Renungan

Monday, January 4, 2010

Seminar B-JAQ dan hasilnya

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin


Amma Ba'du,

Agak lama juga fakir tidak menulis, ianya kerana celcom broadband telah dipotong tapi Alhamdulillah mulai hari ini dah reconnect balik...InsyaAllah selagi nyawa dikandung badan tidak akan berhenti menulis semoga ada manfaatnya kepada pengunjung yang dimuliakan..Pertama sekali fakir ingin mengucapkan ribuan penghargaan dan tahniah kepada JKSK dan PMIUTM yang telah berjaya melaksanakan satu seminar pemantapan akidah yang dinamai Bengkel Jelas Akidah (B-JAQ). Alhamdulillah, penyertaan yang ramai menunjukkan bahawa seminar sememangnya diperlukan oleh siswa dan siswi dek kerana pentingnya ilmu tauhid sebagai pokok dalam agama ini.

Tidak lupa juga kepada Akhie Razali yang sememangnya seorang yg bersungguh-sungguh dan komited dalam kerja yang diamanahkan kepada beliau...kalau lah fakir diberi kuasa untuk memilih ketua MPPUTM, InsyaAllah fakir pilih beliau...dan juga kepada barisan Ustaz-Ustaz iaitu Ustaz Faisal , Ustaz Rizal dan Ustaz yang lain yang menjayakan seminar ini..Fakir tidak dapat bayangkan betapa besarnya pahala yang mereka perolehi hasil dari memberi kefahaman tentang tauhid (ilmu yang paling berharga) kepada beratus peserta yang hadir.

Dan kepada peserta pula, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana kefahaman yang antum perolehi hasil dari seminar ini tidak dapat dibeli dengan harta benda dan anak-pinak, keturunan dan pangkat walau tinggi manapun. Ilmu inilah penentu kebahagiaan dunia dan akhirat, maka sekali lagi bersyukurlah. Tapi, faham sahaja tidak memadai melainkan kita beramal dengannya iaitu sentiasa menyuburkan kembali hati ini dengan siraman ilmu tauhid dan ilmu-ilmu yang bermanfaat . Dan jangan lupa pula untuk sampaikan kepada saudara/i kita yang tidak dapat hadir ke seminar itu. Barangsiapa merintis sunnah yang baik, dia akan mendapat pahala atas sunnah yang dirintisnya dan pahala orang2 yang mengikut sunnah yang dirintisnya.

Dan berkenaan soalan fakir mengenai qadim. Fakir bukanlah orang yang alim, tapi mungkin fakir boleh fakir kongsikan apa yang fakir belajar dari guru fakir. Adapun soalan fakir mengenai qadim yang disandarkan kepada Nur Muhammad di dalam kitab Maulid Al-Barzanji itu untuk memberi penjelasan kepada yang hadir bahawa Qadim yang disandarkan itu adalah Qadim Idhafi, iaitu awal dulu ayah dari anak, awalnya abang dari adik, maka apabila disandarkan pada Nur Muhammad jadilah awalnya Nur Muhammad dari sekalian makhluk. (Adapun perbahasan Nur Muhammad adalah panjang dan fakir tidak berminat untuk ceritakan di sini). Maka alangkah bodohnya orang yang terus menghukum Syaikh Ja'afar Al-Barzanji rah. sebagai pembawa syirik hanya kerana mereka yang bodoh ini mengatakan Syaikh menyekutukan Allah pada sifat Qadim...Sungguh manusia sekarang sudah tidak mengenal mana batu kaca, mana batu permata...kemudian yang lebih teruk lagi, orang yang tak kenal itulah yang jadi panel penyelidikan untuk menetapkan mana satu batu kaca dan mana yang permata, maka bertambah rosaklah agama ini bila dipegang oleh orang yang bukan ahlinya.

Kerana Qadim itu sendiri ada pembahagiannya lagi...sebab itu fakir ingatkan jangan merasa sudah cukup dengan ilmu yang diperolehi pada seminar B-JAQ itu. Bolehlah kita katakan sudah cukup bagi orang hanya mengetahui dan faham akan perbahasan yang dibahas dalam seminar tersebut, tetapi pada zaman yang penuh pancaroba ini, perlu juga kita ketahui akan aliran-aliran sesat yang tumbuh bak cendawan di akhir zaman ini supaya kita tidak masuk pula atau bercampur iktikad kita dengan fahaman mereka.

Telah berkata Al-Imam Sayyidil Ulama Il-Hijjaz Al-Syaikh Muhammad bin Umar Nawawi Al-Banteni Al-Jawi At-tanari Al-Makki r.anhu di dalam kitabnya Mirqattussu'ud bittashdiq li syarhi Sulami At-Taufiq :

"Barangsiapa yang tidak mengetahui akan satu-satu kejahatan itu, Dia akan masuk dalam kejahatan itu"

Akhir sekali, mari kita renung kembali secara umum akan Ilmu tauhid ini (Mabadi Tauhid). fakir persembahkan pada saudara pembaca yang dimuliakan akan kitab Matan Faridah atau dikenali sebagai kitab Faridatul faraid Fi Ilmi Al-Aqoid yang dikarang oleh Al-Allamah Al-Fahhamah Al-Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fathani r.anhu , pada m/s 3 (bergantung pada cetakan).

"(Bermula Ilmu Tauhid itu) ibarat daripada perhimpunan barang yang diiktikadkan yang dibangsakan kepada agama yang diambilkan daripada dalilnya yang diyakinkan. (Dan Bicara) Ilmu ini pada Zat Allah Ta'ala daripada sekira-kira barang yang wajib bagiNya dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus atasNya dan pada segala rasul demikian jua dan pada segala barang yang didatangkan dia oleh rasul seperti hari kiamat dan lainnya (Dan Faedah) Ilmu ini dapat kemenangan dan beruntung oleh yang mengetahuinya selama-lamanya ."


Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment