Renungan

Tuesday, January 26, 2010

Tauhid !!

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin


Amma Ba'du,


Dalam kesibukan kita sehari-hari dengan kehidupan dan keperluan dunia yang sementara ini, kealpaan dan kelalaian kita terhadap perkara akhirat semakin bertambah serius. Dan lebih parah lagi kelalaian dari mengamalkan ilmu Tauhid. Di akhir zaman ini, antara sindrom-sindromnya adalah memandang remeh perkara yang penting dan memandang penting perkara yang remeh. Sikap mengambil mudah terhadap kepentingan mempelajari ilmu tauhid adalah satu tanda kurangnya kesedaran terhadap perkara yang perlu diutamakan sekali.

Perjuangan yang bukan didasarkan atas akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah adalah perjuangan yang sementara dan bermusim. Pada waktu-waktu tertentu sahaja ia akan berkokok dan kemudiannya diam membisu seribu bahasa. Adapun perjuangan atas Akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah, maka sehingga ketibaan Izrail sahajalah akan memisahkan pejuang dari perjuangannya.

Banyak juga golongan yang berjuang tetapi tidak didasarkan atas landasan akidah yang benar, mengambil contoh Qadiani. Mereka mendakwa mereka Islam, berserban, jubah dan berjanggut kemudian mengangkat Al-Quran mendakwa bahawa mereka berpegang dengan dalil-dalil di dalam Kitab yang Mulia itu apabila mengangkat Mirza Ghulam Ahmad sebagai Nabi...Na'uzubillah. Mereka juga bersemangat waja , malah segala kritikan dan cercaan yang menimpa mereka, mereka menganggap itu hanyalah ujian dalam berjuang.

Demikian juga Revolusi Iran yang berlaku pada tahun 60 - 70 an. Ayatollah Al-Khomenei melaung-laungkan bahawa musuh kita hanyalah Amerika dan Israel. Maka dengan laungan dan semboyan yang manis di mulut ini, tidak kurang remaja-remaja di Tanah Melayu yang bersemangat juang mengikut tanpa menyedari bahwa akidah yang dipegang mereka bukan akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah. Akhirnya, Tuk-Tuk Guru mengarang kitab menjelaskan kesesatan Syiah, fatwa-fatwa dibuat untuk memberi penjelasan yang sejelasnya tentang firqah sesat ini. Maka jangan lah saudara fikir, jika sesuatu fahaman itu tidak diwartakan sebagai menyimpang atau sesat, terus saudara buat kesimpulan bahawa fahaman itu betul. Kerana, ianya mungkin BELUM lagi diwartakan sebagai menyimpang.

Dan banyak lagi fahaman yang menyimpang yang dianuti oleh pengikutnya yang begitu hebat semangat juangnya. Barisan Pembebasan Harimau Tamil Eelam yg berpusat di Sri Lanka satu masa dahulu bertanggungjawab dalam pengeboman berani mati yang mengorbankan Mahatma Ghandi. Berjuanglah dengan keyakinan atas kebenaran, bukan berjuang dengan keyakinan yang salah.

Maka timbul persoalan, bagaimana mahu menjaga dengan bersungguh-sungguh akan iman dan agama ini ? Selama fakir mempelajari kitab seperti Kitab Matan Faridah, Irsyadul Ibad Ila Sabilil Rasyad, Akidah An-Najin, Tuhfatur Raghibin, Tuhfatul Murid, Umm Al-Barahin, Syarah Matan Jauharah, Usul Al-Tauhid, Fathul Majid, Tijanud Darari A'la Risalatil Bajuri, dan banyak lagi selalunya pada awal-awal kitab sentiasa memberi peringatan kepada pembaca supaya sentiasa menjaga Iman dan Agama jangan sampai tergelincir. Maka ketahuilah saudaraku yang dimuliakan, bahawa untuk menjaga iman dan agamamu tak dapat tidak mesti dengan ILMU. Tidak akan dapat menjaga satu orang itu akan iman dan agamanya sekiranya dia jahil akan Tuhan yang Disembah.

Maka, apakah akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah?

Ketahuilah kiranya ya Saudaraku bahawa di dalam kitab Ithaf Sadda Al-Muttaqin Syarah Ihya' Ulumuddin karangan Al-Imam Murtadha Az-Zabidi r.anhu ada menyebut:

"Jika dikatakan Ahlussunnah wal Jama’ah, maka yang dimaksud adalah al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah ". (Al-Ithaf Syarah li Ihya Ulumuddin, juz 2 hlm 6)


Tetapi alangkah sedihnya hati ini, bila melihat sungguh ramai Umat Islam hari ini istimewa lagi yang mendakwa diri sebagai pejuang Islam langsung tidak tahu even nama Asy'ariyyah dan Maturidiah sekalipun.

Bagaimana saudara menjaga dan memelihara Iman dan Agama ?

Kata Sayyidil Ulama Il-Hijjaz (penghulu para ulama Tanah Hijjaz) Al-Imam Muhammad bin Umar Nawawi Al-Banteni Al-Tanari Al-Jawi Al-Makki r.anhu di dalam kitabnya Mirqat As-Su'ud li-tashdiq li-Syarhi Sullamu At-Taufiq:

"Barangsiapa tidak mengetahui satu-satu kejahatan, dia akan terjerumus ke dalam kejahatan itu"

Renungkanlah

Telah berkata Al-Imam Ibnu Hajar al‐Asqalani R.anhu di dalam kitabnya Fathul Bari,

Barangsiapa yang sibuk dengan perkara wajib berbanding sunat, maka dia dimaafkan. Dan barang siapa yang sibuk dengan perkara yang sunat berbanding wajib, maka dia terpedaya”.

JANGAN TUAN-TUAN SESEKALI MEMPERLEKEHKAN ILMU TAUHID. MENGANGGAP DIRI SUDAH SEMPURNA ILMU TAUHID SEHINGGA TIDAK PERLU BELAJAR ADALAH TANDA KEJAHILAN ATAS SUATU ILMU YANG PALING MULIA DI SISI ALLAH

Apalah yang ada pada perjuangan sekiranya akidah sesat!!!! Bukankah kita sendiri telah membaca dan mengetahui bahwa Sayyidina Umar Al-Khattab R.anhu menangis apabila melihat para rahib dan paderi berhempas pulas beribadat dan buat bermacam kebajikan dengan sangkaaan mereka akan berjaya di alam kemudian....

Marilah saudaraku !!!! Dunia semakin menuju penghujungnya, langit dan bumi ini semakin melabuhkan tirainya dan tanda-tanda itu semakin kerap kelihatan, gempa bumi semakin banyak terjadi... Ketahuilah sebesar-besar fitnah adalah FITNAH AKIDAH, kerana dengan fitnah ini, seorang yang asalnya Muslim boleh keluar menjadi Kafir sepantas anak panah keluar dari busurnya. Dan , itulah tujuan hakiki Syaithan dan Iblis Laknatullah, iaitu menyeret sama Bani Adam ke dalam Neraka buat selama-lamanya.

Jagalah Iman dan Agamamu dengan Ilmu tauhid yang diajarkan sejak zaman Salafussoleh, bukan Ilmu yang terputus dan diragui. Hari ini, kebenaran semakin samar-samar, hanya dengan Ilmu yang benar sahajalah manusia akan dapat membezakan mana yang bathil dan yang haq.

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

* Di saat banyak blogger UTM nie busy ngn PRK, biarlah fakir yang jahil ini bicara apa yg fakir tahu sahaja dari Kurniaan Allah SWT

No comments:

Post a Comment