Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Telah tersebut di dalam kitab Mafahim Yajibu An-Tusohhah bagi Al-Alim Al-Allamah Al-Muhaddith Syaikh Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki r.anhu. Kitab ini telah dipuji oleh lebih 40 ulamak terkemuka dunia, di antaranya :
1. Al-Fadhilah Syaikh Hasanain Muhammad Makhluf, Mantan Mufti Mesir dan Anggota Jemaah Ulama Besar Al-Azhar Al-Syariff
2. Al-Muhaddith Al-Muhaqqiq Syaikh Dr. Sayyid Abdullah Kannun Al-Hasani r.anhu , Presiden Perikatan Ulama Morocco, Anggota Perikatan Islam Sedunia di Makkah Al-Mukarramah
3. Al-Fadhilah Syaikh Muhammad Al-Sanrawi r.anhu, Ketua Pemeriksa Al-Azhar dan Pensihat Agama Negeri Fayyum, Mesir.
4. Sohibus Samahah Syaikh Sayyid Ahmad Al-'Awadh r.anhu, Mufti Sudan dan Pengerusi Majlis Fatwa Syar'ei
5. Al-Fadhilah Syaikh Hamid Miyah ibn Muhammad Miyah r.anhu, Presiden Persatuan Ulama Pakistan
6. Sohibus Samahah Al-Allamah Syaikh Sayyid Ahamad Ibn Muhammad Zabarah, Mufti Republik Yaman
7. Fadhilah Al-Allamah Syaikh Prof. Dr. Muhammad Toyyib Al-Najjar r.anhu, Mantan Rektor Universiti Al-Azhar
8. Al-Allamah Al-Muarrikh Al-Faqih Syaikh Muhammad Al-Khazraji r.anhu, Menteri Hal Ehwal Islam dan Waqaf Emiriah Arab Bersatu (UAE).
9. Al-Allamah Al-Adib Al-Kabir (Sasterawan Ulung), Al-Ustaz Ahmad Abdul Ghaffur 'Attar r.anhu, Sasterawan tersohor Arab Saudi dan Pemenang Anugerah Antarabangsa Malik Faisal di dalam Kesusasteraan Arab.
10. Dan lain-lain lagi..tak terlarat nak tulis kerana 200 muka surat pertama dari kitab yang setebal 992 m/s ini hanyalah kata-kata aluan dari para ulamak yang bertebar di serata alam sehingga wakil ulamak dari Indonesia pun ada iaitu Al-Fadhilah Syaikh Sayyid Muhammad ibn Ali Al-Habsyi r.anhu , Pengerusi Pusat Islam di Indonesia. Cukuplah mereka ini yang menjadi saksi akan kebenaran yang hendak disampaikan oleh kitab ini.
Pada m/s 747,Al-Muhaddith Syaikh rah. telah menakalkan dari Kitab As-Siyar A'lam An-Nubala', 11:212 bagi Hafizul Islam Al-Hujjah Al-Imam Syamsuddin Muhammad Ibn Ahmad Al-Zahabi r.anhu , bahawa beliau telah berkata , bahawa telah berkata Al-Imam Abdullah bin Al-Imam Al-Kabir Ahmad bin Hambal r.anhu :
"Aku pernah melihat ayahku (Al-Imam Ahmad r.a. ) mengambil sehelai rambut Nabi s.a.w., lalu dia meletakkan rambut itu di bibirnya dan mengucupnya. Aku juga pernah melihat dia meletakkan rambut itu di matanya, dan juga merendamnya di dalam air. Kemudian air rendaman itu diminum sambil mengharapkan kesembuhan dan keberkatan rambut itu.
Aku juga pernah melihat ayahku mengambil dulang Nabi s.a.w., lalu mencucinya di dalam bekas air (tempayan). Kemudian dia meminum air di dalam bekas itu. Aku juga pernah melihat dia minum air zamzam untuk menyembuhkan penyakit dengan keberkatan air itu, dan menyapu kedua-dua belah tangan mukanya dengan air itu."
Maka, saya (Al-Imam Al-Zahabi r.anhu) berkata : "Di manakah orang yang sangat keras mengingkari Al-Imam Ahmad r.anhu ? Sesungguhnya telah tsabit bahawa Al-Imam Abdullah (Anak kepada Al-Imam Ahmad r.anhu) pernah bertanya kepada ayahnya tentang orang yang menyentuh tombol mimbar Nabi s.a.w. dan mengusap-usap Hujrah Nabawiyah (maqam nabi s.a.w.). Lalu ayahnya menjawab, "Aku tidak lihat dengan melakukan perkara sedemikian dikira sebagai suatu dosa"
"Semoga Allah s.w.t. melindungi kita dan juga kalian daripada bahaya pendapat Kaum Khawarij dan perbuatan Bid'ah mereka."
Tamat petikan kitab. Semoga kita dapat lebih memahami kemulian, keutamaan ,keistimewaan dan khususiyah Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w., supaya kita dapat memberi penghormatan dengan penghormatan yang sebenarnya sebagaimana yang diperintah oleh Allah s.w.t.
Selawat dan Salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan serta Sayyid kita Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan Junjungan kami di tempat yang Kau janjikan ...Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi menyayangi akan Umat Nabi s.a.w. ini.
Dan Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian Alam, Tiada berlaku sesuatu melainkan dengan Kehendak-Nya, lagi Maha Mengatur , Maha Kuasa , Tiada Daya Upaya melainkan Allah Azza Wajalla, Dan Allah s.w.t. Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Allah s.w.t. jua Yang Maha Mengetahui...
Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)
Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
9 months ago
No comments:
Post a Comment