Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Bahawa Perhatikanlah saudaraku, bahawa Allah s.w.t. melantik kita sebagai khalifah (pemimpin) yang akan memakmurkan alam ini, tetapi di masa yang sama Allah s.w.t. menuntut penghambaan kita dengan melakukan ibadah kepada-Nya...uniknya ciptaan Allah s.w.t., disatukan-Nya dua perkara yang saling bertentangan , Kepimpinan yang biasanya disinonimkan dengan kemegahan, ketinggian, dan kemuliaan, tetapi diselangi serta diadunkan dengan sikap penghambaan, kehinaan, kelemahan dan kekurangan dihadapan-Nya...Maha Suci Allah s.w.t. ...Maka , manusia yang mahu berjaya hendaklah mempunyai dua kriteria tersebut iaitu berjiwa besar, berani, tegas,dan kasih kepada yang dipimpinnya iaitu ciri-ciri seorang pemimpin yang berjaya disulami rasa rendah diri, kehinaan dan kekurangan serta penghambaan kepada Tuhan Empunya sekalian Alam, Allah Azza Wajalla yang merupakan sikap seorang hamba kepada Tuannya...
Maka, tahulah dari perkara ini bahawa apa perkara sahaja yang kita buat adalah semata mata untuk mencari keredhaan-Nya. Dalam mencari keredhaan-Nya tidak dapat tiada mestilah dengan mencontohi Kekasih-Nya, junjungan besar kita, penghulu kita, ikutan kita, Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w.. Apabila orang kafir musyrikin mengatakan kepada Nabi s.a.w. "Sesungguhnya kami telah mencintai Allah, maka apa perlu kau ya Muhammad di sisi kami?"
Lantas , Allah s.w.t. membalas "(katakanlah Ya Muhammad) Kalau kamu mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu."
Lihat, di antara keutamaan Nabi s.a.w. , apabila baginda s.a.w. diejek, dimaki, atau dihina dengan beberapa perkataan yang tidak layak dituju kepadanya, Allah s.w.t. lah yang membalasnya secara langsung, berbeza dengan para Anbiya' a.s. yang lain di mana mereka mempertahankan diri mereka masing-masing dengan bantuan dari Allah s.w.t. yang tidak secara langsung.
Maka contohilah junjungan kita , Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w.. Apabila kamu ketahui hakikat ini, maka ketahui pula perkara pertama tama yang perlu diajarkan kepada anak-anak (maksud anak-anak adalah yang awal-awal perlu diajar kerana sejak dari kanak-kanak lagi perlu diterapkan dengan pendidikan agama) adalah mencintai Allah s.w.t. , Rasulullah s.a.w., keluarga baginda s.a.w. , dan bacaan Al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi r.anhu, Al-Imam Ahmad r.anhu dan selainnya :
"Ajarkan anakmu tiga perkara , cintakan aku, cintakan keluarga aku, cintakan bacaan Al-Quran "
Dalam satu riwayat yang lain :
"Ajarkan anakmu tiga perkara , cintakan Allah, cintakan aku, dan cintakan keluarga aku"
Maka inilah yang perlu diperhatikan oleh Umat Islam hari ini, kerana sesungguhnya Umat Islam semakin melupakan Allah dan Rasul. Ada yang mungkin mengingati Allah s.w.t., tetapi melupakan Rasulullah s.a.w.. Ingatlah wasiat Nabi Adam a.s. kepada anaknya , Nabi Syith a.s. "Apabila kamu menyebut Allah s.w.t., jangan lupa untuk menyebut nama Muhammad s.a.w., kerana Allah s.w.t. sendiri yang menggandingkan namanya dengan Muhammad s.a.w. di tiang-tiang Arasy".
Diriwayat kan oleh Al-Imam Al-Bazzaar r.anhu dengan semua sanad perawinya yang sahih kecuali seorang sahaja tsiqah (terpecaya), demikian juga apa yang disebutkan oleh Al-Imam Nuruddin Al-Haitsami r.anhu di dalam kitab beliau Majma' Az-Zawaid, bahawa daripada Sayyidatina Aisyah r.anha, berkata :
"Suatu hari aku melihat Nabi s.a.w. dalam keadaan sangat ceria, maka aku ambil kesempatan dari itu dan bermohon kepada Rasulullah s.a.w. supaya mendoakan aku. Lalu, Rasulullah s.a.w. pun menadah tangannya dan berdoa "Ya Allah, Ampunkan dosa Aisyah yang telah lalu dan yang akan datang, ampunkan dosa Aisyah yang sembunyi mahupun terang-terangan". Mendengar sahaja doa itu, aku ketawa kegirangan sehingga aku menjatuhkan kepalaku di sisi ribaan Nabi s.a.w.. Melihatkan yang sedemikian, Nabi s.a.w. bertanya kepada ku "Apakah doaku menggembirakan kau Ya Aisyah?". Lalu aku menjawab "Manakan tidak, sungguh doamu menggembirakan aku". Lantas baginda s.a.w. bersabda "DEMI ALLAH YA AISYAH, DOA INI LAH YANG AKU PANJATKAN UNTUK UMATKU SETIAP KALI AKU SELESAI BERSEMBAHYANG".
Lihatlah diri masing-masing, mana ingatan kita kepada Nabi s.a.w., mana kasih kita kepada Nabi s.a.w.,mana doa kita kepada nabi s.a.w., mana selawat kita kepada Nabi s.a.w..????Demi Allah , tidak sempurna iman seseorang selagi mana Baginda s.a.w. tidak dicintainya lebih dari dirinya sendiri...
Al-Hafizh Al-Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani r.anhu di dalam Fathul Bari menyebutkan kisah seorang Badwi berjumpa Nabi s.a.w. dan bertanya "Bilakah kiamat , Ya Rasulullah ?"
Maka, Nabi s.a.w. bersabda "Bukan persoalan bila yang perlu kau risaukan, tapi apa yang kau dah persiapkan untuk menghadapi perkara tersebut."
Badwi itu menjawab "Tiada apa yang aku siapkan KECUALI CINTAKU KEPADA ALLAH DAN RASUL-NYA"
Lalu, baginda s.a.w. bersabda :"KAMU BERSAMA-SAMA DENGAN ORANG YANG KAMU CINTAI".
Kalimah inilah yang selalu diulang-ulang oleh para sahabat r.anhum dan sangat dicintai oleh mereka. Al-Imam Bukhari r.anhu menaqalkan perkataan Sayyidina Anas bin Malik r.anhu di dalam Sahihnya, berkata Sayyidina Anas r.anhu "Tiada satu peristiwa lebih aku cintai dari peristiwa di mana baginda s.a.w. bersabda dengan kalimat ini kerana aku mencintai Allah dan Rasul, dan Abu Bakar dan Umar, dan aku berharap dapat bersama sama mereka di hari Kiamat kelak walaupun aku tidak mampu beramal sedahsyat amalan mereka."
Berkata Sayyididna Tsauban r.anhu "Keinginan aku pada syurga hilang apabila aku bersama Rasulullah s.a.w.".
Maka, tahulah kita bahawa cinta kepada Allah dan Rasul adalah sebesar besar perkara. Maka, wajiblah pada Umat ini mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi diri mereka sendiri kerana nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita adalah tidak ternilai dan tidak mampu dibayar walau amal beribu-ribu tahun sekalipun, dan rahmat yang dikurniakan oleh-Nya iaitu dengan mengutus Kekasih-Nya Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rahmatan Lil 'Alamin (Rahmat bagi sekalian alam) merupakan Rahmat terbesar yang dikurniakan Allah s.w.t. pada kita.
Ketahuilah kiranya Ya saudaraku, bahawa cinta itu letaknya di hati,dan mengikut itu menguatkan cinta di hati. Sahih, benar memang ada sesetengah yang mendakwa mencintai Nabi Muhammad s.a.w., tetapi tidak mengikut dan mencontohi baginda s.a.w., mereka ini khianat dalam dakwaannya, cuai dalam percintaannya, merosakkan hubungan dengan kekasihnya, bagaimana kamu mendakwa cintakan Nabi s.a.w. tetapi tidak mencontohi serta menyanjung adab-adab serta Sunnah baginda s.a.w.?, Akan tetapi, cinta itu bukanlah mengikut semata-mata, kadang-kadang kita mencontohi atau mengikut sesuatu kerana malu, menjaga perasaan, riak, menunjuk-nunjuk atau apa sahaja yang bukan kerana cinta. ...Cinta itu di hati, mengikut itu menguatkan cinta di hati.
Telah sabit riwayat di zaman Nabi s.a.w., ada seorang Islam yang selalu mabuk , dan telah banyak kali dihukum atas kesalahan minum araknya itu dan tidak serik-serik, sehingga Para sahabat r.anhum mencela orang ini . Tetapi ditegah oleh Nabi s.a.w dengan sabdanya "Janganlah kamu mencela dia kerana dia masih kasih kepada Allah dan Rasul". lebih kurang maksud Nabi s.a.w..
Maka, ketahuilah bahawa untuk menghadirkan perasaan cinta ini, tidak dapat tiada kita wajib mengenal yang dicinta iaitu Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.. Mengenal Allah s.w.t. iaitu mengenal sifat harus-Nya, sifat wajib-Nya dan sifat mustahil-Nya sebagaimana yang disebutkan oleh Ulama Ahli Sunnah wal Jama'ah di dalam kitab Matan Jauharatut Tauhid Bagi Al-Imam Ibrahim Al-laqqani r.anhu dan selainnya. Mengenal Nabi s.a.w. dengan 4 sifat wajibnya, 4 sifat mustahilnya, dan satu sifat harusnya. Barangsiapa yang berhajat mendalaminya boleh merujuk kepada kitab Kifayatul Awwam Fi ma Yajibu Fi Ilmi Kalam bagi Syaikh Muhammad bin As-Syafi'e Al-Fudhaily rah. terbitan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Perlu juga kita mengetahui perjuangan dan pengorbanan serta sirah Nabi s.a.w. supaya hadir rasa penghormatan serta kemuliaan Nabi s.a.w. di hati kita. Juga , perlu kita mengetahui Khususiyah , keutamaan dan keitimewaan Nabi s.a.w. di sisi Allah s.w.t. supaya kita dapat menghormati baginda s.a.w. dengan penghormatan yang sebenarnya seperti yang dituntut oleh Allah s.w.t..
Sebenarnya konteks manusia ini sebagai khalifah dan untuk beribadah kepada Allah s,w,t, adalah sangat luas. Maka bermula dengan mengambil perkara yang besar terlebih dahulu iaitu Tauhid, kenali Allah Azza wa Jalla. Jangan rasa jemu mempelajari Ilmu tauhid. Barulah hadir rasa cinta yang sebenar. Perlu juga sama-sama kita ingatkan, bahawa cinta yang sebenar ada dalam akidah yang bersih, selagi mana akidah kita benar dan bersih , maka cinta tidak mengenal erti ekstrem (berlebihan) tetapi ekstrim itu ada pada keyakinan. Dan kita sebagai Umat Islam telah mengiktikadkan bahawa Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah, Dan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah .
Dengan demikian, sepanjang seorang Muslim itu berakidah bersih, tidak ada cela baginya mencintai Rasulullah s.a.w., Ahlulbayt, Para Sahabat r.anhum, Para Ulama, Ayah dan Ibu, Isteri dan Suami, dan Umat Islam yang lain dengan sepenuh hatinya.
Maka cintailah Umat ini, jangan dicela serta dihinakan walaupun mereka tersalah atau hanyut dalam rancangan Yahudi dan Nasrani Laknatullah (Hiburan dan Sukan yang berlebihan). Sepatutnya kita memandang dengan penuh kasih sayang, benarlah kata-kata Saudara yang ana muliakan, Al-Fadhil Ustaz Rizal dari IPTAF (Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf) yang mengatakan saudara Islam kita yang kita nampak dia buat maksiat, sebenarnya dia ada hak pada kita yang patut kita tunaikan, iaitu perbetulkan dia...Pandanglah dari sudut positif, ada hikmah di sisi Allah s.w.t. yang kita tidak ketahui apabila kita melihat saudara tercinta kita melakukan maksiat, mungkin dengan teguran yang berhikmah, dia berubah dan menjadi lebih baik dan alim dari kita, sudah pasti ada ganjaran yang besar disediakan Allah s.w.t. kepada kita, yakinlah...
Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah , tempatkan junjungan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ..Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat r.anhum yang mengerah keringat dalam kehidupan mereka menyebarkan Agama Islam yang tercinta ini.
Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya Sekalian Alam, tiada Ia berhajat kepada Selain-Nya, Malah selain-Nyalah yang berhajat kepada-Nya. Lagi Maha Pengasih Maha penyayang. Ya Allah , pandanglah kami dengan Pandangan Belas Kasihan-Mu. Berkata Al-Arif Billah Syeikh Ibn Ata'illah al-Sakandari (709H/1309H) di dalam kitab mahsyurnya Al-Hikam "Tiada satu dosa pun dosa besar apabila Allah s.w.t. mengadili hamba-Nya dengan Kasih Sayang-Nya, tiada satu dosa pun dosa kecil apabila Allah s.w.t. mengadili hamba-Nya dengan keAdilan-Nya".
Dan kepada Allah s.w.t., kita memohon petunjuk Dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..
Jazakallah Khairan Kathira Assalamualaikum...(^_^)
Salim Azham (MSA)
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
9 months ago
No comments:
Post a Comment