Renungan

Tuesday, June 30, 2009

Al-Ashairah , pemimpin, pembela umat islam


Segala puji bagi Allah, tuhan empunya sekalian alam, Tiada berhajat kepada selainNYa malah SelainNya lah yang berhajat kepadaNya. Selawat dan salam kepada junjungan kita Sayyidina Muhammad s.a.w. beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia dan suci. Dan mereka yang mengikut mereka itu hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati kami, Kasihani kami....Amin


Amma Ba'du,


Adapun kemudian dari itu faqir yang serba kekurangan ini ingin mengutarakan isu Al-Ashairah. Faqir sedikit merasa sedih kerana di kalangan umat ini ramai yang tidak megetahui akan Al-Ashairah terutama yang aktif dalam gerakan agama. Apa itu Ashairah,? mengapa tak pakai Islam sajer?...persoalan ini menggambarkan si penanya ini tidak mengetahui sejarah Islam itu sendiri, lantas mempertikaikan Ashairah padahal tidak mengetahui dengan jelas dan berpegang kepada "sheikh internet" yang Syaz . Faqir melihatkan dewasa ini, pelajaran tauhid kurang mendapat tempat. Sehingga ramai di kalangan kita sendiri tidak dapat membezakan mana satu akidah yang benar dan sesat. Ketahuilah Khawarij pun mengaku Islam , dan banyak lagi fahaman sesat yg bertopengkan islam muncul di saat kerosakan umat akhir zaman. Alangkah bahayanya akidah kita sekiranya kita tidak mengetahui perbezaan Ahli Sunnah wal Jama'ah dengan fahaman yang lain. Ya allah...terangkan kepada kami jalan kebenaran...malapkan pada kami jalan kesesatan....Amin




Al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari dan para pendokong atau pengikut beliau yang digelar al-Ash^ariyyun atau al-Asha^irah mempunyai jasa besar dalam membersihkan umat Islam dari kekotoran aqidah ahli bidaah seperti aqidah al-Mu^tazilah, al-Jahmiyyah, al-Mujassimah dan al-Mushabbihah. Bahkan, kebanyakan para pendokong, pemimpin ilmu Islam dan pembela Islam adalah dari kalangan al-Asha^irah, sedangkan golongan mempertikaikan mereka ini tidak pun mencapai separas buku lali mereka sejak berzaman sehingga kini dari segi ilmu, warak, taqwa dan jasa.Antara ulama al-Asha^irah ialah daripada kalangan ulama hadis yang sampai ke tahap al-Hafiz yang menjadi pemimpin dalam ilmu hadis seperti al-Imam al-Hafiz al-Hujjah al-Faqih Shaykhul-Muhaddithin Abu Bakr al-Jurjani al-Isma^ili (penyusun al-Mustakhraj ^alal-Bukhari), al-Imam al-Kabir al-Hafiz al-Faqih al-Usuli Abu Bakr al-Bayhaqi, al-Hafiz Ibn ^Asakir (yang disifatkan sebagai tokoh yang utama daripada kalangan al-muhaddithin di Sham pada zamannya), Amirul-Mu’minin fil-Hadith al-Hafiz Ahmad ibn Hajar al-Asqalani, al-Hafiz Abu Nu^aym al-Asbahani, al-Hafiz al-Daraqutni, al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi, al-Hafiz al-Silafi, al-Hafiz al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Daqiqil-^Id, al-Hafiz Qadil-Qudah Taqiyyud-Din al-Subki, al-Hafiz al-^Ala’i, al-Hafiz Zaynud-Din al-^Iraqi, al-Hafiz Waliyyud-Din al-^Iraqi, al-Hafiz al-Lughawi al-Sayyid Muhammad Murtada al-Zabidi, Muhaddith al-Diyaril-Maghbiyyah al-Hafiz al-Mujtahid al-Sayyid Ahmad ibn Siddiq al-Ghummari dan ramai lagi.Selain itu, antara ulama al-Asha^irah lain yang amat berjasa kepada umat Islam ialah Mujaddid Kurun Keempat Hijriah al-Imam Abut-Tayyib Sahl ibn Muhammad, al-Shaykh Abu Muhammad al-Juwayni, al-Shaykh Abul-Ma^ali Imamul-Haramayn, al-Imam Abu Mansur ^Abdul-Qahir a l-Baghdadi, al-Ustadh Abul-Qasim al-Qushayri, al-Shaykh Abu Ishaq al-Shirazi, al-Imam Abu Bakr al-Baqillani, Shaykhul-Mutakallimin al-Imam Abu Bakr ibn Furak, al-^Arif biLlah al-Imam al-Sayyid ^Abdul-Qadir al-Jilani, al-^Arif biLlah al-Imam al-Sayyid Ahmad al-Rifa^i, Shaykhul-Islam wa-Sultanul-^Ulama’ al-^Izz ^Abdul-^Aziz ibn ^Abdis-Salam, al-^Arif biLlah, al-Imam al-Ghazali, Abul-Wafa’ Ibn Aqil al-Hanbali, Qadil-Qudah al-Damighi al-Hanafi, Abul-Walid al-Baji al-Maliki, al-Qadi ^Iyad, al-Imam Fakhrud-Din al-Razi, Abu ^Amr ibn al-Hajib al-Maliki, ^Ala’ud-Dun al-Baji, al-Shaykh Zakariyya al-Ansari, al-Shaykh Baha’ud-Din al-Rawwas al-Sufi, al-^Arif biLlah Qutubud-Da^wah wal-Irshad al-Habib al-Sayyid ^Abdullah ibn ^Alawi al-Haddad, Mufti al-Shafi^iyyah bi-Makkah al-Sayyid Ahmad Zayni Dahlan, Musnidil-Hind WaliyyuLlah al-Dihlawi, Mufti Misr al-Shaykh Muhammad ^Illish al-Maliki, Shaykhul-Jami^il-Azhar ^Abdullah al-Sharqawi, al-Shaykh Abul-Hasan al-Qawuqji, al-Shaykh Husayn al-Jisr al-Tarabulusi, al-Shaykh ^Abdul-Basit al-Fakhuri Mufti Bayrut, al-Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari, al-Shaykh Dawud ibn ^Abdullah al-Fatani, al-Shaykh Zaynul-^Abidin al-Fatani Ra’is ^Ulama’il-Hijaz al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi, al-Shaykh al-Adib Wan Ahmad al-Fatani, al-Shaykh Muhammad Mukhtar ibn ^Utarid al-Buquri, Muhaddith al-Diyarish-Shamiyyah al-Akbar al-Shaykh al-Sharif Badrud-din al-Hasani, al-^Allamah al-Habib al-Sayyid ^Alawi ibn Tahir al-Haddad al-Hadrami Mufti Johor, al-Musnid al-Habib Abul-Ashbal Salim ibn Jindan al-Indunisi, al-^Alimul-^Allamah al-Sayyid ^Alawi ibn ^Abbas al-Maliki, al-Muhaddith al-Shaykh Muhammad ^Arabi al-Tabbani, Musnidud-Dunya Muhammad Yasin al-Fadani, al-^Alimul-^Allamah al-Shaykh Tuan Guru al-Haj ^Abdullah Lubuk Tapah al-Kalantani, Muhaddith al-Diyarish-Shamiyyah aw Khalifatish-Shaykh Badrud-Din al-Shaykh ^Abdullah al-Harari dan ramai lagi.Selain itu, di kalangan al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah ada yang membela Islam dan umat Islam melalui kuasa pemerintahan seperti al-Sultanul-^Adil al-Mujahid Salahud-Din al-Ayyubi, al-Sultan Muzaffarud-Din Kukabri, al-Sultan Qalawun dan al-Sultan Muhammad al-Thani al-Fatih dan lain-lain lagi.Sebenarnya, saya tidak bermaksud dengan senarai di atas untuk menjumlahkan kesemua al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah! Siapakah yang mampu menghitung semua bintang di langit atau siapakah yang tahu bilangan pasir di gurun melainkan Allah?!. Demikianlah betapa ramainya al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah… al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah adalah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah golongan yang selamat!! Merekalah yang amat berjasa menyebarkan Islam ke seluruh dunia, di seluruh pelusuk benua dan kepulauan, di timur dan barat, di utara dan selatan sehingga majoriti umat Islam terdiri daripada al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah!Namun hairan, di sana ada suara-suara janggal yang melempar pelbagai tuduhan dan kejian terhadap al-Asha^irah dan metode pengajian aqidah tauhid mereka. Suara-suara liar itu menuduh bahawa al-Asha^irah bukanlah Ahlus-Sunnah, bahkan ada yang mengkafirkan mereka atau menggolongkan mereka ke dalam puak al-Mu^attilah semata-mata menyerahkan makna nusus mutashabihat kepada Allah dan Rasulullah. Ada yang mendakwa bahawa metode pengajian tauhid secara ilmu kalam yang didokong oleh al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah (sifat 20 atau sifat 13) itu memundurkan umat Islam, tidak menggerunkan musuh Islam, dan menyusahkan, berbelit-belit, mengelirukan atau memeningkan kepala. Suara-suara pelik ini sebenarnya dimomokkan oleh golongan al-Wahhabiyyah yang menggelarkan diri mereka sebagai Salafiyyah. Sedangkan, tokoh rujukan utama mereka sendiri Ibn Taymiyah al-Harrani telah mengiktiraf jasa al-Asha^irah dalam ilmu usulud-din dengan mensifatkan mereka sebagai para pembantu usulud-din (sila lihat Fatawa Ibn Taymiyah, juz. 4).Bagaima mungkin majoriti umat Islam ini boleh dihukumkan sebagai kafir al-Mu^attilah (golongan yang menafikan sifat-sifat Allah atau menafikan kewujudan Allah) atau golongan sesat?


Sedangkan Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam telah menyatakan bahawa kebanyakan umat baginda tidak tidak sesat dan inilah antara keistimewaan umat ini sebagaimana sabda baginda:
إن الله لا يجمع أمتي على ضلالة
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umatku di atas suatu kesesatan” [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, Ahmad dalam Musnad Ahmad].


Menurut riwayat Ibn Majah ada suatu tambahan:
فإذا رأيتم اختلافًا فعليكم بالسواد الأعظم
Mafhumnya: “Maka jika kamu melihat suatu perselisihan, maka kamu hendaklah bersama kumpulan yang paling besar”.Hadis di atas disokong atau dikuatkan oleh hadis mawquf ke atas Abu Mas^ud al-Badri, iaitu:
وعليكم بالجماعة فإن الله لا يجمع هذه الأمة على ضلالة
Mafhumnya: “Dan kamu hendaklah bersama kumpulan kerana sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umat ini di atas suatu kesesatan” [Diriwayatkan oleh Ibn Abi ^Asim dalam al-Sunnah. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Muwafaqatul-Khabar al-Khabar berkata: “Isnadnya hasan”].


Hadis di atas juga disokong oleh hadis mawquf ke atas ^Abdullah ibn Mas^ud dan hadis ini thabit daripada beliau:
ما رءاه المسلمون حسنًا فهو عند الله حسن وما رءاه المسلمون قبيحًا فهو عند الله قبيح
Mafhumnya: “Suatu yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai baik maka perkara itu baik di sisi Allah, dan suatu yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai buruk maka perkara itu buruk di sisi Allah” [Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad Ahmad dan lihat Kashful-Astar ^an Zawa’idil-Bazzar oleh al-Hafiz al-Haythami. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Muwafaqatul-Khabar al-Khabar berkata: “(Hadis) ini mawquf hasan”].Sesungguhnya pernyataan bahawa kebanyakan atau majoriti umat ini terpelihara dari kesesatan tidak menafikan hadis sahih ini, iaitu sabda Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam:
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق حتى تقوم الساعة
Mafhumnya: “Satu golongan daripada umatku sentiasa zahir di atas kebenaran sehingga Kiamat berlaku” [Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak].Sabdaan Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam ini bermaksud bahawa di kalangan umat baginda ada segolongan yang berpegang teguh dengan agama Islam secara sempurna, dan ini tanpa ragu bahawa golongan yang berpegang teguh dengan agama secara sempurna adalah kaum minoriti. Meskipun begitu, hadis tersebut tidaklah bermaksud bahawa kebanyakan orang Islam dalam keadaan sesat dari sudut aqidah sehingga keluar dari agama Islam sebagaimana yang didakwa secara terang-terangan oleh puak al-Wahhabiyyah dan golongan yang seumpama mereka.
Selain itu, sabdaan Nabi sallaLahu ^alayhi wa-sallam itu juga mengisyaratkan kepada kita bahawa ilmu serta perjuangan Islam akan sentiasa berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi sedari zaman penurunan wahyu ketika hayat Nabi Muhammad sallaLlahu alayhi wa-sallam hingga hari terakhir yang dikehendaki Allah untuk umat Islam. Fitnah al-Wahhabiyyah ke atas Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah boleh dianggap sebagai satu usaha dakyah mereka untuk memutuskan kesinambungan kebenaran Islam sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadis tersebut. WaLlahu a^lam…

No comments:

Post a Comment