Renungan

Saturday, September 10, 2011

Penerangan yang jelas bagi mereka yang menyebut "Allah SWT nak uji, Allah SWT nak tahu" !!!!!


Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Sekian lama faqir melihat status sahabat-sahabat mahupun yang bukan, menulis mengenai "UJIAN" Allah SWT , "Allah SWT nak lihat", dan yang seumpama dengannya. Bukan ingin bersangka buruk, tetapi kita tidak dapat menafikan realiti masa kini di mana Ilmu Tauhid itu semakin diabaikan. Perjumpaan faqir dengan seorang pemimpin tertinggi persatuan Islam dua tahun yang lepas bagi membincangkan masalah Akidah ini juga menguatkan lagi kebimbangan faqir terhadapat gejala kejahilan dalam Ilmu Tauhid, kerana beliau sendiri tidak menguasai Ilmu Tauhid setalah dijui beberapa soalan mudah, maka apatah lagi orang biasa. Dan kita sedia maklum, bahawa status yang ditulis di laman sosial ini akan dilihat oleh berbagai-bagai golongan manusia, sama ada yang alim, jahil mahupun jahil murakkab. Maka, perlulah diperjelaskan makna-makna seperti "UJI" dan "NAK LIHAT" yang disandarkan kepada Allah SWT ini supaya tidak mengheret kepada kefahaman yang boleh membawa kepada Kufur dan Murtad.

Tersebut di dalam Kitab 'Aqidatun Najin Fi 'Ilmi Usuliddin bagi Asy-Syaikh Zainul Abidin bin Muhammad Al-Fathani Rahimahullah, m/s 47, baris 11 dari atas, lebh kurang ruminya :

"Maka telah sempurna dua puluh sifat yang Mustahil atas Tuhan kita Jalla Wa 'Azza. Maka inilah bahagi yang kedua yang WAJIB atas tiap-tiap Mukallaf mengetahui dia, atas jalan Tafshiliy (terperinci) supaya kita nafikan sekaliannya itu daripada Tuhan kita. Kerana sekalian itu tiada layak bagi Tuhan kita. (Dan) barangsiapa iktikadkan salah suatu darip-ada yang MUSTAHIL itu, tsabit (menetapkan) bagi Tuhan kita. Maka, iaitu jadi KAFIR, maliankan orang yang diuzurkan dia oleh syarak kerana baharu masuk Islam."

Tersebut di dalam Kitab Risalah Tauhid, bagi Asy-Syaikh Haji Abdul Ghani Yahya, m/s 31-32, baris 4 dari bawah :

"Wajib atas tiap-tiap Mukallaf mengetahui Sifat-Sifat yang mustahil pada Tuhan, yang jadi lawan daripada Sifat 20 yang Wajib baginya, dengan dinyatakan satu persatunya.

Manakala telah ditetapkan satu persatu Sifat yang Wajib bagi Allah Ta'ala 20 Sifat, maka tetaplah MUSTAHIL lawannya yang kekurangan itu, kerana yang dituntut pada ilmu ini mensabitkan (menetapkan) segala 'Aqaid (Aqidah) atas Jalan Tafshil (terperinci) pada segala Sifat. Dari itu, terlalu besar SALAH mereka yang tiada mengetahui hal (Aqidah dan Tauhid) ini, lebih daripada tiada mengetahui hukum-hukum Fiqh. Kerana, JAHIL akan barang yang wajib bagi Allah Ta'ala dan yang MUSTAHIL atas-Nya, dihukumkan KAFIR. Tetapi, JAHIL akan hukum-hukum Fiqh, hanya MAKSIAT JUA."

Baik, marilah kita melihat apakah yang disebutkan oleh Para Alim Ulamak Rahimahulllah berkenaan permasalahan ini.

Tersebut di dalam Kitab Tafsir Al-Quran Al-'Azim (Tafsir Ibnu Katsir), bagi Imam Abu Al-Fida' Al-Hafizh Ibni Kathir Rahimahullah, Juzuk 1, m/s 239, baris 8 dari atas, Cetakan Maktabah Mustafa Ahmad, Mekkah Al-Mukarramah :

"Dan Firman Allah SWT : "Dan tidaklah Kami jadikan Qiblat engkau yang dahulu itu, melainkan supaya KAMI DAPAT TAHU orang-orang yang mengikut Rasul."(Surah Al-Baqarah: 143)

Tafsir -Berfirman Allah Ta'ala : "Hanya sesungguhnya !! Kami syarakkan atau perintahkan kepada engkau (Hai Muhammad) akan kerja menghadap Qiblat pada awalnya ke arah Baitul Maqdis. Kemudian kami palingkan(tukarkan) akan engkau daripadanya ke arah Kaabah pula, supaya NAMPAK ZAHIRLAH hal keadaan orang-orang yang mengikut akan engkau dan mentaati akan engkau, dan menghadap Qiblat Kaabah bersama engkau sekira-kira ke mana sahaja engkau menghadap."Tamat petikan.

Maka, bukanlah maksud dari Firman Allah SWT ini Allah SWT nak mengetahui, kerana Allah SWT itu Maha Mengetahui, tetapi hendak menzahirkan siapa yang mentaati Rasul dan siapa yang tidak sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnu Kathir Rahimahullah.

Dan tersebut di dalam Kitab Tuhfatul Murid Hasyiah 'Ala Matni Jauharah At-Tauhid, bagi Al-Allamah Al-Imam Ibrahim bin Muhammad Al-Baijuri Rahimahullah, m/s 42, baris 3 dari atas , Cetakan Dar Ihya' Kutubil 'Arabiyyah, Indonesiyya. :

"Dan barang yang ada kedatangan kenyataan-kenyataan yang seolah-olah membawa pengertian adanya "kerja mencari-cari Ilmu" pada Ilmu Allah Ta'ala, seperti Firman Allah Ta'ala :

"Kemudian, Kami bangunkan mereka (Ashabul Kahfi) supaya kami dapat tahu."

Iaitu ditakwilkan atau ditafsirkan bahawa kehendak ayat itu (Dan bermula Allah Ta'ala jualah yang mengetahui sebenar-benar akan maknanya) : "Kerana hendak menzahirkan kepada manusia".

Iaitu berta'alluq (berhubung kait) dengan ilmu kita, makhluq. Atau ditakwilkan maknanya "nu'lima" iaitu dengan dibaris hadapan Nun dan dibariskan bawah bagi Lam. [ nu'lima - memberi tahu..pent].Tamat.

Dan tersebut di dalam kitab Ash-Shiratul Mustaqim bagi Al-Muhaddith Asy-Syaikh Abdullah Al-Harari Al-Ma'ruf Bil Habasyi, m/s 56 baris 6 dari atas, Cetakan Darul Masyarik :

Dan, adapun Firman Allah Ta'ala , Surah Muhammad, ayat 31:

"Dan pastilah kami menguji akan kamu hingga KAMI DAPAT KETAHUI akan orang-orang yang berjihad di jalan Allah daripada kalangan kamu dan akan orang-orang yang sabar berjuang di jalan Allah."

Maka TIADALAH makna demikian ayat ini :

"Sesungguhnya Allah Ta'ala itu hendak mengetahui akan siapakah orang-orang yang berjihad."

yang mana ada asalnya Allah Ta'ala tidak mengetahui tentang mereka melainkan dengan diuji dan dicoba. Bermula ini makna, Mustahil atas Allah Ta'ala.

Bahkan makna ayat ini :

"Hingga Kami bezakan." Iaitu "hingga Kami zahirkan" kepada para hamba akan siapakah orang-orang yang berjuang di jalan Allah daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang sabar daripada selain mereka itu."

Dan, kafirlah orang yang berkata :

"Sesungguhnya Allah Ta'ala mengusahakan ilmu yang baharu dan terkini."

Tamat.

Rasanya, cukuplah sekadar 3 kitab yang diberikan kerana orang yang Inad (degil) itu, walau 1001 kitab diberikan, tetap tidak mahu ia berubah. Faqir yakin bukan semua yang menulis status mengenai masalah ini mengetahui tafsiran dan penjelasan yang betul mengenainya, maka berhati-hatilah saudaraku, kerana sikap wara' (berhati-hati) itu adalah jalan yang paling selamat dalam menempuh kehidupan dunia ini.

Tamat.

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)