Renungan

Thursday, September 24, 2009

Terpancutnya air dari jari jemari Rasulullah s.a.w.

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empuanya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Faqir ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dimuliakan Allah s.w.t. dengan kisah bagaimana air terpancut dari jari jemari kekasih kita, penghulu serta ikutan kita dunia akhirat Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w.. Telah diriwayatkan oleh Al-Hafizh Abu Bakar al-Baihaqi rah., daripada Al-Hakim Abu Abdullah berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Muhammad ibn Abi al-Hasan, telah mengkhabarkan kepada kami Abdur Rahman ibn Abi Hatim al-Razi daripada bapanya, berkata Umar ibn Sawwad daripada Al-Imam Syafi'e r.anhu, telah berkata Al-Imam Al-Kabir Syafi'e r.anhu :

"Tiada suatu mukjizat yang dikurniakan kepada seseorang Nabi, maliankan dikurniakan juga kepada Rasulullah s.a.w. dengan mukjizat yang sama atau lebih hebat daripada mukjizat mereka" (Manaqib al-Syafi'e karangan Al-Hafizh Al-Baihaqi)



Di dalam Sohihain, daripada Sayyidina Anas bin Malik r.anhu berkata :

"Aku melihat Rasulullah s.a.w. dan ketika itu telah masuk waktu sembahyang Asar. Maka orang ramai pergi mencari air untuk berwudhuk tetapi mereka tidak mendapatinya. Maka didatngkan kepada Rasulullah s.a.w. air wudhu'nya. Lalu Baginda s.a.w. meletakkan tangannya ke dalam bekas tersebut. Maka aku melihat air terpancut dari celah jari jemari Baginda s.a.w. dan dari hujung jarinya sehingga semua kaum dapat mengambil wudhu'"
Telah berkata perawi hadith: Maka kami bertanya kepada Anas r.anhu:Berapa ramaikah bilangan kamu semua? Jawabnya: Kami seramai 300 orang.

Daripada Salim ibn Abi al-Ja'd daripada Sayyidina Jabir r.anhu :

"Pada Hari Hudaibiah, orang ramai kehausan. Pada ketika itu, di hadapan rasululah s.a.w. terdapat sebuah bekas air. Lalu Nabi s.a.w. berwudhu' dengan air yang terdapat dalam bekas tersebut. Orang ramai datang bertemu dengan Nabi s.a.w. dan berkata: Kami tidak mempunyai air melainkan apa yang terdapat di dalam bekas airmu itu. Maka Nabi s.a.w. meletakkan tangannya ke dalam bekas tersebut dan terpancutlah air dari celah jari-jarinya seperti mata air."
Maka aku (perawi hadith iaitu Salim ibn Abi al Ja'd) bertanya : Berapa ramaikah kamu ketika itu? Sayyidina Jabir r.anhu menjawab: Sekiranya bilangan kami seramai 100 000 orang pun akan mencukupi ! Dan kami seramai 1500 orang. Hadis ini turut dinukilkan oleh Al-Allamah Al-Qadhi Iyaadh r.anhu di dalam kitabnya al Syifa' bi ta'rif Huquq al Mustafa H;217 Jilid 1/2.

Al-Mufassirun Al-Imam Al-Qurtubi rah. menyatakan bahawa , peristiwa terpancutnya air dari jari jemari Baginda s.a.w. berlaku berulangkali di beberapa tempat dan di tempat tempat yang menjadi tanda kebesaran Islam.

Beliau juga menyatakan, bahawa mukjizat ini telah diriwayatkan dari banyak jalan yang kesemuanya menunjukkan ilmu yang qathi'e (pasti) dan di ambil dari hadith yang mutawatir maknawi. Bahkan mukjizat seperti ini tidak pernah didengari berlaku kepada Nabi-Nabi a.s. yang lain di mana air terpancut di antara tulang, daging dan darah Nabi s.a.w..

Al-Imam Muzani r.anhu berkata:

"Terpancutnya air dari celah jari jemari Baginda s.a.w. adalah lebih hebat dan lebih besar daripada mukjizat terpancutnya air dari celah-celah batu yang dipukul oleh Nabi Musa a.s. dengan tongkat, kerana keluarnya air dari celah batu merupakan perkara yang pernah terjadi. Firman Allah s.w.t. :

"Pada hal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lau keluar mata air daripadanya."(Al-Baqarah:74)

Selawat dan Salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan serta Sayyid kita Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan Junjungan kami di tempat yang Kau janjikan ...Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi menyayangi akan Umat Nabi s.a.w. ini.

Dan Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian Alam, Tiada berlaku sesuatu melainkan dengan Kehendak-Nya, lagi Maha Mengatur , Maha Kuasa , Tiada Daya Upaya melainkan Allah Azza Wajalla, Dan Allah s.w.t. Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Allah s.w.t. jua Yang Maha Mengetahui...

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment