Renungan

Tuesday, December 8, 2009

Kitab Akidah Muslimin :satu cadangan buat PMI UTM


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin



Amma Ba'du,

Fakir ingin mencadangkan kepada pihak PMIUTM akan kitab Akidah Muslimin sebagai salah satu silibus di dalam usrah PMI. Kitab ini asal teksnya dalam bahasa Arab dan diberi pengesahan dan perakuan dari Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar dan kemudian diterjemah dan disusun oleh Al-Fadhil Ustaz Hj. Ahamad Hafiz Hj. Mohd Alwi Al-Bakkaniyy, Pengerusi Biro Dakwah dan Pembangunan Modal Insan, Yayasan Pendidikan Prihatin Malaysia.

Kitab ini kemudian disemak dan diberi kata-kata aluan oleh:

1. Jabatan Mufti Terengganu

2. Jabatan Mufti Kelantan

3. Jabatan Mufti Pahang

4. Darul fatwa Australia

Marilah sahabat-sahabat, kitab yang telah diperakui berada di depan mata, fakir sanggup membantu untuk membekalkan kitab ini kepada saudara-saudara yang berminat. Ianya amat ringkas dan dalam bentuk soal jawab yang mudah difahami. Janganlah memandang enteng dan ambil mudah akan perkara Tauhid dan Akidah. Di sini fakir ingin berkongsi dengan saudara yang dimuliakan berkenaan kata-kata aluan oleh Sohibus Samahah Al-Ustaz Dato' Haji Ismail bin Haji Yahya, Mufti Negeri Terengganu. Renungkanlah.

Segala Puji bagi Allah SWT, Tuhan Empunya Sekalian Alam, Yang Wujud Azali tanpa bagaimana, tanpa arah, dan tanpa tempat. Selawat dan salam atas junjungan baginda Nabi Muhammad s.a.w. , Penghulu Para Anbiya dan Rasul, dan Para Sahabat dan mereka yang mengikuti mereka itu.

Firman Allah SWT:

"Wahai Orang-orang yang beriman ! Sesiapa antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepadanya, (kaum) yang bersifat lemah lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka pula tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah, yang diberikan-Nya , kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya" (Surah Al-Maidah , ayat ke-54)

Setelah diturunkan ayat ini Rasulullah s.a.w. menunjuk kepada seorang sahabat iaitu Abu Musa Al-Asy'ari r.anhu dengan sabdanya "Mereka adalah kaum ini", dan Rasulullah s.a.w. menepuk bahu Abu Musa Al-Asy'ari r.anhu. (penjelasan fakir: ini adalah daripada hadis yang dinukil oleh Al-Hafizh Ibnu Kathir RahimahUllah di dalam tafsirnya dari riwayat Al-Hakim r.anhu dan tafsir Jami'e Al-Ahkam lil Quran bagi Al-Imam Al-Qurtubi r.anhu melalui riwayat Al-Thabrani r.anhu).

Jika kita mengkaji pada ayat dan hadis ini jelas bahawa Rasulullah s.a.w. memuji Sayyidina Abu Musa Al-Asy'ari r.anhu yang mana telah lahir dari keturunannya Al-Imam Abu Hasan Ali Al-Asy'ari r.anhu, yang telah wafat pada tahun 333 Hijrah, dan beliau merupakan pendukung manhaj Ahlussunnah Wal Jama'ah bersama sama dengan sahabat beliau iaitu Al-Imam Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Al-Maturidi Al-Samarqandi r.anhu yang wafat pada tahun 332 Hijrah, sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Ulama Ahlussunnah Wal Jama'ah.

Al-Imam Abu Hasan Ali Asy'ari r.anhu tidak membawa pandangan baru yang berselisihan dengan akidah Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat Baginda r.anhum, ini telah dinukilkan oleh Al-Imam Al-Hafizh Al-Subki r.anhu dalam kitabnya, Tabaqat, yang beerti:

"Ketahuilah bahawa Al-Imam Abu Hasan ALi Asy'ari tidak mendatangkan akidah atau pandangan baru ( bercanggah dengan Islam) dan tidak pula beliau membuat yang baru (bercanggah dengan Islam), akan tetapi beliau datang mempersetujui fahaman Al-Salaf yang bertepatan dengan akidah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat".

Al-Imam Al-Hafizh Al-Murtadho Al-Zabidi r.anhu dalam kitabnya Ithaf Al-Sadah Al-Muttaqin (penjelasan fakir: ini merupakan satu kitab syarah bagi kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Al-Imam Ghazali r.anhu) menerangkan bahawa apabila ditanyakan siapakah Ahlussunnah Wal Jama'ah maka jawabnya ialah Al-Asya'irah dan Al-Maturidiah.

Kedua-dua mereka adalah Imam Ahlussunnah Wal Jama'ah kerana kedua-dua Imam inilah yang menghurai, memperinci dan memperbahaskan ilmu akidah, dalam erti kata yang lain, meletakkan atau menyusun satu disiplin atau method untuk memahami akidah Islam dengan dalil naqli dan aqli di samping menentang golongan-golongan sesat dari kalangan Mujassimah, Musyabbihah dan seumpamanya (Penjelasan Fakir: Telah berkata Al-Syaikh Muhammad Arsyad Al-Banjari r.anhu , bahawa telah berkata Al-Imam Fakhruddin Al-Razi r.anhu "Dan Mujassimah itulah Musyabbihah, (dan) Musyabbihah itu kafir")

Akidah Ahlussunnah Wal Jama'ah berteraskan kepada akidah yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat baginda ridwanullahi 'alaihim ajma'in, seterusnya kesinambungan ini diteruskan oleh para tabi'en , tabi'al tabi'en hinggalah sampai sekarang ini.

Akidah yang sebenar menjadi syarat utama untuk diterima oleh Allah semua amalan ibadah kita. Justeru, risalah-risalah yang mengupas dengan tepat dan padat dengan pengisian akidah kita yang berkaitan hendaklah diperbanyakkan. Kita tidak boleh setakat mendabik dada mengaku sebagai pengikut kepada Al-Imam Abu Hasan AL-Asy'ari dan Al-Imam Al-Maturidi r.anhum yang bermanhajkan akidah Ahlussunnah Wal Jama'ah sahaja, akan tetapi kita mesti mengutamakan dengan mempelajari serta memahami makna yang tersirat di sebaliknya untuk dipegang dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita.

Ketiga-tiga risalah ini amat sesuai dipelajari dan diajar di amsjid-masjid, surau-surau, tempat-tempat pengajian serta di mana- mana sahaja. Antara tajuk risalah-risalah yang telah diterjemahkan adalah:

1. Akidah Muslimin

2. Bahjatun Nazor

3. Senarai Hujjah Ahlussunnah Wal Jama'ah ke atas penyelewengan Golongan Wahabi

Semoga Allah memberikan pahala yang berlipat ganda kepada pihak Pusat Pengajian Islam Baitul Iman, Dungun, Terengganu dalam menyebarkan dakwah melalui terjemahan seumpama ini dan diharap ianya dapat mengajak masyarakat ke arah memahami erti sebenar akidah umat Islam.


Yang Benar,
Dato' Haji Ismail bin Yahya
Mufti Negeri Terengganu



Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)



No comments:

Post a Comment