Renungan

Sunday, January 10, 2010

Tauhid 3 dan Kalimah Allah

Salam...Segala Puji hanya bagi Allah SWT , tuhan Empunya sekalian alam, Tiada ada Ia berhajat kepada selain-Nya malah selain-Nya lah yang berhajat kepadaNya... Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, penghulu kita, kekasih kita dan sayyid makhluk 2 alam beserta Ahlulbayt dan Para sahabat baginda r.anhum yang mengerah keringat mereka itu bagi menyebarkan agama islam yang tercinta ini..Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat ...Amma Ba'du,

Adapun tentang kalimah Allah ini bukanlah perbahasan yang baru, kerana sebelum2 ini juga pernah ditimbulkan. Satu perkara yang memelikkan adalah mengapa apabila Mahkamah tinggi sebelum membuat keputusan , tidak merujuk terlebih dahulu kepada yang Ahli dalam agama. Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat umat Islam. Dan fatwa-fatwa telah diwartakan sebelum ini di hampir semua negeri di Malaysia , iaitu pengharaman menggunakan kalimah Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah oleh orang yang bukan beragama Islam.

Dan , baru-baru ini juga Prof Dato' Dr Haron Din HafizahUllah juga telah membuat sidang akhbar menyatakan pendirian yang sama. Malah beliau mempersoalkan mengapa kes ini dibawa ke mahkamah sivil padahal ianya melibatkan urusan agama. Sepatutnya kes ini dibawa ke mahkamah Syariah. Alangkah rosaknya agama ini bila dipegang oleh bukan ahlinya.

Al-Imam Al-Hafizh Nuruddin Al-Haithami r.anhu meriwayatkan satu hadis di dalam kitabnya yang terkenal Majma' Az-Zawaid dengan semua sanad perawi yang terpecaya, demikian juga sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad bin Hambal r.anhu di dalam kitabnya Al-Musnad, iaitu suatu hari Marwan Al-hakim berjalan melalui makam Nabi SAW , melihat seorang lelaki sedang menangis di sisi makam baginda, meletakkan kepalanya di batu kuburan nabi SAW. Marwan Al-hakim kemudiannya pergi dan berkata kepada lelaki itu "Apa yang kau lakukan ?". Alangkah terkejutnya beliau bahawa apabila lelaki itu mengangkat kepalanya , ternyata adalah Sayyidina Abu Ayyub Al-Ansari r.anhu, Sahabat Nabi SAW. Tanya Marwan Al-hakim "Apakah yang menyebabkan kau menangis Ya Aba Ayyub ?". Jawab Sayyidina Abu Ayyub r.anhu "Aku mendengar orang yang di dalam kubur ini (Nabi SAW) bersabda "JANGANLAH BERDUKA SEKIRANYA AGAMA INI DIPEGANG OLEH AHLINYA, TETAPI BERDUKALAH SEKIRANYA AGAMA INI DIPEGANG OLEH ORANG YG BUKAN AHLINYA"..tamat

ketahuilah bahawa apabila mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah SWT, selepas ini tidak mustahil kalimah2 Allah akan digantung di gereja2. Kemudian , lebih teruk lagi akan digantung kalimah itu bersama-sama dengan lambang orang disalib dan ruhul qudus yang menjadi kepercayaan kristian...SUBHANALLAH

Apakah kita mahu menunggu perkara seperti ini terjadi baru nak undurkan kembali kepada sediakala.??? Ada yang mengatakan mereka mengakui juga Allah, apa salahnya mereka menggunakan Allah....Ini adalah satu kekeliruan yang nyata...Adapun mereka yang mengakui Allah pada zaman dahulu seperti Waraqah bin Naufal, mereka itu adalah ahli kitab, iaitu mereka yang benar-benar mengikut ajaran Nabi Isa a.s dan mengesakan Allah SWT dari ada sekutu, anak dan apa2 yang tidak layak bagi-Nya...sebab itu pada zaman Nabi SAW, berkahwin dengan ahli kitab boleh....adapun zaman sekarang, mereka menyeleweng dari ajaran nabi isa a.s, menokok tambah dan membuang apa yang mereka suka pada kitab injil mereka sehingga terhasil beberapa versi yang berbeza, mereka memperkenalkan sistem Tuhan 3 dalam 1 dan 1 dalam 3, ajaran yang tidak pernah diajar oleh nabi Isa a.s, maka MANA MUNGKIN ORANG BEGINI BOLEH DIBENARKAN MENGGUNAKAN KALIMAH ALLAH SWT YANG SUCI????..

