Renungan

Saturday, October 31, 2009

Nabi Muhammad s.a.w. menjual syurga dan Uthman bin Affan r.anhu membelinya

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.anhu berkata :" Sayyidina Uthman r.anhu membeli syurga daripada Nabi Muhammad s.a.w. sebanyak dua kali dengan jual beli yang hak (benar), (pertama) setelah Sayyidina Uthman r.anhu menggali perigi rumah , dan (kedua) setelah menyiapkan bala tentera pada masa kesulitan." (Riwayat Imam Al-Hakimrah. di dalam Al-Mustadrak)

Imam Al-Hakim rah. telah mensohihkannya. Setiap orang yang berakal pasti mengetahui bahawa syurga itu hanya milik Allah s.w.t.. Tidak seorang pun yang memilikinya dan tidak seorang pun yang dapat melakukan apa-apa di dalamnya malaikat, Nabi, mahupun Rasul. Meskipun demikian, Allah s.w.t. mengurniakan dan menganugerahkan pelbagai kurniaan kepada Rasul-RasulNya yang membezakan mereka daripada manusia yang lain kerana kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka di sisi-Nya.Oleh sebab itu, anugerah-anugerah tersebut dinisbahkan kepada mereka dan pengurusan-pengurusan tersebut disandarkan kepada mereka sebagai memuliakan, memebesarkan, dan menghormati dan melebihkan mereka daripada manusia yang lain. Berdasarkan logik inilah, beberapa istilah berkenaan keistimewaan-keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w. telah diberikan.

Di antaranya, bahawa Baginda s.a.w. menempah syurga, menjamin masuk syurga, menggembirakan seseorang dengan syurga, sedangkan syurga itu hak milik mutlak Allah s.w.t.. Perkara ini tentu sekali tidak meragukan kepada sesiapa pun kecuali orang yang jahil, yang tidak mengetahui serendah-rendah ilmu dalam permasalahan ilmu yang paling rendah.

"Ya Allah ! Sinarilah mata hati kami, bukakanlah pendengaran hati kami, perlihatkanlah kebenaran itu kepada kami sebagai suatu kebenaran, dan jadikanlah kami mampu mengikutinya"

Selawat dan Salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) beserta Ahlulbayt dan Para sahabat baginda yang sangat cinta akan mereka itu kepada Umat ini...

Dan segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan Empunya Sekalian Alam, Lagi Maha Penyayang dan Maha Pengasih, Dan kepada-Nya jua kita dikembalikan. tiada Daya Upaya meliankan Allah s.w.t.,

Dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..Jazakallah Khairan Kathira (^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment