Renungan

Monday, August 10, 2009

kedangkalan pemikiran mereka yg menyerang air jampi

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya , malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi tinggi makam mereka itu di sisi Allah s.w.t.. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat. Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmatilah kami..Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, faqir ingin menimbulkan isu air jampi yang kononnya disebutkan oeh sesetengah pihak sebagai khurafat dan menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Sungguh pendapat sebegini hasil dari tuduhan melulu kepada masyarakat Islam khususnya di Malaysia dan tidak berpegang pun kepada kaedah -kaedah Islam yg disepakati Para Ulama iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Cukup bagi ana bawakan jawapan dari Darussyifa'online yg dikelolakan oleh Al-Fadhil Dato' Prof Dr. Haron Din (Semoga Allah s.w.t. membalas beliau dengan Kebaikan). Sebenarnya sgt banyak dalil yg boleh dikemukakan, tetap cukuplah jawapan dari persatuan ini yg diiktiraf seluruh Malaysia akan keilmuan perubatan Islam mereka. Maka ana lampirkan jawapan di sini, bagi yg tidak mahu percaya , bolehlah lawat sendiri http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=print&sid=19

Soalan

Ada bomoh di tempat saya mengubati pesakit atau yang berhajat sesuatu, ditolongi dengan jampi mantera menggunakan bahasa Jawa. Saya orang Jawa asli yang tinggal di Parit Jawa, tetapi saya sendiri tidak faham apa dibaca dukun tersebut. Apakah pengubatan secara ini boleh diterima pakai dan tidak mendatangkan sesuatu yang berlawanan dengan syarak?

MOHAMMAD BIN JUSOH
Pant Jawa, Johor


Jawapan

Mengubati penyakit atau menolong seseorang yang memerlukan pertolongan sehingga ter­tunai hajatnya, lebih-lebih lagi boleh membantu meng­ikhtiarkan kesembuhan pesakit yang bermasalah adalah pekerjaan mulia. Ia menjadi lebih mulia jika dilakukannya semata-mata kerana Allah SWT, meng­harapkan pahala pada hari akhirat dan tidak membe­bankan pesakit.

Amalan perubatan de­ngan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang dia­kui syarak sebagai amalan mulia. Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang banyak.

Merujuk khusus kepada persoalan saudara iaitu soal jampi. Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab se­bagai ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-­kadang amat digalakkan.

Rasulullah s.a.w. pernah sakit, suatu ketika Jibril diturunkan untuk memberi tawaran menjampikan baginda, lalu Jibril menjampi Nabi. Ianya disebut sebagai Ruqyatu Jibril.

Adapun menjampi seseo­rang itu dengan menggu­nakan bahasa khusus seperti Jawa, atau bahasa Mendiling, Inggeris dan Sepanyol diha­ruskan syarak dengan syarat, bacaan itu diketahui makna­nya dan ia tidak ada sebarang petanda kesyirikan terhadap Allah SWT. Jangan ada sebarang taf­siran yang boleh membawa syirik.

Oleh yang demikian jika lirik, seni kata atau bacaan yang disebut oleh dukun itu tidak diketahui maknanya, jika seperti saudara seorang berketurunan Jawa tidak memahami jampi yang dibaca dalam bahasa Jawa. Tetapi mungkin seperti disebut orang bahawa Jawa ada dua bahasa, iaitu bahasa kasar dan bahasa halus. Biasanya bahasa Jawa halus jarang diketahui orang.

Saya sendiri sememang­nya tidak memahami bahasa Jawa sama ada kasar ataupun halus. Sekiranya anda tidak faham bahasa tersebut, tetapi orang yang membacanya faham dan makna bacaan itu tidak ada sebarang petanda menuju kepada syirik, maka dia boleh berbuat demikian.
Tetapi jika dukun itu sendiri tidak faham dan tidak tahu apa yang diminta, maka tidak boleh digunakan perubatan dengan bahasa tersebut.

Daripada ayat al-Quran, Allah berfirman (mafhum­nya) : “Dan Kami turunkan
dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al­-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra’ , ayat 82)

Ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Ada begitu banyak hadis yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan doa.

Oleh itu maka ulama ber­sependapat (ijmak), bahawa mengikhtiarkan kesembuhan penyakit dengan menggu­nakan kaedah bacaan dan doa serta air adalah diharus­kan, kadang-kadang digalak­kan, sekiranya memenuhi tiga syarat yang utama iaitu:

Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Qur­an dan as-Sunnah atau ruq­yah dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya tidak bertentangan dengan syarak.

Kedua, boleh mengguna­kan bacaan selain daripada yang pertama, dengan apa jua bahasa, tetapi mestilah difahami maknanya dan tidak ada sebarang percang­gahan dengan syarak.

Ketiga, hendaklah yang merawat mengiktikadkan bahawa penyembuh sebe­narnya adalah Allah SWT sahaja. Pengubat hanyalah berikhtiar.

Oleh itu saya suka menje­laskan, jika sudah ternyata al-­Quranlah bacaan utama sebagai penawar terbaik, as-Sunnah (al-Hadis) adalah yang terbaik selain al-Quran, maka mengapakah kita tidak menggunakan bacaan ini sebagai rawatan?

Kita harus membebaskan diri daripada yang kurang baik, lebih-lebih lagi jika ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah SWT.

WalLah hu a’lam.

(Petikan dari Harakah Bil.1336)

Maka sgt jelek sekali perbuatan orang yg menghukum air jampi ini sebagai khurafat atau sesat secara mutlak, perkataan menyindir dan merendah rendahkan umat Islam kononnya masyarakat Islam di Malaysia meyakini dengan air jampi ini boleh memberi kejayaan yg hakiki. Kata-kata ini tidak lebih hanyalah fitnah melulu dan langsung tidak disandarkan pada dalil, kalau benar sekalipun, di mana buktinya Syeikh? Cakap main sebarang sahaja, siapa yg berkeyakinan begitu Syaikh?Tunjukkan pada kami supaya kami ajarkan mereka keyakinan yg sebenarnya TANPA MERENDAHKAN ATAU MEYESATKAN MEREKA. Apakah semuanya berkeyakinan sebegitu?.. Sebagai Umat Islam, sangkaan kita kepada saudara Islam yg lain adalah kita sama2 meyakini bahawa yg menghidup dan mematikan , memberi munafaat dan mudharat itu hanya lah Allah Azza Wajalla Jalla Jalaluuh SWT. Maka, apabila kamu melihat saudara kamu mintak tolong kepada doktor untuk menyembuhkan penyakit yg dihidapinya, dia sebnarnya telah mengiktikadkan bahawa yg menyembuhkan hanyalah Allah s.w.t., adapun mohon pertolongan daripada doktor hanyalah majaz aqli (keharusan pada akal). Sungguh, kecintaan kepada sesama umat Islam semakin pudar sehingga mudah kita menghukum sesat orang yg tidak sependapat dengan kita. Ya Allah, jauhkan kami dari orang yg membenci Umat Nabi Muhammad s.a.w. Amin

Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t.. atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan junjungan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin)

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian alam, Dan Allah jua yang Maha Mengetahui lagi memberi petunjuk.

Jazakallah Khairan Kathira. (^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)


No comments:

Post a Comment