Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Firman Allah s.w.t.:
"Dan Barangsiapa melakukan amalan soleh dari kalangan lelaki atau pun wanita dalam ia beriman, maka merekalah yang akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit" (Surah An-Nisa:124)
Ayat tersebut jelas menerangkan apa sahaja amalan soleh yang dilakukan orang lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaan ibadah dari Allah Azza Wajalla.
Bagitu juga sepertimana yang disabdakan oleh Junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. :
"Semulia-mulia amalan adalah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya"(H.R. Bukhari)
Ini menunjukkan aqidah merupakan suatu yang teramat penting dan perlu diutamakan. telah berkata Al-Hujjah Al-Islam Al-Imam Al-Ghazali r.anhu di dalam kitab Minhajul Abidin "Bahawa Iktikad yang benar adalah perkara paling utama dalam ibadah"
Di dalam Ilmu Ussuluddin, dibicarakan soal-soal iktikad yang menjadi asas agama iaitu:
1) Kepercayaan yang bertalian dengan Ketuhanan (Ilahiyat)
2) Kepercayaan yang bertalian dengan kenabian (Nubuwat).
3) Kepercayaan yang bertalian dengan hari akhirat,syurga,neraka dan dll.
4) Dan lain-lain soal kepercayaan.
Oleh kerana pentingnya ilmu aqidah, maka kita dapati seluruh para ilmuan Islam mengutamakan ilmu aqidah. Ini dapat dibuktikan dengan kenyataan Imam tertua di antara Imam Mazhab yang empat, Al-Imam Abu Hanifah An-Nu'man r.anhu di dalam kitab beliau, Fiqhul Akbar yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa mendalami ilmu Usuluddin itu lebih mulia dari mendalami ilmu fiqh". Kenyataan Al-Imam Abu Hanifah r.anhu tidaklah bermakna kita tidak harus mempelajari ilmu fiqh langsung, cuma Imam Abu Hanifah r.anhu menerangkan kemuliaan dan keutamaan ilmu aqidah.
Tersebut di dalam kitab Risalah Tauhid yang merupakan buku teks bagi sekolah agama Johor yang dahulu, pada m/s 31:
"Wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui sifat-sifat yang mustahil pada Tuhan yang jadi lawan daripada dua puluh sifat yang wajib baginya, dengan dinyatakan satu-persatu. Manakala telah ditetapkan satu-persatu sifat yang wajib bagi Allah Ta'ala dua puluh sifat, maka tetaplah mustahil lawannya yang kekurangan itu, kerana yang dituntut pada ilmu iu, mensabitkan/menetapkan segala aqaid atas jalan tafsil pada segala sifat. Daripada itu, terlalu besar salah mereka yang tiada mengetahui hal itu lebih daripada tiada mengetahui hukum-hukum fiqih, kerana jahil akan barang yang wajib bagi Allah Ta'ala dan yang mustahil atasnya dihukumkan kafir, tetapi jahil akan hukum -hukum fikih hanya maksiat jua."
Maka perlu umat ini dibentengi dengan senjata ilmu. Oleh itu, kami ingatkan betapa pentingnya mempersediakan para du'at dengan ilmu di tangan para ulama yang thiqah yang menerima daripada para sahabat yang mulia, terus kepada Rasulullah s.aw.. Inilah yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.:
"Wahai manusia, hendaklah kamu belajar ilmu kerana ilmu itu dapat dihasilkan dengan pembelajaran dan ilmu fiqh dengan kefahaman. Dan sesiapa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. akan kebaikan, akan diberikan kefahaman dalam agama"
Berkata Al-Hafizh Ibnu Hajar r.anhu "Isnad Hadis ini Jayyid (baik)"
Selawat dan Salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan serta Sayyid kita Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan Junjungan kami di tempat yang Kau janjikan ...Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi menyayangi akan Umat Nabi s.a.w. ini.
Dan Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian Alam, Tiada berlaku sesuatu melainkan dengan Kehendak-Nya, lagi Maha Mengatur , Maha Kuasa , Tiada Daya Upaya melainkan Allah Azza Wajalla, Dan Allah s.w.t. Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Allah s.w.t. jua Yang Maha Mengetahui...
Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)
Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
9 months ago
No comments:
Post a Comment