Renungan

Sunday, February 21, 2010

Tok Selehor Al-Kalantani




















TOK SELEHOR KELANTANI
Berdakwah lewat puisi

Oleh Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah


TOK Selehor atau Tok Selehong, nama lengkapnya ialah Abdur Rahman bin Utsman bin Senik. Ulama yang berasal dari Kelantan ini lahir di Kampung Lubuk Jong, tahun 1289 H/1872 M, wafat malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353 H/20 Februari 1935 M. Beliau adalah sahabat Tok Kenali, yang juga berasal dari Kelantan dan lebih tua sedikit daripada Tok Selehor. Tok Kenali lahir pada tahun 1287 H/1871 M, wafat pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Sahabatnya pula ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, tahun 1293 H/1876 M, wafat di Mekah al-Mukarramah, hari Rabu, 6 Rabiulawal 1376 H/10 Oktober 1956 M), Utsman bin Haji Muhammad bin Haji Abdul Wahhab atau Tok Bacok (lahir tahun 1277 H/1860 M, wafat pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 H/27 Julai 1953 M), dan ramai lagi yang belum dibicarakan dalam artikel ini.

Tok Selehor memulai jihad keilmuannya belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik, Sungai Pinang Kelantan. Kemudian memondok di Patani selama tujuh tahun, belajar kepada Tuan Guru Haji Abdur Rasyid di Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdulah di Tok Jum. Tok Selehor belajar di Mekah selama 18 tahun. Di antara gurunya ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani wafat, beliau masih tetap belajar kepada ayah saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), mendalami ilmu-ilmu alat Arabiyah, ilmu fikah Mazhab Syafie, dan ilmu qiraat yang berbagai-bagai. Tok Selehor mulai membuka pengajian pondok tahun 1340 H/1921 M.

TOK SELEHOR DAN KITAB HIKAM

Salah sebuah kitab ilmu tasawuf yang diajar oleh Tok Selehor ialah Kitab al-Hikam. Sebelum membicarakan keterlibatan Tok Selehor dalam pengajaran Kitab al-Hikam karya Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari yang sangat terkenal itu, saya dulukan cerita tentang Kitab al-Hikam terlebih dulu, bahawa terdapat dua buah Kitab al- Hikam versi bahasa Melayu, yang sebuah dalam bentuk matan dan yang sebuah lagi dalam bentuk syarah. Penerbitan awal kedua-dua versi dalam bahasa Melayu itu ditashih dan diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Kitab al-Hikam yang dalam bahasa Arab pula terdapat berbagai-bagai syarah. Syeikh Ahmad al-Fathani dipercayai telah mengajar kitab tersebut kepada murid-muridnya, sama ada di rumahnya di Mekah mahu pun di Masjid al-Haram. Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar wa ar-Rayahin, istilah `hikam', beliau takrifkan sebagai jamak daripada perkataan `hikmah', yakni `perkataan yang diteguhkan'. Ada pun istilah hikmah/hikmat mengandungi pengertian yang berbagai-bagai, di antaranya ialah: `pandai menyurat/menulis, ilmu yang dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa/menyalahi adat kebiasaan, kata-kata nasihat yang mantap, dan lain-lain lagi. Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa perkataan `hikmah', ditafsir oleh Ibnu Abbas r.a. yang terdapat dalam al-Quran ialah, ``dengan belajar halal dan haram''. Yang lain berpendapat, ``ditinjau dari segi lughah ialah ilmu serta amal''. Pendapat yang lain, ``hikmah itu diambil faedah daripadanya, iaitu yang sebenar pada diri pekerjaan dengan sekira-kira kuasa manusia''. Pendapat yang lain, ``tiap-tiap kalam yang muafakat akan hak, maka iaitu hikmah''.

Sanad

Jika kita jejak sanad pengajian Kitab al-Hikam mulai pengarangnya, iaitu Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari hingga turun sampai kepada Tok Selehor, ialah Tok Selehor merupakan yang ke-17. Untuk lebih jelasnya dapat diperhatikan sanad sebagai berikut:

1. Tok Selehor, Kelantan, belajar kepada (2)
2. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, belajar kepada (3)
3. Saiyid Abi Bakri Syatha, belajar kepada (4)
4. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada(5)
5. Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada (6)
6. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, beliau telah menulis syarah kitab yang dibicarakan ini. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi belajar kepada (7)
7. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada (8)
8. Syeikh `Id an-Namrisi, belajar kepada (9)
9. Syeikh `Abdullah bin Salim al-Bashri, belajar kepada (10)
10. Syeikh Muhammad bin `Ala' al-Babli, belajar kepada (11)
11. Syeikh Abi an-Naja Salim bin Ahmad as-Sanhuri, belajar kepada (12)
12. Saiyid an-Naju Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada (13)
13. Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, belajar kepada (14)
14. Saiyid al-'Izzu Abdur Rahim bin al-Farrat, belajar kepada (15)
15. Syeikh at-Taju `Abdul Wahhab bin `Ali bin `Abdul Kafi, belajar kepada ayahnya (16)
16. Syeikh at-Taqiy `Ali bin `Abdul Kafi as-Subki, belajar kepada (17)
17. Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Karim bin Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari atau disingkat namanya dengan Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari, iaitu pengarang Kitab al-Hikam yang sedang dibicarakan ini.

Ulama yang aktif beramal dengan Thariqat asy-Syaziliyah ini menghasilkan beberapa buah kitab, selain Kitab al-Hikam ialah Tajul `Arus fil Washaya wal Mawa'izh, Lathaiful Minan fi Manaqib al-Mursi wa Abi al-Hasan, dan lain-lain. Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari, ulama besar sufi yang sangat besar pengaruhnya di seluruh dunia Islam, termasuk dunia Melayu, tersebut wafat di Kaherah, tahun 709 H/1309 M.

Ustaz Ismail Awang, dalam majalah Pengasuh menyebut: ``Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya.'' Oleh sebab Tok Selehor adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani, maka bererti sanad Tok Selehor dan murid-murid beliau dalam pengajian Kitab al-Hikam dan kitab-kitab lain karangan Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari dapat disambung seperti sanad yang telah disebutkan di atas.

Tasawuf

Kitab pengetahuan tasawuf selain Kitab al-Hikam secara umum juga dipelajari di seluruh dunia Melayu, termasuk dalam pondok yang diasaskan oleh Tok Selehor. Keseluruhan karangan Imam al-Ghazali, dalam hal ini yang paling ditekankan dan dimantapkan di antaranya ialah Minhajul Abidin dan Ihya' Ulumid Din. Sanad yang sampai kepada Imam al-Ghazali mulai nombor 1 sampai nombor 7 (Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni) pada sanad Kitab al- Hikam adalah sama, tetapi untuk sampai kepada Imam al-Ghazali adalah belajar kepada (8)

8. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Budairi, belajar kepada (9)
9. Syeikh Mullah Ibrahim al-Kuarni, belajar kepada (10)
10. Syeikh Muhammad Syarif, belajar kepada (11)
11. Syeikh Abi Ishaq at-Tanukhi, belajar kepada (13)
13. At-Taqiy Sulaiman bin Hamzah, belajar kepada (14)
14. Syeikh `Umar bin Karam ad-Dainuri, belajar kepada (15)
15. Syeikh al-Hafiz Abi al-Faraj `Abdul Khaliq bin Ahmad bin Yusuf al-Baghdadi, belajar kepada (16)
16. Al-Imam Hujjah al-Islam Abi Hamid bin Muhammad bin al-Ghazali yang disingkatkan panggilan dengan Imam al-Ghazali saja. Sebagaimana yang tertulis dalam sanad yang tersebut di atas jelaslah bahawa ulama dunia Melayu yang diriwayatkan ini adalah sanadnya bersambung sampai kepada pengarang Minhajul `Abidin dan Ihya' Ulumid Din, iaitu Imam al-Ghazali yang sangat masyhur namanya itu.

BERZANJI DAN BURDAH

Ustaz Ismail Awang menulis, ``Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.''

Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bidaah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh hanya sekelompok kecil orang. Kitab Berzanji yang disyarah dalam bahasa Arab banyak dilakukan oleh ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi pernah dilakukan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain.

Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin, yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul Nazham Nuril Anam, diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46.

Kitab Berzanji dapat dikategorikan dalam bidang sastera Arab, demikian juga Burdah Bushiri. Burdah Bushiri pernah diterjemah oleh Tok Kenali, sahabat Tok Selehor, yang diberi judul Risalatud Durril Mantsur, selesai beliau tulis pada bulan Jumadilakhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Meah, Jumadilakhir 1310 H. Selain itu juga oleh guru kedua-duanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan yang diberi judul Risalah Majma' al-Qashaid wa al-'Awaid yang selesai ditulis pada bulan Zulkaedah 1320 H/ Februari 1903 M.

Sumber : Bahrusshofa

1 comment:

  1. salam, baru2 ini kami sekeluarga berkesempatan menziarahi pondok Tok Selehor, melihat kesan2 sejarah yang masih ada seperti tempat mandi, perigi dan penempatan pondok yang telah dimodenkan,..masih terasa dingin air telaga ketika berwuduk dan ketenangan waktu bersolat di Masjidnya...semoga penempatan ini berkekalan membawa rahmat..

    ReplyDelete