Renungan

Friday, August 28, 2009

Safar di bulan Ramadhan

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yg berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam moga dicurahkan Allah s.w.t. atas junjungan dan penghulu kita Sayyidina Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan baginda di tempat yg terpuji sepertimana yg Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yg mulia lagi tinggi makam mereka itu di sisi Allah Azza Wajalla..

Amma Ba'du,

Islam memberi rukhsah (keringanan) bagi seorang musafir untuk tidak berpuasa, dengan syarat dia harus menggantikannya dengan puasa pada hari-hari lain sesudah Ramadhan. Allah s.w.t. berfirman :

"Maka jika di antra kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka) maka wajiblah baginya puasa sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain"
(Al-Baqarah:184)

Para ahli fiqh sepakat bahawa yang dibolehkan berbuka puasa ialah safar yang jauh, tetapi mereka berbeza pendapat tentang jaraknya.

Imam Abu Hanifah r.a. dan lain-lain berpendapat bahawa perjalanan yang ditempuh tiga hari tiga malam berjalan kaki atau sejauh dua puluh empat farsakh atau lebih kurang 120 kilometer, boleh bagi pelakunya untuk berbuka puasa.

Adapun pada Imam Syaf'ie r.a. dan Imam Ahmad r.a. berpendapat boleh berbuka bagi mereka yang melakukan perjalanan sejauh lebih kurang 80 kilometer atau perjalanan dua hari dua malam.

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari r.a. , bahawa Ibnu Umar r.a. dan Ibnu Abbas r.anhuma kadangkala berpuasa dan kadangkala berbuka pada perjalanan 80 kilometer.

Dan juga jumhur ulama r.anhum berpendapat bahawa boleh berpuasa atau tidak berpuasa bagi musafir.Mana yang lebih baik?

Imam Abu hanifah r.a., Imam Malik r.a., dan Imam Syaf'ie r.a. berpendapat, bagi yang kuat lebih baik baginya untuk tetap puasa dan bagi yang lemah baik baginya untuk berbuka. Alasan bagi yang pertama adalah firman Allah s.w.t. :

"Dan puasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (al-Baqarah:184)

Alasan bagi yang kedua adalah firman Allah s.w.t.:

"Allah mengkehendaki kemudahan bagimu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu"
(al-Baqarah:185)

Adapun Imam Ahmad bin Hambal r.a. berpendapat, lebih baik berbuka puasa dengan alasan bahawa rukhsah (keringanan) Allah s.w.t. harus diutamakan sebagaimana Allah s.w.t. menyukai apabila perintah-perintahNya dijalankan. Pendapat Amirul Mukminin Sayyidina Umar bin Al-Khattab r.a. ialah:

"Yang lebih baik ialah yang ringan antara keduanya. Apabila puasa itu tidak berat baginya dan kelak apabila membayar hutang puasanya akan mengalami kesukaran, maka puasa dalam safar adalah lebih afdhal"

Adapun pendapat Imam Al-Syaukani r.a. , bila tetap puasa dalam perjalanan terasa berat atau khuatir kalau tetap puasa akan menimbulkan riya' atau ujub bagi dirinya, maka lebih baik ia berbuka puasa.

Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Alah Tempatkan junjunagn kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin )Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia dan sangat mengasihi akan Umat Nabi Muhammad s.a.w. .

Dan kepada Allah s.w.t. jua kita dikembalikan, Dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui .Segala puji hanya bagi Allah s.w.t.

Jazakallah Khairan Kathira....(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment