Renungan

Saturday, November 7, 2009

Memahami Isu Penangkapan Dr. Asri

Tulisan ini asalnya bertujuan sebagai respons khusus kepada dua tulisan Datuk Dr.Mohd.Asri Zainul Abidin dalam Mingguan Malaysia yang bertajuk Fitnah dan Perjuangan dan Sejarah Akan Berulang. Bagaimanapun, oleh kerana sekarang ini pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada isu penangkapan beliau, wajarlah di sini kita soroti persoalan Dr. Asri secara lebih umum.

Apabila berita beliau ditahan tersebar, tidak kurang yang simpati kerana asas penangkapannya, iaitu mengajar tanpa tauliah dirasakan terlalu kecil. Mereka yang lebih mengenali dan analitikal terhadap Dr. Asri pula beranggapan sememangnya beliau tidak wajar dibenarkan bebas menyebarkan pandangannya. Terlepas daripada soal wajar atau tidaknya Dr. Asri ditangkap, undang-undang yang mewajibkan tauliah untuk mengajar agama Islam tidaklah perlu dipertikaikan.

Undang-undang itu bukan sahaja bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang berkelulusan dibenarkan mengajar. Ia juga bertujuan agar mereka yang tidak sesuai dan layak, dapat dihalang daripada mengajar walaupun mempunyai pelbagai kelulusan dan gelaran akademik. Jika ada yang tidak sesuai dan layak tetapi masih berdegil untuk mengajar walaupun telah diberi amaran, maka tidak salahlah tindakan penangkapan diambil jika dirasakan perlu.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula seorang seperti beliau dikatakan tak sesuai dan tidak layak mengajar? Jawaban pokok kepada soalan ini adalah, Dr. Asri sebenarnya mewakili dan menjuarai suatu aliran pemikiran yang tidak selari dengan fahaman Islam sebenar atau yang biasa dinamakan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Oleh kerana fahaman Islam ASWJ menjadi pegangan asas para ulama dan pihak berkuasa agama di semua negeri, maka Dr. Asri dalam banyak hal menjadi tokoh yang sangat kontroversial kerana beliau sering menimbulkan pandangan yang mengelirukan masyarakat dan secara langsung atau tidak, menggugat kestabilan hidup beragama di negara kita.

Oleh kerana beliau jelas mengambil pendekatan bertentangan dengan arus perdana Islam di Malaysia, tidak hairanlah beliau diminati oleh sebahagian tokoh, individu dan organisasi yang sememangnya prejudis terhadap arus perdana Islam di Malaysia. Beliau turut diminati oleh mereka yang cenderung terlebih liberalis, rasionalis dan 'pemberani' dalam soal-soal agama kerana mereka ini juga terasa terbatas dengan kuatnya arus perdana Islam ASWJ di Malaysia.

Dr. Asri juga menerima dokongan atau sekurang-kurangnya simpati segelintir tokoh agama dan orang politik yang memang sealiran dengan beliau. Aliran Islam yang diperjuangkan oleh Dr. Asri boleh digelar pelbagai nama walaupun beliau sendiri cenderung menggunakan istilah yang bunyinya lebih positif seperti 'tajdid' atau 'kaum muda' serta mengelakkan istilah yang lebih kontroversi seperti 'Wahhabi'.

Apa pun labelnya, hakikatnya aliran ini memang wujud di dunia Islam walaupun merupakan aliran minoriti umat Islam yang majoritinya beraliran ASWJ. Perlu diingat para pendokong aliran ini sendiri sering mendakwa bahawa aliran mereka adalah aliran ASWJ sebenar. Antara ciri utama aliran 'kaum muda' seperti yang dipegang oleh Dr. Asri ini adalah kecenderungan merujuk terus kepada nas-nas al-Quran dan sunah tanpa mengutamakan tafsiran dan ijma' para ulama. Kecenderungan ini membawa kepada penolakan terhadap kebakuan fiqh Mazhab yang empat, akidah 'Ash'aari- Maturidi dan kerohanian tasawuf.

Pegangan

Di Malaysia, sejak awal lagi aliran ASWJ telah menjadi pegangan majoriti dan aliran yang dominan. Pun begitu, minoriti individu dan tokoh yang cenderung kepada aliran 'kaum muda' sudah ada sebelum munculnya Dr. Asri lagi. Mereka ini berada di pelbagai tempat tetapi mereka umumnya tahu diri dan tidak cuba mencabar secara agresif aliran perdana ASWJ. Bagaimanapun, fenomena Dr. Asri yang agresif dan lantang itu dilihat telah menyuntik keberanian kepada pengikut aliran ini untuk turut cuba mencabar dominasi fahaman ASWJ di Malaysia.

Dalam 'perjuangan' mendominasikan alirannya, Dr. Asri banyak bergantung kepada bakat pidato dan penulisannya berjubahkan nas-nas al-Quran dan sunah yang terpilih dengan tafsiran yang selari dengan alirannya. Beliau juga sering berselindung di sebalik tokoh-tokoh ulama terkenal sama ada dengan memilih pandangan tertentu yang memihak kepadanya sahaja serta mengaburkan aspek kontroversi tokoh-tokoh tersebut. Inilah yang sering beliau lakukan dengan tokoh-tokoh seperti Ibnu Taymiyyah, Ibnul Qayyim, Muhammad Ibn Abdul Wahab, Yusuf al-Qaradhawi dan Hamka.

Dalam dua tulisan terbarunya, Dr. Asri cuba bersandar kepada populariti Hamka dan ayahnya yang turut membawa aliran pembaharuan dalam masyarakat Islam Indonesia. Mungkin Dr. Asri ingin mengatakan bahawa beliau sebanding dengan Hamka, ditentang kerana membawa aliran pembaharuan yang bercanggah dengan ulama tradisi. Seperti biasa, mereka yang tidak meneliti dan pada masa yang sama mengagumi Hamka secara mutlak mungkin termakan dengan hujahnya ini tetapi pada hakikatnya, Hamka juga ada sisi kontroversinya dan bukanlah serba maksum. Kritikan Hamka terhadap ulama Malaysia seperti yang dipetik oleh Dr. Asri bukanlah buah pandangan terbaiknya yang perlu kita telan bulat-bulat. Kita ingin tanyakan kepada Dr. Asri, apabila beliau memetik kata-kata Hamka, "Tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!", adakah beliau bersetuju dengan kenyataan ini? Jika betul ia adalah suatu gambaran salah yang menghina bukan sahaja para ulama tanah air, tetapi turut memperlekehkan institusi Raja-raja yang tak dapat dinafikan sumbangannya dalam menaungi agama di negara kita dari dahulu hingga sekarang.

Dari satu sudut lain, mereka yang mengkaji juga akan segera mengakui bahawa nasib sejarah dan realiti Islam dalam perlembagaan dan pentadbiran di Indonesia dan Malaysia jelas berbeza. Di Indonesia, Islam gagal diperuntukkan secara rasmi dalam perlembagaan sehingga urusan agama tidak dapat dikawal dengan kemas oleh undang-undang dan institusi rasmi.

Teman-teman yang prihatin dari Indonesia sering mengeluh bahawa inilah suatu kelebihan Islam di Malaysia berbanding dengan negara mereka yang akhirnya menyumbang kepada kerencaman yang melampau dan kurangnya kesepaduan umat Islam Indonesia. Kita patut tanyakan Dr. Asri, adakah beliau mahu kita mencontohi Indonesia dalam aspek ini dan melemahkan lagi kesatuan suara dan rasa umat Islam di Malaysia?

Sesiapa pun yang sedia mengkaji secara tekun dan jujur segala ucapan, tulisan dan sikap Dr. Asri (yang kebanyakannya boleh didapati di laman webnya) dengan berlatarbelakangkan pertembungan aliran ASWJ dan aliran-aliran pinggiran, akan segera banyak menemukan pola-pola pemikiran yang bertentangan dengan jumhur (majoriti) umat. Taklid dan hormat kepada tokoh ulama dan mazhab ditentang hanya untuk digantikan secara halus dengan taklid kepada tokoh dan alirannya sendiri. Dr. Asri juga sering menyeru kepada minda yang terbuka tetapi pada masa yang sama sering mempermasalahkan perbezaan pandangan dalam isu-isu ranting hingga menimbulkan ketegangan sesama Islam. Pandangan mazhab dan jumhur ulama kerap digambarkan sebagai ketinggalan dan jumud sedangkan dalam pelbagai persoalan lain aliran ini jauh lebih ketat dan keras daripada pandangan jumhur ulama.

Tulisan ini bukanlah sebuah perbahasan terperinci fenomena Dr. Asri tetapi cuba melakarkan suatu gambaran besar tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku. Gambar yang terhasil sebenarnya amat membimbangkan. Jika tidak berhati-hati, umat Islam di Malaysia yang sudah parah menanggung perpecahan mengikut garis kefahaman politik mungkin akan dirumitkan lagi dengan perpecahan aliran agama melibatkan ketiga-tiga sendi iaitu tauhid, Fikah dan tasawuf. Emosi dan simpati semata-mata tidak memadai untuk mencari sikap yang tepat dalam isu ini.

Dalam mabuk lagu perubahan dan pembaharuan yang dimainkan oleh Dr. Asri dan teman-teman sealirannya, kewibawaan kerangka fahaman agama serta keutuhan suara umat Islam boleh terhakis. Jika tidak berhati-hati kita akan mengulangi kesilapan isteri Aladdin yang termakan pujukan si tukang sihir jahat lalu menukarkan lampu lama yang penuh kesaktian dengan lampu baru yang hanya hebat luarnya tapi kosong isinya. Wallahualam.

Oleh:

Yusri Mohamad ialah Naib Presiden, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM)
dan Bekas Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).


Ulasan Fakir:

Sememangnya Dr. Asri membawa arus perubahan. Tetapi apa yang fakir lihat arus perubahannya itu membawa lebih banyak negatif dari positif. Ini dapat dilihat dari ceramah beliau yang mendakwa selawat As-Syifa' adalah bercanggah dengan akidah Islam, ada unsur-unsur syirik. Tuduhan melulu ini dijawab oleh Prof Dr. Haron Din di Darussyifa' Online. Malah Dato' Haron Din menegur mereka yang menuduh ini supaya mendapat penjelasan dari beliau atau mereka yang arif terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan.(Sebenarnya banyak lagi.cukup ini dahulu)

Dan banyak arus pembaharuan yang kononnya diperjuangkan oleh beliau bukan lah pembaharuan , malah sebenarnya pada pandangan fakir, lebih terkebalakng dan mundur kerana membahaskan kembali perkara yang telah lama dibahas oleh Ulamak-Ulamak terdahulu yang lebih alim, tawadhuk dari beliau. Rakyat yang jahil dan terlena dengan semboyan "Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah" menyokong beliau tanpa melihat dan berfikir kembali apakah perkara yang diperjuangkan beliau tidak pernah dibahas oleh Ulamak.


Sesungguhnya semboyan-semboyan seperti "Kembali Kepada Al-Quran dan Sunnah" dan seumpamanya tidaklah menghairankan , kerana sejarah telah membuktikan bahawa GOLONGAN-GOLONGAN SESAT juga melaungkan semboyan yang seumpama itu. Sebagai contoh, Puak KHAWARIJ melaungkan semboyan "TIADA HUKUM MELAINKAN HUKUM ALLAH" sehingga tidak sedikit yang mengikut Khawarij. Akhirnya Sayyidina Ali bin Abi Thalib kwh. (semoga Allah meredhai beliau) menempelak Puak Khawarij dengan katanya "Kalimah yang Hak, tetapi dipasang pada tempat yang bathil".

Dan telah berkata Sayyidina Abdullah bin Umar r.anhu " Golongan Khawarij itu adalah kaum yang PALING JAHAT atas muka bumi ini, kerana mereka mengambil ayat-ayat AL-Quran yang khas ditujukan pada orang kafir, dipasang pada orang yang beriman."


Begitu juga dengan Puak Syiah, mereka sering melaungkan bahawa merekalah yang mencintai Ahlulbayt Rasulullah s.a.w.. Dan mereka lebih suka disebut sebagai Mazhab Ahlulbayt. Dan Orentalis Barat Yang mengkaji Islam menyebut dalam salah satu tulisan mereka "Syiah adalah mereka yang mencintai Ahli Keluarga Nabi Muhammad s.a.w."


Ini Satu kekeliruan !!! Apakah Ahli Sunnah Wal Jama'ah tidak mencintai Ahlulbayt Rasulullah SAW??? Malah kami lebih mencintai Ahlulbayt, kerana kami juga mencintai Para sahabat r.anhum. Dan Ahlulbayt mencintai Para sahabat r.anhum. Sekiranya kita mencintai seseorang, apa-apa yang dicintainya , turut dicintai oleh kita. Adapun Syiah yang mendakwa cintakan Ahlulbayt, tetapi dalam masa sama merendah-rendahkan , mencaci, dan mencela Para sahabat r.anhum adalah cinta yang dusta dan direka-reka sesuai dengan hawa nafsu.


Demikian juga Puak Jabariah, Muktazilah, Qadariah, Murji'ah, Qadiani, Bahaiyah, Wahhabiyah, dan seumpama dengan mereka. Masing-masing dengan semboyan-semboyan yang mengasyikkan, mengkhayalkan, dan meyakinkan mereka yang mengikutnya, padahal telah terbentang di hadapan kita beribu-ribu kitab-kitab muktabar yang menolak, mengeji, serta memperingatkan umat Islam dari bahaya golongan-golongan ini.

Pengalaman fakir sendiri berjumpa dengan mereka yang berfahaman Wahhabi tulin, adalah sangat mengerikan. Orang ini mensyirikkan tawassul hatta kepada Nabi SAW sekalipun, membida'ahkan kebanyakan amalan Umat Islam di Malaysia (bukan lah fakir ingin pertahankan sangat keseluruhannya, fakir juga menentang beberapa amalan seperti bersanding , dan amalan bersanding memang tidak pernah di ajar malah dilarang oleh ulamak-ulamak silam kita, adapun amalan seperti baca Yassin, talkin, dan kenduri arwah, ianya disebut di dalam kitab-kitab Ulamak kita beserta dengan dalil bagi mereka yang adil dalam mencari kebenaran) dan banyak lagi.

Fakir bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kita harus bersangka baik sesama saudara Islam. Tetapi, ketahuilah bahawa , sangka baik bukanlah bermakna menyokong, dan bukan juga menentang. Ini kerana kalau kita menyokong, kita tak sedar bahawa kita sedang menyokong kebatilan. Dan kalau kita menentang, kita tidak sedar bahawa kita sedang menentang kebenaran. Adapun bagi mahasiswa yang mahu bersangka baik kerana tidak berminat mengkaji tentang perkara ini, sepatutnya berdiam diri, dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan, bukannya menyokong atas dasar sangka baik.


Ada juga yang mengatakan janganlah kita mudah menggelarkan sesiapa Wahhabi. Fakir juga sangat bersetuju dengan kenyataan ini. Jangan mudah menuduh dan memfitnah sesiapa. Akan tetapi, sebagai mahasiswa yang dikurniakan Allah s.w.t. akal yang sihat dan cerdik, adalah memalukan sekiranya tidak digunakan untuk mengkaji dan meneliti, tetapi hanya mengeluarkan perkataan yang selamat, "jangan mudah menuduh sesaper Wahhabi". Fakir hendak juga bertanya "Apa itu Wahhabi?", berapa ramai yang fakir tanya tak tahu. Dan orang bercakap "jangan mudah menuduh orang Wahhabi" PUN TAK TAHU APA ITU WAHHABI, atau sekurang-kurangnya WAHHABI YANG DITENTANG (kerana definisi Wahhabi dah banyak lari dari apa yang fakir faham melalui kitab-kitab yang dekat dengan zaman Wahhabi itu sendiri).

KALAU KITA TIDAK KENAL MUSUH, KITA AKAN TERPERANGKAP DENGAN JERAT MUSUH. Berapa ramai yang mempelajari tauhid??? hari ini ramai yang sibuk dengan kehidupan dunia, akademik hiburan, sukan dan sebagainya bagi mereka yang tidak berfikrah perjuangan. Tetapi bagi mereka yang berfikrah perjuangan pula, sibuk dengan perjuangan, politik, isu-isu semasa dan HOT ( padahal bukan semua isu semasa patut mahasiswa respon, ini menunjukkan kita lebih semangat tanpa berfikir dalam2 dan mengambil sikap Warak) , tetapi kurang mempelajari Tauhid, Akidah yang sahih lebih-lebih lagi zaman penuh dengan dusta dan fitnah. Kalau kita tak pelajari Tauhid, macam mana boleh mendakwa akidah kita benar dan sahih??? Ada yang fakir tanya , " Apa itu Wahdaniah Allah pada perbuatan?"..TAK TAHU...atau dijawab tetapi dibelakang KOT, KAN, EK..menunjukkan tidak yakin, dan tidak pasti tentang jawapan sendiri...INI SANGAT BAHAYA...WAHDANIAH adalah salah satu sifat wajib bagi Allah s.w.t., bagaimana boleh kamu meninggalkan pelajaran mengenal ALLAH s.w.t (Fardhu Ain) tetapi buat FArdhu Kifayah???? Dan mereka ini ada yang mempelajari 3T dan menganggap cukup dengan pelajaran 3T yang disebut sebagai mudah difahami dan senang. Di post yang akan datang fakir akan menerangkan betapa rapuhnya 3T ini dalam mengenal Allah s.w.t. dan kesannya (mensyirikkan orang yang bertwassul, bertabarruk dan sebagainya), longgarnya 3T ini dalam membentengi diri menghadapi aliran-aliran yang sesat seperti Mujassimah, Musyabbihah, Hasyawiyah dan sebagainya.


Adapun berkenaan dakwaan bahawa JAIS bertindak kasar terhadap Dr. Asri semasa melakukan serbuan, pertama yang fakir nak tanya "Siapa yang Khabaq???"

Fakir mendengar sidang media Dr. Asri sebaik selepas dibebaskan oleh JAIS, tidak ada satu kenyataan dari beliau, bahwa beliau dikasari. Dan perlu diingat , orang yang berada di situ, semuanya adalah yang menyokong Dr. Asri, dan berita tentang (penangkapan) pastilah banyak disebarkan oleh mereka juga, kerana mereka yang ada pada ceramah itu. Dan bagi fakir, ini (dikasari) hanyalah penokok tambahan yang dibuat oleh orang untuk menaikkan rasa simpati rakyat kepada Dr. Asri. (kita perlu sedar JAIS juga manusia yang tidak dapat mengelak dari perasaan takut kalau2 pengikut Dr. Asri naik gila atau mengamuk, maka tindakan segera dan pantas perlu diambil bagi mengelak sebarang kejadian tak diingini, dan mungkin pada masa itu, sedikit kekasaran (kalau ianya dianggap kasar) berlaku).

Dan satu lagi, perkataan dikasari adalah sangat subjektif, kadang-kadang pegang tangan pun kata dikasari.

Dan kemudian PARLIMEN pulak berbahas, alangkah rosaknya agama ini bila yang menentukan hala tuju agama ini adalah ORANG-ORANG YANG BUKAN AHLINYA. Adapun masalah tauliah adalah urusan Yang Di Pertuan Agong dan Sultan-Sultan di negeri masing-masing. Perlu diketahui bahawa golongan sesat pun berpendidikan agama jugak, seperti Dr. Aminah Wadud, Penasihat SIS. Adakah kita akan beri tauliah pada dia kerana dia ada PhD dalam kajian Al-Quran ?????? Malah dia juga pernah menjadi pensyarah di UIAM, dan tidak ada fatwa yang diwartakan mengenai kesesatan SIS, maka adakah disebabkan itu, kita akan benarkan pemimpin-pemimpin mereka berkuliah ???? Fakir mengharapkan bahwa mahasiswa janganlah seperti orang yang bodoh dan dungu, dan mengikut kata telunjuk orang, seperti lembu yang dicucuk hidung.

Alhamdulillah, DYMM Sultan Selangor telah bertitah bahawa pentingnya ada tauliah, dan tak sepatutnya orang kebanyakan mempersoalkannya. Fakir bersetuju kerana kalau lah urusan agama ditentukan oleh orang kebanyakan (yang bukan ahli), rosaklah agama ini.


Kajian yang fakir buat termasuk membaca artikel-artikel Dr. Asri , ceramah2 beliau, dan membandingkan dengan apa yang disampaikan Syaikh Nuruddin Al-Marbu Al-Banjari, Syaikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki, SS Mufti Perak, dan ustaz-ustaz fakir , menunjukkan terdapat jarum-jarum halus yang menikam perpaduan umat Islam hari ini atas semboyan Tajdid, pembaharuan, pembukaan minda dan sebagainya.

Sememangnya orang yang munafik tidak akan mengaku diri munafik, orang khawarij pun tidak akan mengaku sebagai Khawarij, orang yang sesat tidak akan mengaku dirinya sesat, dan Orang Wahhabi tidak akan mengaku dirinya Wahhabi. Jadi, sebagai Mahasiswa, jangan mudah terlena, percaya kerana zaman ini penuh dengan fitnah . Yang bathil dijulang-julang tidak kira dari segi keduniaan (suasana Islam semakin dirasakan janggal dan terasing kerana maksiat yang berleluasa) dan juga keagamaan (mereka yang kontroversi diberi peluang untuk menulis di surat khabar, ada fan club, laman web, majalah, dan dihormati pemimpin-pemimpin , yang akhirnya membuatkan suasana beragama di Malaysia ini semakin kontroversi, berlaku pertelingkahan yang tidak perlu dan merugikan umat Islam hanya kerana slogan tajdid dan disebarkan kepada orang awam yag jahil tentang agama)

Akhir kata, semoga Allah s.w.t. menetapkan hati umat ini yang telah bersatu padu, dan semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada mereka yang ingin memecahkan kesatuan yang telah wujud pada umat ini, dan semoga Allah s.w.t. MELAKNAT, MENJAHANAMKAN, MENCELAKAKAN pemecah belah umat yang tidak dikehendaki oleh-Nya taufik dan hidayah supaya umat ini terus bersatu dan maju ke hadapan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang,....Amin


p/s * Fakir teringat kata2 Ketua Pengarah JAKIM tentang Dr. Asri "Sudah sampai masanya mufti muda ini ditakdibkan (diperadabkan), bimbang ujub dan takbur menguasaui diri, dan cenderung untuk merendah-rendahkan pendapat dari ulamak yang lain".........Sama-sama muhasabah diri




1 comment:

  1. Excellent views Bro, Alhamdulillah, views ini amat jarang, concerning that anak muda ramai mudah tertarik with marketing MAZA. WA.

    ReplyDelete