Renungan

Sunday, December 19, 2010

Nasihat ayah(Allamah Syaikh Raja Ali Haji Al-Haj RA) kpd anaknya(pemerintah dan orang yg memegang urusan agama)(FASAL 1 dan 2)

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,


Kali nie, faqir ingin menyambung kembali syair yang ditulis oleh Allamah Syaikh Raja Ali Haji Al-Haj Radiyallahu'anhu, semoga diambil pengajaran yang berguna.


Fasal 1



Jika Anakanda jadi menteri * orang berilmu Anakanda hampiri

lawan mensyuarat lawan berperi * supaya pekerjaan jadi ugahari (p/s rangkap nie ana tak faham...maaf)


hendaklah periksa adabnya wazir * di dalam kitab sudah terukir

hendaklah jauhkan pekerjaan mungkir * supaya jangan jadi gelincir


jika tergelincir pekerjaan salah * pekerjaan Anakanda beroleh lelah

rakyat tentera tentu bencilah * barangkali datang murkanya Allah


jika Anakanda menjadi besar * tutur dan kata janganlah kasar

Jangan seperti orang yang sasar * banyaklah orang menaruh gusar


Tutur yang manis Anakanda tuturkan * perangai yang lembut Anakanda lakukan

hati yang sabar Anakanda tetapkan * malu orang Anakanda fikirkan


kesukaan orang Anakanda cari * supaya hatinya tiada lari

mahsyurlah Anakanda di dalam negeri * sebab kelakukan bijak bistari


hendaklah Anakanda jagakan nama * mendirikan Hak dengan saksama

pekerjaan Bid'ah jangan diterima * walaupun kecil seperti hama


kehidupan rakyat pikirkan benar * supaya jangan berbuat onar

jangan diikutkan pikir yang nanar * tiada lain memenuhkan lasnar


hendaklah sabar lelah dan penat * mengerjakan raja walaupun tenat

jangan bersifat menteri khianat * mengikir setia kurang amanat


membuka rahsia jangan sekali * jahat adab sangat pemali

kepada rajanya yang ter'ali * supaya bernama bangsawan asli




Fasal 2



Jika anakku menjadi Qadhi * hendaklah ikut Salaf yang madhi

adil dan insaf didalam Ardhi * Allah dan Rasul supaya Radhi


Hendaklah mesyuarat dengan Ulamak * supaya hukuman tiada cuma

rasuah dan sorong jangan diterima * supaya Tuan beroleh nama


Kitab Fiqhiyyah hadis dan Tafsir * hendaklah tala'ah serta berfikir

jauhkan tamak loba dan kikir * keraskan ma'ruf jauhkan mungkir


lepas berhukum banyakkan istighfar * kepada Tuhan Ilahil Ghaffar

sepertiga malam sejadah dihampar * berdiri mengata Allahu Akbar


janganlah sangat duduk termasa * di nianan tempat mencari jasa

menjatuhkan hukum habis periksa * supaya jangan mendapat seksa


pada berhukum jangan pemarah * jangan perkataan keruh dan kerah

khususan pula bicara darah * janganlah zalim barang sezarah


tatkala berhukum maniskan muka * padamkan sekali marah dan murka

menghamburkan kalam dengan berjangka * supaya orang berhati suka


inilah pesan Ayahanda nan tuan * kepada Anakanda muda bangsawan

buangkan fi'il perangai haiwan * supaya mendapat pangkat dermawan


Bersambung kepada fasal yang seterusnya nanti... :)


Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)

Friday, December 17, 2010

Nasihat seorang ayah(Allamah Syaikh Raja Ali Haji Al-Haj RA) kepada anaknya(Raja-raja dan pemerintah yg memegang kuasa)

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,


Kali ini faqir ingin berkongsi dengan saudara yang dikasihi akan sya'ir berunsur nasihat yang cukup indah yang dikarang akandia oleh Allamah Syaikh Raja Ali Haji Al-Haj bin Raja Haji Ahmad Riau, Semoga Allah Subhanu wa Ta'ala meredhai beliau, di akhir kitabnya "sumratul muhimmah dhiyafatun liumara wal kibriya' li ahlil mahkamah". Dengarkan olehmu hai saudaraku, semoga dapat pengajaran juga bagi kita.


p/s (ada beberapa ayat yang ana pun kurang faham maksudnya disebabkan kekurangan dan kebodohan diri ini. Maaf.)


Inilah ia Sya'ir


Dengar olehmu,



Tamatlah kitab dikarang orang * aqalnya pedek ilmunya kurang

daripada sangat hajatku karang * diperbuat juga sebarang-barang


melepaskan hati yang terbuku * pengajaran kepada sekalian anakku

mudah-mudahan betul tingkah dan laku * perangai yang baik biar terpaku


dengarkan tuan Ayahanda berperi * kepada Anakanda muda bistari

nasihat kebajikan Ayahanda beri * amalkan jangan malas dan ngari


ayuhai Anakanda muda remaja * Jika Anakanda menjadi raja

hati yang betul hendak disahaja * serta rajin pada bekerja


kerja kebajikan janganlah malas * zahir dan batin janganlah culas

jernihkan hati hendaklah ikhlas * seperti air di dalam gelas


menuntut ilmu janganlah segan * ilmu yang benar jangan yang bukan

iaitu ilmu yang kebajikan * di kitab ini sudah disebutkan


hendaklah anakanda mengaji selalu * dari yang lain lebihkan dulu

had syarak jangan dilalu * tidaklah Anakanda beroleh malu


segala perbuatan dengan berilmu * maka kebajikan boleh bertemu

Jika sebarang-barang diramu * akhirnya Anakanda jatuh tersemu


ilmu itu besar faedahnya * membezakan haq dengan bathilnya

mengetahui rakyat benar salahnya * supaya dihukumkan dengan adilnya


Jika ilmu tidak diendah * sebab Anakanda cepat permudah

rakyat datang membawa gundah * Anakanda tercengang tidak tengadah


hendak menghukumkan tiada tahu * hendak diam hati tak mahu

berpeluk tubuh tangan ke bahu * mengeluh mengucap mengata Allahu


terkadang duduk mendiamkan diri * sepatah tidak mengeluarkan peri

penat duduk bangkit berdiri * lalu masuk ke dalam puri


orang berdakwa duduk menanti * serta dengan bersakit hati

hairan takjub tidak mengerti * sebab bicaranya belumlah pasti


terkadang dihukumkan dengan bodoh * bukannya syarak bukannya adah

ambil lekas jalan yang mudah * supaya jangan berhenti gundah


jika demikian apa jadinya * hukum tak betul dengan jalannya

di hadapan majlis diterimanya * di belakang kelak di umpatnya


jika yang benar kita hukumkan * di belakang jangan kita hiraukan

umpat dan puji kita biarkan * kepada Allah kita saksikan.


Tamatlah fasal pertama, sya'ir Syaikh Raja Haji Ali Al-Haj ini 5 fasal lagi , setiap fasalnya itu mengandungi nasihat-nasihat yang indah-indah dan menginsafkan serta melembutkan hati siapa yang membacanya apatah lagi sekiranya didendangkan dengan sya'ir melayu lama. Semoga Allah SWT membalas Syaikh Raja Ali Haji Al-Haj dengan sebanyak-banyak kebaikan. Amin.



Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)


Wednesday, December 8, 2010

Huraian Mukhalafatuhu Lil Hawadith oleh Ulamak Besar Kelantan, Allamah Syaikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani Radiyallahu'anhu

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,


Kali ini faqir ingin berkongsi dengan saudara/i yang tercinta akan sebuah Kitab yang dikarang akandia oleh seorang Ulamak Besar Kelantan pada Zaman Silam, Allamah Syaikh Muhammad Ali bin Abdul Rahman bin Abdul Ghafur Kutan Al-Kalantani yang terkenal dengan panggilan Syaikh Wan Ali Kutan Radiyallahu'anhu. Untuk mengenal dengan lebih lanjut mengenai Ulamak ini, bolehlah melayari laman web berikut : http://ulama.blogspot.com/2005/03/syeikh-wan-ali-kutan.html


Sejarah dan latar belakang Syaikh Wan Ali Kutan juga ada dihuraikan di dalam Buku Tokoh-Tokoh Ulamak Tanah Melayu keluaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Sangat penting Umat hari ini mengetahui Ulamak-Ulamak silam dan mengenali latar belakang mereka supaya tidak mereka terkeliru dengan orang-orang yang lahir pada zaman ini yang menyalahi dan menyimpang dari apa yang disampaikan oleh Para Ulamak Silam kita Radiyallahu'anhum. Sesungguhnya mereka (yakni Para Ulamak Silam Kita) jauh lebih berilmu, lebih tsiqah dan jujur dalam menyampaikan ilmu berbanding sesetengah orang pada hari ini yang menyimpang dan menyeret masayarakat awam ke dalam lembah perdebatan dalam perkara khilafiyyah dan usul agama. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari golongan yang menyimpang ini, dan kita bermohon supaya Allah SWT terus mengukuhkan hati-hati kita dan hidup aman makmur di dalam perpaduan yang telah dirintis oleh Para Ulamak kita yang silam Radiyallahu'anhum.


Baik, tersebut di dalam Kitab Zahrah Al-Murid Fi Aqaidit Tauhid bagi Syaikh Wan Ali Kutan Radiyallahu'anhu, pada m/s 9, baris yang terbawah , demikian ibarahnya :


Dan keempat Mukhalafatuhu Lil Hawadith artinya bersalahan Allah Ta'ala bagi segala yang baharu lawannya bersamaan dan iaitu mustahil. Maka tiada Zat Allah Ta'ala itu seperti yang baharu dan tiada Sifat-Nya seperti sifat yang baharu dan tiada Af'al-Nya seperti Af'al yang baharu. Dan tiada Ia berjirim yang mengambil qadar Zat-Nya daripada lapang dan ia 'Aradh iaitu Sifat yang berdiri dengan Jirim seperti Putih dan hitam dan Gerak dan Diam dan tiada Ia beranggota, maka tiada bagi-Nya Tangan dan tiada bagi-Nya Telinga dan tiada bagi-Nya mata dan lainnya. (Adapun) firman Allah Ta'ala (Yadullah fauqa aidihim) maka iaitu tangan dengan makna Qudrat. Iaitu artinya Qudrat Allah Ta'ala atas Qudrat Hamba-Nya.


Dan tiada Ia berpihak bagi jirim . Maka tiada Ia di atas suatu atau di bawah suatu atau di kanan suatu atau di kiri suatu atau di ahdapan suatu atau di belakang suatu dan tiada bagi Allah Ta'ala pihak. maka tiada bagi-Nya atas dan tiada bagi-Nya bawah dan tiada bagi-Nya kanan dan tiada bagi-Nya kiri dan tiada bagi-Nya hadapan dan tiada bagi-Nya belakang. Dan tiada Ia bersifat dengan kecil atau besar dengan makna banyak juzu' . Maka tiada menafikandia bahawa Allah ta'ala bersifat dengan 'Azimah yakni kebesaran pada kerajaan dan Perintahan dan tiada Ia tidur dan tiada mengantuk dan tiada lalai dan tiada ia mengambil faedah pada segala perbuatan-Nya dan Hukum-Nya tetapi tiada sunyi daripada Hikmah dan jika tiada (yakni tiada hikmah..pent) nescaya adalah perbuatan-Nya dan hukum-Nya sia-sia jua dan iaitu mustahil pada Hak Allah Ta'ala.


Dan tiada Ia bertempat dan tiada Ia bermasa kerana bahawasanya Allah Ta'ala itu ada dahulu dijadikan tempat dan zaman dan tiada Ia di dalam Alam dan tiada di luar Alam . Maka tiada Ia di dalam suatu dan tiada Ia di luar suatu . Maka sekaliannya mustahil dan serta demikian itu sekaliannya bahasa Allah Ta'ala terlebih hampir kepada hamba-Nya daripada urat leher seperti Firman-Nya (Dan kami terlebih hampir kepada hamba daripada urat leher) tetapi tiada seperti hampir segala jisim setengah dengan setengah nya. (Maka apabila) dicampak oleh Syaitan akan was was pada hati seorang bahawasanya Allah Ta'ala apabila tiada Ia jirim dan tiada Aradh dan tiada boleh dibahagi dengan suatu bahagi, maka apa hakikat-Nya dan betapa ada Ia ? Maka hendaklah ia berkata pada menolakkan yang demikian itu Tiada Mengetahui Akan Allah ta'ala melainkan Allah dan barang yang terlintas pada hati maka Allah Ta'ala menyalahi akan demikian itu. Firman Allah ta'ala (Tiada seumpama-Nya suatu dan Ia yang Maha Mendengar dan Yang Maha Melihat).


(Riwayat daripada Ibnu Umar) Sabda Nabi SAW bahawasanya Syaithan datang ia kepada seorang kamu maka berkata ia siapa menjadikan langit , maka berkata ia Allah, maka berkata ia siapa menjadikan bumi maka berkata ia Allah maka berkata ia siapa menjadikan Allah maka apabila mendapat seorang kamu akan demikian itu, maka hendaklah berkata ia (Amantu billahi wa rasulihi) nescaya larilah Syaitan itu daripadanya. Intaha


Tamat petikan Kitab.


Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)