Renungan

Wednesday, November 18, 2009

Sifat hasad menurut Al-Imam Ghazali r.anhu

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Pada posting kali ini, fakir suka untuk berkongsi dengan saudara yang fakir muliakan berkenaan isu hasad, antara perkara yang membarah dalam masyarakat Melayu kita ini (beberapa bulan yang lepas, makcik fakir baru terkena buatan orang, satu family gatal-gatal dan timbul nanah satu badan, Alhamdulillah bila bawak berubat dan keluarkan "barang" yang ditanam oleh pihak yang hasad itu, kesemua mereka beransur pulih, semoga Allah s.w.t. memberi ganjaran sebanyaknya kepada mereka atas kesabaran menghadapi dugaan tersebut)

Maka fakir bawakan kitab Al-Bidayatul hidayah bagi Al-hujjah Al-Islam Al-Imam Al-ghazali r.anhu yg telah diterjemah oleh Al-Fadhil Al-Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi Al-Maliki HafizahUllah. Pada m/s 138:

Sifat hasad ini adalah bercabang daripada sifat bakhil kerana orang bakhil ialah orang yang tidak mahu meberikan sesuatu yang ada di tangannya kepada orang lain. Dan Syahih (bersangatan bakhil) ialah orang yang tidak mahu melihat kurnia Allah atau perbendaharaan Allah yang sebenarnya bukan perbendaharaannya tercurah kepada sesiapa sahaja daripada hamba Allah. maka Syahih lebih jahat daripada bakhil dan orang yang hasad ialah orang yang merasa keberatan bahawa Allah mencurahkan nikmat dan kurnia kepada salah seorang di antara hamba-hamba Allah, sama ada nikmat itu berupa ilmu, harta, kecintaan manusia atau apa sahaja habuan yang diberikan Allah kepada hamba-hamba-Nya sehingga orang yang hasad ini bercita-cita kalau boleh nikmat Allah itu hilang dari orang lain walaupun ia tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada hilangnya nikmat tersebut. Maka sifat hasad ini adalah kejahatan yang luar biasa.

Kerana itu, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sifat hasad itu memakan akan pahala kebaikan seperti api memakan kayu bakar"

Dan orang yang hasad ini sebenarnya sentiasa jauh daripada kasih sayang dan sentiasa berada dalam siksaan di dunia dan di akhirat nanti. Di dunia ini , ia terseksa dengan tekanan perasaan kerana bila-bila masa Allah selalu mencurahkan kurnia-Nya kepada orang ramai bahkan kepada kawan-kawan orang yang hasad itu yang ia mengenali mereka. Allah sentiasa mencurahkan nikmat ilmu, harta dan kedudukan maka sentiasa pula orang yang hasad itu dalam penyiksaan bila ia melihat kemurahan Allah terhadap orang lain. Maka begitulah keadaannya sampai ke akhir hayatnya.

Manakala di akhirat lebih dahsyat lagi kerana seseorang hamba tidak akan mencapai hakikat iman selama ia belum lagi mencintai bagi seluruh kaum Muslimin apa-apa yang ia cintai bagi dirinya sendiri bahkan sepatutnya hendaklah ia bersama dengan perasaan seluruh kaum muslimin baik dalam kesenangan ataupun dalam kesusahan kerana orang islam itu ibarat sebuah bangunan, di mana satu bahagian mengukuhkan bahagian yang lain dan seperti batang tubuh apabila mana-mana anggota merasa sakit maka penderitaan itu dirasakan oleh seluruh anggota badan yang lain. Jadi jika engkau mendapati hatimu bukan dalam keadaan seperti inimaka (sifat hasad masih wujud dalam hatimu dan ) hendaklah engkau berusaha untuk membersihkannya kerana usahamu dalam meninggalkan penyakit hati ini adalah lebih penting daripada engkau menyibukkan diri untuk mendalami ilmu furuk (cabang iomu fekah yang halus-halus) yang ganjil-ganjil dan memperdalami masalah-masalah yang dikhilafkan oleh para ulamak.

tamat petikan kitab.

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment