Renungan

Monday, June 29, 2009

Berguru


Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan Empunya sekalian alam, tidak berhajat kepada selainNya malah selanNya lah yang berhajat kepadaNya....Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah kepada Junjungan besar kita Sayyidina Muhammad s.a.w. beserta Ahlulbaytnya yang mulia dan para sahabat r.anhum yang menyebarkan agama mulia lagi suci ini ke serata alam....dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmati kami....Amin


Amma Ba'du,


Adapun kemudian dari itu, Faqir yang hina lagi serba kekurangan ingin mengutarakan isu berguru ini lebih lebih lagi dalam masalah agama. Faqir tidak dapat menafikan kebimbangan yang sangat besar di dalam diri ini berkenaan perkembangan pelajaran dan pengambilan ilmu menggunakan internet.


Telah berkata para ulama "Kalau lah pengambilan ilmu, pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan internet dan teknologi maklumat adalah medium yang terbaik, pasti dan pasti Allah s.w.t. mengurniakan teknologi ini kepada kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w. , tetapi hal ini tidak terjadi".


Maksudnya, jalan yang terbaik dalam mengambil ilmu agama dan penyebarannya adalah sepertimana yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada RasulNya dan sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya iaitu dengan mengambilnya secara langsung daripada guru melalui pertemuan (talaqqi) dan persahabatan (suhbah).

Kemuliaan para Sahabat r.anhum adalah dengan bertemu dan bersahabat dengan Rasulullah SAW, dan kemuliaan para Tabi'in adalah kerana bertemu dan bersahabat dengan para Sahabar r.anhum dan kemulian para Tabi'i al-Tabi'en adalah kerana bertemu dan bersahabat dengan para Tabi'in dan mereka adalah sebaik-baik kurun dan teladan.


Maka inilah jalan yang benar lagi lurus, iaitu mengambil ilmu agama dengan guru yang mengambil ilmu dengan jalan bertemu dan bersahabat dengan guru-guru sebelum mereka.

Kesan daripada kita meninggalkan kaedah yang digunakan Nabi s.a.w. , para sahabat r.anhum dan Salaf rah. ini adalah kemungkinan TERSALAH MEMILIH ILMU DAN GURU, DAN AKHIRNYA RAMAI JUGA YANG TERPERANGKAP DENGAN FAHAMAN TERPESONG TANPA MEREKA SEDARI. MEREKA MENELAN RACUN TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENGENALI UBAT.


Sabda Rasulullah s.a.w. "Sesungguhnya ilmu hanya didapati dengan belajar". Bukanlah maksud faqir disini mahu menafikan teknologi maklumat dan komunikasi yang ada pada hari ini, bahkan banyak kegunaan dan manfaatnya. Namun begitu, keselamatan ilmu dan keberkatan ilmu agama di dalam dunia "cyber" ini amat terbatas.


Kata Ibnu Sirrin rah. "sesungguhnya ilmu itu adalkah agama, maka lihatlah dari siapa ilmu itu diambil".


Oleh itu, faqir menasihati diri ini khasnya dan para pembaca blog ini agar tidak meninggalkan pengajian ilmu secara talaqqi khasnya yang berkaitan ilmu para ulama' muktabar dan ulama' empat mazhab agar kita tidak terkeluar dari jalan yang lurus ini dalam mengambil ilmu. Moga-moga kita semua di dalam pemeliharaan Allah SWT dalam perjalanan menuju kepada-Nya.


Ya Allah, Matikan kami dalam keadaan diredhai-Mu...Amin


Selawat dan salam kepada kekasih kita Sayyidina Muhammad s.a.w. beserta Ahlulbayt dan para sahabat bainda.


Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam, Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah Maha Mengetahui.


Al-Faqir wal Haqir Ilallah,

Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment