Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Kali ini fakir ingin berkongsi dengan saudara yang dimuliakan berkenaan pembelaan Allah SWT terhadap Sayyidina Nabi Muhammad SAW. Sungguh, makhluk yang paling dikasihi Allah SWT tidak lain tidak bukan adalah Baginda SAW. Hayatilah saudaraku, semoga ada manfaatnya InsyaAllah (^_^)
Maka fakir keluarkan akan kitab Insan Kamil SAW bagi Al-Allamah Al-Muhaddith Syaikh Prof. Dr. Sayyid Muhammad Ibn A'lawi Ibn Abbas Al-Maliki Al-Makki Al-Hasani r.anhu, merupakan Ulama tersohor yang mengajar di Masjidil Haram suatu masa dahulu. Beliau mendapat pangkat Taqdir Mumtaz (Cemerlang) di dalam pengajian PhD nya dari Universiti Al-Azhar, dan menerima pangkat Professor dari Al-Azhar walaupun tidak mengajar di universiti tersebut kerana jasa dan sumbangan beliau kepada Umat Islam masa kini sebagai contoh, kitab beliau Mafahim Wajibu An-Tusohhah (kefahaman yang wajib diperbetulkan) telah diiktiraf dan diberi kata-kata aluan oleh lebih 40 Ulama Terkemuka Dunia. Dari 998 m/s, 200 m/s pertama hanyalah kata-kata aluan dari para ulama tersebut. Inilah serba sedikit tentang latar belakang Syaikh yang sangat ana rindu dan muliakan...Semoga Allah SWT mempertemukan ana dan antum dengan Syaikh yang mulia bersama-sama dengan Kekasih kita, Sayyidina Nabi Muhammad SAW beserta para sahabat dan Ahlulbayt dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari Kiamat di syurga kelak..InsyaAllah.
pada m/s 317,
Tatkala orang-orang Musyrikin menuduh Nabi SAW dan berkata :
"Wahai orang yang diturunkan Al-Quran kepadanya, sesungguhnya engkau benar-benar seorang yang gila" (Al-Hijr : 6)
Lantas Allah SWT menjawab tuduhan itu dengan firman-Nya:
"Nun, demi pena dan apa yang mereka tulis, berkat nikmat Tuhamu, engkau (Muhammad) sekali-kali bukan orang yang gila" (Al-Qalam :1-2)
Dan tatkala mereka berkata lagi:
"Apakah dia mengada-ngadakan kebohongan terhadap Allah ?"(Saba' :8)
Allah SWT menjawab pula dengan firman-Nya :
"Bahkan orang-orang yang tidak beriman kepada kampung akhirat berada dalam siksaan dan kesesatan yang jauh"(Saba' : 8)
Dan ketika mereka (kaum musyrikin) engkar dan berkata kepada Nabi SAW :
"Engkau bukan seorang yang dijadikan Rasul" (Ar-Ra'd : 43)
Maka Allah SWT membantahnya :
"Yaasin, demi Al-Quran yang penuh Hikmat, Sesungguhnya kamu adalah salah seorang dari Rasul-Rasul" (Yaasin : 1- 3)
Dan tatkala mereka berkata terhadap Nabi SAW :
"Mereka mengatakan dia adalah seorang penyair" (Ath-Thur :30)
Maka Allah SWt menolak anggapan demikian dengan kerasnya dan berfirman :
"Dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya dan syair itu tidak layak baginya" (Yaasin : 69)
Dan ketika mereka melemparkan tuduhan lain kepada nabi SAW, bahawa Baginda SAW diilhami oleh Syaitan, maka Allah SWT segera membalas dengan firman-Nya :
"Dan Al-Quran itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan " (Asy-Syu'araa : 210)
An-Nadher bin Al-Haris, Musuh yang paling menentang Nabi SAW, berkata seperti yang diceritakan dalam Al-Quran :
"Kalau kami mengkehendaki, nescaya kami dapat membacakan yang seperti itu (Al-Quran), ini tidak lain hanyalah dongeng orang-orang purbakala" (Al-Anfal:31)
Maka Allah SWT menjawabnya dan menentang siapa saja yang beranggapan seperti itu dengan Firman-nya:
" Katakanlah Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain" (Al-Israa' :88)
Al-Walid bin Al-Uqbah, seorang lagi musuh Nabi SAW berkata sebagaimana di dalam Surah Al-Muddatsir: "Quran ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari dari orang-orang dahulu, ini tidak lain hanyalah perkataan manusia", maka Allah SWT menjawab ucapannya itu dengan Firman-Nya :
"Demikianlah tidak seorang rasul pun , yang datang kepada orang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan ia itu adalah tukang sihir atau orang gila "(Az-Zaariyat : 52)
Dan Al-Quran juga mengisahkan bahawa golongan Musyrikin di kota Mekkah pernah mengejek Nabi SAW dengan kata-kata :
"Mengapa Rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?" (Al-Furqan :20)
Maka Allah SWt menjawab ejekan mereka itu dengan Firman-nya :
"Dan kami tidak mengutus Rasul-Rasul sebelumnya melainkan mereka sungguh-sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar" (Al-Furqan :20)
Dan Golongan Yahudi yang memperolok-olokkan Nabi SAW kerana Baginda SAW beristeri ramai, maka Allah SWT menurunkan Firman-Nya :
"Ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepada manusia itu, sesungguhnya kami telah memberikan kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan kami memberikan kepadanya kerajaan yang besar" (An-Nisa' : 54)
Dan Musuh-Musuh Nabi SAW yang merasa keberatan, kenapa Allah SWT mengutus Rasul-Nya dari bangsa manusia, bukan dari malaikat. Lantas Allah SWT membalas dengan Firman-Nya :
" katakanlah, kalau seandainya ada malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni bumi, nescaya Kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat menjdai Rasul " (Al-Israa': 95)
Tamat petikan kitab...
Allahu Allah....
Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.
Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..
Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)
Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
9 months ago
No comments:
Post a Comment