Renungan

Sunday, March 14, 2010

Huraian Sifat yang Keempat : Mukhalafatuhu Ta'ala Lil hawadith

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,


Fakir kemukakan antara kitab palibg ringkas tapi padat yang membicarakan tentang ilmu Akidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, iaitu kitab Misbahul Munir Fi Makrifatillah Al-Qadir, karangan Tuan Guru Abdul Aziz bin Ismail Al-Fathani rah. , yang bermukim di kampung paloh, bunut payung, kota Bharu Kelantan. Pada m/s 16 :

Wajib pada syarak pula di atas tiap-tiap mukallaf mengetahui serta iktikad dan mengaku putus di dalam hatinya akan tentu sungguh bersalahan Allah Ta'ala bagi segala yang baru dan tidak menyamainya. Firman Allah Ta'ala " Tidak ada seperti Zat Alalh Ta'ala sesuatu dan ialah yang mendengar dan yang melihat" (Asy-Syura :11)

Dan bersalahan Allah Ta'ala bagi segala yang baru dan juga tidak menyamai itulah dikatakan Sifat Mukhalafatuhu Ta'ala lil Hawadith dan makna bersalahan itu 3 perkara. Bersalahan pada Zat, dengan makna Zat Allah Ta'ala BUKANNYA JIRIM YANG BERTEMPAT walau di mana tempat dan makhluk ini semuanya Jirim yang bertempat. Kalau begitu tidak buleh dikatakan Allah Ta'ala itu bertempat di mana-mana tempat. Maka jika didapati di dalam Al-Quran atau Hadis barang yang memberi Waham menyerupai dan bertempat maka dinamakan ayat itu MUTASYABIHAT dan Hadis MUTASYABIHAT. Maka, WAJIB DITAKWIL akandia supaya lepas daripada Syubhah itu sama ada takwil Ijmali seperti Ulama Salaf atau Takwil Tafshili seperti takwil Ulama Khalaf.

Maka seperti Firman Allah Ta'ala " yadullah fauqa aidihim" (Al-Fath : 10) Berkata Ulama Salaf r.anhum pada tafsirkan ayat itu begini : Bermula Yad Allah itu atas segala tangan-tangan mereka itu. Bukanlah lafaz Yad itu dengan makna Tangan kerana jikalau Yad dengan makna tangan, maka tidak dinama lagi ayat Mutasyabihat dan berkata Ulama Khalaf r.anhum pada mentafsirkan ayat itu begini : Bermula kekuasaan itu atas segala kekuasaan mereka itu. Maka lafaz Yad dengan makna Qudrat begitulah tiap-tiap ayat dan hadis yang Mtasyabihat berlaku Takwil di antara dua Qaul (Salaf dan Khalaf) itu.

Dan bersalahan pada Sifat itu ialah Sifat-Sifat Tuhan itu bukan 'Aradh yang bertekap di jirim dan bertempat bersama dengan Jirim. Kalau begitu tidak bolehlah dikatakan Tuhan berjihah di mana-mana Jihah dan sebagainya dari Sifat-Sifat yang baru. Dan bersalahan pada perbuatan itu ialah perbuatan Allah Ta'ala, bukan seperti perbuatan yang baru, kerana perbuatan Allah Ta'ala menjadikan yang tiada kepada ada dan pula perbuatan Allah Ta'ala bukan daripada bahan-bahan benda dan perkakas alat jentera.

Dan Dalil bersalahan Allah Ta'ala bagi segala yang baru dan tidak menyamai itu ialah kita fikir jikalau Allah Ta'ala tidak bersalahan bagi segala yang baru nescaya adalah ia menyamai dengan sesuatu yang baru ini, maka jika menyamai dengan yang baru tentulah ianya nyata maka tetaplah bersalahan Allah Ta'ala bagi segala yang baru dan tidak menyamai itulah pengakuan yang sebenar yang membetuli dengan pengakuan Tuhan di dalam Quran :

Surah Al-Ikhlas (1 - 4)

Maka nyata daripada Surah Al-Ikhlas itu bahawa Allah Ta'ala bersalahan dengan segala yang baru. Wallahu 'Alam

Tamat...........

Wallahu Yahdi ila sawaissabil

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment