Renungan

Tuesday, October 12, 2010

Cahaya Bulan Purnama Bagi Mengungkap Keindahan Perkataan Al-Arif Billah Syaikh Al-Akbar Abdul Qadir Al-Jailani Radiyallahu'anhu

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Kali ini fakir ingin berkongsi dengan saudara tercinta mengenai nasihat Allamah Al-Arif Billah Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani Radiyallahu'anhu. Tidak diketahui adanya Ulamak yang mempersoalkan ilmu mahupun keperibadian beliau. Maka, marilah bersama-sama kita renungkan nasihat beliau di dalam kitab himpunan-himpunan ceramah beliau, iaitu Al-Fath Ar-Rabbani. :

Saudaraku, janganlah apa yang kau cita citakan itu apa yang kau makan, apa yang kau minum, apa yang kau pakai,wanita yang kau kahwini, tempat tinggal yang baik, atau apa saja yang dikehendaki nafsu dan naluri. Sebaiknya cita-citamu itu, hati dan batin, iaitu sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. . Ingat cita-citamu itu ! Hendaklah cita-cita mu itu , Tuhan mu, dan apa yang ada di sisi-Nya.

Pertolongan selalu didahulu oleh penderitaan . Andaikata tidak demikian , tentulah semua org akan mengatakan bahawa dirinya cinta kepada Allah Azza Wajalla. Oleh sebab itu, tabah dalam menghadapi penderitaan, nestapa, dan kefakiran adalah ukuran mahabbah tersebut.

Setiap perbuatan yang kau kerjakan dan kau harapkan imbalannya dari Dia, maka perbuatan itu adalah untukmu. Dan setiap amal perbuatan yang kau kerjakan kerana Allah s.w.t. , maka amal perbuatan itu adalah untuk Allah s.w.t. pula. Jika kau beramal, dan kau mengharapakan gantinya maka imbalannya adalah dari makhluk. Tetapi jika kau beramal dan kau arahkan hanya kepada-Nya, maka imbalannya yang akan kau perolehi adalah “kedekatanmu” kepada-Nya dan melihat-Nya. Kemudian, janganlah kau menuntut imbalan atas amal perbuatanmu. Baik keduniaan mahupun keakhiratan. Carilah Zat yang memberikan nikmat, jangan kau cari nikmat. Dialah Zat yang mewujudkan segala sesuatu, Zat yang mengaturnya, dan yang wujud sesudah segala sesuatu. Kau hendaklah selalu ingat mati. Sabarlah dalam menghadapi berbagai malapetaka dan pasrahlah kepada Allah dalam segala urusan….

Saudaraku, janganlah kamu mengkehendaki kelebihan dan kekurangan. Jangan mencari kemajuan dan kemunduran. Sebab ketentuan telah menetapkan bahagian masing masing. Setiap orang diantaramu tidak diwujudkan melainkan telah ditentukan secara khusus.

Tetaplah kamu menuruti Allah Azza Wajalla, baik dalam keadaan longgar , mahupun dalam situasi sempit, pada saat fakir mahupun kaya, di saat susah mahupun makmur, dan pada saat mendapatkan kurnia mahupun tidak. Aku tidak mengetahui cara yang lain untukmu kecuali taslim(berserah diri) kepada Allah Azza Wajalla. Jika ia menetapkan sesuatu keputusan, maka janganlah kamu mengeluh. Jangan kamu tentang keputusan itu. Dan jangan kamu adukan kepada selain-Nya. Sebab semua itu hanya menambahkan penderitaan kamu saja. Tetapi diamlah, tetaplah kamu berada di hadapan-Nya. Perhatikanlah apa yang Dia perbuatkan pada dirimu. Dan fikirkanlah hal itu. Senanglah terhadap perbuatan dan penggantian-Nya. Jika kamu telah bersikap demikian , nescaya Dia akan mengganti kesusahan dengan kesenangan, dengan tauhid dan kebahagiaan yang hakiki.

Tamat..

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment