Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Maka fakir ingin berkongsi dengan saudara, Umat Nabi Muhammad SAW yang tercinta akan sedikit keterangan dan amanat yang diberikan oleh Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Al-Rabbani Al-Syaikh Daud bin Syaikh Wan Abdullah Al-Fathani r.anhu di dalam Risalah beliau yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah iaitu Risalah Kifayatul Mubtadi wa Irsyadil Muhtadi.
Bismilliahirrahmanirrahim
Kumulai Risalah ini dengan nama Allah Tuhan yang amat murah lagi amat mengasihani hamba-Nya yang mukmin. Segala puji bagi Allah dan rahmat dan salam-Nya atas segala hamba-Nya yang dipilih (wa ba'du) Maka ketahui olehmu hai orang yang berkehendak kemenangan dunia dan akhirat bahawa mengenal akan Allah itu AWAL yang WAJIB atas setiap orang yang mukallaf iaitu orang yang Aqil Baligh sama ada laki2 atau perempuan sama ada orang merdeka atau sahaya.
MAKA TIADA DITERIMA ALLAH AKAN IBADAT ITU MELAINKAN IA MENGETAHUI AKAN ALLAH DAHULU seperti Sabda Nabi SAW "awwaluddini ma'rifatillah" ertinya pertama yang dituntut pada agama itu mengenal Allah yakni awal yang dituntut atas tiap-tiap orang yang mukallaf itu mengenal Allah Ta'ala. Maka makna mengenal Allah itu iaitu mengenal akan barang yang WAJIB bagi Allah Ta'ala dan barang yang MUSTAHIL dan barang yang HARUS bagi-Nya sekira-kira dapat ia membezakan yang Qadim dengan yang Muhdas.
Maka iaitu hendaklah ia mengetahui akan Allah Ta'ala itu Tuhan serta Diiktikadkannya dengan iktikad yang putus (sebulat-bulat keyakinan..pent) bahawa adalah Allah Ta'ala (Maujudun) yakni Ada , maka Allah itu nama bagi Dzat yang bersifat dengan sifat Kamalat (Kesempurnaan...pent) yang tiada berhingga maka setengah daripada Sifat-Nya yang wajib kita ketahui akandia iaitu wajib wujud-Nya yakni wajib Ada-Nya.
(Lagi wajib sedia-Nya (takder mula wujud-Nya...pent)) dan wajib kekal-Nya tiada bagi-Nya permulaan dan tiada bagi-Nya kesudahannya (lagi bersalahan) dengan segala Hawadith (makhluk/hadis/baru..pent) yakni bersalahan bagi segala yang baharu maka tiadalah Zat-Nya berjirim yang mengambil tempat dan tiada menerima dibahagi yakni disukukan dan tiada dikatakan kecil dan besar kerana ia keduanya itu sifat jirim dan tiada pula mengambil tempat dan tiada mengambil zaman dan tiada berpihak dan berupa dan tiada boleh diperikan (diberi perumpamaan contoh wujud Allah seperti wujud cahaya..Na'uzubillah..pent) ada-Nya dengan bicara aqal kita.
Maka tiap-tiap yang engkau dapat memperikan dan menyatakan itu maka Allah Ta'ala itu bersalahan daripadanya (lagi berdiri dengan sendiri-Nya) ertinya tiada berkehendak kepada Zat yang lain dan tiada pula berkehendak kepada Tuhan yang menjadikan Dia kerana Ia yang mejadikan sekalian Alam ini.
Bersambung....
Maka perhatikan akan dirimu Hai Tholib !!! Perkara-perkara seperti ini merupakan ASAS yang wajib diketahui, bukan suatu urusan yang "dalam" pada ilmu Tauhid. Maka bagaimanakah dalam keadaaan jahil pada perkara Asas Tauhid ini yang mana merupakan perkara seawal-awal yang dituntut pada Agama yang mulia ini, engkau hai Tholib menyibukkan dirimu dengan perkara Fardhu kifayah atau Sunnah Apatah lagi Maksiat???
Renungkan kata-kata Syaikh Al-Islam Al-Mufti Al-Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani r.anhu di dalam kitabnya Fath Al-Bari Li Syarhi Bukhari :
"Barangsiapa meninggalkan perkara Sunnah kerana disibukkan dengan perkara Wajib, dia dimaafkan:
Barangsiapa meninggalkan perkara Wajib kerana disibukkan dengan perkara Sunnah, dialah orang yang TERPEDAYA"
Marilah mengaji Akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah hai saudaraku. Hari jumaat ini di Masjid Taman Anggerik,Johor Bahru. Warga UTM boleh kumpul di perkarangan MSI selepas Isyak.
Kitab : Tuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqatil Imanil Mukminin wa ma Yufsiduhu min Riddatil Murtadin
Tenaga Pengajar : Ustaz Imran (Lepasan Pondok Pesantren Fathul Qarib , Jawa Timur yang diasuh oleh Al-Fadhil Kiyai Mustaqim rah. dan sekarang di MARSAH (Madrasah Tinggi Johor)
Saksikan hai saudaraku kelak di Akhirat bahawa aku telah menyampaikan.... !!!!
Wallahu Yahdi ila sawaissabil
Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.
Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..
Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)
Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
9 months ago
No comments:
Post a Comment