Renungan

Tuesday, February 23, 2010

Rasulullah SAW menurut perspektif Al-Imam Al-Akbar Muhammad bin Idris As-Syafi'e r.anhu

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin


Amma Ba'du,

Marilah kita merenungi martabat Rasulullah SAW di mata Para Ulama Salaf r.anhum seperti Al-Imam Al-Akbar Muhammad bin Idris As-Syafie r.anhu. Semoga kita sama-sama dapat merenungi diri yang hina ini setakat mana penghormatan dan kedudukan nabi SAW di hati kita...

Diriwayatkan oleh Al-Hafiz Abu Bakar Al-Baihaqi r.anhu, daripada Al-Imam Al-Hakim Abu Abdullah berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Muhammad ibn Abi Al-Hasan , telah mengkhabarkan kepada kami Abdur Rahman ibn Abi Hatim Al-Razi daripada bapanya, berkata Umar ibn Sawwad daripada Al-Imam Syafi'e r.anhu, telah berkata Imam Syafi'e r.anhu :

"Tiada suatu mukjizat yang dikurniakan kepada seseorang nabi, melainkan dikurniakan juga kepada Rasulullah SAW dengan mukjizat yang sama atau lebih hebat dari mukjizat mereka" (Manaqib Al-Syafi'e bg Al-Imam Baihaqi r.anhu)


Al-Imam Syafi'e r.anhu ditanya : "Sesungguhnya Nabi Isa ibn Maryam AS telah dikurniakan mukjizat menghidupkan orang yang mati.

Maka Al-Imam As-Syafi'e r.anhu menjawab : Sesungguhnya batang kurma merindui Rasulullah SAW. Ini lebih memelikkan dan menakjubkan.

Berkata Al-Qadhi Iyaadh r.anhu : "Hadis kerinduan batang kurma terhadap Rasulullah SAW ini adalah mahsyur di sisi ulama salaf r.anhum dan tersebar di sisi ulama khalaf r.anhum. Khabar mengenainya adalah mutawatir dan dikeluarkan oleh penulis kitab-kitab hadith sohih. hadith mengenainya diriwayatkan oleh belasan orang sahabat Rasulullah SAW.

Di antara mereka ialah Sayyidina Ubai ibn Ka'ab r.anhu, Sayyidina Jabir ibn Abdullah r.anhu, Sayyidina Anas ibn Malik r.anhu, Sayyidina Abdullah ibn Umar r.anhu, Sayyidina Abdullah ibn Abbas r.anhu, Sayyidina Sahl ibn Sa'ad r.anhu, Sayyidina Abu Sa'id Al-Khudri r.anhu, dan Sayyidina Muttalib ibn Abi Wa'adah r.anhu. (Al-Syifa' bagi Al-Imam Qadhi Iyaadh)


Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir r.anhu :

"Bahawa rasulullah SAW pada hari Jumaat berdiri berkhutbah di sebatang pokok atau batang kurma. maka berkata seorang perempuan Ansar, atau seorang lelaki : Wahai Rasulullah ! Biarkan kami mendirikan suatu mimbar untukmu ? Kata Rasulullah SAW "Sekiranya kamu mahu, dirikanlah." Maka mereka mendirikan sebuah mimbar untuknya. Pada hari Jumaaat, Rasulullah SAW pergi ke mimbar tersebut. Lantas berteriaklah batang kurma tempat bersandar rasulullah SAW ketika berkhutbah seperti tangisan kanak-kanak kecil. Lalu Rasulullah SAW turun dari mimbar dan memeluk batang kurma itu. Maka hilanglah suara tangisannya yang seperti tangisan kanak-kanak yang telah diredakan oleh Rasulullah SAW dan baginda SAW bersabda : Ia menangis disebabkan zikir yang sering didengari di sisinya (Sebab nabi SAW tidak lagi berkhutbah di sisinya).


Berkata Al-Imam Abu Al-Qasim Al-Baghawi r.anhu : Apabila Al-Imam Hassan Al-Basri r.anhu menceritakan kisah batang kurma itu, beliau menangis seraya berkata :

"Wahai Hamba-hamba Allah, batang kayu merintih kerana rindu terhadap Rasulullah SAW setelah berpisah dengannya, maka kalian adalah lebih berhak merindui pertemuan dengan Baginda SAW"

Sekiranya Kayu yang tidak bernyawa dapat merasai kehangatan mengasihi dan merindui Insan Kamil ini SAW, maka siapakah kita sekiranya tidak dapat merasai perasaan rindu dan kasih kepadanya?

Renungilah, wahai saudaraku. Ucapkanlah selawat ke atasnya sebagai tanda terima kasih kita kepadanya. Hidupkanlah sunnahnya sebagai tanda kasih kita terhadapnya. tiada suatupun di dunia ini yang boleh menjadi ganti nikmat yang paling berharga menjadi Umatnya iaitu Umat Nabi Muhammad SAW.

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment