Renungan

Thursday, October 8, 2009

Keutamaan Mencintai Keluarga Nabi s.a.w.

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Telah diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari r.anhu iaitu dari Sayyidina Sa'id bin Jubair r.anhu bahwa dia bertanya tentang makna ayat ini : "Tidaklah suatu kampung (subkabilah) dari Quraisy kecuali ada hubungan kekeluargaan dengan Baginda s.a.w." Baginda s.a.w. bersabda "Hendaklah kalian menyambung tali kekeluargaan di antara diriku dengan kalian"

Jelas ini merupakan perintah serta wasiat mengenai memperbaiki hubungan dengan keturunan Rasulullah s.a.w..

Dalam banyak hadith yang mulia, Rasulullah s.a.w. mewasiatkan pada kita untuk mencintai keturunan Nabi s.a.w. (selawat dan salam sejahtera atas mereka semua). Di antara hadithnya adalah, Sabda Nabi s.a.w. :

"Amma Ba'du , Perhatikan ! Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah manusia (seperti kalian ) yang sudah hampir didatangi utusan Tuhanku, lalu aku menyambut. Dan, aku tinggalkan pada kalian dua hal yang besar : Kitab Allah s.w.t. (Al-Quran), di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Maka, berpedomanlah dengan Kitab Allah s.w.t. dan berpegang teguhlah dengannya." Dan kemudian Nabi s.a.w. bersabda "Dan, semua keluargaku, aku mengingatkan kalian kepada Allah s.w.t. pada (hak) keluargaku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah s.w.t. tentang (hak) keluargaku." Lalu Sayyidina Hussein r.anhu bertanya "Siapakah keluarga Baginda s.a.w. , wahai Zaid? Bukankah isteri-isteri Baginda s.a.w. termasuk keluarganya?" Dia (Sayyidina Zaid r.anhu) menjawab "isteri-isteri Baginda s.a.w. termasuk keluarga Nabi s.a.w.. Akan tetapi, keluarga Nabi s.a.w. adalah orang-orang yang haram menerima sedekah." Sayyidina Hussein bertanya lagi "Siapa mereka?". Dia menjawab "Keluarga Sayyidina Ali kwh. , keluarga Sayyidina Uqail r.anhu, keluarga Sayyidina Ja'afar r.anhu, dan keluarga Sayyidina Abbas r.anhu." Sayyidina Hussein r.anhu bertanya "Semua mereka ini haram dari menerima sedekah?" Berkata Sayyidina Zaid r.anhu "Benar".

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim r.anhu, dan Al-Imam Ahmad r.anhu.

Demikian pula sabda Nabi s.a.w. :

"Wahai manusia , aku tinggalkan pada kalian perkara yang apabila kalian berpegang dengannya, pasti kalian tidak akan tersesat : Kitab Allah s.w.t. dan keturunanku (Ahlulbayt) " (H.R Ahmad dan Tirmizi )

Jadi, kita hendaklah mencintai Allah s.w.t. dengan sebanyak-banyak dan sedalam-dalamnya. Untuk mendapatkan cinta yang mendalam terhadap Allah s.w.t., kita haruslah mencintai Rasulullah s.a.w. yang merupakan jendela kebaikan sebagai rahmat Allah s.w.t. bagi seluruh semesta alam. Dengancinta kepada Rasulullah s.a.w., kita mencintai keluarganya yang mulia, yang telah Nabi s.a.w. wasiatkan kepada kita. Sangat besar keutamaan dan banyaknya kebaikan cinta terhadap keluarga Rasulullah s.a.w..

Sedangkan sikap ekstrem (rasa cinta berlebihan atau yang keterlampauan) itu tidak terdapat dalam cinta, tetapi itu ada dalam keyakinan. Oleh itu, selagi mana seorang Muslim bersih akidahnya, maka tidak ada kekeliruan baginya di dalam cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan keluarganya. Kita wajib meyakini tidak ada Tuhan selain Allah s.w.t., junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah s.w.t., dan para Nabi a.s. adalah ma'sum (terpelihara). Sedangkan manusia selain para nabi a.s. seperti Ahlulbayt dan Para sahabat r.anhum yang mulia adalah tidak ma'sum. Mereka (Para sahabat r.anhum) itu mahfuzh (dipelihara) dengan pemeliharaan Allah s.w.t. terhadap orang-orang soleh. Mungkin sahja , secara syariat , mereka terjatuh ke dalam kesalahan dan dosa besar. Akan tetapi, Allah s.w.t. memelihara mereka dengan pemeliharaan dari-Nya.

Dengan demikian, sepanjang seorang Muslim itu berakidah bersih, tidak ada cela baginya mencintai keluarga Rasulullah s.a.w. dengan sepenuh hatinya.

Cinta itu ada beberapa darjat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada orang yang mencintai-Nya, maka setiap kali cinta seorang Muslim terhadap Ahlulbayt bertambah, darjatnya meningkat kerana cinta ini di dalam tingkatan orang-orang yang soleh. Sebab cinta terhadap Ahlulbayt yang mulia adalah tanda cinta kita kepada Rasulullah s.a.w.. Cinta kepada Rasulullah s.a.w. adalah tanda cinta kita kepada Allah s.w.t..

Selawat dan Salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan serta Sayyid kita Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan Junjungan kami di tempat yang Kau janjikan ...Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi menyayangi akan Umat Nabi s.a.w. ini.

Dan Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian Alam, Tiada berlaku sesuatu melainkan dengan Kehendak-Nya, lagi Maha Mengatur , Maha Kuasa , Tiada Daya Upaya melainkan Allah Azza Wajalla, Dan Allah s.w.t. Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Allah s.w.t. jua Yang Maha Mengetahui...

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment