Renungan

Tuesday, May 4, 2010

SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN II

JABATAN AKIDAH DAN PEMIKIRAN ISLAM

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya seperti yang ada pada hari ini merupakan gabungan antara Jabatan Pengajian Islam dan Akademi Islam. Pada mulanya, kedua-dua institusi ini merupakan dua buah institusi yang berasingan dan mempunyai sejarah serta tradisi keilmuan Islam yang panjang sejak 1959 dengan penubuhan Kolej Islam Malaya dan diikuti dengan penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) pada 1965.

Jabatan Pengajian Islam ditubuhkan pada tahun 1959, hasil daripada hubungan yang formal antara Kolej Islam Malaya pada waktu itu dan Universiti Malaya. Sejak itu, Majlis Kolej Islam berfungsi sebagai Penguasa Eksekutif kepada Jabatan berkenaan, manakala Senat Universiti Malaya pula mengawasi segala yang berhubung dengan hal-hal akademik. Apabila Kolej Islam Malaya dibubarkan pada tahun 1970, Jabatan Pengajian Islam telah diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis dan Senat Universiti Malaya. Selama tempoh tersebut, sehingga ia bergabung dengan Akademi Pengajian Islam pada bulan April 1996,Jabatan ini merupakan sebuah Jabatan di bawah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Akademi Islam pula ditubuhkan pada tahun 1981, hasil pengambilalihan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), yang telah ditubuhkan sejak 1965. Penubuhannya dirasmikan pada 1 April 1981 oleh Datuk Musa Hitam, Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu. Dua fakulti ditubuhkan iaitu Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin, satu program ijazah iaitu program Sarjana Muda Pendidikan Islam dan satu program matrikulasi iaitu Pra Akademi Islam.

Pada tahun 1996, Akademi Pengajian Islam terus berkembang dengan penubuhan 9 buah Jabatan dan salah satunya adalah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam. Jabatan ini menawarkan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam) dan Ijazah Sarjana Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam) serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Jabatan ini juga pernah menawarkan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Alam Hayat) dan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Fizik) dari tahun 2002/2003 hingga 2006/2007 yang dibuat secara usaha sama antara Akademi Pengajian Islam dengan Fakulti Sains, Universiti Malaya.

PENDAHULUAN

Mazhab akidah yang telah diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Asy’ari (m. 324 H/ 932 M.) dan Abu al-Mansur al-Maturidi (m. 336 H/ 944 M) merupakan dua aliran pemikiran akidah yang telah disepakati oleh ijma’ ulama sebagai satu pegangan mazhab ahl Sunnah wa al-Jama’ah yang muktabar. Kewibawaan aliran pemikiran akidah ini dalam mempertahankan pegangan akidah yang sahih tidak dapat disangkal memandangkan ia adalah bersumberkan kepada dua sumber rujukan utama Islam iaitu al-Qur’an dan al-Hadith. Namun, malangnya kini, terdapat sesetengah masyarakat yang cuba mempersoal dan mempertikaikan kedudukan al-Asha`irah sebagai mazhab arus perdana di Malaysia seolah-olahnya mazhab ini bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang ditafsirkan mereka secara literal dan bebas tanpa sebarang ikatan dengan tradisi keilmuan Islam yang diperakui. Atas hujah ulama tidak boleh disucikan kerana mereka bukan maksum, prinsip-prinsip pegangan akidah dan syariat yang telah diijma` dan dipertikai oleh segelintir tokoh sanjungan mereka, cuba ditolak menerusi pelbagai cara dan wasilah dalam rangka untuk mengarusperdanakan fahaman mereka yang terpencil dalam wacana kelimuan Islam sejak zaman berzaman. Tema seruan kembali kepada al-Quran dan memerangi bidaah dipalu siang dan malam untuk mempertikai perkara-perkara khilafiah yang sudah menjadi amalan tradisi masyarakat Islam sedari awal lagi.

Menyedari kepentingan memperkasa tradisi al-Asha`irah yang menjadi pegangan zaman berzaman umat Islam di Malaysia dan keperluan mendepani cabaran mutakhir al-Asha`irah, khususnya di Malaysia, maka Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, dengan sokongan beberapa agensi kerajaan bercadang untuk menangani isu ini dengan menganjurkan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan II di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Seminar ini adalah kesinambungan dari Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan I yang dianjurkan pada tahun 2003. Harapan penganjur, seminar ini akan merungkai kecelaruan beberapa aliran pemikiran akidah dan menangani beberapa cabaran mutakhir aliran al-Asha`irah di Malaysia. Dengan hasrat seminar ini boleh menjadi medan kepada wacana ilmiah yang bakal menghasilkan idea-idea yang bernas untuk melihat wujudnya suasana ummah yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni di Malaysia sebagaimana yang kita alami sejak sekian lama, pihak penganjur mengharapkan kerjasama dan sokongan yang kuat daripada pihak agensi-agensi kerajaan, sektor korporat dan individu-individu yang prihatin sama ada dalam bentuk material dan moral. Semoga sokongan yang diberikan akan memberi semangat kepada jabatan kami bagi menerusikan program-program sebegini pada masa-masa yang akan datang demi untuk Malaysia yang sejahtera.


ATUR CARA SEMINAR ( terkini - 29/04/2010)

HARI PERTAMA [20 Julai 2010 (SELASA)]

08.00 – 08.30 Pendaftaran
08.45 – 09.45 Pembentangan Utama 1 (Balai Ilmu)
“Akidah Asya`irah dan Cabaran Mutakhir di Malaysia”

10.00 – 11.00 Pembentangan 1 :
11.00 – 11.15 Rehat/ Minum
11.15 – 12.15 Pembentangan Utama 2 (Balai Ilmu)
“Apakah Muhammad `Abdul Wahab tokoh Mujaddid”

12.30 – 01.30 Pembentangan 2 :
01.30 – 02.30 Rehat / Makan Tengah hari
02.30 – 04.45 MAJLIS PERASMIAN
"Y.B. SENATOR MEJAR JENERAL DATO' JAMIL KHIR BIN BAHAROM (B)"
05.00 – 05.15 Minum Petang



HARI KEDUA [21 Julai 2010 (RABU)]

08.45 – 08.55 Kehadiran Peserta
09.00 – 10.30 Pembentangan Utama 3 (Balai Ilmu)
“Konsep Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah: Satu Penilaian”

10.30 – 10.45 Rehat/ Minum
10.50 – 11.50 Pembentangan 3 :

12.00 – 01.30 Pembentangan Utama 4 (Balai Ilmu)
“Pro dan Kontra Mengenai Tawassul dalam Aliran Pemikiran Islam”

01.30 – 02.30 Rehat / Makan Tengah hari
02.30 – 03.30 Pembentangan Utama 5 (Balai Ilmu)
“Pendekatan Wasatiyyah dalam Aliran `Asya`irah”

03.40 – 04.40 Pembentangan 4 :
04.50 – 05.00 Minum Petang

ANTARA TAJUK-TAJUK YANG BAKAL DIBENTANGKAN:

1. Pendidikan Akidah Menerusi Huraian Sifat 20 di Malaysia - Prof. Madya Dr Mudasir Rosder [UKM]
2. Sejarah Perkembangan Aliran Pemikiran Wahabi - Hj. Zaidi Hj. Hassan [Pengkaji Bebas]
3. Pemikiran Akidah Muhammad `Abdul Wahab dan Ibn Taymiyyah: Satu Analisis Perbandingan - Dr Abdol Rahman Mahmood [UKM]
4. Pro dan Kontra Mengenai Tawassul Dalam Aliran Pemikiran Islam - Prof. Madya Dr Mohd Fakhruddin Abd Mukti [UM]
5. Pro dan Kontra Mengenai Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah Menurut Muhammad bin `Abd al-Wahhab - Prof. Madya Dr Mohd Fauzi bin Hamat [UM]
6. Pendekatan Wasatiyyah Dalam Aliran al-Asha`irah - Prof. Madya Dr Wan Suhaimi bin Wan Abdullah [UM]
7. Konsep Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah : Satu Penilaian - Prof. Madya Dr Asmadi Mohd Naim [UUM]
8. Aliran Salafi Moden Menurut Yusuf al-Qaradawi - Mohamad Kamil Hj Ab Majid [UM]
9. Pendekatan Abu Hasan al-Ash`ari dan Ibn Taymiyyah Dalam Perbahasan Sifat-sifat Allah - Prof. Madya Dr Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim [UM]
10.Ayat Mutasyabihat menurut Sheikh Zainal Abidin al-Fatani dalam Kitab `Aqidah al-Najin - Dr Faizuri bin Abdul Latif.

Sumber Asal : http://seminar-pemikiran-islam.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment