Renungan

Saturday, October 30, 2010

Nur Tauhid Pada Mengelak dan Menembusi Tipu Daya Penglihatan Pada Bicara Perbuatan Hamba !!!!

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Kali ini , Faqir ingin berkongsi dengan saudara/i ku yang dirahmati Allah SWT akan bicara Perbuatan Hamba, sesungguhnya telah menyebut akan Imam yang agung pada Usuluddin, Al-Imam Sanusi Radiyallahu'anhu pada kitab beliau "Hasyiah Dusuki 'Ala Ummil Barahin' pada m/s 128 lebih kurang maksudnya : "Telah terpedaya akan sebahagian golongan Ahli Bid'ah akan apa yang dilihatnya." Yang dimaksudkan akan "apa yang dilihatnya" adalah terpedayanya Golongan Muktazilah pada perkataan mereka hamba yang mengadakan perbuatannya yang ikhtiariyyah (yang sengaja/ diusahakan seperti amalan soleh, berlari, belajar, dan selainnya yang dilakukan dengan sengaja) dan Allah SWT mengadakan perbuatan idhtirariyyah (yang tidak sengaja/ luar kawalan seperti terjatuh dari pokok, denyutan nadi dan jantung dan selainnya). Maka iktikad yang sedemikian adalah Bid'ah menurut kesepakatan Para Ulamak tanpa ada khilaf. Adapun pada kufurnya, ada dua wajah, jumhur Para Ulamak Asya'irah menguatkan bahawa orang yang beriktikad sedemikian tidak kafir dan inilah yang muktamad, akan tetapi ianya Bid'ah yang fasiq, lagi keji dan haram serta wajib ditablighkan. Adapun bagi Ulamak Maturidiyyah dan Segolongan dari Ulamak Asya'irah menguatkan bahawa kufurnya orang yang beriktikad sedemikian iaitu Hamba menjadikan perbuatannya yang ikhtiar dan Allah SWT menjadikan perbuatannya yang idhtirariyyah.

Maka yang benar, Allah SWT menjadikan segala perbuatan hamba sama ada yang ikhtiar mahupun idhtirariyyah kerana firman-Nya (Dan Allah yang menjadikan kamu dan segala yang kamu perbuatkan) dan firman-Nya (Dan Allah yang menjadikan akan segala sesuatu), dan firman-Nya (Bukanlah kamu (hai sahabat) yang membunuh mereka (puak kafir di medan Badar itu) melainkan Allah lah yang membunuh mereka), dan firman-Nya (Dan bukanlah engkau yang melontar (hai Muhammad) tatkala engkau melontar (pada zahirnya) akan tetapi Allah lah yang melontar (pada hakikatnya))

Maka faqir suka untuk berkongsi dengan saudara/i yang tercinta akan Kitab Aqidatunnajin Fi Ilmi Usuluddin bagi Al-Ariff Billah Syaikh Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fathani Radiyallahu'anhu. Pada m/s 53 :

Berkata Syaikh Ibrahim Al-Laqqani Radiyallahu'anhu di dalam Matan Jauharah At-Tauhid

"Maka menjadikan ia bagi hamba-Nya dan barang yang perbuatan hamba dan memberi taufiq ia bagi orang yang berkehendak ia akan bahawa menyampaikan ia akan keredhaan"

Yakni Allah jua tunggal dengan mengadakan hamba-Nya dan menjadikan segala perbuatan yang keluar daripada hamba-Nya sama ada perbuatan yang ikthtiariyyah dan idhtirariyyah atas mazhab Ahlussunnah wal jama'ah. Bersalahan bagi Muktazilah berkata ia perbuatan yang Ikhtiariyyah itu bukan Allah yang menjadikan tetapi perbuatan hamba bagi dirinya. (Adapun) perbuatan yang idhtirariyyah itu muafakat antara Ahlussunnah wal jama'ah dan Muktazilah perbuatan Allah sendiri maka telah lalu sebutnya bahawa yang muktamadnya tiada jadi kafir Muktazilah yang beriktikadnya seperti demikian itu tetapi fasiq lagi haram (dan lagi) wajib kita Iktikadkan pula Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi taufiq yakni memberi bekas segala sebab yang beradat itu seperti api tiada dapat menghanguskan dan pisau tiada dapat memutuskan dan makanan tiada dapat mengenyangkan dan air tiada dapat memuaskan dahaga , maka telah lalu hukum orang yang beriktikad memberi bekas segala sebab yang beradat dengan zatnya atau memberi bekas dengan quwwah (kekuatan) yang dihantarkan padanya itu.(yakni jadi kafir tanpa khilaf bagi orang yang beriktikad memberi bekas dengan zat dan tabiatnya sendiri, dan khilaf pada kekufurannya bagi yang mengiktikadkan Allah menitipkan kekuatan-Nya kepada hamba untuk melakukan perbuatannya dan yang muktamad tidak kufur akan tetapi bid'ah fasiq, haram dan keji lagi wajib ditablighkan...pen).

(dan lagi) wajib kita iktikadkan pula Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi taufiq yakni memberi kuasa atas mengerjakan taat bagi segala hamba-Nya yang dikehendaki-Nya sampai kepada keredhaan-Nya dan Kasih-Nya (dan demikian lagi) Allah Ta'ala yang mendirikan kehinaan atas seseorang iaitu tiada kuasa pada mendirikan taat dan kuasa atas mengerjakan maksiat bagi segala hamba-Nya yang dikehendaki-Nya jauhnya daripada keredhaan-Nya dan Kasih-Nya...

tamat petikan kitab....

Sebenarnya sudah lama faqir berfikir-fikir untuk memasukkan perbahasan yang lebih mendalam, akan tetapi faqir melihatkan sistem pengajaran yang mendalam itu agak kurang sesuai dilakukan di alam maya kerana ditakuti akan menyebabkan salah faham, kekeliruan dan lain-lain lagi. Maka, oleh kerana itu, faqir menasihati diri ini dan saudara/i sekalian, supaya menuntut ilmu dengan bertalaqqi dan bersumberkan Kitab-Kitab Muktabar apatah lagi dalam Ilmu Tauhid. Perbahasan Tauhid yang lebih mendalam adalah sangat penting pada zaman ini yang mana telah lahir berbagai-bagai fahaman yang bertentangan dengan apa yang dibawa oleh para Ulamak kita Radiyallahu'anhum. Sehingga ada mahasiswa yang ana jumpa dan berdiskusi, tidak mengenali Imam Nawawi Radiyallhu'anhu. Maka, di manakah kemuliaan yang ada pada kita lagi sekiranya Ulamak-Ulamak yang mengembangkan Ilmu Islam itu sendiri kita tidak kenal????

Demikian juga perkataan "Asya'irah wal Maturidiyyah", sungguh ramai di kalangan Umat Islam hari ini tidak mengetahuinya... Malah mereka yang mendakwakan memperjuangkan agama, pendakwah tidak mengenalinya. Apakah belum sampai masanya kita mengakui bahawa zaman ini semakin menuntut kita untuk berzuhud??? Di mana masyarakat yang semakin dilalaikan dengan maksiat, rasuah dan jenayah bermaharajalela, sementara dari sudut mereka yang memegang amanah agama dipengaruhi fahaman Wahhabi, bodoh dalam ilmu agama, dan memperlekehkan Kitab-Kitab Ulamak Muktabar, memebawa fahaman Tabdi' atas dasar tajdid dan pembaharuan dan lain-lain fahaman yang menyongsang dari Akidah Islamiyyah yang sejahtera. Faqir berpegang teguh akan amanat Para-Para Ulamak terdahulu seperti Al-Imam Abu Ishak Al-Syirazi Radiyallahu'anhu dan Al-Imam Sayyidil Habaib, Abdullah Al-Haddad Radiyallahua'anhu : "Jadilah engkau seorang Asya'ari dalam akidahmu, sesungguhnya ia bersih dari segala penyelewengan dan kekotoran."

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,

Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment