Renungan

Wednesday, August 19, 2009

Kesederhanaan Ikhwanul Muslimin

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yg berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam moga dicurahkan Allah s.w.t. atas junjungan dan penghulu kita Sayyidina Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan baginda di tempat yg terpuji sepertimana yg Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yg mulia lagi tinggi makam mereka itu di sisi Allah Azza Wajalla..

Amma Ba'du,

Saudara yang dimuliakan, ketahuilah bahawa Ikhwanul Muslimin adalah sebuah jemaah Islamiyyah yang sangat sederhana. Adapun tindakan segelintir yang ekstrim kemudian menyandarkan fahaman eksrimnya kepada Ikhwanul Muslimin tidaklah dapat mengubah dasar-dasar ikhwan itu sendiri yang telah lama diajarkan oleh Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna rah. . Imam Hassan Al-Banna rah. menulis di dalam Risalatul l-Ta'lim dan Majmu'tu-Rasail hal 271:

"Kami tidak mengkafirkan seorang Islam yang membuat pengakuan dua kalimah syahadah dan beramal mengikut ketetapannya, menunaikan solat fardhu, dengan apa-apap pendapat dan maksiat yang dilakukannya, melainkan apabila dia membuat pengakuan dengan kalimah kekufuran atau mengingkari sesuatu yang diketahui secara dharuri daripada ajaran agama atau mendusta Al-Quran secara berterangan atau mentafsirkannya secara yang langsung tidak mengikut kaedah bahasa Arab atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak boleh difahami melainkan kekufuran"

Demikian juga mereka tidak mengkafirkan masyarakat dengan sebab tidak menegakkan sistem Islam dan banyak aspek kehidupannya. Bahkan dilihatnya fenomena ini sebagai penghayatan Islam yang kurang atau tidak sempurna. Kekurangan yang tidak termasuk dalam kekufuran atau jahiliah.(Lihat Da'watuna Fi Thauri Jadid, dalam Majmu'atu L-Rasail hal120 -121)

Kesederhanaan Ikhwan dapat dilihat dengan jelas dalam pendiriannya terhadap nasional (wataniyyah) dan nasionalisme (qaumiyyah) yang ditolak oleh sesetengah pihak sebagai pemikiran barat. Tetapi Imam Hassan Al-Banna rah. mengajak kita melihat istilah itu dari segi maksud dan pengertiannya terlebih dahulu. jika maksud dan tujuannya selari dengan semangat politik dan kemasyarakatan Islam, ia boleh diterima dan jika tidak selari dengan Islam, ia tidak boleh diterima dan ditolak.

Menurut Imam Hassan Al-Banna rah., memang benar ikatan akidah itu, di kalangan orang-orang Islam, merupakan ikatan darah dan bumi,, dan ikatan kebangsaan itu cair di hadapan fikrah persaudaraan Islam yang ditanam dalam jiwa seluruh mereka yang menjadi pengikutnya, tetapi kebangsaan (Wataniyyah) itu suatu kekuatan dan tenaga yang menggerakkan umat dengan penuh semangat yang membantunya untuk mengahadapi cabaran musuh, jika inilah yang dimaksudkan dengan kebangsaan (wataniyyah) maka Islam mendukungnya, bahkan menganggapnya sebagahagian daripada pemikiran politiknya.

Hanya Islam mengingatkan supaya perbatasannya tidak terhad kepada kawasan tertentu yang sempit iaitu di mana seseorang itu dilahirkan sahaja. Daerah Islam berkembang mengikut untaian fasa-fasa perkembangannya daripada yang lebih khusus kepada yang khas dan daripada yang am kepada yang lebih umum. Sekiranya kebangsaan (wataniyyah) itu bermaksud mencintai bumi ini, menyayanginya, rindu kepadanya dan prihatin terhadapnya, maka ini adalah suatu yang tersemat di dalam fitrah kejiwaan manusia secara semulajadi di suatu pihak dan di suruh oleh Islam di pihak yang lain. (Da'watuna dlm Ibid hal. 17)

Sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini dan kemudiannya Hari Merdeka, marilah kita bersama-sama berazam untuk mempertingkatkan lagi amal soleh kepada Allah s.w.t. danberusaha sedaya mungkin untuk melakukan apa-apa kebaikan keranaDalam sebuah Hadis yang bermaksud "Allah s.w.t. menyembunyikan keredhaan-Nya pada mana-mana kebaikan , supaya kamu tidak memandang ringan pada kebaikan, Dan Allah s.w.t. menyembunyikan kemurkaan-Nya pada mana-mana kejahatan supaya kamu tidak memandang ringan pada kejahatan".

Dan pada 31 Ogos ini, kita juga akan menyambut Hari Kemerdekaan . Sambutlah dengan semangat kebangsaan sepertimana yang disebutkan oleh Imam Hassan Al-Banna rah. iaitu dengan mencintai tanah air ini, menyayanginya, serta rindu dan prihatin kepadanya. Semoga Allah s.w.t. mengampuni dosa faqir yang hina lagi kurang ini dan juga saudara-saudara Islamku yang lain..

Ya Allah, Ikatkan hati kami, Jauhkan perselisihan antara kami

Ya Allah, Ampuni kami , Rahmati kami, Kasihani kami.

Ya Alla, Sesungguhnya kami sentiasa menganiaya diri kami, menzalimi diri kami, Demi Kebesaran-Mu, demi Keagungan-Mu, Demi Sifat Maha Pengampun-Mu, Maafkan kami, Ampuni dosa kami.

Ya Allah, sampaikan salam kami kepada Junjungan ,dan kekasih kami Sayyidina Muhammad s.a.w.

Ya Allah , pertemukan kami dengan baginda di telaga Kauthar dan seterusnya di dalam syurga.

Ya Allah , Jangan pisahkan hati kami dari mengingati-Mu..Ampuni kami Ya Allah kerana kecintaan kami terhadapmu sangat tidak setimpal dengan kecintaan-Mu terhadap kami..

Ya Allah, Tempatkan Sayyid kami, Muhammad s.a.w. di tempat yang terpuji sepertimana yang kau janjikan...Amin

Segala puji hanya bagi-Mu Ya Allah, Tiada Tuhan melainkan-Mu, Maha Suci -Mu dari berhajat kepada makhluk, Malah sekalian yang ada ini berhajat kepada-Mu, Ya Rabbal A'lamin...

No comments:

Post a Comment