Renungan

Sunday, January 2, 2011

Dalil Mengapa Dikatakan Alam ini Baru

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Kali ini Faqir ingin mengajak saudara/i yang dimuliakan akan faedah pada Kitab Kifayatul 'Awwam Fi ma yajibu 'Alahim Fi Ilmi Kalam karangan Al-Allamah Syaikh Muhammad bin Syafi'e Al-Fudhali Al-Syafi'e Radiyallahu'anhu. Beliau merupakan salah seorang guru Al-Imam Ibrahim Al-Bajuri Radiyallahu'anhu, Syaikhul Azhar terdahulu.

Dalil barunya Alam

Dalil yang telah diperkatakan - iaitu mengenai barunya 'alam ini - ialah dalil bagi wujudnya Allah Ta'ala. Adapun dalil bagi barunya alam ini maka ketahuilah ! bahawa 'alam itu terdiri dari jirim-jirim dan aradh-aradh sahaja sebagaimana yang telah tersebut dahulu. Dan segala 'Aradh seperti gerak dan diam itu ialah yang baharu dengan dalil anda melihatnya berubah-ubah dari wujud kepada adam dan dari adam kepada wujud sebagaimana perubahan-perubahan yang engkau lihat pada pergerakannya si Zaid kerana gerakannya itu tidak ada bila ia diam. Dan diamnya pula tidak ada jika ia bergerak.

Maka diam yang kemudian dari bergeraknya itu didapatinya selepas daripada ianya tidak ada dengan sebab bergerak, dan geraknya yang kemudian dari diamnya itu didapati kemudian dari ianya tidak ada dengan sebab diamnya. Perihal wujud kemudian daripada 'adam atau ada kemudian daripada tidak ada itu ialah 'baru' . Dari sini mengetahuilah anda bahawa segala 'Aradh itu baru dan segala jirim itu pula ialah yang melazimkan sesuatu yang baru itu maka baru jugalah ia - ertinya maujudnya itu kemudian daripada 'adam dahulunya. Oleh itu maka segala jirim itu pun ialah hadis atau yang baru seperti barunya 'aradh itu juga.

Kesimpulan dari dalil 'baru segala jirim' ini bolehlah anda katakan : segala jirim itu melazimkan 'aradh yang baru dan tiap-tiap yang melazimkan yang baru itu ialah yang baru, maka natijahnya bahawa segala jirim itu adalah yang baru. Dan barunya dua perkara - yakni segala jirim dan segala 'aradh, yang mana wujud keduanya itu kemudian dari 'adam atau ada keduanya daripada tidak ada itu - inilah dalil bagi wujudnya Allah Ta'ala - kerana tiap-tiap yang baru jadi itu tak dapat tiada mestilah ada yang menjadikan dan tidak ada yang menjadikannya melainkan Allah Ta'ala yang Maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya sebagaimana akan datang dalilnya pada dalil Wahdaniah kelak.

Apa yang tersebut di atas ini mengenai barunya jirim dan 'aradh yang diambil jadi dalil bagi wujudnya Allah Ta'ala itu ialah dalil Ijmal, yang wajib atas tiap-tiap mukallaf laki-laki dan perempuan mengetahui sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Imam Ibnu 'Arabi dan Al-Imam Sanusi iaitu dua orang yang mengkafirkan orang-orang yang tidak mengetahuikannya itu(1).

Maka usahalah supaya iman anda tidak terlibat dengan masalah yang dipertikaikan itu.

Tamat.

P/s (1) Adapun Jumhur Ulamak tidak mengkafirkan mereka yang tidak mengetahui dalil-dalil ijmal dan cukup dengan Taklid. Dan perbahasan mengenai Taklid pada Iman ini ada perbahasannya yang aku khuatir orang awam tidak mengetahuinya, walau apapun, tiada khilaf bahawa dihukumkan berdosa dan fasik bagi mereka yang bertaklid dalam masalah Iman padahal dia mampu belajar.

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)

1 comment:

  1. assalamu'alaikum...
    sedikit perkongsian.. alam ini baru juga disebabkan alam ini sentiasa berkembang... ini adalah berdasarkan kajian sains (x ingat kajian siapa. namun, alam ini akan berubah berkembang kerana terdapat tiga perkara pada alam ini, iaitu:
    1. masa
    2. arah
    3. jisim
    oleh itu, jauh sekali Allah mempunyai persamaan dengan diatas dan seumpamanya walaupun berkebetulan...
    wallahu 'alam...

    ReplyDelete