Renungan

Tuesday, September 1, 2009

Bahaya 3 Serangkai

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yg berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam moga dicurahkan Allah s.w.t. atas junjungan dan penghulu kita Sayyidina Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan baginda di tempat yg terpuji sepertimana yg Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yg mulia lagi tinggi makam mereka itu di sisi Allah Azza Wajalla..

Amma Ba'du,


FELO Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady mendedahkan sejak kebelakangan ini aliran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman (Wahhabiy), Syiah dan Islam liberal mula menyerang negara menyebabkan sebahagian masyarakat terpengaruh.


Beliau yang menjadi ahli panel pada Wacana Ilmu bertajuk Ahli Sunnah Wal Jamaah anjuran akhbar Berita Harian dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), baru-baru ini melahirkan kebimbangan (bahawa) masyarakat dan negara akan berdepan pelbagai masalah jika perkara (ini) tidak didedahkan. "Ramai yang mempertikaikan kita menggunakan kitab lama, kononnya tidak moden. (Mereka sebenarnya ingin memodenkan) masyarakat kepada aliran (pemikiran) Islam liberal. Kita bimbang jika masyarakat tidak didedahkan dengan fahaman yang betul mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah (pegangan Majlis Agama Negeri dan Fatwa Kebangsaan) nescaya kita akan berdepan pelbagai masalah termasuk boleh (memberi ancaman) kepada keselamatan negara," katanya.


Ketika ditanya, Sejauh mana fahaman Syiah, aliran Wahhabiy dan Islam liberal mempengaruhi pemikiran umat Islam, Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Razali Shahabudin berkata, sukar menafikan wujud segelintir umat Islam negara ini dipengaruhi unsur bertentangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan mazhab Syafi'ie. Beliau berkata, setakat ini JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta pihak keselamatan melalui peruntukan undang-undang dan dasar kerajaan berjaya membendung penularan fahaman berkenaan. "Pelbagai tindakan pencegahan dilakukan JAKIM dan JAKIM bagi mengelakkan fahaman itu menjadi serius sama ada melalui fatwa dikeluarkan, majlis penerangan di pelbagai peringkat masyarakat dan tindakan undang-undang terhadap penganut fahaman berkenaan," katanya.


Beliau berkata, fahaman Syiah dan Islam liberal bahaya terhadap umat Islam kerana alasan yang berbeza. Syiah diharamkan di negara ini melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 berdasarkan percanggahan dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 3 Mei 1996 membuat keputusan menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Memperakukan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang. Antara penyelewengan yang dikenal pasti dalam ajaran Syiah ialah imam adalah maksum, khalifah diwasiatkan secara nas, menolak ijmak ulama, menolak qiyas dan mengamalkan nikah mutaah (dan banyak lagi penyelewengan).

Sementara fahaman Wahhabiyah pula tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam. Itu adalah hasil daripada perbincangan beberapa kali pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Semua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan itu tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat. Razali berkata, mengenai Islam liberal pula setakat ini tidak wujud mana-mana individu atau organisasi di Malaysia yang menubuhkan apa-apa kumpulan atas nama Islam liberal seperti berlaku di Indonesia.

Bagaimanapun katanya, wujud fenomena liberal dalam kalangan organisasi dan individu tertentu yang sentiasa dipantau serta dikaji oleh pihak berkuasa agama. Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-74 pada 25- 27 Julai 2006 membincangkan "Aliran Pemikiran Islam Liberal" dan memutuskan aliran itu adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam. "Antara kesesatan pemikiran itu ialah berpegang kepada konsep pluralisme agama, meragui ketulenan al-Quran, menggesa tafsiran baru konsep ibadat, mempertikaikan kredibiliti Nabi SAW dan mempertikaikan hukum-hakam yang muktamad," katanya. Beliau berkata, ajaran sesat dan sebarang ajaran baru menyalahi tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini yang berpegang kepada akidah Asya'irah-Maturidiyyah dan fiqh Syafi'ie, sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang umat Islam.

Katanya, penyebaran ajaran sesat akan menggugat akidah serta syariah Islam sementara aliran seperti Wahhabiyyah boleh menimbulkan kekeliruan dan berakhir dengan krisis perpaduan jika tidak dibendung dan ditangani. Berdasarkan rencana Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah di laman web Jakim bertarikh 19 Disember 2006, pada prinsipnya fahaman Wahabi membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka. Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lama berakar umbi dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Orang awam yang kurang mahir selok belok mazhab lebih baik bertaklid dengan pegangan mazhab sedia ada. Hakikatnya fahaman Wahhabiy tidak membawa pemikiran baru mengenai akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang dikemukakan Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakkan kerana kesan globalisasi ilmu di dunia hari ini.

Petikan daripada Akhbar berita Harian dalam Ruangan Agama.

Fahaman Wahhabiy, Syiah dan Islam Liberal adalah bertentangan dengan Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Kewujudan aliran ini bukan sekadar mengganggu-gugat keharmonian fahaman dan amalan, tetapi tindakan mereka yang ekstrem mampu mengancam keselamatan negara. Oleh itu, ianya perlu dibendung sehingga ke akar umbi.

Bersama kita semarakkan program Pemantapan Akidah di semua peringkat dalam mendedahkan penyelewengan yang terdapat pada fahaman ini supaya masyarakat jelas dgn fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.


Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Alah Tempatkan junjunagn kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin )Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia dan sangat mengasihi akan Umat Nabi Muhammad s.a.w. .

Dan kepada Allah s.w.t. jua kita dikembalikan, Dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui .Segala puji hanya bagi Allah s.w.t.

Jazakallah Khairan Kathira....(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment