Renungan

Saturday, December 5, 2009

Al Allamah Al-Sheikh Yusuf al-Dijwi al Azhari.

Penulis : Ustaz Haji Abdul Raof Pondok Tampin

{Sesungguhnya daku tidak akan mengikut pendapat Ibnu Taimiah sama sekali, (kerana) Sesunggguhnya jika aku sampai kedarjah Mujtahid, maka Aku tidak akan mengikut pendapat sesiapa pun. Sebaliknya jika daku tidak sampai kepangkat mujtahid, maka daku akan bersama-sama mengikuti pendapat majoriti ulamak , aku tidak akan bersama (menyokong mereka yang bertelingkah ) dengan mereka.
(Cara) yang begitu adalah yang lebih cermat dalam beragama. Dan lebih hampir pada sisi Aqli dan Naqli ( pada sudut pandangan ilmu-ilmu akliah dan ilmu-ilmu Syara).} - al allamah al-sheikh Yusuf al-Dijwi al Azhari.
Begitulah bunyi (Kalimah fi salafiah al haadhirah- كلمة فى سلفية الحاضرة) -surat yang dikirim beliau kepada al allamah Muhammad Zahid al Kawthari.

Al Allamah al-Syeikh Yusof al-Dijwi merupakan seorang yang cerdik dan berfikiran tangkas. Beliau mampu menerangkan sesuatu perkara dengan bahasa yang indah dan baik, daya ingatannya kuat dan ilmunya amat luas. Halaqah pengajian yang diadakannya di al Azhar Syarif, dihadiri oleh hampir seribu orang ulama' dan penuntut ilmu. Beliau menyampaikan ucapannya dengan keterangan dan penjelasan yang amat memukau dan menarik perhatian pendengar sehingga mengalir ke dalam diri mereka curahan ilmu yang berkesan. Beliau adalah seorang ahli tafsir, ahli hadith dan ahli falsafah al Azhar. Selain itu, beliau juga seorang pengarang dan khatib al Azhar yang benar-benar hebat di antara ulama' lain yang sezaman dengannya.

Beliau menjadi orang kepercayaan masyarakat Islam di seluruh dunia, menunjukkan pengiktirafan mereka terhadap keluasan ilmunya, ketulusannya dan ketinggian wara'nya. Banyak pertanyaan yang datang dari segenap tempat dan pelusuk dunia yang diajukan kepadanya untuk meminta fatwa.

Beliau juga adalah seorang yang bersifat pemurah dan mulia. Wajahnya akan ceria ketika dapat menyelesaikan hajat-hajat yang dikemukakan kepadanya walau dalam apa jua perkara. Layanan yang diberikannya kepada orang-orang asing tidak ada tolak bandingannya.

Kitab-kitab karangannya menarik perhatian umat Islam dan telah berada di serata pelusuk dunia. Banyak hasil makalahnya yang begitu bermanfaat telah tersebar ke segenap tempat dan masih lagi dimuatkan di dada-dada akhbar dan majalah Bahasa Arab sehingga ke akhir hayatnya. Ini adalah kurniaan Allah yang dianugerahkanNya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Telah berkata Imam Besar Syeikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud:

Sesungguhnya kami telah menghadiri majlis pengajian al Marhum al Alim al Kabir al arif billah Fadhilah Syeikh Yusof al Dijwi di Ruwaq Abbasiy di dalam Masjid al Azhar selepas sembahyang Subuh. Pengajian ilmu tafsirnya benar-benar menarik perhatian. Beliau telah menghimpunkan di antara ilmu yang ditimbanya semenjak sekian lama dengan ilmu yang diperolehinya melalui sumber ilham-ilham robbaniyyah. Tetapi sayang, tidak seorang pun yang membukukan pengajian-pengajiannya ini. Sekiranya ilmu yang dicurahkan dalam pengajian itu dibukukan, sudah tentu dapat dimanfaatkan ilmunya dan mutiara-mutiara ilhamnya.


Secubit biodata al- Dijwi

Dilahirkan di Dajwah yang terletak dalam daerah Qalyub Mesir pada tahun 1287 H. Ayahandanya berasal dari Bani Habib, manakala bondanya berketurunan Sayyidina Hasan r.a.
Setelah menghafaz al Quran di kampungnya, beliau dihantar oleh ayahandanya belajar dial Azhar. Beliau menerima ilmu ilmu Islam daripada ulama' al Azhar semenjak tahun 1301H hingga 1317H. Kemudian beliau memasuki peperiksaan darajah al Alimiyyah (sama taraf dengan Phd) pada zaman ini). Beliau telah berjaya dalam peperiksaan tersebut ddengan cemerlang sehingga salah seorang gurunya yang terkenal 'alim di kalangan ulama' Azhar iaitu Syeikh Radhi al Hanafi, datang menziarahi ke rumahnya untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaannya.

Di antara guru-gurunya:

1. Syeikh Harun ibn Abdur Raziq al Banjawi (wafat 1335H dalam usia 87 tahun).
2. Syeikh Ahamad al Rifaii al Fayyumi (wafat pada tahun 1326H).
3. Syeikh Muhammad ibn Salim al Tomum (wafat pada tahun 1336H).
4. Syeikh Ahmad Faid al Zurqoni
5. Syeikh Daud al Maliki.
6. Syeikh al Azhar Syeikh Salim al Bisyri.
7. Syeikh Razzaq ibn Saqar al Barqami.
8. Syeikh Muhammad al Buhairi al Syafie
9. Syeikh Atiah al Adawi al Syafie
10. Syeikh Hasan al Jarisi (seorang guru beliau dalam ilmu Qiraat).

Murid-muridnya:

Ramai di kalangan murid-murindnya yang menjadi ulama' besar dalam semua bidang ilmu Islam dengan berkat didikannya.

Di antara mereka ialah:

1. Al Muhaddith Syeikh al Islam al Allamah Muhammad Zahid al Kawthari.
2. Mufti Besar Mesir al Muhaddith al Allamah al- Syeikh Hasanain Makhluf.
3. Syeikh al Azhar Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud.
4. Imam Jami' al Azhar al Arif Billah Syeikh Soleh ibn Muhammad al Ja'fari.
5. Al Allamah Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim.
6. Al Allamah Syeikh Muhammad al Hafiz al Tijani.

Wafatnya:

Beliau wafat di antara waktu Maghrib dan Isya' pada malam Rabu 5 Safar tahun 1365H, ketika berusia 78 tahun. Usianya telah dihabiskan dengan melaksanakan amal-amal soleh, menyebarkan ilmu-ilmu yang bermanfaat, berdakwah dengan cara berhikmah dam memberikan pengajaran yang baik serta berjihad pada jalan Allah dengan mata pena dan lisan.

Sumber : Http://PondokTampin.Blogspot.Com

No comments:

Post a Comment