Renungan

Monday, April 12, 2010

Sejelas-jelas penjelasan bagi membangkang dan menjahanamkan pendapat yang mengatakan Tawassul adalah syirik Besar !!!

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,


Fakir membawakan Kitab Mafahim Yajibu An-Tusohhah (Kefahaman yang wajib diperbetulkan) karangan Al-Muhaddith Al-Allamah Al-Syaikh Muhammad ibn Alawi ibn Abbas Al-Maliki Al-Makki Al-Hasani r.anhu dengan dipersaksikan dan diperakui oleh lebih 40 Ulamak terkemuka Dunia antaranya :

1. Al-Fadhilah Sayikh Hasanain Muhammad Makhluf - Mantan Mufti Mesir dan Anggota Jama'ah Ulama Besar Al-Azhar Al-Syarif

2. Al-Allamah Al-Muarrikh Al-Faqih Syaikh Muhammad ibn Ahmad ibn hasan Al-Khazraji - Menteri Hal Ehwal Islam dan Waqaf Emiriah Arab Bersatu

3. Al-Fadhilah Al-Allamah Al-Kabir Al-Da'ei ilallah Syaikh Prof. Dr. Muhammad Toyyib Al-Najjar - Syaikh Al-Azhar yang terkini

4. Yang Berbahagia Al-Faqih Al-Syaikh Muhammad ibn Abdul Rahman Aali Al Syaikh Abu Bakar ibn Salim - Mufti Republik Islam Comorro

5. Al-Allamah Al-Muhaddith Al-Muhaqqiq Al-Syaikh Muhammad Syazuli Al-Naifir - Anggota Pertubuhan Perikatan Islam Sedunia, Makkah Al-Mukarramah.

6. Al-Fadhilah Al-Allamah Al-Faqih Al-Muhaddith bahkan beliau juga adalah Muhaddith Dunia, Al-Syaikh Al-Sayyid Abdullah ibn Muhammad Al-Siddiq Al-Ghumari r.anhu.

7. Al-Fadhilah Al-Allamah Al-Muhaddith Al-Sayyid Abdul Aziz ibn Al-Siddiq Al-Ghumari.

8. Al-Imam Al-Arief billah wa Al-Da'i ilallah Al-Habib Abdul Qadir Al-Saqqaf, Imam Hadramaut dan Syaikh Ulamanya (Baru sahaja pulang ke Rahmatullah...Allahummaghfirlahu )

Dan banyak lagi...Cukuplah persaksian para ulamak yang terkenal dengan kelimuan mereka berbanding beberapa orang yang berlagak alim pada zaman ini yang menyalahkan pengajaran yang dibawa oleh para ulamak Muktabar R.anhum malah mengatakan tawassul sebagai syirik besar...Na'uzubillahi Min Zalik...

Pada m/s 451

Bertawassul dengan Makam Nabi SAW dengan petunjuk Sayyidah Aisyah r.anha.

Berkata Al-Imam Al-Hafiz Al-Darimi di dalam kitabnya Al-Sunan, Bab : Kemuliaan yang dikurniakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW selepas kewafatannya.

Telah menceritakan kepada kami Abu Al-Nu'man, telah menceritakan kepada kami Sa'id ibn Zaid, telah menceritakan kepada kami, 'Amru ibn malik Al-Nakiri, telah menceritakan kepada kami Abu Al-Jauza' Aus ibn Abdullah, berkata:

"Pada suatu masa, penduduk Madinah ditimpa kemarau yang dahsyat. maka mereka mengadu kepada Sayyidah Aisyah r.anha, lalu Sayyidah Aisyah r.anha berkata : "perhatikanlah maqam Rasulullah SAW. Maka buatlah sebuah tingkap menghadap ke arah langit hingga tiada satu atap yang menghalang di antara maqamnya dengan langit"

Aus bin Abdullah berkata: " maka mereka pun membuat tingkap tersebut. Lalu selepas itu, kami diturunkan hujan hingga rumput-rumput tumbuh dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk, (seolah-olah) badannya pecah kerana banyaknya lemak. Maka tahun itu dinamakan Tahun Al-Fatq (binatang gemuk dan berlemak)."

Inilah yang dinamakan bertawassul dengan maqam Baginda SAW. Bahkan ia adalah kubur semata-mata tetapi kerana di dalamnya disemadikan jasad makhluk yang paling mulia dan kekasih Tuhan semesta Alam. maka ia mendapat kemuliaan kerana berhampiran dengan Baginda SAW dan layaklah ia mendapat kedudukan yang mulia.

Tahkrij hadis akan ana sampaikan pada mereka yang masih ragu2 pada persaksian ulamak di awal tadi.

Pada m/s 462,

Tawassul kaum Muslimin dengan Nabi Muhammad SAW dalam Perang Yamamah

Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir r.anhu menyebut bahawa syiar atau slogan orang-orang Islam dalam peperangan Yamamah ialah: Ya Muhammadah (Wahai Nabi Muhammad ! Tolonglah).

Beliau (Yakni Al-Imam Ibnu Kathir r.anhu) berkata sebagaimana nasnya di dalam Kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah, Juzu' 6 m/s 324:

Sayyidina Khalid ibn Al-Walid r.anhu membawa bendera hingga berjaya melintasi kawasan musuh. Setelah itu, beliau melalui bukit, dan memerhatikan bagaimana caranya beliau dapat sampai dekat dengan Musailamah Al-Kazzab dan membunuhnya. Kemudian beliau kembali semula kepada barisan tentera. lalu beliau berhenti di antara dua saf tentera dan berseru untuk berlawan seorang dengan seorang dari kalangan tentera musuh, "Aku adalah putera Al-Walid yang datang semula, aku adalah putera 'Aamir dan Zaid". Kemudian dia melaungkan syiar kaum muslimin iaitu "Ya Muhammadaah !".


Maka kami ingin mengutarakan persoalan, adakah mereka semua (yakni para Ulamak tersebut) menaqalkan sesuatu yang menimbulkan kekufuran dan kesyirikan ???? Atau, adakah mereka (para ulamak) menaqalkan sesuatu yang membawa kepada penyembahan berhala dan peribadatan kepada kubur???

Jika perkara tersebut sedemikian, maka apakah kethiqahan yang ada pada mereka atau di dalam kitab-kitab mereka???

Kesimpulannya, tidak disyaki lagi , bahawa Nabi SAW mempunyai kedudukan yang tinggi, martabat yang mulia dan pangkat yang besar di sisi Allah. maka syariat dan logik akal yang mana satukah yang menegah bertawassul dengan Baginda SAW terutamanya apabila terdapat dalil-dalil yang telah menetapkannya di dunia dan akhirat.

Ditegaskan, bahawa dalam bertawassul, kami tidak sesekali memohon kepada selain Allah dan tidak berdoa melainkan hanya kepada-Nya. Kami hanya berdoa kepada-nya dengan atau melalui apa yang dikasihi-Nya. Kadang kala kami memohon kepada-nya dengan amalan-amalan soleh kami kerana Dia menyukai dan meredhainya. Kadang kala kami memohon kepada-Nya dengan perantaraan makhluk yang dikasihi-Nya sebagaimana yang disebut di dalam hadith Nabi Adam AS , hadith Fatimah binti Asad dan hadith Uthman bin Hunaif r.anhu.

Kadang kala kami memohon kepada-Nya dengan perantaraan nama-nama Allah yang indah. Atau, kadang kala kami memohon kepada-Nya dengan sifat perbuatan-Nya. Justeru tawassul itu tidak terbatas pada ruang sempit sebagaimana sangkaan orang-orang yang menolaknya.

Maka, fakir menyeru dengan ikhlas dan atas ukhwah Islam, supaya PMI UTM menarik balik kenyataan di dalam silibus usrahnya iaitu Tawassul adalah antara Syirik Besar....kenyataan ini jelas ada di dalam silibus PMI UTM... Tiadalah berguna amalanmu walau segunung Uhud sekalipun apabila engkau menyebarkan fahaman ini yang menyebabkan terlalu banyak Umat Islam dikafirkan. Adapun dengan bertanya pada Ustaz-Ustaz tidak lah memadai selagi mana tidak diselidiki dari mana sumber yang diambil oleh Ustaz tersebut. bukan hanya dengan cakap mulut sahaja. perlu diketahui, hanya Ulamak Mujtahid sahaja yang perkataannya boleh dijadikan hujjah, bukan yang lain walau Ustaz sekalipun. Bukalah minda, luaskan fikiran...dan sedarlah bahawa Para Ulamak r.anhum yang jauh lebih alim lagi tawadhuk dan Muktabar telah membahaskan perkara ini terlebih dahulu , maka tiada lah berguna orang pada zaman ini yang cuba menafikan malah mensyirikkan amalan yang asalnya dibolehkan dalam syarak. Bukalah kitab Al-Imam Ibnu Hajar Al-Haythami r.anhu, Bukalah Kitab Fatawa Al-Kubra bagi Al-Imam Syihabuddin Al-Ramli bagi soalan tentang tawassul dan tabarruk,Bukalah Kitab Dalalilun Nubuwwah bagi Al-Imam Baihaqi r.anhu, bukalah kitab Al-Azkar bagi Imam An-Nawawi r.anhu tentang kisah tawassul pada maqam Nabi SAW, buka lah kitab As-Syifa' bagi Al-Qadhi Iyaadh r.anhu tentang tawassul pada Nabi SAW, bukalah kitab Sahih Al-Bukhari tentang hadis Sayyidina Bilal Al-harith Al-Muzuni r.anhu bertawassul dengan Maqam Nabi SAW, bukan hanya bertanya sahaja. Itu tanda kemalasan dan meremeh-remehkan kebenaran.

Kepada PMI UTM, fakir ingatkan janganlah kerana ghairah mahu melakukan amar ma'ruf nahi munkar pada perkara yang zahir (nampak/konkrit) , akhirnya meremehkan amar ma'ruf nahi munkar pada perkara yang bathin (tauhid,iktikad, bid'ah dan apa yang berkaitan dengan keyakinan). Di mana kalau dibandingkan dua kemungkaran ini, sudah pasti kemungkaran pada bathin (iktikad, tauhid,bid'ah dholalah) lebih besar lagi...Walau bagaimanapun, kedua-duanya perlu di gerakkan.

"Bukan sahaja kita kena dakwah orang dari tak sembahyang kepada sembahyang...yang sembahyang itupun perlu diperbetulkan sembahyangnya supaya sah."

Fakir bersedia pada bila-bila masa yang dikehendaki Allah SWT untuk berbincang dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan Umat yang tercinta ini...semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita jalan menuju keredhaan-Nya...Amin

Wallahu Yahdi ila sawaissabil

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

1 comment:

  1. Alahai PMI UTM ni pun dah kene virus ke... Susah ni. Darah muda diorang tengah membuak ler tu. Akhir zaman...

    ReplyDelete