Renungan

Monday, February 22, 2010

Penghulu Anak Adam, Muhammad Rasulullah SAW

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin


Amma Ba'du,

Kali nie , fakir ingin berkongsi dengan saudara pembaca akan kitab " Kul Hazihi Sabili" (katakanlah inilah jalanku) karangan Al-Allamah Al-Muhaddith Al-Syaikh Sayyid Muhammad Ibn A'lawi Ibn Abbas Al-Maliki Al-Hasani r.anhu. Semoga ada manfaat bersama (^_^)

Pada m/s 33,

Ketahuilah, sesungguhnya kami beri'tiqad dengan I'tiqad yang pasti mengenai Rasulullah SAW , iaitu I'tiqad yang bertepatan dengan realiti, bahawa Baginda SAW adalah penghulu hamba-hamba Allah SWT secara mutlak. Baginda SAW juga adalah wasilah yang paling hampir kepada Allah SWT ketika hayatnya dan pada hari Kiamat. Pada hari tersebut, dizahirkan ketuanan dan keketuaan Baginda SAW atas sekalian para nabi dan makhluk sehingga Baginda SAW menjadi pemilik syafa'at yang agung, kedudukan yang tinggi dan paling hampir serta pembawa Liwa' Al-hamdi yang bernaung dibawahnya Nabi Adam AS dan lain-lainnya. Semua Nabi mengakui ketuanannya yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya pada hari tersebut ke atas generasi terawal, terakhir dan seluruh makhluk.

Sesungguhnya perkara ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim , iaitu sabda Baginda SAW :

"Aku adalah penghulu manusia pada Hari Kiamat." hingga akhir hadis syafa'at yang disebut di dalamnya segerombolan manusia berduyun-duyun bertemu para nabi, lalu setiap nabi tersebut tidak dapat menunaikan permintaan mereka dan kemudian menyuruh mereka beralih menuju kepada Nabi yang lain sehinggalah mereka sampai kepada Sayyiduna Isa AS, lalu menyuruh mereka menuju kepada Kekasih yang Teragung, Muhammad SAW. Lalu baginda SAW menerima dan memperkenankan permintaan mereka dengan sabdanya kepada mereka:

"Akulah yang berhak mengurniakan syafa'at, akulah yang berhak mengurniakan syafa'at".

Maka Baginda SAW mengurniakan syafa'at, lalu Allah SWT mengizinkan Baginda SAW mensyafa'atkan mereka.

Berkemungkinan mereka boleh sahaja terus bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, akan tetapi Allah SWT telah mengilhamkan mereka untuk bertemu dengan penghulu-penghulu para Rasul terlebih dahulu bagi menzahirkan kelebihan Rasulullah SAW atas rasul-rasul yang lain dan memaklumkan bahawa Baginda SAW adalah Penghulu Sekalian Makhluk secara makhluk serta Rasul yang paling dikasihi oleh Tuhan Pencipta.

Pengertian ini walaupun tidak diketahui oleh kebanyakan orang awam kaum Muslimin secara terperinci, tetapi mereka mengetahui secara yakin bahawa Baginda SAW adalah Penghulu sekalian makhluk secara mutlak di dunia dan akhirat, dan diterima syafa'atnya di dunia dan akhirat. Mereka juga bertawassul dengannya kepada Allah SWT bagi mencapai cita-cita mereka di dunia dan akhirat. Pengertian ini telah dimaklumi bersama oleh orang yang paling alim dari kalangan Ulama' dan diakui sama oleh kaum lelaki dan perempuan. Mereka turut mentarbiah anak-anak mereka dengan I'tiqad yang sohih dan keimanan yang jelas ini.

Maka, tidaklah seorang kanak-kanak mencapai usia Mumayyiz melainkan mereka memiliki pengetahuan ini, iaitu mengenai hak nabi SAW. Apabila dia bertambah dewasa, maka bertambahlah pula kemantapan di dalam hatinya dan berkembang dengan kadar hidayah dan taufiq yang telah ditentukan oleh Allah SWT baginya.

Tamat petikan kitab..

Bulan Maulid ini, bagimana perasaan kita kepada Baginda SAW??? Marilah sama-sama mengambil kesempatan dari Bulan Maulid Nabi SAW ini dengan menambahkan lagi kecintaan kita kepada Penghulu kita, Kekasih dan Sayyid Makhluk, Nabi Muhammad SAW. Kecintaan pada Allah dan Rasul-Nya inilah yang pertama-tama patut ditanam sejak kecil lagi.

Maula Ya Solli wa Sallim Da Iman Abadan A'la Habibi Ka Khairil Khalqi Kullihimi

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment