Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Marilah kita memerhatikan pula, akan huraian serta penjelasan daripada Guru kepada Asy-Syaikh Muhammad Nawawi Ibni Umar Al-Jawiyy Al-Banteni At-Tanariy Asy-Syafie, iaitu Asy-Syaikh As-Sayyid Ahmad Ibni As-Sayyid Abdirrahman An-Nahrawiy, di dalam Kitabnya yang berjudul Ad-Durrul Farid Fi ‘Ilmi Tauhid pada Hamish (tepi) Kitab Fathul Majid Fi Syarhi Ad-Durril Farid Fi ‘Ilmi Tauhid, m/s 27.
Ertinya,
Bermula sifat yang ke-Sembilan yang Wajib bagi Allah itu, Al-‘Ilmu.
Dan, dia Ilmu itu suatu Sifat bagi Allah Taala yang ‘Azali (tiada tarikh mula), yang memang ada, yang berdiri ia dengan Zat Allah Taala.
Terdedahlah kepada Zat Allah Taala, dengan sebab Sifat Ilmu ini akan tiap-tiap maklumat.
Dan, termasuk di dalam perkara yang Maklum (Yang diketahui oleh Allah) itu, tiap-tiap perkara ;
a. Wajib Aqal, (Allah mengetahui Zat dan Sifat-Nya. – Pent.)
b. dan perkara Harus Aqal, (Allah mengetahui tentang segala yang dijadikan-Nya (Makhluq). – Pent.)
c. dan perkara Mustahil Aqal. (Allah mengetahui tiada lawan bagi-Nya. – Pent.)
Terdedahnya perkara yang diketahui oleh Allah ini dengan pendedahan yang sempurna.
(Allah Taala mengetahui sesuatu itu secara keseluruhan. – Pent.)
Tidak mengandungi dalam Pengetahuan Allah Taala itu, akan yang berlawanan dengan suatu wajah (cara) pun.
(Tidak terdapat di dalam Pengetahuan Allah itu, saling bertentangan di antara satu sama lain. - Pent.)
27
Keluarlah dengan perkataan sempurna, iaitu Zan, dan Syak, dan Waham .
(Tidak termasuk dalam erti kata Berilmu jika ada 3 perkara ini, iaitu Zan (Kuat sangka - 75% tahu, 25% tak tahu), Syak (Ragu-ragu - 50%-50%), dan Waham (Tidak pasti - 25% tahu, 75% tak tahu). – Pent.)
Dan, tiap-tiap perkara yang demikian itu, Mustahil bagi Allah Taala. Kerana sesungguhnya, perkara yang tiga ini tidak dapat menghasilkan kepada pendedahan yang sempurna.
(Jika Pengetahuan Allah Taala itu mempunyai Zan, Syak, dan Waham. Maka, tersisiplah Sifat Jahil bagi Allah Taala kerana tidak mengetahui sesuatu perkara dengan sempurna. – Pent.)
Dan, tidaklah termasuk di dalam perbahasan Ilmu Allah itu, bahawa Ilmu Allah itu menanggung perkara yang berlawanan dengan Ilmu, iaitu At-Taqlid. Iaitu, mengikut-ngikut tanpa Pengetahuan dan Bukti.
Maka, tidaklah Allah Taala itu Muqallid (mengikut kepada orang lain), kerana Taqlid itu Mustahil atas Allah Taala. Kerana sesungguhnya, Taqlid itu menerima lawan Ilmu, dengan kerja mengesyakkan oleh si pengesyak.
(Adalah mudah untuk menjatuhkan keyakinan orang yang bertaqlid, kerana keyakinan mereka ini boleh disyak-syakkan dan diragu-ragukan oleh orang yang berilmu. – Pent.)
Tidak boleh terhasil dengan sebab “boleh diragukan orang” oleh pendedahan yang sempurna.
(Tidak dikatakan mengetahui secara keseluruhan jika masih boleh diragukan orang. – Pent.)
Selawat dan Salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) beserta Ahlulbayt dan Para sahabat baginda yang sangat cinta akan mereka itu kepada Umat ini...
Dan segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan Empunya Sekalian Alam, Lagi Maha Penyayang dan Maha Pengasih, Dan kepada-Nya jua kita dikembalikan. tiada Daya Upaya meliankan Allah s.w.t.,
Dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..Jazakallah Khairan Kathira (^_^)
Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
9 months ago
No comments:
Post a Comment