Renungan

Monday, April 19, 2010

Penjelasan yang berguna bak Mentari dari Kitab Hujjah bagi Islam (Al-Ghazali)

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Maka fakir bawakan apa yang dinyatakan di dalam Kitab Siyarus Salikin Fi Thariqatis Sadaatis Suffiyah, yang diterjemah dari kitab Lubabu Ihya'i Ulumiddin Al-'Alim Al-Ulama' Hujjatul Islam Ila Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali r.anhu. Oleh Al-Allamah Al-'Arifu Billah Asy-Syaikh Abdus Samad Al-Falimbani Rahimahullah Hi Ta'ala, Juzu' 3, m/s 87-89, baris 12 dari atas.

(Syahdan) Ketahuilah oleh mu bahawasanya sekalian kelakuanmengumpat itu Haram dan tiada diharuskan oleh syarak melainkan 6 perkara:

(pertama, At-Talazzum, iaitu kerana dizalimi atau untuk mencari keadilan) Yaitu mengkhabarkan akan kejahatan orang yang zalim akan dikau kepada Qadhi, supaya menghukumkan ia akan dia. Atau, mengkhabarkan akan kejahatan Qadhi yang zalim akan dikau kepada Sultan, supaya menghukumkan ia akan dia. Maka yang demikian itu harus (boleh).

(Yang Kedua, iaitu kerana mencari pertolongan kerana mahu menolak kemungkaran, dan mahu menolak perkara-perkara maksiat supaya perkara itu jadi bagus) Ertinya, (harus) mengkhabarkan akan kejahatan orang yang berbuat maksiat kepada orang besar atau kepada raja-raja, kerana sebab mintak tolong akan dia atas menolakkan kejahatan orang itu.

Dan harus pula mengkhabarkan akan kejahatan orang yang berbuat maksiat kepada orang besar atau kepada raja-raja, kerana sebab meminta tolong akan dia supaya mengembalikan ia, akan dia orang yang berbuat maksiat itu kepada berbuat kebajikan.

(ketiga, Al-Istifta', iaitu meminta fatwa dari mufti) Yakni, harus mengkhabarkan kejahatan orang kepada mufti kerana menuntut fatwa kepadanya, seperti berkata seorang kepada mufti "Bapaku atau saudaraku , ia menzalimi akan daku dengan berbuat kejahatan akan daku. Apa hukumannya? dan betapakah jalan melepaskan akan demikian itu?"

Seperti apa yang diriwayatkan daripada perempuan yang bernama Hindun. Maka, mengadu ia akan hal suaminya, Aba Sufyan kepada Nabi SAW dengan katanya : "Bahawasanya Aba Sufyan laki-laki kikir (kedekut). Padahal ia tiada memberi daku akan anak aku makanan dan pakaian yang memadai akan daku, Dan adakah harus aku mengambil akan makanan atau pakaian itu dengan tiada ia mengetahui akan yang demikian itu?"

Maka Sabda Nabi SAW, "Ambil olehmu akan makanan dan pakaian itu yang memadai akan dikau dan akan ankmu dengan yang ma'ruf (kebaikan), dan jikalau tiada ia mengetahui akan yang demikian sekalipun."

(Keempat, iaitu mengingatkan orang Islam akan kejahatan) Ertinya, harus mengkhabarkan kejahatan orang kerana menakuti akan orang Muslim daripada kejahatan orang itu. Apabila engkau lihat akan seseorang yang baharu menuntut ilmu itu. Padahal, ia berulang pergi pada orang yang bid'ah. Yakni orang yang tiada baik iktikadnya atau orang yang tiada baik agamanya, maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang itu supaya jangan ia mengaji kepadanya atau supaya jangan ia bersahabat dengan dia kerana bersahabat dengan orang demikian itu membawa kepada kebinasaan akan agama.

(dan demikian lagi) Jika engkau lihat akan seorang yang berulang-ulang pergi datang mengaji kepada orang fasiq atau ulamak yang jahat. Maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang yang fasiq dan kejahatan ulamak yang jahat supaya menjauhi orang itu daripada berguru kepada orang demikian itu. Tetapi (hendaklah) engkau qasadkan yang demikian itu kerana Allah Ta'ala dan jangan engkau qasad kerana dengki akan dia.

(Dan demikian lagi) Jika engkau lihat seseorang berkehendak membeli akan sahaya (hamba). Padahal engkau ketahui akan sahaya itu pencuri atau berbuat maksiat. Maka harus engkau khabarkan akan orang yang berkehendak membeli akan dia, akan kejahatan sahaya itu supaya menjauhi ia daripada membeli akan sahaya itu.

(Dan demikian lagi) Jikalau bertanya seseorang akan dikau akan hal orang yang dijadikannya akan saksi itu, jikalau engkau ketahui akan orang itu jahat. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan orang itu.

(Dan demikian lagi) Jika orang yang berkehendak beristeri. Maka bertanya ia akan dikau akan perempuan yang hendak diperbuatnya isteri itu. Padahal , ia jahat perbuatannya. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan perempuan itu.

(Dan demikian lagi) Jika seorang berkehendak mempersuamikan akan anaknya perempuan, dengan seorang laki-laki yang jahat. Maka harus engkau khabar kepada bapa perempuan itu akan kejahatan laki-laki itu dan barang sebagainya.

Seperti Sabda Nabi SAW "Sebutkan oleh kamu akan orang yang Fajir, yakni orang yang fasiq itu akan kejahatan yang ada di dalamnya itu supaya menjauhi akan dia itu oleh manusia"

(Dan yang kelima) Harus menyebutkan aib orang yang tiada diketahui akan dia, melainkan dengan disebutkan aibnya seperti Si Fulan yang buta, atau si fulan yang tempang atau barang sebagainya.

(Dan yang keenam) Harus menyebutkan akan kejahatan orang yang telah mahsyur akan fasiqnya itu, seperti orang yang mahsyur dengan berzina. Atau, yang mahsyur dengan berliwat. Atau, orang yang mahsyur dengan meminum arak. Atau barang sebagainya.

Dan kata Al-Imam Hasan Al-Basriyy Rahimahullahu Ta'ala, "Tiga orang yang tiada haram atas orang yang mengumpat bagi mereka itu" (Pertama) Orang yang Bida'ah, (Dan kedua) Orang yang fasiq yang menzahirkan ia akan maksiatnya itu sekira-kira jikalau dikata orang akan kejahatannya, nescaya tiada benci akan yang demikian itu, (Dan ketiga) Raja-raja yang Zalim . Maka tiada haram atas seseorang menyebutkan akan pekerjaannya yang zalim itu."

Tamat..

Wallahu Yahdi ila sawaissabil

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini. Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment