Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Kali ni fakir mengajak saudara untuk mengenali dengan sebenarnya Hak-hak Allah SWT dan hak Rasulullah SAW supaya kita dapat mengagungkan Allah dan Rasul sesuai seperti yang dituntut oleh Syarak.
Pada m/s 52 bagi Kitab Kul Hazihi Sabili (Katakan inilah jalanku) bagi Al-Allamah Al-Muhaddith Syaikh Sayyid Muhammad Ibn A'lawi Ibn Abbas Al-Maliki Al-Makki Al-Hasani r.anhu :
Perbezaan di antara maqam (kedudukan) Khaliq (Allah) dan makhluk ialah batas pemisah di antara keimanan dan kekufuran. kami mempercayai, bahawa sesiapa yang mencampuradukkan di antara kedua-dua makam ini, maka dia menjadi kafir. Semoga dilindungi Allah SWT.
Setiap maqam mempunyai hak-haknya yang khusus tetapi, terdapat beberapa perkara yang dibicarakan di sini : terutamanya yang berkaitan dengan peribadi Nabi Muhammad SAW dan keistimewaannya, yang membezakan di antara baginda SAW dengan manusia yang lain dan meninggikan martabatnya dengan yang lain. Perkara ini kadang kala mengelirukan dan samar-samar di sisi pengetahuan sebahagian manusia lantaran kesentengan akal, kelemahan fikiran, kesempitan penelitian dan kesalahfahaman mereka. lantas, mereka secara terburu-buru menghukum kafir orang yang membicarakan keistimewaan dan kelebihan ini kerana menganggap mereka telah mencampuradukkan antara maqan khaliq dan makhluk dan mengangkat darjat Nabi SAW sama dengan darjat Tuhan. Sesungguhnya kami berlepas diri daripada anggapan sedemikian.
Sesungguhnya kami dengan kurniaan Allah SWT, mengetahui apa yang wajib bagi Allah SWT dan apa yang wajib bagi Rasul-Nya SAW. Kami juga mengetahui apa yang hanya menjadi Hak Allah SWT dan apa yang menjadi Hak Rasulullah SAW, tanpa melampaui batas dan berlebih-lebih hingga mensifatkan Baginda SAW dengan sifat-sifat Ketuhanan yang khusus bagi Allah SWT ; baik sebagai Tuhan yang disembah (Ilah) , mahupun sebagai Tuhan yang mengurus alam ini (rab).
Adapun Al-Ghuluw, yang bermaksud berlebih-lebihan dalam kesungguhan mencintai Nabi Muhammad SAW, mentaatinya dan bergantung hati dengannya, sememangnya merupakan sikap yang disukai dan dituntut oleh Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang disebut di dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda :
"Janganlah kamu berlebih-lebihan memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani berlebih-lebihan memuji Putera Maryam (Nabi Isa AS)"
Maksud dari hadith ini, bersungguh-sungguh mencintai nabi SAW dan memujinya dengan cara yang selain itu (tidak berlebih-lebihan sehingga mempertuhankannya seperti perbuatan orang Masrani terhadap nabi Isa AS), merupakan perbuatan yang terpuji. Jika maknaya tidak sedemikian, maka sudah tentulah hadith ini bermaksud melarang kita semua dari memuji Nabi Muhammad SAW sama sekali. tetapi kita sedia maklum, maksud yang kedua ini tidak akan diperkatakan oleh sejahil-jahil orang Islam sekalipun, kerana Allah SWT sendiri telah membesarkan dan menyanjung nabi Muhammad SAW di dalam Al-Quran dengan setinggi-tinggi pujian dan kebesaran.
Maka, wajib kita membesarkan atau mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT dan juga yang diperintahkan supaya kita mengagungkannya. Meskipun demikian, wajib bagi kita pula untuk tidak menyifatkannya dengan sifat rububiyyah. Semoga Allah SWT merahmati orang yang berkata:
"Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS); Ertinya jangan katakan Nabi Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu, terserahlah kepada kamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati"
Mengangungkan nabi Muhammad SAW dengan selain daripada sifat-sifat ketuhanan, sama sekali tidak mengandungi unsur-unsur kesyirikan atau bibit-bibit kekufuran. Bahkan, perbuatan tersebut merupakan ketaatan dan pendekatan diri yang sangat tinggi kepada Allah SWT. Demikian halnya, mengagungkan orang-orang yang diagungkan oleh Allah SWT seperti para Nabi dan Rasul AS, para malaikat, ahli siddiqin , syuhada dan orang solihin. Allah SWT berfirman :
"Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syi'ar-syi'ar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat taqwa hati orang mukmin " (Al-Haj: 32)
Dan lagi firman Allah SWT :
"Itulah yang wajib dipatuhi: dan siapa yang menghormati hukum-hukum Allah , maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya" (Al-Haj:30)
Di antara Syi'ar Allah ialah Ka'abah yang diagungkan, hajar Aswad dan Maqam Ibrahim AS. Semuanya itu adalah batu-batu yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita supaya mengagungkannya, dengan cara melakukan tawaf di sekeliling Ka'abah, mengusap rukun yamani, mencium Hajar Al-Aswad dan bersolat di belakang Maqam Ibrahim AS. Kita juga diperintahkan supaya berhenti untuk berdoa di tempat-tempat mustajab, di pintu Ka'abah dan Multazam. Ketika melakukan semua perbuatan tersebut, kami tidak berniat menyembah selain Allah SWT. Bahkan, kami tidak beri'tiqad adanya sesuatu yang memberi kesan selain kekuasaan Allah SWT; baik dalam memberi manfaat, mahupun mudharat.
Kesimpulannya di sini, terdapat 2 perkara utama yang harus diberikan perhatian:
1. Wajib mengagungkan Nabi SAW dan meninggikan martabatnya dari sekalian makhluk.
2. Mengesakan sifat-sifat Rububiyyah Allah dan mengi'tiqadkan bahawa Allah SWT adalah Esa pada zat, sifat dan perbuatan-Nya daripada sekalian makhluk. Barangsiapa beri'tiqad sesuatu makhluk berkongsi sesuatu daripada tuhan Pencipta SWT pada suatu dari perkara tersebut, maka dia telah menjadi musyrik. Sesiapa yang mengurangi sesuatu daripada martabat ketinggian rasulullah SAW, sesungguhnya dia telah berdosa atau menjadi kafir.
Manakala sesiapa yang bersangatan, mengagungkan baginda SAW dengan pelbagai jenis pengagungan, namun tidak menyifatkannya dengan suatu dari sifat-sifat Tuhan pencipta SWT, maka dia telah melakukan sesuatu bertepatan dengan kebenaran dan memelihara hak-hak ketuhanan dan kerasulan sekaligus. yang demikian, adalah pendapat yang tidak ada padanya suatu perlampauan atau berlebih-lebihan.
Tamat petikan kitab.
Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.
Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..
Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)
Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
9 months ago
No comments:
Post a Comment