Inilah akibatnya daripada mempelajari tauhid 3 cara Wahhabi, iaitu dengan menganggap orang kafir pun ada tauhid tapi dengan tauhid Rububiyyah. Ini satu pendustaan yang besar...tidak ada dalam satu ayat Al-Quran mahupun hadis tak kira lah dalam sanad yg lemah sekalipun, perkataan sahabat, tabi'en, Imam2 4 mazhab dan 700 tahun permulaan dalam Islam , ada menyebut bahawa orang kafir pun bertauhid , tapi dengan tauhid Rububiyyah . Ini adalah satu Bid'ah yang sesat dan memecahbelahkan umat ini. Maka, hasil dari pengajian seperti ini, mereka membenarkan orang kristian menggunakan kalimah Allah kerana bagi mereka , orang kristian pun mengakui Allah sebagai Tuhan Semesta Alam, cuma dalam Uluhiyyah , mereka melakukan syirik.

Satu perkara yang cukup pelik, bagaimana orang yang syirik boleh bertauhid dalam masa yang sama???? Ketahuilah barang siapa menafikan Tauhid Rububiyyah, dia menafikan kedua-duanya, barangsiapa menafikan tauhid Uluhiyyah, dia menafikan kedua-duanya juga. Tauhid Uluhiyyah itulah Rububiyyah , walaupun didefinasikan berbeza-beza tapi hakikatnya ianya adalah tauhid yang satu. menafikan salah satu, bermakna menafikan kedua-duanya.

Cerita tentang soalan di dalam kubur yang hampir sampai kepada darjat Mutawatir Maknawi begitu mahsyur. Di dalam kubur tersebut, dua malaikat menyoal si mati:

"Siapakah Tuhan (Rab-Pentadbir) kamu?"

Malaikat tidak bertanya : "Siapakah tuhan (Ilah-sembahan) kamu?"

Maka apabila mayyit menjawab : "Allah adalah ( Rab) tuhanku"

Dengan jawapannya itu, malaikat berpuas hati dan malaikat tidak pula berkata : " Ini tauhid Rububiyyah, ia tidak dapat menyelamatkan kamu".

Pertanyaan pertama Allah kepada segala ruh:

"Bukankah Aku Tuhan (Rab - Pentadbir ) kamu?"

Pengakuan mereka terhadap wahdaniah Allah pada RububiyyahNya sudah memadai. Begitu juga soalan pertama yang ditanya kepada mayyit di dalam kubur : "Siapakah (Rab) Tuhan kamu?"

Dengan pengakuan bahawa Allah adalah tuhan (Rab-Pentadbir) mereka sudah memadai. Maka apakah selepas penjelasan ini, orang yang merasa syak masih merasa ragu-ragu lagi??? Apapun, Allah SWT sahajalah yang memberi petunjuk kepada cahaya-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Maka dengan ini, telah jelas bagi kamu dengan sejelas-jelasnya tanpa tersembunyi lagi ke atas orang yang mentadabbur Al-Quran bahawa Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah saling berkaitan pada pandangan akal dan syarak'. Berkata tentang tauhid Uluhiyyah bermakna berkata tentang Tauhid Rububiyyah, begitulah sebaliknya.

Mereka yang terfitnah dengan fitnah Samiri dari kalangan bani Israil telah mensyirikkan lembu di dalam ibadah mereka kepada tuhan mereka. Maka berkata nabi Allah Harun AS:

"Dan Sesungguhnya Tuhan (Rab) kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya" (Toha:90)

Maksudnya, bukan lembu ini. Maka adakah ucapan Nabi Harun AS (yg menegaskan Tuhan mereka sebagai Rab bukannya Ilah) ini adalah sah ??? kecualilah jika kesyirikan mereka dalam sembahan terbina di atas kesyirikan mereka di dalam Rububiyyah.

Adakah tepat perkataan ini daripada Nabi Harun AS jika bukan kesyirikan mereka di dalam ibadah terbina di atas kesyirikan mereka di dalam Rububiyyah???

Seorang sahabat r.anhu bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wasiat yang ringkas tetapi padat, maka baginda SAW bersabda :

"Katakanlah, (Rabku) Tuhanku adalah Allah, kemudian beristiqamahlah (di atas ajaran Al-Quran dan Sunnah)."

Sekiranya Tauhid itu sebagaimana yang diperkatakan oleh pemecah tauhid (kepada dua tauhid); yang berdasarkan fatwa ini menghalalkan darah yang tidak terhitung banyaknya; yang telah dijaga oleh Islam dan diharamkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, nescaya wasiat ini tidak memadai dan menyempurnakan apa yang telah didatangkan oleh sekalian rasul AS. jauh sekali berlaku demikian. Demikan juga Allah SWT berfirman :

" Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : "Tuhan (Rabb) Kami adalah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Al-Ahqaaf:13)

Ayat ini terdapat dua tempat di dalam Al-Quran iaitu dalam Surah Haaamim Al-Sajaadah dan Surah Al-Ahqaaf. Allah SWT telah menyusun segala kebahagiaan itu di atas istiqamah yang terbina di atas firman Allah SWT:

"Tuhan (Rabb) kami adalah Allah "

Allah tidak berfirman :

"Ilah kami adalah Allah"

Adakah terdapat perkataan yang lain selepas perkataan Allah dan Rasul-Nya????

"Maka dengan perkataan manakah lagi mereka hendak beriman sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaan (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?" (Al-Jaathiyah;6)

Berhati-hatilah wahai saudaraku seIslam yang tercinta daripada penyelewengan orang-orang yang melampau, dakwaan orang2 yg batil dan hujaman2 orang2 yg ingkar, yg kesemuanya itu tidak ada kepentingannya melainkan hanya untuk memburuk-burukkan dan mengkafirkan majoriti Umat Islam. bahkan, mereka menuduh Imam-Imam Agama yang terdiri daripada ulama' Amilin dan Ahli Sunnah yang Muhaqqiqin sebagai imam atau ketua kekufuran, pemusnah agama Islam, orang-orang yang menolak Al-Quran dan Sunnah, pengkhianat agama Allah dan tuduhan2 lain yang memuramkan wajah Islam dan melemparkan tuduhan benih2 kecelakaan di kalangan umat. Kami memohon kepada Allah Yang Maha Mulia dengan keberkatan NabiNya yang agung, Nabi pembawa rahmat SAW agar mengilhamkan petunjuk kepada sekalian umat hingga mereka bersatu dan tidak berpecah belah dan saling menyanyangi dan bukan membenci. Sesungguhnya Dialah yang memiliki kurniaan yang Agung.

Berasal dari perkara inilah, maka kita melihat ada Orang Islam yang bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah SWT untuk digunakan oleh Kafir Kristian itu....Perlu ana ingatkan kepada saudara dan saudari akan satu kaedah yang diguna pakai dalam Islam yang semakin dilupakan orang, kaedah itu adalah :

"BARANGSIAPA REDHA AKAN KEKUFURAN, MAKA DIA KUFUR
BARANGSIAPA REDHA AKAN KEMAKSIATAN, MAKA DIA MAKSIAT"

Fikirkan dalam2, apakah kita redha membiarkan kalimah Allah SWT digunakan oleh Kafir2 yang mengatakan Tuhannya ada anak dan 3 dalam 1. APAKAH KITA REDHA?????

Ya Allah, ampuni kami, rahmati kami, kasihanilah kami....

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment