berasal daripada Ibnu Abbas r.anhu , Rasulullah SAW bersabda :

"Allah SWT telah mewahyukan pada Nabi Isa AS : Hendaklah kamu beriman kepada Muhammad dan suruhlah umatmu beriman kepadanya. Sekiranya tidak kerana Muhammad SAW maka aku tidak akan menjadikan Adam AS, syurga dan neraka. Aku telah menciptakan Arasy di atas air , namun ia bergoncang. Maka Aku tulis di atasnya "Lailahaillallah Muhammad Rasulullah" Maka tenanglah ia."

Hadis ini juga dijadikan dalil oleh Imam Muhammad Yusuf Syami rah. di dalam kitabnya yang terkenal "Al-Sirah Al-Syamiah" . Beliau mengatakan bahawa Hadis tersebut diriwayatkan oleh Abu Syaikh di dalam Tobaqah Al-Isfahaniyyin. Dan kebenaran hadis ini diakui oleh Al-Subki dan Al-Balqini di dalam fatwanya.

Tamat...

Ya Allah, pertemukan kami dengan Junjungan kami, kekasih kami, Sayyidina wa Maulana Nabi Muhammad SAW..Ya Rasulullah, kenangkan kami disisi Tuhan-Mu...Allah...Allah...

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini. Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)